Monday, March 21, 2011

KEMBALI MENYENGAH




Kalau rumah yang ditinggalkan lebih 3 bulan, saya pasti lalang dan rumput makin meninggi. Sarang labah-labah pun sudah mula menguasai seluruh siling rumah, disamping habuk yang semakin menebal di cermin tingkap.

Tapi kalau blog yang sudah lama ditinggalkan, ia tidak seperti rumah tinggal tetapi ia lebih seperti sebuah makanan yang semakin membasi. Lihat sahaja blog yang sudah lama ditinggalkan tanpa sebarang nota dan cerita seperti Paradigma. Saya sendiri sebagai penulis blog ini tertanya-tanya kemana perginya semangat dan cita-cita besar blog islami ini.





Terhimpit dengan kerja dan tekanan menyiapkan urusan perkahwinan mungkin itu antara penyebab utama. Tapi bagi saya ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk tidak berkongsi dan bercerita.


KONFLIK SEORANG USTAZ

Pagi-pagi sebegini mungkin sesuai untuk saya ceritakan beberapa pengalaman besar saya menghadapi konflik bersama insan bergelar ustaz. Maafkan saya, tidak ada niat untuk mengaibkan sesiapa, tetapi sekadar berkongsi pengalaman untuk panduan bersama.

Sebelum ini saya sangat mengkagumi beberapa insan yang saya anggap sebagai Murabbi hidup saya. Lebih-lebih lagi dalam bidang agama yang menjadi teras untuk saya memahami Islam. Bahkan saya merasakan hubungan dan keakraban kami membolehkan kami sering nasihat-menasihati antara satu sama lain. Tetapi saya silap, seorang ustaz tetap seorang ustaz.

Sikap ego dan tidak mahu menerima teguran antara masalah yang dihadapi. Terasa pelik, apabila selalunya ditekankan konsep nasihat-menasihati dan sering berlapang dada tidak diaplikasi. Paling saya merasa terkejut, ketika mahu menjadi orang tengah di atas beberapa konflik antara dua ustaz, saya pula menjadi sasaran, disindir dan dimarahi.

Ustaz tetap Ustaz. Kita tidak boleh memandang mereka tinggi hingga ke puncak awan. Sikap taklid saya memakan diri. Taklid kah? Bukan, tetapi sikap terlalu menyanjung memakan diri.

Bukan semua begitu. Lihat kembali tajuk di atas “Seorang Ustaz” bukan semua. Saya merindui pengalaman saya bersama Dr Zulkifli al-Bakri yang sangat tawaduk, merendah diri, dan sentiasa bercakap lembut. Hatinya penuh nilai-nilai insan sufi, tetapi amalannya penuh dengan nilai-nilai salafi. Tutur katanya penuh dengan hikmah, pandangannya penuh dengan karamah.


Maafkan saya ustaz. Saya kian belajar bahawa manusia setinggi mana ilmunya, jika tidak dibawa nilai tawaduk dan rendah diri bagaikan tidak ada apa-apa disisi manusia dan Allah.
Maafkan saya…


InsyaAllah saya akan menyambung…





Yussamir Yusof
Kerinchi




_______________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2009)Hak cipta terpelihara.

Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"
Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

No comments:

Post a Comment