Showing posts with label TASAUF. Show all posts
Showing posts with label TASAUF. Show all posts

Tuesday, March 22, 2011

HAPUSKANLAH AIR MATAMU


Semua makhluk mengerah keringat untuk mencari rezeki. Bahkan burung sekalipun harus terbang keluar mencari rezeki untuk anak-anaknya. Namun terbang atau berjalannya kita mencari rezeki tidak akan memberi apa-apa jika tiada niat ibadah untuk-Nya. Hanya penat dan harta, tetapi tiada keberkatannya. Betapa ramai insan yang keluar mencari rezeki, tetapi tidak pernah berasa cukup dengan apa yang dinikmati.

Sering mengeluh itu dan ini, masih terus menagih janji dari-Nya. Kita terlupa bahawa kehidupan bukan sekadar keluar mencari rezeki dan meneruskan kehidupan. Tetapi kehidupan ini adalah sebuah perjalanan mencari benih-benih Rahmat untuk dituai di Syurga sana.

Kita lupa meletakkan diri di tangan-Nya. Kita sering bersikap sombong kepadaNya dan bergantung sepenuhnya di atas usaha. Sedangkan tawakal kepadaNya adalah punca utama rezeki, dan perkara inilah yang sering ditinggalkan dan dilupakan.

Lupakah kita dengan sikap tamak Qorun dan rakusnya Firaun? Mereka hidup seperti tiada ajal yang bakal menjemput. Mereka lupa bahawa ada yang lebih agung sedang memerhati dan mengawal hidupnya. Namun insan-insan agung seperti Ismail sering mendapat Rahmat dan Kurnia dari Allah hanya kerana Tawakal.

Ketika Ibrahim diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih Ismail, tiada apa yang diragukan, tiada apa yang ditakutkan. Berkata Ibrahim kepada Ismail, “Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pandanganmu?” Ismail menjawab, “Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah ayah akan mendapati aku termasuk dari orang-orang yang sabar.” (Surah as-Saffat:102)


Lihatlah ayat yang dituturkan oleh Ismail kepada ayahandanya. Baginda menghapuskan peranan dirinya dan menafikan kehadirannya dalam melaksanakan perintah Allah. Baginda tidak mengaku sebagai seorang yang berani dan berjiwa satria. Baginda menyerahkan segala urusan baginda kepada penciptanya, iaitu Allah dengan mengatakan “insyaAllah ayah akan mendapati aku termasuk dari orang-orang yang sabar”.

Indahnya hidup. Hidup yang penuh kehambaan dan mengetahui bahawa peranan insan di dunia hanyalah untukNya.

Sedikit atau banyak rezeki yang dicari, akan berasa nikmat jika dinilai atas dasar ibadah dan takwa. Hidup atau mati, tiada siapa yang tahu. Teruskanlah langkah dan larimu di muka bumi, hati-hati jangan sampai tersadung. Dunia ini ibarat sebuah kapal yang sedang belayar.

Kadang-kadang dilambung ombak, kadang laju ditiup angin yang deras. Tetapi tujuan akhir pelayaran ada destinasi. Destinasi yang tidak pasti, sama ada berakhir dengan baik atau buruk. Namun, belayar tetap belayar.




Hapuskanlah air matamu,…



YUSSAMIR
Kerinchi
.

_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)Hak cipta terpelihara.

Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Monday, October 25, 2010

IBNU TAIMIYAH DAN SUFIYAH



Ketika membaca beberapa buah buku yang sarat membincangkan tentang Tasauf, dicelah-celahan perbincangan ini terselit sebuah nama besar yang sering dijadikan kambing hitam oleh mana-mana zaman.

Nama beliau cukup masyhur dikalangan penuntut ilmu malahan boleh dikatakan zaman-berzaman telah menadah mahupun menuduh tokoh ini dengan pelbagai bentuk. Siapa lagi kalau bukan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah atau nama sebenarnya Ahmad bin Abdul Halim bin Abdus Salam bin Abdullah bin Al-Khudri bin Muhammad bin Taimiyah al-Harany.

Ibnu Taimiyah dan Ilmu Tasauf sangat sinonim. Sehinggakan apabila ingin membicarakan tentang Tasauf, nama beliau menjadi tokoh utama untuk dicerca mahupun diulit dengan pelbagai fitnah. Malahan ada yang terus melabelnya sebagai tokoh penyesat mahupun pentakfir para sufi.





Tetapi amat menghairankan, hanya buku-buku generasi selepasnya sahaja yang banyak menyajikan keburukan dan kejelekan. Jika kita membandingkan dengan tulisan mahupun pandangan para sufi terdahulu sezaman dengan beliau, terlalu ramai yang memuji malahan bersependapatan dengan banyak hal dengna beliau.

Antara peristiwa yang boleh kita pelajari dari kisah perjumpaan Syeikh al-Wasiti dengan anak murid Ibnu Taimiyah. Kata Syeikh al-Wasiti, “Ketahuilah wahai saudara-saudaraku. Sesungguhnya di bawah hamparan langit ini,belum pernah datang kepada kita seorang cendikiawan melebihi guru kamu, Ibnu Taimiyah. Ilmu pengetahuannya yang luas, amalnya yang banyak, kedudukannya yang terhormat, dan bermurah hati. Tidaklah berlebihan bagi kita agar selalu mendoakkannya kepada Allah, agar mereka yang memusuhinya kembali menyintainya…..”

Kemudian al-Wasiti menyambung, “Walaupun mereka berusaha untuk mengarang sebuah buku yang mengisahkan cacat Ibnu Taimiyah dan kemudian dibacakan dihadapan kawan-kawannya, satu-persatu aku tetap berpegang pada keagungan Allah. Kerana guru kamu itu telah disucikan hatinya oleh Allah dari fitnah-fitnah mereka yang keji….. Itulah keutamaan yang dikurniakan Allah kepada Ibnu Taimiyah.” (Al-Uquud Ad-Dariyyah, Muka Surat 290-321 dan juga kitab Fawaatul Wafayah, bab 1, muka surat 66-67 – petikan dipotong oleh penulis kerana terlalu panjang puji-pujian yang ditulis kepada al-Imam Ibnu Taimiyah)


Manakala Syeikh Alamuddeen al-Barzali al-Qasim bin Muhammad berkata, “Aku mengkagumi Ibnu Taimiyah sebagai seorang pemimpin yang tidak ada duanya dan jejak langkahnya yang tidak dapat ditiru oleh para generasi sesudahnya. Kerana keutamaan-keutamaan mujahidin terdapat pada dirinya yang ditunjukkan melalui kezuhudan,ketekunan ibadahnya, pendekatan diri kepada Allah, menghindarkan diri dari godaan duniawi, dan menjauhkan diri dari kemewahan hidup.”



BERGURU DENGAN ULAMA SUFI

Mungkin tidak ramai tahu bahawa al-Imam Ibnu Taimiyah yang seringkali disalah-anggap sebagai musuf ahli-ahli Sufi sebenarnya mempunyai seorang kawan merangkap guru Sufi. Beliau bernama Ahmad Imad ad-Din al-Wasiti (1258-1311). Ibnu Taimiyah banyak berbincang dan sering bersama-sama dalam membincangkan pelbagai hal terutama yang berkaitan dengan Tazkiat nafs (pembersihan hati).

Al-Imam Ibnu Taimiyah turut memuji gurunya itu kerana telah banyak membantu mempertahankan Islam dari ajaran-ajaran yang sesat. Kata Ibnu Taimiyah, “Guru kita telah banyak memberikan sumbangan mencegah bahaya (penyimpangan ajaran) yang berkemungkinan akan berjangkit kepada kita, puji dan syukur kepada Allah ta’ala yang memberikan ilmu pengetahuan kepadanya. Langkah ini kami tempuh kerana itu adalah kewajiban seperti kewajiban kita mengharapi tentera Tartar demi membela saudara-saudara kita, kaum Mukminin. Aku selalu bersangka baik bahkan menghormati Ibnu Arabi dan aku pelajar kitab-kitabnya;Futuhat, al-Kinnah, al-Muhkam, al-Marbuth, Ad-Darrah, al-Fakhirahdan Muthali’ un-Nujum.” (Kitab Tauhid Rububiyah oleh Ibnu Taimiyah muka surat 463-465)

Keakraban Ibnu Taimiyah dengan gurunya itu sering terlihat dari kekerapan perjumpaan mereka bagi bertukar fikiran untuk memecahkan pelbagai penyimpangan terhadap Al-Quran dan Sunnah Nabi. Malahan mereka juga sering berutus surat kemudian disampaikan kepada murid masing-masing agar terus berwaspada terhadap penyimpangan-penyimpangan yang wujud.


KITAB-KITAB TASAUF IBNU TAIMIYAH

Di dalam kesungguhan beliau dalam mendalami ilmu-ilmu lain,beliau tidak lupa untuk meninggalkan sesuatu kepada dunia Tasauf. Kesungguhan beliau dalam mempelajari dan mendalami ilmu Tasauf dalam dinilai dari pelbagai kitab-kitab Tasauf yang diusakannya. Antara kitabTasauf yang sering dirujuki oleh ahli Sufi ialah al-Tuhfah al-Iraqiah fil A’mal al-Qalbiyah.” (Di kalangan Iraq tentang amalan-amalan hati)

Dalam kitab ini, beliau banyak membahaskan tentang peranan ikhlas, cinta kepada Allah, Tawakal, syukur dan sabar, raja’ dan takut kepada Allah.

Malahan beliau sering menggunakan istilah-istilah ahli Sufi seperti “Al-Maqamat wal Ahwaal”. Bukan itu sahaja, beliau turut membahaskan istilah ini dengan menyamakan istilah ini dengan erti rasa cinta, tawakal, ikhlas, raja’, takut kepada Allah.

Menurut Syeikh Ibnu Abdil hadi, terdapat banyak kitab tulisan Ibnu Taimiyah yang memuatkan perbahasan tentang dunia Tasauf. Seperti kitabnya yang bertajuk, “al-Furqan Baina Awliya’llah wa Awliya’ Syaitan, ArodlulQulub wa- Syifa’ uha dan lain-lain.


BERHATI-HATILAH

Telah banyak puji-pujian ulama Sufi kepada Ibnu Taimiyah. Malah bukan sedikit tulisan-tulisan Ibnu Taimiyah dalam membahaskan Tasauf dari neraca al-Quran dan Sunnah.

Ketika kita asyik mencela dan mencaci tokoh ini, sebenarnya beliaulah yang banyak membantu dan membersihkan ahli-ahli Sufi dari kejelekan dan penyimpangan.

Akhir kata saya memetik kata-kata al-Imam Ibnu Taimiyah mengenai Tasauf, “Orang-orang berselisih pendapat mengenai tasawuf. Sebagian mencela tasawuf seraya berkata Mereka adl ahli bid’ah yg telah keluar dari Sunnah. Dari para imam yg mewakili kelompok ini kita dapatkan banyak fatwa yg kemudian banyak diikuti oleh kelompok lain terutama dari kalangan ahli fiqh dan ilmu kalam. Sementara kelompok yg lain memujinya secara berlebihan seraya mengatakan bahwa ahli tasawuf adl makhluk yg paling mulia dan paling sempurna setelah Nabi.” .

“Apa yg dikemukakan kedua kelompok di atas sama-sama tercelanya. Yang benar adalah Mereka itu orang-orang yg taat kepada Allah sebagaimana para ahli taat lainnya. Ada sebagian mereka yg ada di depan krn kesungguhan ketaatannya dan ada juga yg cukupan. Selain dari keduanya ada juga orang yg berusaha namun jatuh dalam kekeliruan sehingga banyak berbuat dosa. Sedangkan diantara orang-orang yg menisbatkan diri kepada golongan mereka ada yg menganiaya diri sendiri dan suka berbuat maksiat kepada Rabbnya.”






Kerinchi,
26 Oktober 2010
_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)Hak cipta terpelihara.

Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.


"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com