"Kan seronok kalau dapat suami macam Fahri ayat-ayat cinta."
"Bagusnya kalau bertemu jodoh macam Aisyah, sudah Alim siap bagi suami berpoligami lagi."
Pernah dengar ayat-ayat macam ini? Rasa loya atau rasa bangga?
Tak perlu beritahu apa perasaan anda bila membaca atau mendengar ayat seperti di atas kepada saya. Tapi apa yang pasti, saya sangat terkejut jika masih ada lagi terawang-awang berimaginasi bahawa itulah realiti. Realiti yang akan wujud dalam diri, dan berlegar dalam masyarakat madani tidaklah seindah ayat-ayat cinta atau apa sahaja drama dan filem cinta islami begini.
Cinta tidak seperti ini, cinta itu ada pasang dan surut. Ia seperti lautan yang kadangkala pasang dan kadangkala tenang menghempas pantai.
Saya sangat takut, apabila adik-adik yang lentok membaca novel-novel 'islami' ini terus terbuai dengan mimpi-mimpi indah sebegini. Cinta itu ada pasang surutnya, kita perlu berhadapan dengan realiti bahawa manusia itu ada hati yang berbolak balik.
Namun cinta tetap cinta, ia akan kekal di dalam hati. Cinta juga akan menggabungkan dua hati menjadi satu. Cinta juga akan membawa seseorang itu sama ada ke arah kebaikan atau keburukan. Bahkan cinta, antara menefistasi hubungan kita dengan Tuhan pencipta sekalian alam.
Saya tertarik dengan nukilan tokoh besar Ilmuan Islam dan juga 'Doktor Love' Islami iaitu Ibnu Qayyim rahimahullâh tentang cinta yang terpuji. Kata beliau, “Cinta yang terpuji adalah cinta yang memberikan manfaat kepada orang yang merasakan cinta itu untuk kebahagiaan dunia dan akhiratnya. Cinta inilah yang menjadi asas kebahagiaan. Sedangkan cinta bencana adalah cinta yang membahayakan pelakunya di dunia mahupun di akhirat dan membawanya ke pintu kenistaan serta menjadikannya asas penderitaan dalam jiwanya.”
RAIKAN CINTA
Saya ada adik, dan mungkin anda juga mempunyai adik, tidak kiralah sama adik ipar atau adik kandung. Apabila adik-adik saya bermain cinta, teringat sewaktu saya sebaya mereka. Tercari-cari identiti dan tercari-cari cinta hati. Berada dalam lingkungan Islami, tidak bererti cinta itu tidak bersemi.
Cinta itu sesuatu yang unik dan bagi saya ia adalah anugerahi Illahi. Sekali lagi saya tertarik dengan huraian Dr Love Ibn Qoyyim tentang cinta ini. Kata beliau, "Kasih sayang adalah penyebab hati dan roh menjadi hidup terpelihara. Hati tidak akan berasa tenteram, nikmat, beruntung, dan merasa hidup apabila tanpa cinta. Seandainya hati tanpa cinta, sakitnya lebih terasa daripada mata terasa sakit ketika tidak boleh lagi melihat cahaya, ketika telinga tidak boleh mendengar, ketika hidung tidak boleh menghidu, dan ketika lisan tidak mampu berbicara. Bahkan, hati pun boleh menjadi parah apabila hampa dari kasih sayang yang sudah merupakan fitrah dalam jiwa manusia. Ia adalah sebuah kurnia yang diberikan Sang Pencipta. Oleh karena itu, rosaknya lebih parah dari kerosakan tubuh manusia yang diisi dengan roh. Hal ini tidak mungkin boleh dikategorikan menjadi sesuatu yang pasti, kecuali orang yang memiliki jiwa yang sentiasa hidup."
Sungguh indah nilai cinta yang diungkapkan oleh Imam Ibn Qoyyim. Ia adalah sesuatu anugerah, anugerah terbesar dalam hidup manusia. Meraikan cinta adalah sesuatu Islami, yang sebenarnya sebahagian dari ensensi kehidupan kita.
Kita tidak boleh lari dari memikirkannya, dan menafikan kehadirannya dalam hidup. Ia seolah-olah hidup dalam nafas dan urat nadi kita, hanya kita mampu mengawalnya dan merasainya.
Cinta hadir apabila adanya wanita dan lelaki, ia berlawanan tetapi seperti magnet sering menarik antara satu sama lain. Oleh sebab itu kita boleh membaca dalam lembaran sejarah Nabi, tentang kisah seseorang wanita yang bernama Barirah yang mana suaminya bernama Mughits selalu mengikutinya dari belakang setelah mereka bercerai. Ketika itu, Rasulullah berkata kepada Ibn Abbas, "Wahai Abbas, tidakkah engkau takjub terhadap cintanya Mughits kepada Barirah dan kebencian Barirah kepada Mughits ?" (Hadis diriwayatkan Imam Bukhari)
Dari kisah ini, Ibn Qoyyim menjelaskan bahawa Rasulullah tidak melarang tumbuhnya cinta Mughits yang membara di dalam keadaan seperti itu. Ini disebabkan, cinta merupakan sesuatu yang tidak boleh dibendung dan ia bukan merupakan inisiatif diri sendiri. Namun, ia perlu dikawal berdasarkan akal yang sihat dtunjangi dengan nilai-nilai Islami.
CINTA MELALUI PROSES
Saya kerap kali mengingatkan bahawa cinta itu ada prosesnya. Ia hadir berperingkat, dan cinta sejati terbina melalui proses yang panjang dan matang. Kerana destinasi cinta adalah sebuah pernikahan yang suci, dan sudah pasti proses cinta itu terus berlaku walau di alam rumah tangga.
Ada yang tidak selesa dengan adat melayu, seperti merisik dan sebagainya. Tapi saya lihat, ia adalah sebuah proses yang sengaja dibuat dan diletakan nama. Dari merisik sehinggalah bertunang dan bernikah, ia ada nilai estetika yang tersendiri.
Bagi wanita sudah pasti proses mengenal calon suaminya perlu ada dan diberikan. Begitu juga dengan si suami, yang perlu persediaan sebelum menggalas tanggungjawab besar.
Kembali kepada sifir, "Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik." (Surah An-Nur ayat 26)
Untuk mendapatkan suami yang soleh, wanita perlu menjadi solehah terlebih dahulu. Begitu juga dengan lelaki yang inginkan isteri yang solehah, mereka sendiri perlu betulkan diri.
Proses mengenal inilah membuatkan kita untuk berfikir dan berdoa, agar pilihan tidak menjadi sia-sia dan sentiasa berada dalam kebaikan Allah.
DESTINASI CINTA, NIKAH
Destinasi sebuah percintaan adalah pernikahan. Pernikahan tidak bererti tiada lagi percintaan, bahkan percintaan di alam pernikahan lagi penuh dengan cerita.
Pernikahan adalah destinasi cinta hakiki, ia membawa kita kearah untuk menuju syurga. Nikah itu pelengkap iman, penenang jiwa. Pernikahan dapat menghindarkan pandangan mata dan hati dari perbuatan tidak baik yang dilarang Islam. Oleh sebab itu, Allah, Nabi Muhammad, dan seluruh manusia menjunjung tinggi martabat pecinta seperti ini.
Firman Allah, "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." [Ar-Rum, ayat 21]
Nikah itu seperti seketul batu yang melengkapkan sebuah tembok yang besar. Ia pelengkap kepada sebuah binaan tegap dan teguh.
Sebab itu Rasulullah menjelaskan bahawa, "Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah pun melengkapi sebahagian daripada agamanya. Maka bertaqwalah ia kepada Allah di sebahagian yang belum lagi." ( Riwayat Baihaqi)
Cinta selepas bernikah lebih nikmat dan banyak cabarannya. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Sebab itu, saya sering mengingatkan diri, bahawa proses berkenalan dan proses bercinta sebenarnya tidak terhenti selepas bernikah. Banyak lagi yang perlu dipelajari, dihalusi dan diingati.
Destinasi nikah pula adalah mendapatkan syurga Allah. Ada yang masuk syurga kerana pernikahan, dan ada juga tidak ke syurga kerana pernikahan. Besar anugerahnya, besar lagi tanggungjawab yang harus dipikul.
Namun yang pasti, cinta itu penuh dengan pancoroba di alam realiti. Ia tidaklah semudah dan seindah seperti drama cinta atau novel Islami. Ada duka, dan ada suka. Bagi pasangan yang mencari Illahi, ia akan bertemu sinar di akhirat nanti. Kerana cinta tetap kembali kepada Illahi.
Abang sayang Mardiati
Yussamir Yusof
Melaka
No comments:
Post a Comment