TAKSUB
“ZIKIR MENARI!” Saya usap dada, membaca tajuk ini pun saya sudah hilang selera. Akhbar semasa memainkan sentimen dan provokasi luarbiasa. Memetik pendapat-pendapat dari orang yang tidak arif dalam agama. Malah ada yang terlalu fanatik dengan satu-satu pandangan. Orang jawa kata, TAKSUB.
Melebih-lebihkan seseorang malah jika sesiapa yang berbeza pandangan dengan orang yang ditaksub, maka akan dilawan dan ditentang habis-habisan. Inilah taksub. Sebuah tindakan manusia yang diberi akal, tetapi tidak digunakannya.
Mudah, saya fikir mereka yang taksub ini malas. Malas menggunakan akal, malas membaca, dan malas berfikir!
“Ustaz aku cakap macam ini. Takkanlah aku nak bantah.”
“Kau ini sikit-sikit dalil, kalau betullah perkara ini salah, takkanlah nenek moyang kita buat zaman-berzaman.”
“Sekali lagi kau kata ustaz aku salah, aku sepak muka kau.”
Dan berbagai lagi tindakan taksub yang sering dilakukan oleh para pentaksub. Mereka tidak sedar yang akal mereka telah dikurung dan dimanupulasi oleh orang lain. Menjadikan diri mereka seolah-oleh lembu yang diikat hidungnya.
Gejala taksub ini sudah lama wujud. Bukan zaman ini saja, zaman Rasulullah pun sudah wujud. Jika zaman sekarang, ramai orang takut dengan penyakit AIDS, sebab ia penyakit yang berjangkit dan tiada ubat. Sebenarnya, ada lagi penyakit yang berbahaya, iaitu penyakit Taksub. Sama seperti AIDS, Taksub jika tidak berjaga-jaga ia boleh memberi kesan yang sangat berbahaya zaman berzaman.
Sikap taksub ini dilarang keras oleh Allah, sepertimana yang direkodkan dalam surah al-Maidah ayat 77 yang bermaksud, “Katakanlah, “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan yang telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”.
Taksub adalah sebuah tindakan melampau, yang berlawanan dan sikap yang Allah inginkan dalam diri para hambaNya iaitu adil. Iaitu para hamba yang meletakkan sesuatu pada tempat yang betul.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud, “Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu”.
Selari dengan ingatan Allah, Rasulullah juga sering mengingatkan umat Islam agar menjauhi gejala taksub ini. Kerana ia memberi mudarat yang sangat besar kepada diri dan orang lain. Kita boleh lihat ketegasan Rasulullah terdahap perkara ini sepertimana teguran baginda kepada para sahabatnya.
Ketika para sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum memuji-muji Nabi, di mana mereka memanggil Rasulullah dengan gelaran “Wahai Rasulullah, Wahai orang yang terbaik di antara kami! Wahai Sayyidi (penghulu kami) dan putera penghulu kami!” Baginda segera membantahnya dan mengatakan, “Wahai manusia, ucapkanlah dengan ucapan yang biasa kamu ucapkan, supaya Syaitan tidak merasuki kamu. Aku adalah Muhammad bin Abdullah, hamba Allah dan RasulNya. Aku tidak suka kamu menyanjungku di atas kedudukan yang Allah berikan kepadaku.” (Riwayat Ahmad dan an-Nasai)
Kalau Nabi pun melarang kita melebih-lebihkan baginda melampaui apa yang Allah dah tetapkan. Inikan pula manusia biasa macam kita semua. Sudahlah tidak maksum, hensem pun tidak!
Penyakit taksub buta warna dan bangsa. Ia boleh berjangkit pada sesiapa saja, tanpa mengira latar belakang seseorang. Ada yang berlatar-belakang agama dan orang awam, ia terdedah dengan penyakit ini.
Boleh jadi seseorang itu taksub kepada individu, politik, mazhab, malah taksub kepada diri sendiri.
Sejarah merakamkan pelbagai episod duka berkenaan Taksub. Bermula dengan gerakan Syiah yang taksub dengan Saiyyidina ‘Ali bin Abi Talib. Penyakit ini telah melahirkan aliran Syiah yang mengagungkannya melebihi batasan yang patut. Sudah pasti perbuatan tersebut tidak diredhai oleh Khalifah Agung keempat umat Islam ini.
Pelbagai perkara yang dilakukan oleh golongan Syiah atas alasan untuk membela Saidina Ali. Mereka membuat pelbagai hadis-hadis palsu tentang Saidina Ali demi menaikkan aliran atau mazhab Syiah. Memerangi orang lain yang tidak bersama mereka sehingga sanggup membunuh wanita dan kanak-kanak. Golongan Syiah ini adalah salah satu punca dari gejala taksub yang tidak diredhai Allah dan Rasul.
Begitu juga pergelutan antara mazhab yang berlaku pada zaman pemerintahan Dinasti Abbasid. Klimaks kepada pergelutan mazhab ini apabila kerajaan Abbasid hanya mengambil dan menjadikan pendapat Abu Hanifah sebagai mazhab rasmi dunia Islam ketika itu. Keputusan pemerintah ketika itu mendapat tentangan dan menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan para pengikit mazhab lain.
Pada waktu itu umat Islam terbahagi kepada mazhab-mazhab yang berbeza. Di Madinah dan Makkah ramai yang memegang mazhab Imam Malik bin Anas (mazhab Maliki) dan orang ramai sekitar Iraq cenderung pula kepada pendapat Abu Hanifah (Mazhab Hanafi). Manakala sebahagian lain di negeri Mesir cenderung kepada pendapat al-Layts ibn Sa‘ad.
Perbezaan pandangan ini dibesarkan lagi oleh pemerintah dengan mengadakan perdebatan di antara tokoh-tokoh mazhab. Perdebatan ini dilakukan bukanlah ingin mencari kebenaran dan sebagai medium intelektual. Tetapi ia lebih kepada tujuan peribadi dan hiburan Istana!
Menyentuh sejarah yang duka ini, Syeikh Abu Amenah Bilal Philips menulis dalam bukunya The Evolution Of Feqh m/s 66, “Perdebatan-perdebatan ini menimbulkan suasana persaingan dan dogmatisma sesama mereka kerana apabila kalahnya seorang tokoh itu dalam perdebatan ini dia bukan sahaja kehilangan ganjaran wang dari pemerintah tetapi juga kehilangan maruah dirinya.
Lebih dari itu kehilangan maruah diri sangat berhubung-kait dengan kehilangan maruah mazhab seseorang itu. Justeru kita dapati menghujahkan kebenaran atau kebatilan mazhab seseorang itu menjadi agenda utama debat-debat tersebut. Hasilnya, persaingan dan perselisihan makin memanas antara tokoh-tokoh mazhab.”
“Court debates also spawned competitiveness and dogmatism, since the loser of a debate not only lost monetary reward from the caliph but also personal prestige. Furthermore, because loss of personal prestige also entailed loss of prestige on the part of one’ Madhhab, the principle of defending one’s Madh-hab, right or wrong, came to be considered virtue. As a result, Madh-hab sectarianism became rampant among the court scholars.”
Menurut Abu Ameenah Philips lagi, “Pada penghujung hayat Dinasti Abbasid ini juga acara-acara perdebatan sesama tokoh dan mazhab makin memuncak sehinggakan acara ini memperoleh namanya yang tersendiri, iaitu Munaad Haraat. Dengan itu juga semangat persaingan dan pembelaan mazhab makin berleluasa, bukan sahaja kepada tokoh-tokoh yang berdebat tetapi juga kepada orang ramai kerana masing-masing membenarkan tokoh dan menyokong mazhab mereka.”
This stage covers the period between the year 950 CE and the sacking of Baghdad (1259 CE) and represents the decline of the ‘Abbaasid dynasty until its eventual collapse. Competitive debates called MunaadHaraat continued to flourish under the patronage of
the ‘Abbaasid caliphs and some of these debates were actually recorded in books. In time, the spirit of rivalry largely generated by these debates spread to the masses, and Madh-hab factionalism became widespread.
Ini secara tidak langsung menyaksikan secara perlahan-lahan terbinanya tembok-tembok pemisah antara sesebuah mazhab sama ada dari segi ajaran, masyarakat dan geografi. Tembok ini dengan peredaran zaman semakin meninggi dan menebal. Umat Islam mula dibahagikan dan dikategorikan kepada mazhab yang mereka ikuti dan pegangi sehinggakan ahli-ahli ilmu pada zaman ini juga mula mengakhiri nama mereka dengan mazhab yang didokongi masing-masing. Semuanya kerana ada sifat taksub dalam diri.
Kalau kita perhatikan catatan sejarah di atas, kita akan dapati bahawa gejala taksub ini bermula dengan hal yang berkaitan dengan agama, seterusnya ia merebak hinggalah ke politik dan perkauman.
Gejala ini boleh dibanteras dengan Ilmu dan iman. Taksub bukan lagi datang dari orang yang jahil, tetapi ia juga dari orang yang berilmu. Sebab itu saya katakana, bahawa gejala ini boleh dibanteras dengan ilmu dan iman.
Kita semua perlu kembali kepada sumber asal yang tidak akan berubah sehingga bila-bila, iaitu al-Quran dan As-Sunnah. Jika kita jelas dengan prinsip ini, iaitu memahami sesuatu dengan ilmu (dalil) dan beriman dengan Allah dan Rasul (dari dalil-dalil tersebut). Maka Taksub tidak akan berlaku dan manusia bebas memilih dalam bertindak, khususnya dalam konteks agama.
Sepertimana firman Allah, “Jika kamu berselisih dalam suatu permasalahan maka kembalikanlah kepada Allah dan RasulNya (Al-Quran dan Al-Sunnah).” (Al-Nisa: 59)
Tambah Allah lagi dalam surah al-Imran ayat 105, “Janganlah kamu jadi seperti mereka yang berpecah dan berbalah sesudah datang kepada mereka penjelasan, sungguh bagi mereka azab siksa yang pedih.”
Seperti lazimnya, Allah sering memberi peringatan dengan mengunakan perumpamaan dan risiko yang akan menimpa. Ayat 105 ini, adalah contoh terbaik bagaimana Allah menggunakan perumpaan orang-orang terdahulu yang lebih awal bertindak dan bersikap seperti kita pada zaman kini. Iaitu menyelisihi para rasul yang diutus kepada mereka, dan akhirnya Allah memberikan azab yang pedih kepada mereka.
Oleh itu, pada zaman kini tidak pelik jika kita melihat para pengikut ustaz atau mazhab yang terlalu taksuh dengan pandangan mazhab atau ustaz mereka. Kerana ia adalah ulangan sejarah yang Allah telah sebutkan dalam ayat 105 di atas.
Lebih pelik lagi apabila mereka sendiri tidak tahu bahawa para Imam Mazhab sudah memberi peringatan untuk mengutamakan al-Quran dan As-Sunnah berbanding pandangan mazhab.
Antaranya Imam Syafie dalam sebuah kata-kata hebat yang dirakamkan oleh anak muridnya iaitu, “Jika kalian dapati dalam kitabku suatu yang menyelisihi Sunnah Rasulullah, berpeganglah dengan Sunnah Rasulullah dan tinggalkan pendapatku ikutilah ia (Sunnah) dan jangan pedulikan ucapan orang.”
Umat Islam yang berakal, tidak akan taksub jika memilih Dalil berbanding pandangan dan beriman dengannya. Firman Allah, “Dan taatilah kamu akan Allah dan Rasul semoga kamu dirahmati.” (Ali Imran: 132)
Begitu juga firman Allah, “Tidak patut bagi seorang lelaki yang beriman dan bagi seorang perempuan yang beriman apabila Allah dan RasulNya menetapkan suatu hukum, mereka mempunyai pilihan selain daripadanya. Siapa mengingkari Allah dan RasulNya maka dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (Al-Ahzab: 36)
Marilah kita kembali kepada Allah dan Rasul dengan penuh keilmuan dan keimanan. Agar taksub tidak menjangkiti diri dan orang lain, yang natijahnya memberikan keharmonian dan keamanan kepada seluruh manusia.
No comments:
Post a Comment