Roslan, Ah Meng, dan Kirit bertekak sesama sendiri. Tidak tahu mana hujung pangkalnya kenapa mereka bertegang urat. Setahu aku mereka bertiga rakan sejati, bagai urat dan leher.
“Urat dan leher?” Soal Rhine.
“Kenapa, tidak boleh ke menggunakan perkataan tersebut?” Aku menyoal Rhine, wanita berdarah Melayu dan Perancis.
Pagi itu angin semilir menyapa lembut pipiku, serasa seperti belaian tangan ibu yang sudah lama tidak dirasa. Rhine menyela-nyela rambut perangnya. Matanya mengjangkau jauh ke sekitar, aku perhatikan sahaja.
“Kau bukan Melayu!” Rhine memandang aku. Matanya yang tadi meliar ke sana-sini, kini tertancap ke arahku. Kenyataan aku itu sedikit lancang.
Muka Rhine merah, bunga-bunga kemarahan yang mulai membenih di wajahnya jelas kelihatan.
“kata-kata kau itu bagaikan ledakan bom yang memecahkan angkasa, engkau tahu!” Rhine bersuara.
“Ah, jangan bersandiwara dengan kata-kata itu Rhine. Engkau bukan Melayu, jadi usah bermain dengan bahasa. Hanya Melayu sahaja yang bisa bermain bahasa. Bahasa Melayu yang kau sebut itu, hak orang Melayu. Hanya Melayu sahaja yang berhak kepadanya.” Aku cuba menyemarakkan api kecil yang mula kelihatan. Peduli apa aku, aku mahu melihat bagaimana reaksinya. Aku mahu melihat bagaimana reaksinya, bila aku menafikan haknya sebagai Melayu. Ya, dia Melayu, tapi aku sengaja.
Roslan, Ah Meng dan Kirit yang tadi bertegang urat mula bersalaman. Sudah berbaik aku rasakan. Ah, persahabatan bagaikan musafir mencari Tuhan. Dalam pencarian pasti akan datang beribu pancaroba yang menggugat keimanan. Namun dalam pancaroba yang dahsyat itu, mereka tidak sekalipun berhenti dan berpatah hati sebagai sahabat.
Rhine masih tegak memaku didepanku. Aku merasa setiap patah perkataanku, bagaikan panahan busur-busur mata dan tikaman lidah keris menderanya.
“Aku Melayu! Aku takkan biarkan engkau menafikan hak aku. Tidak sesekali engkau boleh merampas hak aku. Aku tidak pernah mempersoalkan hak engkau, dan aku juga tidak pernah menyentuh hal yang sudah kita sama-sama akui. Jadi kenapa engkau mulakan?”
Ah! Rhine, begitu keras. Keras dengan pendiriannya. Aku pasti pendiriannya itu benar, dan aku akui. Ah! berapa ramai Melayu sepertinya, keras dan tegas dalam membela hak. Siapa kata aku mahu membangkitkan isu perkauman? Sarang tebuan jika tidak dijolok atau dikacau, tebuan-tebuan itu tidak akan menyerang. Dia tahu haknya, dan dia tahu akan hak orang disekelilingnya.
Usah dikacau, usah diganggu, duduklah diam-diam.
Rhine menunggu respon dariku. Aku sekadar senyum. Aku Melayu juga Rhine, aku sekadar menguji. Aku tahu engkau Melayu, Melayu tulen walau engkau dihasilkan dari dua benih yang asing. Engkau Melayu, aku juga Melayu. Aku bicara lagi padamu Rhine, tebuan itu baik. Dia berkerja dengan pantas menghasilkan produknya, dia juga pandai menjaga diri, tapi usahlah engkau mengganggunya. Usahlah engkau menafikannya, pasti engkau akan disengat. Itu pesanku Rhine.
“Jadi aku adalah Melayu?”
“Ya! Engkau Melayu. Perempuan Melayu terakhir Rhine.” Rhine senyum lebar bila aku memujinya. Manis senyumannya, lagi manis jika senyuman itu sentiasa disisi.
Rhine berlalu pergi, dia meninggalkan aku seorang diri dengan buku-buku yang berselerakan di meja. Ah! Rhine engkau istimewa.
_______________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2009)Hak cipta terpelihara.
Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.
"memperkasakan paradigma"
Yussamir Yusof @ www.yussamir.com
No comments:
Post a Comment