Friday, July 31, 2009

KOMENTAR UNTUK PENGOMENTAR


Saya terusik untuk menulis sesuatu. Walaupun hati memang tak mahu menulis sehingga bulan 9 ini. Saya masih lagi dalam mood menyunting dan menyemak karya pertama saya. Tetapi selepas bertalu-talu komen diberi terhadap artikel lama saya yang bertajuk “Mukhsin yang dilolong-lolongkan di Media Massa”. Saya rasa perlu untuk menulis agar tidak berlaku salah faham.

Ramai yang datang memberi komen selepas kematian Sutradara Yasmin Ahmad. Saya faham, mereka yang datang ini mempunyai pelbagai pandangan dan perspektif yang berbeza terhadap beliau. Tetepi untuk menghakimi beliau, bukanlah cara dan jalan yang ditunjukkan oleh Islam. Ada juga yang memberi komentar, menyalahkan saya dengan mendakwa saya menyokong setiap tindak-tanduk Yasmin Ahmad dalam berkarya.



Ada dua keperluaan saya menulis artikel ini. Pertama untuk menegur dan kedua untuk memberi kenyataan umum dan muktamad terhadap komentar-komentar yang ada. Bukan mahu menyalahkan sesiapa, tetapi setiap dari kita kadang-kala harus sering nasihat-menasihati.

Pertama, sama ada pemberi komen itu tidak membaca semua apa yang saya tulis. Kemudian memberi komentar berdasarkan emosi dan stigma buruk yang sudah sedia ada tentang Yasmin Ahmad. Ataupun, pemberi komen ini tidak membaca keseluruhan, sekadar membaca tajuk artikel. Kebiasaannya pemberi komen sebegini adalah mereka yang menulis dahulu baru berfikir. Pemberi komentar sebegini pada pandangan saya tidak perlu dilayan. Pemberi komentar ini harus sedar yang mereka juga manusia, bukan nabi yang bersih dari kesilapan yang boleh menghukum sesiapa sahaja. (Nabi pun tidak pernah menghukum sesuka hati tanpa wahyu!)

Kedua, artikel ini sudah lama saya tulis. Menjangkau setahun lama sudah artikel ini berada diblog saya. Sahabat saya pernah bertanya kepada saya, “Adakah semua yang kau tulis dahulu, kau masih setuju?” Saya jawab, “Tak!”

Saya rasa, jawapan kepada sahabat saya itu sudah dapat menjawab segala komentar di artikel tersebut. Bukan semua yang saya pernah tulis, saya setuju pada masa sekarang. Jika anda yang baru masuk ke dalam blog ini. Mungkin anda tidak pernah mengikuti perkembangan pernulisan saya dari dulu sehingga sekarang. Kepada yang sudah biasa dengan gaya dan perkembangan penulisan saya, mereka sudah faham dengan saya. Dan terima kasih kepada anda kerana menjadi pembaca yang matang serta tidak membuat komentar yang bukan-bukan.

Kita sentiasa berusaha untuk menjadi baik. Begitu juga dengan pemikiran dan gaya penulisan kita semua. Sejarah itu harus dipelajari, bukan diulangi. Belasungkawa untuk Yasmin Ahmad.

Fatihah….


Pengumuman: Jika para pembaca berkepalangan silalah hadir ke Seminar perhubungan antara Bukan Islam dan Islam yang berlangsung di Multimedia Universiti Kampus Cyberjaya pada 2 Ogos ini. Maklumat lanjut boleh rujuk di http://seminar.insight.org.my/





____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Friday, July 24, 2009

PROMOSI SEMINAR YANG BERMANFAAT


As-salaamu 'alaikum, jemputan kepada semua pembaca PARADIGMA untuk menghadiri seminar ini.


MUSLIM & NON-MUSLIM RELATIONS IN MALAYSIA

BERTARIKH : 2 OGOS 2009
HARI: AHAD
MASA: 8 PAGI - 5 PTG
YURAN: PELAJAR RM 10 / BUKAN PELAJAR RM 30

BERTEMPAT
MULTIPURPOSE HALL
MULTIMEDIA UNIVERSITI KAMPUS CYBERJAYA




PROGRAM TENTATIVE

8.00-8.30 am Registration

8.30-9.15 am Session 1
Ustaz Hussein Yie (Pertubuhan Al-Khadeem)
Topic: Muslims responsibilities towards non-Muslim in the
context of Malaysia.

9.15-9.45 am Arrival of VVIP/VIP & Break

9.45-10.30 am Opening Ceremony by Dato’ Seri Shahidan Kassim

10.30-11.00 am Refreshment for VVIP/VIP & participants

11.00-11.45 pm Session 2
Ustaz Shah Kirit Bin Kalkulal Govindji
IIS Speaker and Friendly Comparative Religion (FCR)
Topic: Non-Muslim’s perception towards Islam

11.45-12.30 pm Session 3
Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim
Professor Emeritus of University Malaya
Topic: Sharing Islam to non-Muslim

12.30-2.00 pm Lunch Break & Zohor Prayer

2.00-2.45 pm Session 4
Dr William Lau
Archdiocesan Ministry of Ecumenical & Inter-Religious Affairs
Topic: Promoting Unity through Inter-Religious Dialogue in Malaysia

2.45-3.30 pm Session 5
Ustaz Ahmad Jailani Bin Abdul Ghani
Syariah Lawyer and Freelance Lecturer
Topic: Current issues pertaining to Muslim-non-Muslim




3.30-5.00 pm Forum: "Inter-religious unity, what's next?"
Speaker: Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim
Ustaz Hussien Yee
Ustaz Shah Kirit Bin Kalkulal Govindji
Ustaz Ahmad Jailani Bin Abdul Ghani
Dr William Lau



_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Sunday, July 12, 2009

PERKONGSIAN RASA


Kemungkinan blog ini akan kekosongan dengan artikel-artikel sehingga bulan 9. Saya sarankan pembaca budiman sekalian membaca artikel-artikel lama saya.

Saya sedang sibuk untuk menyiapkan kajian saya berkenaan dengan Kristian untuk dibukukan. Dateline saya dengan sebuah syarikat penerbitan pada bulan Ogos ini (tinggal satu bab sahaja lagi). Saya benar-benar sedang tertekan dengan lambakan kerja yang disengajakan.

Walaubagaimanapun, artikel-artikel saya masih lagi boleh diikuti di Berita Harian jika disiarkan. Rencana terbaru berkenaan dengan Demokrasi tersiar pada hari sabtu, dan hari rabu lepas berkenaan dengan Akidah tonggak kekuatan umat Islam.




Doakan semuanya saya dapat tangani dengan cermat dan mudah. Ada orang bertanya mengapa manuskrip saya lambat untuk diterbitkan. Saya katakan, ini adalah hasil kajian bukan hasil pengalaman dan khayalan. Bukan mudah untuk menyiapkannya, banyak perkara yang saya perlu rujuk dan tulis. Doakan saya. Itu sahaja permintaan saya. Dan juga doakan hasil kajian saya diterima untuk dibukukan seperti yang dijanjikan.

Oh ya saya baru membaca sebuah buku penting dalam memahami doktrin Kristian. Tajuk buku tersebut ialah, “The GOSPEL of BARNABAS”. Doakan saya. Doakan saya. Itu sahaja.

Di bawah ini saya sertakan sekali rencana saya yang tersiar di Berita Harian.



Islam terapkan amalan demokrasi pilih pemimpin
Oleh : Yussamir Yusof
Berita Harian 11 Julai 2009

Demokrasi adalah salah sebuah sistem yang datangnya dari keunggulan Islam. Namun sayang, ada dikalangan umat Islam sendiri keliru dan menolak sistem ini. Malahan menyatakan bahawa Demokrasi dari sistem Kufur dan batil. Kegagalan memahami inti-pati Demokrasi akan menyebabkan salah-faham yang besar dalam membawa sistem keadilan dalam pentas politik masa kini.

Perkataan Demokrasi ini lahir daripada perkataan Yunani yang membawa maksud, diperintah oleh rakyat. Doperintah oleh rakyat disini ialah, rakyat memilih siapa pemimpin mereka untuk menerajui kerajaan. Sistem pemilihan ini pula dilakukan berdasarkan pengutan suara, yang kebiasaannya dilakukan melalui pengundian.

Demokrasi adalah sebuah proses pemilihan yang melibatkan ramai orang khususnya rakyat. Ia bertujuan memilih seorang calon yang bakal memimpin dan mengurus mereka. Umumnya rakyat akan memilih calon yang mampu membawa perubahan dan mampu mengurus negara dengan mantap dan baik. Manakala bagi calon-calon yang tidak berdidikasi, pentingkan diri sendiri dan tidak pandai mengurus kepimpinan, akan ditolak oleh rakyat. Inilah ciri-ciri yang ada dalam Sistem Demokrasi yang sentiasa menyalurkan pelbagai saluran seperti, pemilihan umum, meminta pandangan rakyat, mengutamakan suara majoriti,mempelbagaikan parti politik agar berlaku kesimbangan.

Dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam Muslim, bahawa Nabi Muhammad saw berkata, “Sebaik-baik para pemimpin kalian adalah pemimpin yang disayangi dan didoakan oleh kalian,dan pemimpin itu juga menyayangi dan mendoakan kalian.Manakala seburuk-buruk pemimpin adalah,pemimpin yang kalian kutuk dan benci dan mereka pula mengutuk dan membenci kalian.”


Meskipun, pada zaman Nabi Muhammad SAW perkataan Demokrasi belum wujud. Namun, baginda telah menunjukkan nilai-nilai demokrasi dalam diri baginda. Lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara yang tidak mempunyai sandaran wahyu. Baginda bersikap demokrasi dengan mengambil pandangan-pandangan para sahabatnya, dan akan membuat keputusan berdasarkan suara majoriti.

Peristiwa Perjanjian Aqobah pertama dan kedua juga menunjukkan bahawa kuasa rakyat menjadi tonggak dalam pemilihan pemerintah. Berdasarkan peristiwa perjanjian ini, para ulama Islam sejak dahulu lagi menegaskan bahawa kekuasaan pada asalnya berada di tangan rakyat. Oleh sebab itu, kekuasaan tidak boleh dipaksa tanpa ada kerelaan dari hati rakyat sendiri. Tanda rela dan setia rakyat terhadap kekuasaan atau pemerintah yang memerintah mereka ialah dalam bentuk Bi’ah atau taat setia.

Berdasarkan prinsip demokrasi ini, ajaran Islam menolak sekeras-kerasnya perebutan kuasa secara paksaan tanpa kerelaan rakyat. Sedangkan sesuatu kekuasaan harus diperolehi melalui rakyat secara sukarela tanpa paksaan.

Nilai Demokrasi yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah diteruskan oleh para sahabatnya. Tanpa meninggalkan sebarang wasiat siapa penganti baginda, kewafatan baginda memberi petunjuk bahawa sistem Demokrasi harus dijalankan sepertimana ketika baginda masih hidup. Pada pemilihan Khalifah yang diadakan di dewan Bani Saadah, Madinah, Abu Bakar terpilih menjadi Khalifah pertama umat Islam berdasarkan sokongan majoriti di kalanngan para sahabat.

Islam menjalankan sistem Demokrasi dalam apa jua sekalipun. Sehinggakan sekecil-kecil perkara pun, Islam meraikan Demokrasi dan mengambil berat tentang halnya. Misalnya pemilihan imam turut terpengaruh dengan sistem Demokrasi, sepertimana yang dikatakan Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Tirmidzi yang bermaksud: “Tiga golongan akan mendapat siraman kasturi pada hari kiamat adalah; Hamba yang memenuhi hak Allah dan hak tuannya, lelaki yang mengimami satu kaum dan kaum tersebut merelakannya dia menjadi imam, dan seorang lelaki yang mengajak untuk solat lima waktu setiap hari.”


Jika dalam soal siapa imam juga dilaksanakan melalui pemilihan secara demokrasi, inikan pula dalam urusan politik yang bakal menentukan nasib rakyat dan negara. Profesor Dr.Yusuf al-Qardhawi menyatakan dalam kitabnya Feqh Daulah (Feqh Kenegaraan), kata beliau, “Sangat menghairankan ada sebahagian manusia yang menghukum Demokrasi sebagai kufur yang jelas dan pasti. Padahal dia belum tahu secara tepat apa itu Demokrasi, belum mendalami apa erti sebenar Demokrasi dan isi-isinya. Barangsiapa yang menetapkan hukum tentang sesuatu padahal dia tidak mengetahuinya secara pasti, maka pandangannya itu cacat dan batil walaupun secara kebetulan pandangan dia itu benar.”

Beliau menambah lagi, “Orang muslim yang mengajak kepada sistem Demokrasi, dengan pertimbangan bahawa Demokrasi itu adalah sebuah penetapan hukum yang menyatukan dengan prinsip-prinsip politik Islam dalam memilih seorang pemimpin dan menetapkan syura, melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar, melawan kezaliman, menolak kederhakaan terutama jika kederhakaan itu menjurus kepada kufur yang jelas berdasarkan bukti keterangan dari Allah. Diantara bukti yang mengukuhkan hal ini adalah, dalam teks undang-undang ada yang menyatakan: “Agama Negara adalah Islam dan syariat Islam menjadi rujukan undang-undang.” Ini menguatkan bahawa kedaulatan Allah dalam menetapkan hukum dan kedaulatan syariat-Nya. Oleh itu, ajakan untuk kepada sistem Demokrasi tidak boleh dianggap sebagai kufur, kerana selagi tidak ada penetangan dengan syariat maka ia dibolehkan.”


Islam menyerang dan menolak kepimpinan yang autokratik dan zalim. Pemimpin yang tidak dapat menerima pandangan dan kritikan adalah pemimpin yang tidak layak diangkat sebagai calon pada pemilihan raya akan datang. Berdasarkan sebuah hadis direkodkan oleh Tabrani dan juga dalam Sahih al-Jami’ as-Soghir, bahawa Nabi Muhammad mengambarkan pemimpin yang tidak boleh dikritik dan ditegur sebagai kera yang melompat.

Selain itu, Islam juga menolak dan menyanggah rakyat yang memilih dan mendokong pemimpin yang zalim dan dikenali dengan kejahatannya dan penentangannya terhadap Allah dan Rasul. Allah telah menceritakan bagaimana Dia telah menghancurkan kaum Ad yang menuruti perintah penguasanya yang menentang Allah dan Rasul. Firman Allah, “Dan itulah (kisah) kaum 'Ad yang mengingkari tanda-tanda kekuasaan Tuhan mereka, dan menderhakai rasul-rasul Allah dan mereka menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi menentang (kebenaran).” (surah Hud 11: 59)


Bagi mengukuhkan amaran Allah seperti di atas, Nabi Muhammad turut memperincikan dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad, bahawa baginda tidak mengakui sebagai umatnya sesiapa yang mendokong dan membenarkan kezaliman yang dilakukan para pemimpin. Amaran keras ini adalah sebuah perintah untuk umatnya agar tidak tergelincir dari mainan dan tipu daya pemimpin yang zalim.


Seorang pemimpin harus bersedia untuk menerima pandangan, adil, amanah dan sedia untuk dikritik. Malahan seorang pemimpin itu harus menjadi tauladan kepada orang yang mereka pimpin. Kredibiliti Saidina Abu Bakar sangat terserlah semenjak hari pertama beliau dilantik menjadi Khalifah. Abu Bakar telah berkata, “Wahai semua manusia, sesungguhnya aku telah diangkat menjadi pemimpin kalian, tetapi aku bukanlah orang terbaik dikalangan kalian. Jika kalian melihat aku berada diatas kebenaran, maka ikutlah aku. Dan jika kalian melihat aku berada dalam kebatilan, maka luruskanlah aku. Taatlah kepadaku selagi aku takut pada Allah ditengah kalian, dan jika aku derhaka kepada Allah, maka tidak ada kewajiban bagi kalian untuk mentaatiku.”

Bagi pemimpin yang bakal dipilih oleh rakyat, renungilah sabda Nabi ini bagi memberi rawatan kepada hati-hati yang sudah mula bersenang-senang. Dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh al-Hakim dan At-Tabrani, Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya didalam neraka jahanam ada sebuah lembah. Dalam lembah itu ada sebuah sumur yang dipanggil Habhab. Ada hak bagi Allah untuk menempatkan di dalamnya setiap pemimpin yang bersenang-senang lagi menentang kebenaran.”


____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Saturday, July 4, 2009

HERMENEUTIKA OTORITER


Sistem Authoritarian pernah saya sentuh beberapa ketika dahulu. Khaled Abou El Fadl menjelaskan bahawa Authoritarian bermaksud, “Authoritarianism is the act of “locking” or captivating the Will of Divine or the will of the tex into the spesific determination, and then presenting this determination as inevitable, final, and conclusive.” (Otoritarianisme adalah tindakan “mengunci” atau mengurung Kehendak Tuhan atau kehendak teks, dalam sebuah penetapan tertentu, dan kemudian menyajikan penutupan tersebut sebagai sesuatu yang pasti, absolut dan menentukan).

Saya menyentuh dan mengkritik sistem ini kerana, ia membantutkan potensi intelektual dari terus berkembang. Sistem ini semacam satu kuasa diktatorian dalam membataskan manusia untuk mempelbagaikan pandangan. Dengan cuba menguasai satu-satu pandangan sahaja, tanpa memberi ruang dan peluang kepada pandangan lain.



Cita-rasa Authoritarian ini melalui pandangan mata kasar saya, banyak yang terjerumus ialah mereka yang memiliki ilmu pengatahuan agama. Saya tidak mengatakan bahawa mereka yang mempunyai ilmu pengatahuan agama sentiasa bersikap begitu. Tidak. Tapi kebanyakkan mereka Ya.

Mereka menjadi Authoritarian dalam agama tanpa disedari. Misalannya mudah, iaitu apabila mereka hanya membaca dan memahami agama melalui penulisan-penulisan Ulama’-ulama’ yang mereka persetujui sahaja. Kemudian, tanpa menoleh dan meninjau pandangan-pandangan agama dari kelompok Orientalis dan liberalis atau sesiapa dan kelompok pemikir yang lain –yang sentiasa mengkritik dan berhujah melalui sudut pandangan baru mereka- kita terus mengharamkan minda kita dan orang lain, dari memahami apa yang cuba mereka sampaikan.

Kita tidak boleh selamanya membaca pandangan-pandangan agama dari pandangan yang membenarkan apa yang kita sudah rasa ia benar. Tetapi minda harus menjadi kritikal dalam proses membina intelektual di dalam kepelbagaian pandangan. Kita tidak kata harus mengambil 100% pandangan mereka, tetapi kita menilai dan mempertimbangkan mengapa dan bagaimana pandangan mereka itu dapat memperkuatkan pandangan benar kita.

Ya, slogan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah itu adalah slogan yang harus diperjuangkan sehingga akhir hayat sebagai seorang Muslim. Namun, jika bahan bacaan kita tidak dipelbagaikan dan minda kita tertutup kepada pandangan-pandangan liar lain. Kita akan ketinggalan dalam proses menjadi matang dalam dunia intelektual.

Lihat sahaja, forum-forum perbincangan agama di laman sesawang mana-mana pun. Perbincangan leleh dan lelah seperti bagaimana mahu menjadi Salafi, Adakah Wahabi ini benar atau salah, Adakah Yassin itu bid’ah atau tidak dan pelbagai lagi, tidak pernah kunjung padam. Dari pihak yang mempertahankan, dan juga pihak yang menghentam tanpa pengetahuan, dua-duanya lebih fokus kepada inteletual dalaman yang tidak akan membawa lonjakan intelektual yang bermanfaat untuk umat.

Pertelingkahan demi pertelingakahan di atas nama “perbincangan ilmiah” yang penuh emosi dari lebih ilmiahnya, semakin menjelikkan. Penganut agama lain khususnya Kristian, telah jauh dari penganut agama lain dalam membina institut intelektual dalam masa yang sama bergiat cergas meramaikan penganut mereka. Bermula di England pada tahun 1791, persengkataan antara Katolik dan Protestan dan sekta-sekta Kristian yang lain cuba dipadamkan. Demi satu agenda besar dunia Kristian untuk mengkristiankan seluruh manusia, khususnya Umat Islam. Pada masa yang sama, dunia inteletual mereka terus berkembang, tanpa berkisar hal-hal yang kecil.

Umat Islam pula, terus hanyut dibuai kemewahan dan hiburan yang melampau. Dunia intelektual Islam layu dan sembam. Umat Islam tidak menggunakan kelebihannya sebagai umat yang terpilih untuk menjadi orang yang terpilih di kalangan manusia. Umat Islam terus di dalam dilema dan pertelingakahan yang tidak kesudahan. Intelektualism terus ditinggalkan, manakala sikap Authoritarian semakin menjadi-menjadi dalam kehidupan beragama. Penafsiran sesuatu dari satu kelompok, menjadi kata pemutus untuk setiap masalah yang muncul dalam agama. Pandangan lain yang tidak selari atau tidak seiring dan sekata, dilihat sebagai pandangan radikal dan sesat.

Sikap Authoritarian ini seharusnya hanya diletakkan pada dua tempat sahaja. Iaitu Quran dan Sunnah. Tetapi penafsiran terhadap kedua-dua ini, tidak harus menjadi tempat orang lain membina Authoritarian yang sama taraf dengan kedua-duanya ini.

Kita menjadi Authoritarian apabila kita membataskan ruang lingkup tajuk pembacaan kita. Hanya buku-buku yang sama manhaj atau metod kita sahaja kita baca. Yang lain, semacam “sampah”. Pemikiran sebegini, adalah pemikiran bejat yang harus dibuang. Kita tidak boleh membina instititut intelektual di dalam minda kita jika hanya membataskan kepada satu pemikiran sahaja. Kerana ia akhirnya akan membina sikap Authoritarian dalam semua perkara. Sehinggakan kita akan dilabel sebagai “Penjumud Keintelektualan Minda” atau lebih sesuai dengan nama “hermeneutika otoriter”

____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com