Tuesday, March 22, 2011

HAPUSKANLAH AIR MATAMU


Semua makhluk mengerah keringat untuk mencari rezeki. Bahkan burung sekalipun harus terbang keluar mencari rezeki untuk anak-anaknya. Namun terbang atau berjalannya kita mencari rezeki tidak akan memberi apa-apa jika tiada niat ibadah untuk-Nya. Hanya penat dan harta, tetapi tiada keberkatannya. Betapa ramai insan yang keluar mencari rezeki, tetapi tidak pernah berasa cukup dengan apa yang dinikmati.

Sering mengeluh itu dan ini, masih terus menagih janji dari-Nya. Kita terlupa bahawa kehidupan bukan sekadar keluar mencari rezeki dan meneruskan kehidupan. Tetapi kehidupan ini adalah sebuah perjalanan mencari benih-benih Rahmat untuk dituai di Syurga sana.

Kita lupa meletakkan diri di tangan-Nya. Kita sering bersikap sombong kepadaNya dan bergantung sepenuhnya di atas usaha. Sedangkan tawakal kepadaNya adalah punca utama rezeki, dan perkara inilah yang sering ditinggalkan dan dilupakan.

Lupakah kita dengan sikap tamak Qorun dan rakusnya Firaun? Mereka hidup seperti tiada ajal yang bakal menjemput. Mereka lupa bahawa ada yang lebih agung sedang memerhati dan mengawal hidupnya. Namun insan-insan agung seperti Ismail sering mendapat Rahmat dan Kurnia dari Allah hanya kerana Tawakal.

Ketika Ibrahim diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih Ismail, tiada apa yang diragukan, tiada apa yang ditakutkan. Berkata Ibrahim kepada Ismail, “Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pandanganmu?” Ismail menjawab, “Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah ayah akan mendapati aku termasuk dari orang-orang yang sabar.” (Surah as-Saffat:102)


Lihatlah ayat yang dituturkan oleh Ismail kepada ayahandanya. Baginda menghapuskan peranan dirinya dan menafikan kehadirannya dalam melaksanakan perintah Allah. Baginda tidak mengaku sebagai seorang yang berani dan berjiwa satria. Baginda menyerahkan segala urusan baginda kepada penciptanya, iaitu Allah dengan mengatakan “insyaAllah ayah akan mendapati aku termasuk dari orang-orang yang sabar”.

Indahnya hidup. Hidup yang penuh kehambaan dan mengetahui bahawa peranan insan di dunia hanyalah untukNya.

Sedikit atau banyak rezeki yang dicari, akan berasa nikmat jika dinilai atas dasar ibadah dan takwa. Hidup atau mati, tiada siapa yang tahu. Teruskanlah langkah dan larimu di muka bumi, hati-hati jangan sampai tersadung. Dunia ini ibarat sebuah kapal yang sedang belayar.

Kadang-kadang dilambung ombak, kadang laju ditiup angin yang deras. Tetapi tujuan akhir pelayaran ada destinasi. Destinasi yang tidak pasti, sama ada berakhir dengan baik atau buruk. Namun, belayar tetap belayar.




Hapuskanlah air matamu,…



YUSSAMIR
Kerinchi
.

_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)Hak cipta terpelihara.

Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Monday, March 21, 2011

KEMBALI MENYENGAH




Kalau rumah yang ditinggalkan lebih 3 bulan, saya pasti lalang dan rumput makin meninggi. Sarang labah-labah pun sudah mula menguasai seluruh siling rumah, disamping habuk yang semakin menebal di cermin tingkap.

Tapi kalau blog yang sudah lama ditinggalkan, ia tidak seperti rumah tinggal tetapi ia lebih seperti sebuah makanan yang semakin membasi. Lihat sahaja blog yang sudah lama ditinggalkan tanpa sebarang nota dan cerita seperti Paradigma. Saya sendiri sebagai penulis blog ini tertanya-tanya kemana perginya semangat dan cita-cita besar blog islami ini.





Terhimpit dengan kerja dan tekanan menyiapkan urusan perkahwinan mungkin itu antara penyebab utama. Tapi bagi saya ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk tidak berkongsi dan bercerita.


KONFLIK SEORANG USTAZ

Pagi-pagi sebegini mungkin sesuai untuk saya ceritakan beberapa pengalaman besar saya menghadapi konflik bersama insan bergelar ustaz. Maafkan saya, tidak ada niat untuk mengaibkan sesiapa, tetapi sekadar berkongsi pengalaman untuk panduan bersama.

Sebelum ini saya sangat mengkagumi beberapa insan yang saya anggap sebagai Murabbi hidup saya. Lebih-lebih lagi dalam bidang agama yang menjadi teras untuk saya memahami Islam. Bahkan saya merasakan hubungan dan keakraban kami membolehkan kami sering nasihat-menasihati antara satu sama lain. Tetapi saya silap, seorang ustaz tetap seorang ustaz.

Sikap ego dan tidak mahu menerima teguran antara masalah yang dihadapi. Terasa pelik, apabila selalunya ditekankan konsep nasihat-menasihati dan sering berlapang dada tidak diaplikasi. Paling saya merasa terkejut, ketika mahu menjadi orang tengah di atas beberapa konflik antara dua ustaz, saya pula menjadi sasaran, disindir dan dimarahi.

Ustaz tetap Ustaz. Kita tidak boleh memandang mereka tinggi hingga ke puncak awan. Sikap taklid saya memakan diri. Taklid kah? Bukan, tetapi sikap terlalu menyanjung memakan diri.

Bukan semua begitu. Lihat kembali tajuk di atas “Seorang Ustaz” bukan semua. Saya merindui pengalaman saya bersama Dr Zulkifli al-Bakri yang sangat tawaduk, merendah diri, dan sentiasa bercakap lembut. Hatinya penuh nilai-nilai insan sufi, tetapi amalannya penuh dengan nilai-nilai salafi. Tutur katanya penuh dengan hikmah, pandangannya penuh dengan karamah.


Maafkan saya ustaz. Saya kian belajar bahawa manusia setinggi mana ilmunya, jika tidak dibawa nilai tawaduk dan rendah diri bagaikan tidak ada apa-apa disisi manusia dan Allah.
Maafkan saya…


InsyaAllah saya akan menyambung…





Yussamir Yusof
Kerinchi




_______________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2009)Hak cipta terpelihara.

Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"
Yussamir Yusof @ www.yussamir.com