1- NAK LIHAT ALLAH
“Macam mana kita nak tengok Allah?” Tanya kawan saya. Mukanya serius, tidak nampak sebarang tanda-tanda gurauan.
Saya tidak menjawab terus, cuba berfikir bagaimana untuk menjawab dengan mudah tetapi lengkap. Ketika itu saya berada di Indonesia, sedang melakukan kajian mengenai budaya dan bahasa untuk projek Universiti.
Cuaca sejuk di Universiti Andalas, kabus-kabus menutupi jalan-jalan yang akan kami turuni. Saya mendiamkan diri, tidak banyak bercakap seperti biasa. Hazman, yang berjalan bersama saya turut diam. Mungkin serba-salah dengan soalan yang diajukan kepada saya.
“Kita rehat sebentar, minum kopi dahulu.” Ajak saya kepada Hazman. Pagi itu benar-benar sejuk, jaket yang dipakai seolah-olah tidak memberi sebarang kesan. Saya mencicip kopi panas yang dihidang. Harganya cukup murah, kira-kira 50 sen dalam ringgit Malaysia.
Saya mengeluarkan sebatang pen yang sentiasa dibawa. Saya berikan kepada Hazwan, “Nah ini jawapannya.”
Hazwan terkebil-kebil, “Err..kau jangan main-main.”
“Siapa kata aku main-main. Memang ini jawapannya.” Saya mengusik. Ya, memang ada jawapan hanya dengan sebatang pen.
Hazman memusing-musingkan pen di tangannya. Bingung, tiada jawapan yang diperolehi.
“Cuba kau terangkan pada aku.” Ada nada marah dan geram.
Saya tersenyum kemudian mengambil semula pen dari tangan beliau.“Persoalan yang kau lontarkan padaku, ada dua jawapan yang boleh aku beri.”
Saya teringat dengan sebuah peristiwa yang disebut oleh Allah dalam surah al-A’araf ayat 143 Allah berfirman, “Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: "Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau."
Tuhan berfirman: "Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) niscaya kamu dapat melihat-Ku. " Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pingsan.” Maka setelah Musa sadar kembali, dia berkata: "Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman.”
Bukan Hazman sahaja yang bertanya soalan ini, bahkan Nabi Musa menjadi orang pertama yang dirakamkan oleh Allah dalam al-Quran. Namun, ia sama sekali tidak dapat bertemu dan melihat Allah oleh kerana kebesaran dan keagunganNya.
Saya mengelamun sebentar. Kemudian saya mencicip kembali kopi yang mula sejuk dan bertambah pahit.
Begini… Saya memulakan.
“Bayangkan aku yang mencipta pen ini. Kemudian, apabila pen ini sudah siap, bolehkah pen ini melihat aku?” Tanya saya.
“Memang takkan nampak.” Hazman spontan menjawab.
“Betul, sebab aku mencipta pen itu tanpa deria yang boleh melihat aku sebagai penciptanya. Begitu jugalah dengan Allah, Dia menciptakan kita tanpa deria yang membolehkan kita melihat-Nya.” Saya menungu sebentar, melihat reaksinya yang sedang berkerut berfikir.
“ Maksudnuya, Allah boleh melihat kita, tetapi kita dan sekelian ciptaan-Nya tiada deria yang membolehkan kita melihat-Nya.” Tanya Hazman. Saya menganguk tanda setuju.
“Habiskanlah air kopi itu. Dah sejuk, kejap lagi kita akan ke kawasan tsunami.” Ujar Hazman, nadanya puas dan wajahnya pula berseri, tanda dia faham bahawa ALLAH tidak mengurniakan sedikit pun deria untuk melihatnya.
Saya gembira. Gembira dapat memberi jawapan dan dalam masa yang sama, memberikan saya pengetahuan. Pagi itu, saya berazam bahawa saya perlu melakukan sesuatu. Sesuatu yang dapat memberikan manfaat kepada agama Islam.
“Jom, kita dah lambat.” Kami berlari kecil menuju ke kumpulan yang ingin bertolak ke kawasan tsunami. Perjalanan kami masih panjang…
No comments:
Post a Comment