Saturday, January 9, 2016

ISTERI PERTAMAKU



Hari ini genap sebulan saya kemalangan. Kenangan yang takkan saya lupa sampai bila-bila. Allah berikan saya kesakitan dan Allah berikan saya seribu hikmah. Melihat Allah dengan pandangan hamba yang kerdil. Tuhan yang menciptakan dan menguruskan kehidupan ciptaanNya.

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Suragh al-Hadid: 22-23)

Cinta Allah dan kasihnya Allah kepada para hambaNya merentasi bangsa dan warna kulit. RahmatNya untuk pendosa dan pencintaNya. Allah sentiasa dekat dengan hambaNya, dan sentiasa mendengar keluh kesah yang sering keluar dari mulut kita. Hanya kita sahaja, adakah kita ingin dekat dengan Allah atau terus berjauh denganNya? 


"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (surah al-Baqarah: 186)

Manusia boleh bersabar, tetapi sukar untuk bersyukur. Bila senang kita lupa pada Allah, dan jarang menadah tangan dan merintih kepada Allah. Selepas ditimpa musibah dan berhadapan cabaran, barulah merangkak mencari Allah dan merintih kepadaNya. Namun Allah tidak pernah berkecil hati, Allah tetap menerima doa dan rintihan para hambaNya. Malah Allah sangat gembira dan meraikan para hambaNya yang memohon dan berhajat kepadanya.

“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Surah Az Zumar: 53-54).

Dari kesakitan dan kesedihan ini saya bersyukur dan sentiasa memohon keampunan dari Allah di atas segala kesilapan dan dosa yang dilakukan. Malah di atas cabaran ini juga Allah memberikan saya hikmah besar dalam hubungan saya dan isteri. Allah menghiasi isteri saya dengan hiasan yang indah dan cantik. Allah datangkan seorang bidadari yang sentiasa berada di sisi menjadi teman sejati. 

Sejak hari pertama, isteri saya memandikan saya, menukarkan pakaian saya, dan sentiasa memastikan saya bersih dan ceria. Seorang isteri yang tidak mahu melihat suaminya bersedih dan muram dengan ujian Allah. Seorang isteri yang sentiasa ingatkan bahawa ujian ini adalah buah manis di akhirat nanti di atas kesabaran saya. Mengingatkan saya bahawa ujian ini adalah tanda kasihnya Allah kepada saya. 

"Sesungguhnya pahala besar kerana balasan untuk ujian yang berat. Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menimpakan ujian untuk mereka. Barangsiapa yang redha, maka ia yang akan meraih redha Allah. Barangsiapa  yang tidak suka, maka Allah pun akan murka.” (HR. Ibnu Majah dinilai Hassan oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin)

Selepas keluar dari hospital, tugas isteri saya diteruskan seperti biasa. Menguruskan rumah, anak-anak dan diri saya. Bangun seawal pagi, basuh baju, memandikan anak-anak, masak untuk kami semua, kemudian mandikan saya, uruskan perniagaan, hantar saya ke klinik untuk dressing dan teruslah sampai ke malam. Tidak berhenti bekerja. 

Kadang-kadang kelihatan kerut di muka, dan bebelan dari isteri. Tetapi nikmat Tuhan mana yang ingin saya dustakan? Isteri saya seorang manusia, bukannya malaikat yang tiada perasaan. Seorang wanita yang kudratnya tidak sama seperti saya. Menjadi ketua keluarga semasa saya sedang sakit, menguruskan anak-anak dan saya, adalah sebuah pengorbanan besar bagi saya. 

Apalah sangat dengan bebelan berbanding apa yang telah isteri saya lakukan untuk kami semua. Apabila syaitan cuba menghasut untuk bersangka buruk kepada isteri, saya selalu mengingatkan diri bahawa inilah pinjaman Allah yang terbaik untuk saya. 

Isteri pertamaku ini adalah permata yang Allah takdirkan untuk saya. Permata yang perlu saya gilap agar ia terus menyinar kehidupan kami. Permata yang sentiasa berada di hati. Sebelum tidur, saya sentiasa bersyukur kepada Allah kerana pasangkan saya dengan isteri. Melupakan segala silap dan salah isteri kepada saya. Sentiasa berdoa, agar Allah terus menjadi istei saya, seorang wanita yang kuat dan solehah. 

Tiada lagi ungkapan yang boleh saya gambarkan tentang kehebatan seorang wanita bernama isteri. Seorang wanita yang Allah jadikan dari tulang yang bengkok, tetapi boleh menggoncangkan dunia. 

Jika kita sebagai suami masih lagi mahu mengintai wanita lain, dan mengungkit-ungkit pengorbanan isteri. Marilah kita pejamkan mata, bayangkang segala jerit perih isteri menjaga rumah, mendidik anak, menyusu anak, masak makanan yang lazat untuk kita dan sentiasa sabar melayan kerenah kita. 

Ketika seorang lelaki bertanya kepada Saidina Umar tentang sikap isterinya yang suka membebel. Saidina Umar dengan tenang berkata:

“Hai saudara ku, aku terima keadaan itu kerana jasa-jasa isteri ku pada ku; dia seorang tukang masak makanan ku dan pencuci pakaian ku, dan yang menyusu anak ku, padahal semua itu bukan kewajipannya. Selain dari itu, dia dapat menahan hati ku dari perbuatan haram. Maka kerana semua itulah aku terima saja kecerewetannya.” 

Petikan dari buku "Pillow Fight"
Sebuah naskah untuk para isteri.
Terima kasih isteriku.
Mardiati Mohd Jamili
Melaka

pss: Boleh dapatkan buku "Pillow Fight" sebuah buku khas untuk isteri dan suami yang digarap dari pengalaman saya dan orang lain. 

No comments:

Post a Comment