Wednesday, November 10, 2010

ANDA BERLABEL APA?




“Dia itu Sesat ke?”

“Kafir ke?”

“Taklah, dia wahabi!”

“Eh bukankah dia itu Sufi”

“Eh mereka Islamlah!”


Label-label itu dahulunya menjadi ringan dan sentiasa bermain di bibir saya. Tidak pernah berfikir apa impaknya atau kesannya terhadap orang yang dituduh atau sekeliling. Semuanya di ‘larung’ habis-habisan tanpa melihat kiri dan kanan.

Ketika itu tabiat melabel-label menjadi tren yang sangat berleluasa, bukan saya sahaja yang mengalaminya tetapi orang lain juga begitu.

Jika Salafi akan bermusuh dengan Syiah, Syiah pula bermusuh dengan Salafi, Sufi bermusuh dengan Salafi, Jamaah bermusuh dengan Salafi, dan rupa-rupanya permusuhan itu berlingkar antara Muslim dan Muslim.

Akhirnya pertengkaran demi pertengkaran, sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Tren ini jika dilihat sebenarnya diwarisi dari kelompok pemikiran yang sempit dan ekstrim.

Semakin membarah apabila sebahagian Salafi Literalis menghentam dan menyesatkan para ulama’ yang telah banyak berjasa kepada dunia Islam. Sehingakan mengheret tokoh-tokoh Ikhwan Muslimin dalam senarai ‘orang-orang yang sesat’.


Justify Full
SAYYID QUTB

Misalnya Sayyid Qutb, seorang reformis Islam yang banyak berjasa dalam lapangan dakwah dan jihad. Kebanyakan dari Golongan Literalis ini menggunakan Fi Zilalil Quran sebagai sasaran untuk menyesatkan tokoh ini. Bahkan ada yang turut serta walaupun belum atau tidak pernah membaca Fi Zilalil Quran sehingga habis.

Saya melihat usaha menyesatkan tokoh ini melalui Fi Zilali Quran adalah sesuatu yang tidak adil. Tulisan itu ditulis ketika berada di dalam penjara, bahkan dengan keterbatasan bahan rujukan tidak mustahil boleh berlaku banyak kesalahan dan kesilapan.

Ya saya sering mengatakan “Jika mereka masih hidup sudah pasti mereka akan menarik kembali tulisan-tulisan mahupun pemikiran salah yang telah mereka tulis di dalam karya-karya mereka.” Saya percaya akan hal tersebut, kerana para pemikir dan sarjana Islam yang jujur dan ikhlas dalam mencari redha Allah pasti akan tunduk dan berlapang dada.

Saya tertarik dengan jawapan balas Syaikh Bakr Abu Zaid (anggota Hay`ah Kibar Al-‘Ulama di Saudi dan anggota Al-Lajnah Ad-Da`imah lil Buhuts Al-‘Ilmiyyah wal Ifta`) kepada Syaikh Robi’ Al-Madkhali ketika diminta untuk menulis kata-kata aluan dalam buku Syaikh Robi’ al-Madkhali.


Kata beliau, “Meremang bulu roma saya ketika saya membaca daftar isi buku Anda (buku Syaikh Robi’ al-Madkhali), dimana tertera “Sayyid Quthub Membolehkan Orang Lain Selain Allah Untuk Membuat Syari’at.” Maka, saya pun segera membaca semua perkataan Sayyid dalam bukunya “Al-‘Adalah Al-Ijtima’iyyah,” dimana engkau menukil perkataannya; namun ternyata apa yang dikatakannya tidak layak untuk diberi judul yang kontroversi seperti yang engkau lakukan. Letaklah apa yang dikatakannya terdapat ibarat yang masih samar maknanya, tapi bagaimana engkau boleh mengubahnya menjadi sesuatu yang mengafirkan? Engkau telah melenyapkan semua kebaikan yang telah dibawa oleh Sayyid Rahimahullah sepanjang hidupnya dan juga segala yang ditulis oleh penanya dalam rangka dakwah kepada Allah Ta’ala dalam masalah hukum dan syariat, dimana beliau menolak undang-undang buatan manusia serta berdiri tegak menentang kemungkaran ini.”


“Apabila seseorang mengkafirkan saudaranya, maka ucapan mengkafirkan itu akan kembali kepada salah seorang di antara keduanya iaitu yang berkata atau yang dikata.” [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahihnya - hadis no: 60]



USAH MELABEL

Saya bukanlah menyokong mahupun menjadi pendokong tokoh-tokoh Ikhwan Muslimin. Bahkan saya tidak banyak buku-buku mereka, malahan tidak khatam pun buku Maza Ya’ni tulisan Fathi Yakan. Tetapi dalam beberapa perkara, saya merasakan perlu ada sesuatu yang dilakukan bagi menjernihkan tren label-melabel ini.

Dahulu apabila sebut tentang Tasauf, saya merasakan ia adalah sesuatu yang bodoh dan menjengkilkan. Semuanya kerana saya jahil tentangnya, malah tidak mengambil ‘port’ untuk mempelajari tetang dunia tasauf ini.

Tidak semua ahli Tasauf adalah ahli bida’ah. Bahkan sejarah menunjukkan sungguh ramai dari kalangan salafusoleh dikenali sebagai Sufi. Ibnu Taimiyah yang sangat perhatin tentang penyelewengan tasauf juga turut dikenali sebagai ahli Sufi. Bukan itu sahaja beliau juga banyak mengarang kitab-kitab yang berkonsepkan Tasauf.

Betapa ramai dikalangan ‘Salafi Literalis’ keras hatinya, kasar dakwahnya dan jumud fikirannya sebenarnya memerlukan terapi tasauf. Terapi hati, agar lebih lunak dan tenang jiwannya apabila berhadapan dengan manusia.

Manusia itu fitrahnya lembut, datanglah dengan kelembutan, usiklah jiwa-jiwa mereka dengan halus. Yang tua jangan diberat-beratkan dengan dalil itu dan ini, yang muda jangan dicelarukan, perlahan-lahanlah. Dakwah itu bukan sekejap, reform ini perlu masa, benih yang ditanam tidak tumbuh sehari dua.


“Siapakah yang lebih baik perkataan daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata : sesungguh aku termasuk orang-orang yang berserah diri. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.” [Fushilat : 33-34]



ADA TELINGA DENGAR, ADA MATA PANDANG

Tren label-melabel terjadi apabila kita sekadar mendengar tetapi tidak pernah mencari kebenaran dengan membaca atau bertanya sendiri kepada empunya diri. Misalnya karya-karya tokoh yang kita sesatkan atau kafirkan. Kita sendiri kadang-kadang tidak pernah membaca sepenuhnya karya-karya mereka. Hanya membaca sumber-sumber sekunder, kemudian terus membuat kesimpulan. Itupun dengan mengambil kesimpulan penulis yang mengkritik atau menyesatkan tokoh tersebut.


Tidak adil.

Saya katakan tidak adil bagi pihak yang didakwa. Malah lagi tidak adil bagi tokoh yang didakwa sudah tiada di alam fana ini. Bagaimana mereka mahu bangun dan membela diri? Kita asyik berteriak sana sini, mengatakan kesesatan mereka. Tetapi sedar atau tidak, kita sendiri telah jauh dari batas seorang Muslim yang mempunyai hak antara seorang Muslim.

Ada telinga bukan sekadar mendengar, tetapi harus siasat. Ada mata bukan sekadar melihat, tetapi harus tadabur. Ada kepala bukan biarkan kosong atau dihasut apa-apa secara buta-tuli, tapi harus diisi dengan ilmu yang adil.


“Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu. Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya”. [an-Nur 24:14-15]





SAYA BERLABEL MUSLIM!

Salam dari Jalan Pantai Baharu 50672,




_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)Hak cipta terpelihara.

Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu

."memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

No comments:

Post a Comment