saya dan isteri di atas kapal Legend of the Sea
Kapal Legend of the sea terus bergerak perlahan membelah lautan. Saya tidak tahu untuk menjawab, ia bukanlah soalan objektif yang boleh ditembak atau dibulat sekelip mata.
“Mungkin disebabkan saya sudah berumah tangga.” Getus saya sendirian.
“Entahlah, soalan itu susah nak jawab. Tapi ada cara.”
“Apa caranya.” Cepat-cepat Zul tanya.
“Amboi, cepat sungguh.” Kami berdua berderai ketawa. Rakan-rakan lain yang sedang menikmati makanan di meja lain, sekadar memerhatikan dari jauh.
Zul baru berusia sekitar 22 tahun, masih belum menamatkan pengajian. Mungkin ada yang berada dalam situasi ini. Masih muda, tetapi ada keinginan untuk bernikah awal.
Salahkah untuk bernikah muda? Tidak menjadi masalah, tetapi adakah masanya sudah tiba, dan sudahkah mendapat persetujuan ibu bapa?
Soalan Zul tadi saya cuba menjawab mengikut pengalaman saya. Bukanlah bermaksud saya sudah lama mendirikan rumah tangga. Tapi saya juga berda dalam situasi yang sama ketika mula hendak mendirikan rumah tangga.
Alhamdulilah saya sudah tamat pengajian ketika bernikah. Tetapi isteri saya masih belum selesaikan pengajiannya, ketika itu beliau berada di tahun akhir. Banyak cabaran dan masalah timbul.
Masakan tidak. Budaya Malaysia, khususnya Melayu masih tebal dengan stigma “Habiskan belajar dulu baru nikah.” Saya tidak kata semua, tapi masih ramai berfikiran begitu.
Semua masalah ada penyelesaiannya. Manusia tetap manusia, kita semua mempunyai akal dan perasaan. Allah menjadikannya pasti ada kebaikannya. Akal boleh berfikir, perasaan boleh ditawani. Itu kuncinya.
ISTIKHARAH
“Sudah buat istikharah?” Soal saya kepada Zul. Dia hanya menggelengkan kepalam tanda masih belum melakukannya. Mungkin ada sesetengah pasangan melihatnya remeh, tetapi saya tidak. Istkharah soal besar dalam kehidupan umat Islam.
Siapa lagi yang boleh kita mohon petunjuk, kalau tidak Allah?
gambar diambil dari SINI
Istikharah bukan memohon Allah datangkan mimpi, atau gambaran wanita mana atau lelaki mana yang perlu kita meminang. Belum ada pasangan atau pilihan hati, tetapi mahu Istikharah? Bukan….Maksud Istikharah di sini ialah, memohon kepada Allah memberi petunjuk dan ketetapan, adakah benar pilihan kita untuk bernikah awal dengan pasangan kita sekarang.
Kebanyakan kita, bahkan saya kadang-kala tersilap dengan konsep Istikharah. Kebanyakkan yang kita lakukan, atau faham ialah, solat dua rakaat kemudian semasa tidur Allah akan datangkan mimpi.
Bukan itu sahaja, ada yang menulis dua nama di atas kertas yang berasingan. Kemudian meletakkan kertas tersebut di bawah sejadah. Selepas selesai solat, dia akan mengambil salah satu kertas yang tertulis nama, jika mendapat nama A, maka A lah yang dipilih Allah sebagai jodohnya.
Konsep Istikharah bukan begitu, Istikharah ialah meminta bantuan daripada Allah untuk seseorang itu memilih di antara beberapa kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’.
Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen menulis, “Ada sesetengah orang berpendapat, “sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’ dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur (dengan meletakkan harapan petunjuk datang melalui mimpi), malah ada juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya adalah prasangka manusia yang tidak berasas”
Istikharah adalah sebuah permohonan untuk Allah tetapkan hati dalam sesebuah pilihan yang datang. Ia bukan mengharapkan sebuah mimpi atau petunjuk antara A dan B.
Sabda Rasulullah, “Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (iaitu mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).
Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.
Solat Istikharah, adalah sebuah permohonan seorang hamba dalam membuat keputusan. Pemohonan yang disertakan pengharapan dari Allah. Membuat keputusan bersama Allah. Hanya Allah mengetahui kebaikan dan keburukan para hamba-Nya luar dan dalam. Hanya Allah tahu bilakah masanya untuk kita bernikah.
Setelah beristikharah, namun hati masih berada di dalam ketidak pastian, perlu untuk mengulangi Solat dan Doa Istikharah hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat keputusan. Yang penting, kita sentiasa berharap dan melakukan solat bukannya menyerahkan kepada Allah semata-mata untuk membuat keputusan, lebih-lebih lagi mengharapkan tanda atau mimpi.
BERBINCANG
(sumber di sini)
Persoalan bernikah bukanlah sesuatu yang mudah. Bukan sekadar berdoa kemudian terus membuat keputusan sama ada bernikah atau tidak. Bahkan para ulama seringkali mengandingkan perkataan Istisyarah iaitu berbincang bersama Istikharah.
Al-Imam Ibnu Taimiyyah pernah berkata, “Tidak akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat (Istisyarah) dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”
Saya katakan kepada Zul, selain dari Istikharah, Istisyarah juga penting. Berbincanglah dengan orang yang dipercayai. Kalau bukan ibubapa, dan adik-beradik siapa lagi yang boleh kita harapkan. Saya sendiri berbincang dengan ibubapa dan adik-beradik tentang hasrat saya untuk bernikah awal.
Ya, pada awalnya ada sedikit tentangan. Tetapi ingatlah, Istikharah yang kita lakukan sebelum ini adalah kekuatan untuk kita berbincang. Kita membuat keputusan bersam Allah, dan semoga Allah juga yang akan melembutkan kedua ibubapa kita.
Bincanglah dengan elok. Lemah-lembut, tapi ada pendirian dan ketegasan. Api jangan dilawan dengan api, tapi sejukkanlah dengan air. Sebesar mana api yang sedang marak, ia tetap akan padam apabila disiram dengan air. Buluh yang keras itu, kalau dilentur dengan lembut ia tetap akan melentur.
PERSIAPAN
Sebelum berbincang, siapkan diri. Maksud saya, siapkan diri untuk menjadi suami. Pemikiran kita, sikap kita, dan penampilan kita.
Ibubapa akan melihat sikap kita. Kalau kita masih bersikap seperti kanak-kanak, masih lagi minta duit top-up telefon bimbit dan masih lagi meminta duit untuk mengisi minyak motor. Saya rasa simpan dulu cita-cita untuk bernikah.
Benar, ini bukan lawak. Masih ingat apa yang saya tulis di atas. Ibu bapa ada akal dan perasaan. Apakah perasaan dan fikiran mereka apabila anak-anak yang ingin bernikah ini masih minta top-up dan sebagainya? Sudah pasti mereka tidak bersedia untuk membenarkannya, kerana masih belum MATANG.
Masih belum bersedia dan boleh menjadi suami orang. Stigma, “Nak bagi isteri makan apa? Pasir?” bagi saya releven bagi lelaki atau wanita yang ingin bernikah muda.
Siapkanlah diri sebelum berhajat untuk bernikah. Saya kenal ramai pelajar yang mempunyai pendapat sambilan lebih dari para pekerja tetap. Belajar tidak semestinya kita tidak boleh mencari pendapatan. Kalau merasakan sudah tiba untuk bernikah, siapkan diri untuk mencari rezeki tidak. Jangan beri alasan belajar untuk tidak keluar mencari rezeki. Kalau tidak, “Jangan nikah kalau masih belajar.”
Selain mencari rezeki, cara berfikir juga harus matang. Siapkan diri untuk menjadi suami. Ibubapa akan lebih yakin untuk memberi kebenaran jika melihat betapa matang dan bersiap sedianya kita terhadap pernikahan.
“Isteri kau cari duit sendiri juga ke?” Tanya Zul tergagap.
“Ya, isteri aku melakukan pelbagai perniagaan untuk tidak lagi bergantung kepada ibubapa.”
Saya bersyukur apabila isteri saya sejak awal merancang untuk bernikah awal, telah mencari pendapatan sendiri. Bahkan, setiap bulan memberi sedikit hadiah berupa wang kepada ibunya. Semuanya agar dapat menunjukkan kepada ibubapa bahawa, “Saya sudah bersedia.”
Oh ya, bila sudah lakukan ketiga-tiga perkara ini siap-siapkanlah diri untuk berkata, “Oh Mama saya mahu kahwin!”
Yussamir
Bandar Seri Putra
Nice one..! oke umi.. Gadis mahu kawin!
ReplyDeleteGadis Jutaria
www.gadisjutaria.com