Wednesday, August 14, 2013

SOLAT QASAR ADALAH SEDEKAH

MUKADIMAH
Artikel kali ini mungkin sedikit ilmiah dan perlu pembacaan yang teliti dan kritis. Saya mengharapkan pembaca dapat membaca dengan cermat dan sentiasa kritis dalam menilai pandangan-pandangan yang akan saya bawakan sebentar nanti.

Artikel ini berkisar tentang solat Qasar dan Jamak, yang meliputi perbahasan tentang istilah, cara, dan pandangan para ulama mengenai ruksah (keringanan) yang Allah berikan kepada umat Islam. 

Artikel ini hanyalah kajian, dan penelitian saya terhadap karya-karya para sarjana Islam serta pelbagai pandangan yang mewakili pelbagai sekolah pemikiran. Namun, pandangan saya bukanlah sesuatu yang absolute ataupun muktamad, bahkan jauh dari itu. Ia hanyalah mewakili dari sejumlah kajian dan pandangan yang cuba saya garapkan dan ringkaskan bagi memudahkan orang awam yang tiada masa membuka kitab-kitab besar dalam mengetahui agama.

Dalam masa yang sama, artikel ini juga bukanlan jalan mudah untuk orang awam berlepas diri dan bermalas-malas dalam memahami agama. Agama ini akan jadi bodoh dan kartun, apabila penganutnya mula bermalas-malas dan melepaskan beban memahami agama kepada sesetengah pihak –yang kita gelar ustaz- 

Agama ini harus difahami berdasarkan ilmu. Ilmu tidak akan hadir tanpa membaca dan membuat kajian. Saya harapkan artikel ini akan mencetuskan sedikit keresahan dan ingin tahu yang ada dalam diri agar lebih rajin membaca dan mengkaji agama yang kita anuti sekarang.


SOLAT QASAR ADALAH SEDEKAH DARI ALLAH
“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.” (Surah An-Nisa’ 4:101) 

Ada seorang sahabat Rasulullah yang bernama Ya’alaa bin Umayyah pernah bertanyakan releven tentang ayat di atas kepada Saidina Umar al-Khatab, sedangkan keadaan umat Islam ketika itu sudah aman dan bukan lagi dalam peperangan seperti ayat di atas. Kemudian Saidina Umar al-Khatab menjawab, “Aku sendiri pernah berasa hairan seperti kamu, dan aku pernah bertanyakan hal tersebut kepada Rasulullah. Baginda menjawab, “Itulah sedekah yang diberikan oleh Allah kepada kalian, maka terimalah sedekah tersebut.” (Hadith direkodkan oleh Imam Muslim, Imam Tirmidzi, Imam Ibn Majah, Imam Abu Daud) 

Ayat di atas adalah hujah ataupun pensyariatan solat Qasar. Ayat ini menjadi dasar perbincangan para ulama mengenai kafiat dan dalil untuk umat Islam mengqasarkan solat semasa bermusafir. Dalam masa yang sama, terdapat banyak hadith-hadith yang dijadikan sandaran dan dalil bagi memahami rukhsah ini secara detail dan jelas. 

APA MAKSUD QASAR
Makna Qasar adalah memendekkan atau mengurangkan bilangan rakaat solat fardhu. Misalnya solat Zuhur dari 4 rakaat menjadi 2 rakaat, begitu juga dengan solat Asar dan Isyak. Dan solat Qasar ini hanya berlaku pada solat Fardhu Zuhur, Asar dan Isyak. 

DALIL-DALIL QASAR
Antara dalil-dalil dari hadith mengenai wujudnya rukhsah ini adalah seperti hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar. Kata Abdullah, “Aku pernah menemani Rasulullah  dalam perjalanannya dan baginda tidak pernah mengerjakan solat lebih dari dua rakaat (bagi setiap solat). Demikian juga dengan Abu Bakar, Umar, dan Usman. (Hadith direkodkan oleh Imam Muslim)

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan dari Saiditina Aisyah seperti yang dikatakan oleh beliau, “Ketika solat pertama kali diwajibkan, Allah mewajibkan dua rakaat-dua rakaat, sama ada ketika sedang tidak dalam perjalanan mahupun ketika dalam perjalanan. (Selepas hijrah Nabi) Solat ketika safar ditetapkan/dibiarkan (dua rakaat), dan solat ketika tidak safar (dalam perjalanan) ditambah (jumlah rakaatnya). (Hadis Riwayat Muslim)

Saya suka memetik tulisan  Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani, dalam sebuah buku yang bertajuk Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah. Beliau memetik pandangan Syeikh Abdul Aziz Bin Bazz iaitu bekas Mufti Am Arab Saudi mengenai perkara ini berdasarkan dari hadith Aisyah seperti di atas:    

“Dasar solat yang pertamanya adalah dua rakaat, sebagaimana yang diwajbkan oleh Allah Taala, kemudian setelah hijrah, Allah  menambahkannya dua rakaat lagi bagi yang tidak dalam perjalanan menjadi empat rakaat, iaitu pada solat ‘Isya’, Zuhur, dan ‘Asar. Tetapi bagi solat ketika dalam perjalanan, masih tetap dua rakaat, iaitu bagi solat ‘Isya’, Zuhur, dan ‘Asar (diqasarkan). Dengan demikian, meng-Qasarkan solat (di dalam perjalanan) adalah sunnah mu’akkad kerana tidak ada larangan untuk mengerjakan solat secara lengkap, iaitu empat rakaat.”


SYARAT UNTUK MENGQASARKAN SOLAT

1. As-safar
Untuk mengqasarkan solat, seseorang perlu berada dalam keadaan  bermusafir (as-Safar).  As-Safar beramksud  keluar dari kampung halaman menuju satu tempat yang berjarak jauh sehingga membuatkan seseorang dibenarkan  untuk mengqasarkan (memendekkan) solatnya. (Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahthani)

2. Al-Balad
Seseorang itu dianggap musafir jika telah keluar dari kawasan tempat tinggalnya. Istilah yang sering digunakan untuk perkara  ini ialah Balad. 

“Hendaklah mereka yang bermusafir telah melepasi lingkungan pagar (sempadan) atau banggunan-banggunannya.” (Al-Feqh al-Minhaji oleh Dr Mustofa al-Khin, Dr Mustofa al-Bugho dan Syeikh Ali Asy-Syarbaji, Bab Solat Qasar : ms221)

Dalam kata mudah, seseorang itu dianggap bermusafir apabila telah keluar dari tempat kebiasaannya bagi satu perjalanan. Saya membawa sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Tirmidzi, untuk menguatkan kesimpulan saya mengenai perkara ini.

Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imran bin Husin, beliau berkata, “Aku pernah bersama Rasulullah, dan aku pernah menyaksikan Fathul Makkah (Pembukaan kota Makkah). Ketika itu, baginda melakukan solat secara Qasar. Kemudian baginda bersabda, “Wahai penduduk Makkah, solatlah 4 rakaat, kerana kami orang musafir.” 

[Sedikit pencerahan mengenai hadith ini : Imam Tirmizi mengatakan hadith ini berstatus hasan sahih manakala menurut Imam Abu Daud hadith ini adalah lemah. Manakala menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani hadith ini sememangnya mempunyai seorang perawi yang daif tetapi Imam Tirmizi menguatkannya kerana maksud hadith tersebut selari dengan banyak hadith yang sejalan tetapi sahih.]

Pandangan saya: Berdasarkan hadith ini, kita dapat melihat cara Rasulullah mengajar dan mendidik umat Islam mengenai solat Qasar sangat bijak. Baginda melaksanakan sesuatu perkara, kemudian barulah memberitahu signifikan atau alasan baginda. Dalam kes ini, baginda memberitahu tentang siapakah yang digelar Musafir, dan keringanan yang Allah beri kepada mereka yang bermusafir.

SOALAN-SOALAN BIASA MENGENAI QASAR
Di bawah ini saya cuba himpunkan pelbagai persoalan mengenai Qasar, sama ada dari saya sendiri atau orang ramai yang biasa wujud. Antara soalan-soalan ini, saya dapatkan jawapannya dari hasil pembacaan, kajian dan perbincangan dengan para ilmuan yang saya sempat bertemu. Mungkin ada satu dua soalan yang sangat kena dan biasa kita dengar. Semoga persoalan yang sering berlegar itu dapat dihilangkan. InsyaAllah…

PERTAMA: ADAKAH JARAK YANG DIKATAKAN SEBAGAI MUSAFIR IALAH 2 MARHALAH BERSAMAAN 81KM?

Pandangan saya: Seperti perbincangan kita diatas, seseorang itu dikira sebagai Musafir apabila melakukan satu perjalanan yang diluar batas kebiasaannya. Bahkan kalau kita melihat hadith-hadith mengenainya, tiada satu pun hadith yang boleh diambil jarak yang muktamad. 

Para sarjana Islam turut membincangkannya dan dikatakan terdapat lebih 20 pandangan mengenainya. Setiap pandangan memberi jarak yang berbeza-beza, mengikut penafsiran mereka terhadap dalil-dalil yang dihimpun.

Mazhab Syafie: Saya mengambil pandangan ulama mutakhir dari Mazhab Syafie dari buku Feqh Minhaji. Pandangan 3 orang sarjana dalam buku ini menjelaskan bahawa, “Jarak jauh perjalanan hendaklah 81KM atau lebih. Sekiranya kurang, maka ia tidak dinamakan musafir. Imam Bukhari ketika membuat komentar dalam kitab “Mengqasarkan solat” dalam bab “Berapakah jarak yang boleh diqasarkan” berkata: Ibn Umar dan Ibn Abbas mengqasarkan solat dan berbuka puasa pada jarak 4 burud iaitu 16 farsakh bersamaan dengan 81km lebih kurang. Kedua-dua mereka melakukannya secara taufiqi iait berdasarkan ilmu yang diperolehi dari Nabi Muhammad.”

Namun begitu terdapat hadith-hadith yang menceritakan bahawa Rasulullah mengqasarkan solatnya walaupun perjalanan tersebut dekat. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Yahya bin Yazid. 

Kata Yahya bin Yazid, “Saya bertanya kepada Anas bin Malik mengenai solat Qasar, iaitu mengenai perjalanan saya dari Basrah ke Kufah, dan saya mengqasarkan solat sehingga saya pulang kembali. Maka Anas bin Malik berkata : Baginda Rasulullah mengqasarkan solat apabila keluar dalam jarak sejauh 3 farsakh.” (hadith ini direkodkan oleh Imam Ibnu Abi Syaibah dalam al-musnaf dan Imam al-Baihaqi dalam SunAn al-Qubra )

[Farsakh adalah unit ukuran orang Parsi. Dalam hadith ini menunjukkan 3 farsakh bersamaan dengan 30KM sahaja.  Definasinya ialah: Farsakh, a Persian unit of distance equal to about 4 miles; also : a Persian metric unit equal to 10 kilometers or 6.21 miles]

Saya suka mengambil pandangan dari Syeikh Muhammad Salleh bin Uthamaimin mengenai masalah jarak musafir ini. Kata beliua, “Sebahagian ulama berpendapat bahawa jarak perjalanan yang dibolehkan untuk mengqasar solat  sejauh 80 KM. Ulama lain berpendapat jaraknya sesuai dengan adat yang berlaku. Bermaksud jika ia melakukan perjalanan yang menurut adat sudah disebut safar, maka ia telah melakukan safar meskipun jaraknya belum sampai 80 KM. Adapun jika perjalanannya menurut adat belum dikatakan safar meskipun jaraknya 100 KM, maka ia belum disebut safar.”

Tambah beliau lagi, “Tidak mengapa jika berlakunya perbezaan pandangan mengenai jarak batasan. Kerana semua pandangan tersebut datang dari Imam Mujtahid. Namun jika masalahnya jelas maka menggunakan batasan adat kebiasaan adalah lebih tepat.”

Pada pandangan saya, apa yang pasti adalah apabila Rasulullah keluar sahaja dari kota Madinah, baginda akan sentiasa mengqasarkan solat-solatnya tidak kira dalam perjalanan jauh mahupun dekat. Dalilnya seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar  dalam hadith Imam Ibn Majah yang bermaksud, “Rasulullah ketika keluar dari Kota Madinah, baginda tidak menambah rakaat solat-solatnya melebihi 2 rakaat (kecuali Maghrib) sehinggalah baginda kembali semula ke Kota Madinah.”


CONTOH SITUASI:
Saya bawakan contoh-contoh semasa bagi memudahkan kita memahami scenario yang membolehkan kita mengqasarkan solat. 

Situasi 1: 
Yus adalah warga Melaka dan menetap di Ayer Keroh. Pada suatu hari, Yus terpaksa keluar pergi ke Tangkak untuk menghantar produk Herbalife kepada pelangannya. Walaupun jarak perjalanan hanya mengambil masa 45 minit dan lebih kurang 50KM. Yus termasuk dalam golongan merea yang bermusafir dan boleh mengqasarkan solatnya. Alasannya, Yus keluar dari tempat kebiasaannya dan perjalan tersebut bukanlah perjalanan yang biasa dilakukan.

Situasi 2:
Yus adalah warga Melaka dan menetap di Ayer Keroh. Setiap hari Yus akan berulang-alik Ayer Keroh ke Shah Alam kerana urusan kerja.  Walaupun jarak perjalanannya mengambil masa 2 jam dan lebih kurang 110KM, Yus tidak termasuk dalam kategori Musafir, kerana ia termasuk lokasi perjalanan yang biasa bagi dirinya.


KEDUA: BERAPA LAMA TEMPOH MENGQASARKAN SOLAT ? 
Saya kerap kali mendengar orang cakap-cakap bahawa tempoh mengqasarkan solat sewaktu musafir hanyalah 3 hari sahaja. Tidak boleh lebih dari itu, dan ada yang beranggapan bermudah-mudah dalam agama jika mengqasarkannya lebih dari 3 hari.

Namun jika kita rujuk kembali dalil-dalil diatas serta perbincangan para sarjana Islam mengenainya, seseorang itu tetap dianggap sebagai musafir tanpa mengira berapa lama tempohnya apabila dia keluar dari kawasan kebiasaannya. 

Banyak hadith-hadith menyebutkan Rasulullah tidak pernah menetapkan berapa hari tempoh baginda mengqasarkan solatnya. Antara hadith-hadith tersebut yang dapat saya cari adalah seperti di bawah:

  • Dari Jabir bin Abdillah, dia berkata: “Rasulullah bermukim di Tabuk selama dua puluh hari (dan baginda) mengqasarkan solat.” (Hadith direkodkan  Imam Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud)


  • Yahya bin Abi Ishak berkata: “Saya mendengar Anas bin Malik berkata: “Kami pernah musafir bersama Rasulullah dari Madinah ke Makkah. Sepanjang dalam musafir itu baginda melakukan solat secara dua rakaat (qasar kecuali Maghrib) sehingga kembali ke Madinah. Saya bertanya: “Berapa lamakah anda berada di kota Makkah?” Anas menjawab: “Kami menginap di Kota Makkah selama sepuluh hari.” (Hadith direkodkan Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari)
  • Miswar bin Makhramah berkata: “Kami bermukim dengan Sa’ad di salah satu desa di wilayah Syam selama empat puluh hari. Selama itu Sa’ad tetap mengqasarkan tetapi kami mencukupkan.” Berkata Nafi’: “Abdullah bin Umar bermukim di Azerbaijan selama enam bulan dan tetap solat dua rakaat ketika tertahan oleh salji sewaktu memasukinya.” Hafash bin Ubaidullah mengatakan bahawa Anas bin Malik bermukim di Syam dua tahun dan terus bersolat sebagai musafir. Dan menurut Anas, para sahabat Nabi bermukim di Ramhurmuz selama tujuh bulan dan tetap mengqasarkan solat, sedang menurut Hassan, dia bermukim dengan Abdul Rahman bin Samurah di Kabul selama dua tahun dan Abdul Rahman terus mengqasarkan tapi tidak menjamak. Kemudian Ibrahim mengatakan pula bahawa para sahabat pernah bermukim di Rayy selama setahun atau lebih, dan di Sijistan selama dua tahun (dan mereka tetap mengqasarkan solat).” (Rujuk Feqh Sunnah, karya besar Syaikh Sayid Sabiq)



Kesimpulan dari persoalan ini saya bawakan sebuah pandangan dari Ulama Nusantara iaitu Prof Dr Hasbi As-Shidiqie mengenai polemik ini. Katanya,  “Maka oleh kerana itu seseorang musafir yang singgah di suatu tempat untuk menyelesaikan tugasnya dan tidak berniat untuk menetap di situ, dibolehkan tetap  dia mengqasarkan solatnya. Walaupun dia perlu tinggal di tempat itu lebih dari 20 hari . Demikian juga walau dikira sejak mula bahwa dia akan tinggal di tempat itu lebih dari 20 hari asalkan dia masih berkeadaan musafir dan tidak bermaksud menetap disitu.”

[Beza antara mukim dan mastautin ialah - mukim adalah bagi orang yang bermusafir lalu ia berhenti di destinasinya dan duduk di sana untuk sekian-sekian masa tertentu tetapi dia tetap sedar dan tahu bahawa dia akan kembali semula ke tempat asal apabila urusannya selesai (mukim ghairu mastautin). Mastautin pula ialah orang yang bermusafir lalu tiba di destinasinya dan duduk tetap di sana dengan kesedaran niat bahawa dia akan tinggal di sana untuk keadaan tetap (menetap) dan tidak akan kembali lagi (mukim mastautin). - Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum]


PENUTUP
Artikel ini adalah artikel yang saya kemaskini dari artikel asal saya yang ditulis pada tahun 2007. Pemikiran dan pandangan seseorang akan berubah dari semasa ke semasa. Oleh itu, saya berpendapatan banyak perkara yang perlu saya kemaskini dan olah semula agar ia lebih tepat dan releven menurut scenario semasa. 

Sebenarnya terdapat banyak soalan-soalan yang bermain di fikiran, dan sering diajukan kepada saya mengenai solat Qasar ini. Namun saya rasa memadailah saya membincangkan persoalan dasar mengenainya, dan membiarkan para pembaca rakan-rakan sekalian pula membuat sedikit pembacaan dan kajian mengenainya.

Sesungguhnya Allah akan memudahkan para hambaNya memahami agama, jika mereka menginginkannya. Sepertimana Sabda Rasulullah dalam Sahih Bukhari dan Muslim, “Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, nescaya dijadikan dia seorang yang beroleh fahaman yang teliti dalam perkara agama dan bahawa sesungguhnya aku ini hanyalah yang membahagikan, sedang Allah jualah yang memberi dan sebahagian dari umatku ini tetap terus menjalankan agama Allah,  tidak ada sesiapa pun dari kalangan orang-orang yang menyalahi mereka dapat merosakkan mereka, sehinggalah datang perintah Allah.”

Kuatkan azam, tanamkan cita-cita, pasakkan jiwa agar akan ada hari nanti, saya berkesempatan membaca, mengkaji dan meneliti pandangan para ulama mengenai persoalan-persoalan yang bermain di fikiran.

Akhir kata, mari kita membaca, merenung dan memahami firman Allah ini yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai ilmu (pengetahuan) tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya itu akan diminta pertanggung jawaban’.” (Al Isra’: 36) 


Yussamir Yusof
Krubung Perdana Melaka
11:02pm/ Rabu
0126714353

1 comment:

  1. Oleh itu apa beza antara solat orang bermusafir dgn solat orang bermukim? Jika saya yang bermusafir ke suatu tempat dan tinggal di sana utk bekerja selama dua tahun, menurut pendapat tuan maka saya masih bermusafir dan boleh qasar solat saya selama dua tahun. Adakah begitu. Saya tidak bermaksud menetap di situ. Begitu juga kalau saya ditukarkan ke tempat yg jauh daripada kampung saya dan tak pasti sampai bila, maka saya pun bermusafir ke sana dan bekerja di sana. maka apa yg saya faham jika mengikut pendapat tuan, maka saya boleh qasar solat selama saya bekerja di sana sehingga saya kembali semula ke kampung halaman saya. Apakah boleh begitu?

    ReplyDelete