Monday, December 12, 2011

TRAVELOG IMAN MENCARI TUHAN - 1

1- NAK LIHAT ALLAH

“Macam mana kita nak tengok Allah?” Tanya kawan saya. Mukanya serius, tidak nampak sebarang tanda-tanda gurauan.

Saya tidak menjawab terus, cuba berfikir bagaimana untuk menjawab dengan mudah tetapi lengkap. Ketika itu saya berada di Indonesia, sedang melakukan kajian mengenai budaya dan bahasa untuk projek Universiti.

Cuaca sejuk di Universiti Andalas, kabus-kabus menutupi jalan-jalan yang akan kami turuni. Saya mendiamkan diri, tidak banyak bercakap seperti biasa. Hazman, yang berjalan bersama saya turut diam. Mungkin serba-salah dengan soalan yang diajukan kepada saya.

“Kita rehat sebentar, minum kopi dahulu.” Ajak saya kepada Hazman. Pagi itu benar-benar sejuk, jaket yang dipakai seolah-olah tidak memberi sebarang kesan. Saya mencicip kopi panas yang dihidang. Harganya cukup murah, kira-kira 50 sen dalam ringgit Malaysia.

Saya mengeluarkan sebatang pen yang sentiasa dibawa. Saya berikan kepada Hazwan, “Nah ini jawapannya.”