Tuesday, June 30, 2015

RAMADHAN DAN MAKAN BUKAN TUHAN KITA


Minggu pertama bulan Ramadhan sudah meninggalkan kita. Antara sedar dan tidak, hari-hari di bulan Ramadhan begitu cepat berlalu. Lapar dan dahaga tidak terasa, sedar-sedar sudah maghrib dan berbuka puasa. Apakah dunia semakin tua dan renta, masa juga tidak mahu menunggu lama diri kita yang banyak dosa? 

Muhasabah kembali 11 bulan yang lepas, bertanya kepada diri sendiri adakah saya sudah menjadi Hamba Allah yang taat? Atau sekadar hamba yang ala kadar mengabdikan diri kepada Allah? Kemudian cuba menokok lompang-lompang yang ada, dengan beribadah sekuat hati di bulan Ramadhan. Tertanya-tanya juga, adakah Ramadhan Tuhanku, atau Allah Tuhan aku yang menghidupkan dan mematikanku.

“Bulan Ramadhan penuh masjid. Sampai tak cukup saff.” Teman saya bergurau. Saya sendiri tersentap, betul kata dia, Ramadhan penuh masjid ini, kalau tidak 1 saff saja setiap waktu. 

“Pesta ibadah. Diaorang ingat Tuhan masa bulan puasa saja kot.” Aduh, sakitnya tuh di sini! Teman saya ini memang kaki masjid, dan saya doakan agar dia termasuk dari 7 golongan yang dinaungi Allah di akhirat nanti.

Hati sangat-sangat tersentap bila teman saya menyoalkan sikap umat Islam yang menjadikan Ramadhan hanya bulan beribadah kepada Allah. Sehingga melupakan bahawa Allah itu adalah Tuhan kepada seluruh bulan yang ada. 

Dulu lagi Imam Hasan al-basri telah mengingatkan kita tentang perkara ini. Kata beliau, “Jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana) jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadhan).”

Aduh, saya tidak mahu menjadi hamba Allah hanya pada bulan Ramadhan. Seolah-olah Ramadhan menjadi Tuhan dan menduakan Allah yang sepatutnya menjadi tempat bergantung. 

Allah tuhan untuk setiap hari dalam kehidupan kita. Mengikuti dan mentaati segala perintah Allah tanpa sebarang pertanyaan. Menjadikan setiap bulan adalah bulan mendidik diri dan memperbaiki diri menjadi Muslim yang lebih beriman.  Tidak salah menjadikan Bulan Ramadhan sebagai bulan terpenting berbanding bulan-bulan lain. Tetapi adakah hanya Ramdahan sahaja bulan untuk beribadah? 

Ya benar, bulan Ramadhan adalah bulan Bonus yang Allah sediakan untuk para hamba yang mencintaiNya. Sebuah bulan yang Allah khususkan kepada para hambaNya yang taat dan beriman kepadaNya.

“(Allah s.w.t berfirman) : Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-KU. Puasa (yang dia kerjakan adalah) kerana-KU. Puasa adalah untuk-KU. Sedangkan, AKU memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ini kerana, ia (puasa) adalah untuk-KU dan (sudah tentu) AKU sendiri yang akan memberi balasannya” (Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwaththa’, Kitab al-Shiyam)

Ramadhan adalah sekolah jiwa dan rohani kita. Sebuah sekolah yang mendidik manusia agar istikamah beribadah kepada Allah untuk 11 bulan lagi.  Sebuah sekolah yang akan mengingatkan kita bahawa 30 hari Ramadhan ini adalah orientasi kehidupan agar meningkatkan lagi kualiti keimanan pada 335 hari yang mendatang.


MENDIDIK PERUT
Bukan sahaja Ramdhan kadangkala dijadikan Tuhan, makanan juga sering dijadikan Tuhan bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan. Bermula dari sahur hingga berbuka puasa, dibibir dan ingatan hanya berkhayal apakah makanan yang ingin dimakan. Puasa hanyalah sebuah medan menahan lapar dan dahaga, tidak lebih dari itu. Jika tidak kerana malu dengan masyarakat atau takut ditangkap, mudah sahaja untuk membeli dan makan di bulan puasa. 

Perut sudah menjadi Tuhan, kerana 11 bulan lepas telah dididik dengan makanan tanpa henti. Puasa Isnin dan Khamis atau puasa-puasa sunat yang lain tidak pernah dilakukan. Rasulullah sering menasihati para sahabatnya mengenai makan dan perut. Kerana makanan dan perut inilah, ada manusia timbangan pahalanya tidak sama dengan kegemukkannya, malah dicampakkan ke dalam api neraka. 

“Sesungguhnya di hari kiamat akan datang seorang yang bertubuh gemuk, tetapi di sisi Allah timbangannya tidaklah lebih berat dari sayap seekor nyamuk. Dan beliau berkata, bacalah: “Kami tidak mengadakan sebarang penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat.” (surah al-Kahfi ayat 105).” (hadis direkodkan Imam Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah mengingatkan juga bahawa mereka yang sering kekenyangan di dunia, di akhirat kelak akan menjadi orang yang sering kelaparan. 

Sabda Nabi, “Orang-orang yang biasa kekenyangan semasa di dunia, mereka adalah orang-orang yang kelaparan di akhirat.” (Hadis direkodkan ath-Thabrani, dan Syeikh Muhammad Nasiruddin menghasankannya)

Imam At-Thabrani dalam sebuah hadis (dhaif) yang lain merekodkan bahawa Rasulullah pernah melihat seorang lelaki yang mempunyai perut yang besar (boroi), kemudian baginda berkata sambil memberikan isyarat dengan jarinya,  “Sekiranya perutmu tidak seboroi ini, tentulah lebih baik bagimu.” (Hadis direkodkan Imam at-Thabrani, Dinilai dhaif oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin)

Mungkin akan timbul salah faham  mengatakan Islam melarang umatnya berasa kenyang. Atau mungkin juga timbul salah faham mengatakan Islam ini mempromosi kemiskinan. 

Mari kita memahami apakah maksud kekenyangan yang sering diingatkan Rasulullah kepada umatnya. Kenyang yang dilarang adalah kekenyangan yang memberatkan perut dan menghalang seseorang untuk melaksanakan ibadah, melahirkan perasaan sombong, angkuh, asyik tidur, dan menjadi malas. Kenyang yang dibenci ini boleh menjadi haram bersesuaian dengan kesan buruk yang ditimbulkannya. 

Imam At-Thabari mengulas dengan baik sepertimana yang dipetik dari Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari. Kata Imam at-Thabari, ““Walaupun kenyang itu mubah (dibenarkan), tetapi ia memiliki batas dan tidak boleh melampau dari itu. Kenyang yang dibenarkan secara umum adalah yang dapat membantu seseorang untuk melakukan ketaatan kepada Rabb-nya dan beratnya makan tidak menjadikannya lalai dari menunaikan kewajibannya.”

Dalam kitab yang sama, saya tertarik dengan pemahaman dan penjelasan Imam Ghazali ketika mengulas tentang kenyang. Sebagai seorang tokoh yang zuhud dan menjadi ikutan para ahlu Sufi, Imam Ghazali menggariskan beberapa peringkat Kenyang. 

Kata beliau, “Peringkat-peringkat kenyang itu ada beberapa jenis. Pertama, kenyang yang menjadi penerus kehidupan. Kedua, kenyang yang bertujuan  membolehkan kita berpuasa dan bersolat. Ketiga, kenyang supaya boleh melaksanakan amalan-amalan sunnah. Keempat, kenyang yang menjadikannya mampu bekerja. Kelima, kenyang yang cukup-cukup memenuhi sepertiga perut, dan ini diharuskan. Keenam, kenyang yang melebihi 1/3 perut sehingga menyebabkan badan menjadi berat dan banyak tidur. Ini dibenci. Ketujuh, kenyang yang melebihi 1/3 perut sehingga membahayakannya, dan ini adalah kenyang yang dilarang dan ianya haram.” 

Menjadikan Ramadhan sebagai bulan mendidik perut, sudah pasti kita tidaklah membazir di bazar Ramadhan semata-mata untuk memenuhi kehendak perut. Bazar Ramdhan bukanlah alasan untuk kita membazir, tetapi sebagai jalan untuk kita memilih makanan yang hanya diperlukan sahaja. Menjadikan umat Islam yang kebuluruan dan sukar mendapatkan makanan sebagai motivasi kepada diri, bahawa ramai lagi yang tidak bernasib baik seperti kita. 

Mengingatkan kita juga bahawa makanan bukan untuk dibazirkan dan perut bukanlah tempat dikembangkan. Dan yang paling pasti, Makanan dan Ramadhan bukanlah Tuhan kita!

No comments:

Post a Comment