KEMANA MENGHILANG.
Sudah lebih sebulan saya tidak menulis. Kalau dahulu boleh dikatakan setiap hari ada sahaja tulisan baru yang akan dimuatkan dalam blog ini. Sejak saya melibatkan diri dalam dunia perniagaan, masa saya untuk diri sendiri semakin berkurangan. Kalau dahulu boleh sahaja duduk 4 hingga 5 jam untuk membaca dan menulis. Tetapi sekarang, kekangan masa membuatkan saya terpaksa melupakan seketika erti kepuasan membaca dan menulis.
Seorang teman memberitahu kepada saya, bahawa realiti sebenar kehidupan tidak sama seperti di dunia pelajar. Kalau dahulu tidak pernah memikirkan bagaimana mahu mencari duit untuk kelansungan hidup. Tetapi kini, serba-serbi harus ditanggung sendiri. Pada umur 23 tahun, saya fikir bukan masanya lagi saya mengepit dan meminta-minta duit dari kedua ibubapa. Usia sebegini harus pandai dan cermat mencari dan menggunakan duit.
Ramai bertanya kemana menghilangnya saya. Semakin jarang kelihatan di majlis ilmu, dan semakin lama tidak melihat kelibat saya berada di depan pentas memberikan ceramah.
"Merajuk ke?" Soal seorang kenalan saya.
Merajuk? Tidak mungkin untuk saya merajuk di atas jalan yang telah saya pilih. Jalan dakwah bagi saya tidak perlu ada perkataan merajuk. Kita berkerja bersama semata-mata kerana Allah. Kalau mahu kata kecil hati, semua orang pernah dan tidak akan terlepas. Tetapi adakah kerana kecil hati itu, kita harus pergi jauh dan membawa hati? Saya fikir itu hanya perbuatan orang bodoh.
Bukan merajuk mahupun berkecil hati. Tetapi saya merasakan sudah masa saya untuk memberi tumpuan mencari rezeki dahulu. Saya tidak mahu, berkejar-kejar sana-sini. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Apabila sudah sampai masanya, saya pasti akan kembali.
Bunyinya macamlah saya seorang sahaja yang berdakwah. Bukan untuk menunjuk-nunjuk kononnya saya semacam diperlukan sangat. Tidak, siapalah saya dalam dunia ini. Tetapi sekurang-kurangnya saya menulis untuk memberitahu, mengapa saya hilang seketika.
InsyaAllah selepas ini saya akan kembali aktif dalam dunia penulisan dan dakwah. Walaupun tidak seaktif dahulu, tetapi sedikit sebanyak saya dapat memberi sumbangan dalam lapangan ini.
Saya terfikir untuk menulis tentang isu-isu terbaru, lebih-lebih lagi tentang kemasukkan 40 orang Sarjana ke dalam parti Umno. Mungkin tulisan itu tidaklah memberi kesan apa-apa, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat lebih-lebih lagi kepada pembaca blog saya.
InsyaAllah lebih banyak tulisan akan menyusul.
Pedas, Negeri Sembilan.
_______________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2009)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu."memperkasakan paradigma"Yussamir Yusof @ www.yussamir.com
psl 40 ulamak msuk umno tu..nk tau gak hal sebenar..klu leh cter detail ckit ker..psl shahidan kasim and dr asri also..btul ke dr asri in future akn msuk umno gak?klu btul aku btl2 kecewa..hope 2 hear from u yussamir
ReplyDelete