Thursday, April 28, 2011

ULASAN PEMBACA BUKU SAYA


Suatu petang, saya bertemu dengan seorang kawan lama dan kami bertanyakan khabar mengenai kehidupan masing-masing setelah hampir tiga dekad kami berpisah. Saya namakan dia sebagai Santha walaupun nama penuhnya saya masih ingat kerana dalam kelas kami beliau adalah seorang lelaki yang paling tinggi dan mempunyai rambut Afro, yakni seperti sarang tebuan. Setelah tamat belajar (bidang kewartawanan) beliau bekerja beberapa tahun sebelum melanjutkan pendidikan di luar negara dan akhirnya mencerap bidang teologi, khususnya mengenai agama Kristian.

Agama asalnya ialah Hindu, tetapi setelah belajar teologi dan berkahwin dengan seorang wanita Jepun ketika melanjutkan pelajaran tertarik dengan Kristian. Katanya pilihan tersebut adalah kerana sangat memahami bahawa Nabi Isa a.s. adalah juruselamat yang diutuskan oleh Allah s.w.t untuk mendidik manusia agar memahami fungsinya sebagai makhluk ciptaan-Nya. Santha terus menghambakan diri kepada agama Kristian sehinggalah mendapat kedudukan yang baik dalam struktur agama tersebut dan kini mengajar sebagai pakar teologi Kristian di sebuah pusat pendidikan di Petaling Jaya.

Saya masih belum banyak berubah, tetapi tidak bermakna saya tidak cuba memahami Islam dengan baik. Saya tidak berguru dengan banyak orang, terutama dengan ustaz-ustaz yang berceramah di masjid dan surau kerana saya pernah berdepan dengan satu insiden yang menyebabkan keyakinan saya terhadap apa yang disampaikan oleh ustaz dengan apa yang dipraktikkan menjadi sesuatu yang bersifat ketidaksehaluan kognitif. Dalam banyak hal, ustaz sering memperkatakan sesuatu yang amat dituntut oleh Islam dan banyak perkara, saya melihat ustaz banyak melakukan kesilapan sehingga menjejaskan keyakinan perilaku.

Saya mempunyai pilihan, kerana saya lebih gemar membaca buku. Hasil bacaan saya, saya kongsikan dengan banyak orang, termasuk melakukan banyak pertanyaan secara peribadi dan dengan lain-lain orang yang rasa rasa mampu memberikan jawapan. Selebihnya saya menemui banyak pengetahuan melalui buku, kerana terus melihat buku sebagai sumber ilmu pengetahuan yang besar selain saya boleh membacanya berulang kali dan melakukan contengan tertentu bagi menguji ingatan serta kefahaman saya.

Salah sebuah buku yang menarik minat saya dalam pencarian jawapan mengenai pandangan Kristian terhadap kedudukan Nabi Isa a.s. ialah buku karangan Yussamir Yusof, Akidah Kita Nyawa Kita yang diterbitkan pada tahun lalu (2010) oleh Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. Saya mencari jawapan itu setelah mendengar keterangan-keterangan mencolok dari seorang paderi Melayu yang menuduh bahawa al-Quran adalah ciptaan manusia manakala Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang nabi palsu.

Pencarian saya adalah untuk meneguhkan keyakinan bahawa sebenarnya Nabi Isa a.s. bukanlah nabi untuk umat Kristian, tetapi seorang nabi yang diutuskan untuk memperbetulkan akidah manusia setelah terlalu banyak kebohongan yang berlaku. Agama Kristian bukanlah agama yang diajar oleh Nabi Isa a.s yang dianggap sebagai juruselamat, tetapi ia adalah rekaan seseorang yang mempunyai agenda tertentu bagi memperbudakkan manusia.

Orang yang dimaksudkan itu seseorang menggelarkan dirinya sebagai Paul. Nama sebenarnya ialah Saul. Saya juga ingin mengetahui bahawa kenapa nama Paul atau Paulus menjadi sangat popular dalam masyarakat Krsitian sehingga seekor sotong kurita yang dikatakan mempunyai kuasa psikik dan telah meramalkan dengan tepat pasukan yang menang dalam Bolasepak Piala Dunia 2010 diberikan nama Paul. Jawapannya mungkin secara tidak sengaja, tetapi dalam agama Kristian nama Paul adalah suatu nama besar, suatu nama yang mempunyai kaitan dengan beberapa perkara, termasuk menulis semula kitab Bible menjadi New Testament atau Kitab Perjanjian Baru.

Paul adalah seorang lelaki Yahudi yang dilahirkan di Tarsus, sebuah kawasan di Cilicia. Cicilia adalah sebuah bandar lama di selatan Turki. Bersempadanan dengan banjaran gunung Tarsus di bahagian barat dan Anti-Tarsus di sebelah timur. Laut Mediteranean terletak di sebelah selatan. Keturunan Yahudi tetapi mempunyai taraf kewargenaraan Rom dan bercita-cita menjadi ulamak Yahudi. Ketika berusia 13 tahun, beliau belajar undang-undang di Jerusalem dan berguru dengan seorang ulamak Yahudi bernama Gamalei. Hanya orang Yahudi sahaja dibenarkan belajar dan boleh menjadi Rabai atau Farisi (ulama Yahudi).

Sejak awal lagi Paul memasang dendam, memusuhi dan turut membunuh pengikut Nabi Isa a.s. Saki baki pengikut Nabi Isa a.s. telah diburu dan Paul sendiri mengakui membunuh dengan zalimnya, malah Paul juga turut memberikan kebenaran agar membunuh Stephen, seorang yang gigih menyebarkan ajaran al-Masih setelah baginda diangkat ke langit. Banyak tindakan tidak berperikemanusiaan telah dilakukan oleh Paul dicatatkan dalam Bible (hal.132).

Paul juga pernah mengakui telah berjumpa dengan al-Masih dan dilantik sebagai pesuruh yang berhak menyampaikan ajaran tersebut sehingga menampakkan sikapnya yang bohong dan kejam. Menurut catatan lain dalam Bible, Paul sebenarnya tidak pernah menemui Nabi Isa a.s. dan mendapat watikah perlantikan sebagai penyebar agama tersebut (hal.135-136). Semasa berada di Arab, Paul telah mencipta beberapa perkara baru, antaranya menolak undang-undang Nabi Musa a.s. (hal.142), boleh berhubung terus dengan Nabi Isa a.s. (hal.143), menjadi perisik dalam agama Nabi Isa a.s. (144), mengeluarkan perintah bohong sebagaimana dipesan oleh Nabi Isa a.s. (hal.145) dan sebagainya.

Apa yang lebih menarik mengenai doktrin ciptaan Paul ialah sebagaimana ditulisnya dalam Mathew, iaitu buku pertama dalam NewTestament ialah mengenai konsep dosa warisan dan Nabi Isa a.s. sebagai “anak Tuhan” (hal.170). Semasa di Arab, Paul turut mencipta beberapa doktrin berdasarkan paganism Arab Kuno dengan menyesuaikannya ke dalam ajaran Nabi Isa a.s. (hal.170) dan menurut Dr Maurice Bucaille:“Paul adalah figura yang amat kontroversi dalam agama Kristian. Dia boleh dianggap sebagai pengkhianat kepada ajaran Jesus melalui tulisan-tulisannya”.

Bagi Humphrey Carpenter, “ramai sarjana Kristian mempercayai bahawa Paul dan beberapa orang yang terlibat dalam zaman awal Kristian adalah pengasas sebenar agama Kristian. Dan bukannya Jesus yang mengasaskan ajaran tersebut.” Kenyataan ini berpunca daripada sifat ajaran Nabi Isa a.s. sendiri yang tidak pernah mengisytiharkan kandungan dakwahnya sebagai Kristian dan berniat untuk menyebarkan agama baru. Nabi Isa a.s. hanyalah mengikut dan meneruskan ajaran-ajaran Musa (Judaic Tradition) dengan tindakan membersihkan kekalutan ajaran asing yang masuk ke dalamnya (hal.171).

Michael Hart, penulis buku 100 Orang Yang Paling Berpengaruh meletakkan pengasas agama Kristian sebenarnya ialah Paul dan bukannya Nabi Isa a.s. Ini kerana Paul telah memperkenalkan konsep dosa warisan, penyaliban Nabi Isa a.s., doktrin trinity dan Nabi Isa a.s. sebagai anak Tuhan. Mengenai Dosa Warisan, Paul dikatakan memulakan konsep itu dalam sepucuk surat yang ditulisnya kepada penduduk Rom. Dalam surat tersebut Paul menjelaskan” Sebab kematian adalah upah daripada dosa;tetapi hidup sejati dan kekal bersama Jesus kita adalah pemberian yang diberikan oleh Tuhan.” (hal.172).

Doktrin Dosa Warisan menyifatkan bahawa semua manusia mempunyai dosa secara turun temurun disebabkan oleh kesalahan yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. Setelah melanggar perintah Tuhan, memakan buah larangan, sejenis buah yang dipercayai mampu memberikan kehidupan kekal abadi, maka seluruh keturunan Nabi Adam a.s. ikut menanggung dosa tersebut tanpa mengambil kira ia adalah seorang bayi ataupun dewasa.

Dosa Warisan itu hanya boleh dihapuskan melalui satu proses penyucian di mana seseorang yang suci perlu berkorban. Ia harus dilakukan melalui pertumpahan darah melalui proses penyalipan. Oleh kerana semua manusia mempunyai dosa, hanya Nabi Isa a.s. yang seharusnya berkorban untuk menghapuskan dosa warisan itu kerana baginda tidak pernah melakukan dosa.

Dalam doktrin triniti, Tuhan Bapa telah menghantar anaknya, iaitu Nabi Isa a.s. sebagai penebus. Bentuk penebusan itu adalah kerana keadilan dan kasih sayang Tuhan (hal.175). Syarat seseorang yang boleh menebus dosa ialah manusia sejati, Tuhan sejati dan Benar, iaitu tidak berdosa. Ketiga-tiga syarat tersebut hanya ada pada Jesus. Maka sesiapa yang mahukan keampunan dari dosa warisan seharusnya menerima Jesus sebagai juruselamat semua manusia.

Konsep Dosa Warisan menurut pengarang adalah berasal dari dongeng dan telah dibuktikan oleh seorang ahli arkeologi Jerman pada tahun 1903. Tradisi itu ditemui dalam dua papan batu zaman Babylon yang mencatatkan kisah Passiepel Baal (Tuhan sembahan Babylon) (hal. 182).

Nabi Isa a.s. disalibkan selama tiga hari tiga malam, kemudian hidup sekali lagi selama 40 hari 40 malam sebelum diangkat ke langit. Penyalipan ini sebagai memperlihatkan kasih sayang Tuhan dengan mengorbankan anak-Nya sebagai penebus dosa dan dari peristiwa penyalipan itulah agama Kristian dilaporkan mula diberi nama oleh Paul. Hal itu amat bercanggah dengan kenyataan sebenar kerana dalam Bible, Nabi Isa a.s. turut mempersoalkan kepada individu yang mahu membunuhnya” Bukankah Musa sudah memberikan perintah-perintah Tuhan kepadamu? Tetapi di antara kalian tiada yang menurut perintah-perintah itu. Mengapa kalian mahu membunuh Aku? (John 7:19).

Turut disorot secara lancar oleh pengarang dalam buku ini ialah mengenai Nabi Isa a.s.(Bab 1), Kristiankah Baginda (Bab 2), Hawariun yang setia (Bab 3), Menyelidiki Diri Paul (Bab 4), Pengasas Agama Kristian (Bab 5), Gerakan Kristianisasi (Bab 6), Murtad (Bab 7) dan Penggunaan Nama ALLAH (Bab 8). Seluruh kandungan buku ini mempunyai perbincangan yang mendalam. Perbincangan yang disusuli dengan pelbagai petikan dari Bible (New dan Old Testament), ayat-ayat al-Qur’an bersama kajian pakar teologi (Islam dan Kristian) menjadikan buku ini terasa mampu meningkatkan kejernihan iman kita.

Pembacaan buku ini mampu memberikan kefahaman malah saya menjadi lebih bersedia untuk berhadapan dengan Santha jika kami ditakdirkan ketemu sekali lagi. Saya mungkin mampu memberikan sentuhan nilai dan keyakinan Islam bahawa Kristian sebenarnya agama yang telah banyak diselewengkan oleh doktrin kotor penganut Yahudi yang tidak mahukan ada agama lain yang lebih baik daripada mereka. Ini kerana Yahudi amat tercabar dalam putaran keturunan nabi-nabi, apabila Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir yang membawa agama Islam bukan dari jurai keturunan Bani Israel.

Setelah ajaran Nabi Musa a.s yang diteruskan oleh Nabi Isa a.s telah diselewengkan dengan jayanya, menyebabkan Yahudi mula menyasarkan pula kepada Islam. Yahudi tidak mengkhianati Islam secara langsung, tetapi menggunakan penganut Kristian sebagai “tentera upahan” setelah mereka berjaya menguasai ekonomi dan politik global. Itulah Yahudi, lempar batu sembunyikan tangan, dan terus berselindung dalam selimut sekularisasi, liberaliasme dan pelbagi bentuk pertubuhan kemanusiaan antarabangsa.

Saya benar-benar puas membaca buku ini, malah dapat menarik minat saya untuk meneroka samudera pengetahuan perbandingan agama yang bernuansa ilmiah. Saya sebenarnya ingin memberikan kredit kepada pengarang kerana berjaya menulis sebuah buku yang baik dan tidak menjemukan pembaca. Saya tidak menganggap melalui buku ini saya mendapat jalan pencerahan, kerana itu adalah jalan fikiran agama Kristian, tetapi dapat membantu saya menolak asakan propaganda memburuk-burukkan Islam yang semakin menggila oleh kerana Islam semakin pesat berkembang dan bakal menyaingi penganut Kristian dalam tempoh kurang seratus tahun lagi.



Judul Buku : Akidah Kita Nyawa Kita

Nama Pengarang : Yussamir Yusof

Penerbit : Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd, 2010

Jumlah Halaman : 317 halaman

Harga : RM 16.00

Pengulas : KAMARUN KH

_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)Hak cipta terpelihara.

Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com