Saturday, July 30, 2011

BEBERAPA PERSOALAN DI BULAN RAMADHAN

Firman Allah, “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa. [al-Baqarah 2:183]

Saya menulis artikel ini bagi menjawab beberapa perkara yang sering disalahfahami atau tidak diketahui oleh kita. Mungkin persoalan ini agak remeh, namun yang remeh itulah yang banyak memberi kesan buruk kepada amalan puasa pada Ramadhan nanti.

Metod saya menulis artikel ini:

Pertama, saya akan merujuk al-Quran dan Hadith

Kedua, saya merujuk perbingan antara para ulama mengenainya. Bahkan mengambil fatwa-fatwa mereka sebagai jawapan.

Ketiga, saya condong kearah ‘keringan’ berbanding menyusahkan.

Keempat, saya tidak memaksa atau menafikan pandangan para ulama melainkan saya membawa beberapa pandangan lain.

Kelima, saya condong mengambil pandangan al-Imam Yusuf al-Qardhawi.


PERTAMA: MENGGUNAKAN INHALER KETIKA BERPUASA

Antara perkara yang telah ditinggalkan umat ialah memanfaatkan kemudahan dan kelonggaran hukum yang diberikan oleh syariat Islam kepada orang yang berpuasa. Islam adalah satu agama yang mudah lagi memudahkan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman. “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” [al-Baqarah 2:286].

Berdasarkan ayat di atas, Allah telah memberi beberapa kemudahan atau kelonggaran hukum di dalam syariat Islam. Sangat dianjurkan untuk memanfaatkan kemudahan dan kelonggaran ini sebagaimana pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, “Sesungguhnya Allah menyukai keringanan-keringanan hukum-Nya diamalkan sebagaimana Ia benci larangan-larangan-Nya dikerjakan” (Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 5866 dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan.).

Salah satu perkara dalam masalah ini ialah Penggunaan Inhaler. Penggunaan inhaler biasanya digunakan oleh mereka yang mempunyai penyakit lelah. Pengharaman penggunaan inhaler berdasarkan hujah, “Tidak memasukkan sesuatu pada rongga badan” tanpa ada penjelasan dan pengkajian lanjut, sebenarnya sesuatu yang zalim kepada mereka yang mempunyai lelah.

Bagi menjawab persoalan ini, Syeikh At-Tantawi, dan Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226).

Begitu juga dengan Syeikh Ahmad Kutty (Pensyarah kanan dan Ulama di Islamic Institute of Toronto, Ontario, Kanada) ketika menjawab persoalan mengenai ini di laman web Islamonline. Kata beliau, “According to the preferred view of scholars, using inhalers by asthma patients does not break their fast. The drug inside an inhaler, we are told, goes straight into the airways; while the airways are treated, very little of the drug itself gets into the rest of the body. This being the case, it is perfectly comparable to rinsing the mouth with water or gargling, brushing the teeth, or using eye or ear drops; such actions should never be reckoned as consumption of foods or drinks. Therefore, you may use them if need be. Rules of Islam, we may do well to remember, are not at all intended to make life hard for people. Almighty Allah says in the Qur'an, [He [Allah] has imposed no difficulties on you in religion] (Al-Hajj 22:78).”

Selain itu, Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil. Pembantu Profesor Fakulti Fiqh Universiti al-Qasim dalam bukunya Mufattirat al-Siyam al-Mu’asarah menjelaskan bahawa penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa. Beliau turut mengemukakan beberapa nama ulama besar Saudi seperti Syeikh ‘Abd al-Aziz Abdullah bin Baz r.h., Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin r.h., Syeikh Abdullah bin Jibrin r.h., Syeikh Dr. al-Siddiq al-Dharir, dan Dr. Muhammad al-Khayyath yang mengeluarkan fatwa yang sama iaitu Tidak membatalkan Puasa.

Menurut Dr Ahmad, Para Doktor mengesahkan bahawa siwak mengandungi 8 jenis bahan kimia yang berperanan membersihkan gigi dan kotoran yang penyebab sakit. Dan unsur kimia ini akan meresap bersama air liur dan akan masuk ke dalam tekak. Sedangkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari menunjukkan Nabi s.a.w. sentiasa bersiwak ketika berpuasa. Daripada ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w. bersiwak ketika baginda berpuasa, dalam kekerapan yang tidak boleh dihitung.” (H.R. al-Bukhari secara ta’lik di dalam Bab Siwak)


Oleh itu, unsur kimia yang masuk ke dalam badan ketika bersiwak termasuk perkara yang dimaafkan disebabkan jumlah yang sedikit dan tidak dimaksudkan. Maka penggunaan inhaler juga adalah termasuk dalam perkara yang sama.


KEDUA: BERENDAM ATAU KERAP MANDI SEMASA RAMADHAN

“Jangan mandi lama-lama sangat, batal puasa itu nanti.” Jerit ibu mengingatkan saya.

Manakan tidak, cuaca panas terik, salah satu cara untuk merehatkan badan ialah mandi. Kalau dulu-dulu, selalu sangat ditegah untuk mandi siang hari atau berendam dalam kolam. Waktu itu tanpa membantah, terus keluar dari bilik air atau kolam.

Takut puasa batal katanya.Namun, bila kita kaji dan membaca kembali hadith-hadith Nabi serta perbincangan para ulama. Mandi di siang hari atau berendam untuk menyejukkan badan adalah sesuatu yang dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Terkejut?

Dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud, dikatakan bahawa Abu Bakar bin Abd al-Rahman radhiallahu 'anh berkata, “Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-Arj (sebuah tempat), baginda menyiram air ke kepalanya sedangkan pada waktu itu baginda berpuasa. Yang demikian itu kerana kehausan atau kepanasan.”

Menurut al-Imam Syams al-Haq al-‘Azhim rahimahullah, hadith ini terdapat dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang berpuasa yang merasai kepanasan untuk menyiram air ke atas sebahagian badannya atau keseluruhan badannya. Ini merupakan pendapat jumhur dan mereka tidak membezakan antara mandi kerana suasana genting, sekadar perlu atau tanpa apa-apa alasan sekalipun. (Kitab Aun al-Ma’bud Syarh kepada Sunan Abu Daud)

Bagaimana pula dengan berendam?

Mungkin ada sesetengah orang melihat berendam di bulan Ramadhan pelik, malah ada yang mencela mereka yang berendam. Namun pada zaman Nabi berendam semasa bulan Ramadhan adalah sesuatu permandangan biasa, bahkan boleh dikatakan sesuatu yang sunnah kerana ia dilakukan oleh Rasulullah.Salah seorang sahabat Nabi iaitu Anas bin Malik antara sahabat yang pernah dinukilkan berendam di dalam air semasa puasa.

Imam Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitab Fathul Bari syarah kepada Sahih Bukhari menukilkan kata-kata Anas bin Malik, “Sesungguhnya aku memiliki penampungan air yang aku masuk ke dalamnya dan aku sedang berpuasa.”Menurut Ibnu Hajar, Seakan-akan penampungan tersebut dipenuhi air, sehingga apabila udara panas, maka dia masuk ke dalamnya untuk mendinginkan badan. (Fath al-Bari, Bab Mandi Orang Yang Berpuasa)


KETIGA: KOREK HIDUNG SEMASA PUASA

Boleh saya katakan, majority umat Islam di Malaysia masih ada stigma bahawa korek hidung membatalkan puasa. Malah ada yang lebih kronik, memberi sebab mengapa korek hidung membatalkan puasa kerana ia boleh MENGENYANGKAN.

Ada juga sebahagian memberi hujah berdasarkan hadith ini:“Sempurnakanlah wudhuk dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.” (Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah)

Mereka berhujah bahawa perkataan “…menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.” adalah sebuah bentuk larangan menyedut air kedalam hidung ketika berpuasa. Jika dimasukkan air maka perbuatan tersebut membatalkan puasa. Pemahaman ini kemudian diluaskan kepada semua rongga tubuh berdasarkan analogi (qiyas).


Perbuatan mengqiaskan perkara ini kepada seluruh rongga tubuh adalah tidak tepat. Pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah bukan ditujukan kepada “menyedut air” ke dalam hidung tetapi kepada “bersungguh-sungguh” dalam penyedutan tersebut.

Dalam erti kata lain yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhuk dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga sampai ke tenggorok dan ditelan sebagai “minuman.” (al-Imam Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh al-Siyam)

Segala puji bagi Allah, semoga Allah memberi petunjuk dan ilmu kepada mereka yang sering mengada-adakan cerita di dalam agamaNya.

Jawapan sebenar dalam isu ini ialah Tidak Membatalkan puasa. Menurut Syaikh Attiyah Saqr, “Puasa tidak terbatal dengan meletakkan jari ke dalam telinga atau kerana membersihkannya dengan cotton pad atau dengan larutan. Memandangkan tiada yang dapat meresap melalui gegendang telinga dan sampai kepada kepala, yang mana ianya juga bukan organ menerima makanan yang menyuburkan tubuh badan.”



KEEMPAT: TELAN AIR LIUR KETIKA BERPUASA

Semasa kecil saya suka telan air liur. Kononnya dapat menghilangkan sedikit rasa haus di tekak. Lucu kan? Setiap kali terasa haus atau lapar, saya akan telan air sebanyak mungkin. Sehinggalah satu hari itu, ada seorang pakcik melarang katanya boleh membatalkan puasa. Aduh, setiap kali air liur terkumpul, saya akan cepat-cepat meludah untuk mengelakkan ia tertelan. Hasilnya, saya kuat meludah. Hahahaha….

Benarkah dakwaan pakcik tersebut? Menelan air ludah membatalkan puasa?

Dakwaan tersebut tidak benar. Menurut Jawatankuasa tetap Al-Lajnah al-Daa'imah Lil-Buhuth wa Al-Ifta', menelan Lendir selsema atau hingus semasa berpuasa adalah sama sahaja dengan hukum menelan air liur. Jika seseorang itu telan air liur atau atau hingus tidaklah membatalkan puasa. Apa yang dinasihatkan oleh ulama ialah agar lendir atau hingus tadi dikeluarkan.

Imam Ibnu Qudaamah dalam kitab Al-Mughni berkata, “ Apa-apa yang tidak dapat dielakkan seperti menelan air liur, tidak membatalkan puasa. Ia seperti debu-debu dijalanan dan dilantai (sukar untuk dielak-penulis). Walaupun seseorang itu mengumpulkan air liurnya dan menelan kembali, ia tidak membatalkan puasa kerana air liur itu sampai ke perut seperti ia menelannya tanpa mengumpulkannya terlebih dahulu.”

Perkara ini juga disokong oleh Syeikh Attiyah As-Saqr rahimallah di dalam fatwanya.

Ustaz Zaharuddin dalam artikelnya menulis, “Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.”



KELIMA: MUNTAH SEMASA PUASA

Ada beberapa pandangan mengenai muntah semasa puasa.

Pandangan pertama: Batal puasa jika secara sengaja muntah dan tidak batal jika ia tidak disengajakan. Menurut Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni, “Seseorang yang muntah secara sengaja puasanya batal dan perlu diganti, jika tidak secara sengaja maka ia dimaafkan.”

Pandangan ini berdasarkan sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Abu Daud yang diambil dari Abu Hurairah, “Barangsiapa yang tidak sengaja muntah tiadalah qadha baginya, dan barangsiapa yang sengaja muntah maka hendaklah dia qadha”.

Syeikh Muhammad Salleh bin Uthaimin turut menyatakan bahawa puasa seseorang itu terbatal jika secara sengaja muntah. Dalilnya berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah seperti di atas. Pandangan ini turut disokong oleh Syeikh Abdul Aziz bin Bazz dalam fatwanya (Fataawa Ramadhaan - Volume 2, Page 481, Fatwa No. 424)


Pandangan Kedua: Tidak batal puasa, sama ada muntah secara sengaja atau tidak.Hadith dari Abu Hurairah yang dijadikan pegangan di atas sebenarnya ada kecacatan. Malah kecacatan tersebut dikenalpasti sendiri oleh para ulama hadith awal seperti Imam Bukhari, dan Imam Ahmad.

Menurut Imam Bukhari “Tidaklah ia terpelihara (iaitu tidak sahih), sesungguhnya telah meriwayatkan Yahya bin Abi Kathir dari Umar bin Al-Hakam, sesungguhnya Abu Hurairah tidak berpegang bahawa muntah membatalkan puasa” (I’lal Al-Tirmizi Al-Kabir, hadith no. 126)

Tambah Imam Bukhari lagi, “Telah menceritakan kami Yahya dari Umar bin Al-Hakam bin Thauban, bahawa dia mendengar Abu Hurairah berkata: “Tidaklah batal puasa apabila muntah, kerana mengeluarkan bukan memasukkan, dan disebut bahawa dari Abu Hurairah dia berkata (seseungguhnya ia batal puasa), riwayat yang awal yang menyatakan tidak batal adalah lebih benar dan tepat. Dan berkata Ibn Abbas dan Ikrimah bahawa (yang membatalkan) puasa adalah daripada hal-hal yang masuk bukan hal-hal yang keluar.” (Dalam Sahih Bukhari, di bahagian muqaddimah bab “berbekam dan muntah bagi orang yang berpuasa”)


Imam Ahmad turut menafikan hadith ini sepertimana yang dikatakan oleh Imam Al-Son’ani, “Dan mengingkari Ahmad akan hadith ini, katanya “Tiada apa-apa”, kata Al-Khattabi, “yang diinginkan oleh Ahmad dengan kata-katanya itu ialah hadith itu tidak terpelihara”.

Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya Taisir Al-Fiqh fi Dhaw’ Al-Qur’an wa Al-Sunnah: Fiqh Al-Siyam ketika mengupas persoalan ini membawa pendapat bahawa, “Ibn Batthal telah menaqalkan dari Ibn `Abbas dan Ibn Mas’ud bahawa mereka menyatakan bahawa muntah adalah tidak membatalkan puasa, tidak mengira samada sengaja atau tidak. Dan Al-Bukhari telah meriwayatkan secara mu’allaq dari Ibn `Abbas dan Ikrimah, bahawa mereka berkata: (yang membatalkan) puasa ialah dari hal-hal yang masuk, bukan hal-hal yang keluar, apa yang diinginkan oleh Al-Bukhari dengan athar ini menunjukkan bahawa sesungguhnya mazhab (iaitu pegangan) Al-Bukhari ialah muntah tidak membatalkan puasa secara mutlak (tidak mengira samada sengaja atau tidak)”

Bagi yang bertanya sama ada batal atau tidak. Saya katakan kedua-dua pandangan ini boleh diterima berdasarkan hujah yang diberikan.

Namun jika ditanya pandangan peribadi, saya memilih pandangan al-Imam Yusuf al-Qardhawi yang menyatakan tidak batal sama ada muntah secara sengaja atau tidak.


“Secara hakikatnya, sesungguhnya pendapat bahawa muntah membatalkan puasa adalah tidak bertepatan dengan maqasid (maksud dan tujuan) puasa (itu sendiri)” (al-Imam Yusuf al-Qardhawi - Taisir Al-Fiqh fi Dhaw’ Al-Qur’an wa Al-Sunnah: Fiqh Al-Siyam)





Salam Ramadhan

Yussamir
Bandar Seri Putra
sehari sebelum Ramadhan
______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)Hak cipta terpelihara.


Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.


"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com