Saturday, July 4, 2009

HERMENEUTIKA OTORITER


Sistem Authoritarian pernah saya sentuh beberapa ketika dahulu. Khaled Abou El Fadl menjelaskan bahawa Authoritarian bermaksud, “Authoritarianism is the act of “locking” or captivating the Will of Divine or the will of the tex into the spesific determination, and then presenting this determination as inevitable, final, and conclusive.” (Otoritarianisme adalah tindakan “mengunci” atau mengurung Kehendak Tuhan atau kehendak teks, dalam sebuah penetapan tertentu, dan kemudian menyajikan penutupan tersebut sebagai sesuatu yang pasti, absolut dan menentukan).

Saya menyentuh dan mengkritik sistem ini kerana, ia membantutkan potensi intelektual dari terus berkembang. Sistem ini semacam satu kuasa diktatorian dalam membataskan manusia untuk mempelbagaikan pandangan. Dengan cuba menguasai satu-satu pandangan sahaja, tanpa memberi ruang dan peluang kepada pandangan lain.



Cita-rasa Authoritarian ini melalui pandangan mata kasar saya, banyak yang terjerumus ialah mereka yang memiliki ilmu pengatahuan agama. Saya tidak mengatakan bahawa mereka yang mempunyai ilmu pengatahuan agama sentiasa bersikap begitu. Tidak. Tapi kebanyakkan mereka Ya.

Mereka menjadi Authoritarian dalam agama tanpa disedari. Misalannya mudah, iaitu apabila mereka hanya membaca dan memahami agama melalui penulisan-penulisan Ulama’-ulama’ yang mereka persetujui sahaja. Kemudian, tanpa menoleh dan meninjau pandangan-pandangan agama dari kelompok Orientalis dan liberalis atau sesiapa dan kelompok pemikir yang lain –yang sentiasa mengkritik dan berhujah melalui sudut pandangan baru mereka- kita terus mengharamkan minda kita dan orang lain, dari memahami apa yang cuba mereka sampaikan.

Kita tidak boleh selamanya membaca pandangan-pandangan agama dari pandangan yang membenarkan apa yang kita sudah rasa ia benar. Tetapi minda harus menjadi kritikal dalam proses membina intelektual di dalam kepelbagaian pandangan. Kita tidak kata harus mengambil 100% pandangan mereka, tetapi kita menilai dan mempertimbangkan mengapa dan bagaimana pandangan mereka itu dapat memperkuatkan pandangan benar kita.

Ya, slogan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah itu adalah slogan yang harus diperjuangkan sehingga akhir hayat sebagai seorang Muslim. Namun, jika bahan bacaan kita tidak dipelbagaikan dan minda kita tertutup kepada pandangan-pandangan liar lain. Kita akan ketinggalan dalam proses menjadi matang dalam dunia intelektual.

Lihat sahaja, forum-forum perbincangan agama di laman sesawang mana-mana pun. Perbincangan leleh dan lelah seperti bagaimana mahu menjadi Salafi, Adakah Wahabi ini benar atau salah, Adakah Yassin itu bid’ah atau tidak dan pelbagai lagi, tidak pernah kunjung padam. Dari pihak yang mempertahankan, dan juga pihak yang menghentam tanpa pengetahuan, dua-duanya lebih fokus kepada inteletual dalaman yang tidak akan membawa lonjakan intelektual yang bermanfaat untuk umat.

Pertelingkahan demi pertelingakahan di atas nama “perbincangan ilmiah” yang penuh emosi dari lebih ilmiahnya, semakin menjelikkan. Penganut agama lain khususnya Kristian, telah jauh dari penganut agama lain dalam membina institut intelektual dalam masa yang sama bergiat cergas meramaikan penganut mereka. Bermula di England pada tahun 1791, persengkataan antara Katolik dan Protestan dan sekta-sekta Kristian yang lain cuba dipadamkan. Demi satu agenda besar dunia Kristian untuk mengkristiankan seluruh manusia, khususnya Umat Islam. Pada masa yang sama, dunia inteletual mereka terus berkembang, tanpa berkisar hal-hal yang kecil.

Umat Islam pula, terus hanyut dibuai kemewahan dan hiburan yang melampau. Dunia intelektual Islam layu dan sembam. Umat Islam tidak menggunakan kelebihannya sebagai umat yang terpilih untuk menjadi orang yang terpilih di kalangan manusia. Umat Islam terus di dalam dilema dan pertelingakahan yang tidak kesudahan. Intelektualism terus ditinggalkan, manakala sikap Authoritarian semakin menjadi-menjadi dalam kehidupan beragama. Penafsiran sesuatu dari satu kelompok, menjadi kata pemutus untuk setiap masalah yang muncul dalam agama. Pandangan lain yang tidak selari atau tidak seiring dan sekata, dilihat sebagai pandangan radikal dan sesat.

Sikap Authoritarian ini seharusnya hanya diletakkan pada dua tempat sahaja. Iaitu Quran dan Sunnah. Tetapi penafsiran terhadap kedua-dua ini, tidak harus menjadi tempat orang lain membina Authoritarian yang sama taraf dengan kedua-duanya ini.

Kita menjadi Authoritarian apabila kita membataskan ruang lingkup tajuk pembacaan kita. Hanya buku-buku yang sama manhaj atau metod kita sahaja kita baca. Yang lain, semacam “sampah”. Pemikiran sebegini, adalah pemikiran bejat yang harus dibuang. Kita tidak boleh membina instititut intelektual di dalam minda kita jika hanya membataskan kepada satu pemikiran sahaja. Kerana ia akhirnya akan membina sikap Authoritarian dalam semua perkara. Sehinggakan kita akan dilabel sebagai “Penjumud Keintelektualan Minda” atau lebih sesuai dengan nama “hermeneutika otoriter”

____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

No comments:

Post a Comment