Saturday, October 31, 2009

ANDA LAYAK BERPOLIGAMI?


“Kalau diberi peluang untuk beristeri lebih dari seorang, encik nak tak?” Seorang lelaki tua berbaju biru tiba menyoal saya.

“Eh, kenapa pakcik tanya macam tu?” Saya terkejut, tetiba ditanya. Pakcik tadi memuncungkan mulutnya pada buku yang sedang saya baca.

“Ohhhh…” Patutlah, pakcik di sebelah saya ini turut tumpang sekaki membaca buku yang sedang saya baca.

Perjalanan dari KL Sentral ke Seremban menaiki Komuter seperti sebuah perjalanan yang panjang. Dengan kelewatan yang berpanjangan, dan orang ramai yang terlalu mementingkan diri membuatkan saya malas untuk berebut-rebut untuk masuk ke dalam komuter. Saya mahu naik komuter yang seterusnya, walaupun lambat sejam.


Saya buka buku Ask Brother Shah yang sedang saya terjemahkan. Membaca kembali tajuk Why Poligamy membuatkan saya bertambah sayang dengan Islam. Tidak sangka pula, pakcik yang berada di sebelah saya turut ikut membaca secara ‘curi-curi’.


“Mengapa Islam mempromosi Poligami? Bukankah lebih baik beristeri seorang sahaja seperti agama Kritian dan Hindu.” Soalan ini sering diajukan apabila idea poligami disuarakan.


Lebih-lebih lagi apabila Seminar perbandingan agama dijalankan. Soalan ini bukan sahaja ditanya oleh orang bukan Islam, malahan orang Islam sendiri!

Pertamanya, kita perlu membetulkan salah faham yang mengatakan Islam mempromosi Poligami. Yang sebenarnya, poligami telah wujud beratus tahun sebelum al-Quran diwahyukan kepada Nabi Muhammad sallahu-alaihi wasalam. Malahan dalam al-Quran tidak ada satu pun ayat yang boleh difahami bahawa Islam mempromosi poligami.


Apa yang Al-Quran jelaskan hanyalah batasan maksimum seseorang suami boleh memiliki isteri. Sepertimana yang disebutkan dalam surah an-Nisa 4:3, “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengawininya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”


Sebelum turunnya ayat di atas, Poligami adalah sesuatu perkara yang biasa di kalangan kaum lelaki di seluruh dunia. Poligami yang diamalkan tiada batasan, lelaki boleh memiliki seberapa banyak wanita yang ingin dikahwini. Dua, tiga, sepuluh mahupun seribu, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang.


Menariknya, keizinan untuk berkahwinan lebih dari seorang sehingga kepada empat mempunyai syarat yang ketat, iaitu KEADILAN. Sememang untuk berlaku adil terhadap para isteri adalah sukar, sepertimana yang diperingatkan oleh Allah dalam surah an-Nisa ayat 129, “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, karena itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”


“Betul ke agama Kristian dan Hindu melarang penganutnya beristeri lebih dari seorang.” Pakcik sebelah saya tanya ragu-ragu. “Eh macam tipu je..” Saya pandang muka pakcik tersebut. Dalam hati saya, “Dia tanya kita, dia jawab balik.”


Ya memang benar. Dakwaan bahawa agama Kristian dan Hindu melarang penganutnya berpoligami adalah tidak benar.

Misalnya agama Kristian, di dalam kitab suci mereka yang bernama Bible, penuh di dalamnya merekodkan bahawa Nabi-Nabi mereka berpoligami.

Misalnya Nabi Ibrahim direkodkan bahawa mempunyai tiga orang Isteri, iaitu Sarah, Hajar dan Keturah (.Bible: Genesis 25), Nabi Daud mempunyai banyak Isteri (Bible : 2 Samuel 12:2), dan Nabi Sulaiman mempunyai Tujuh ratus isteri dan Tiga ratus gundik (Bible: 1 Kings 11:3).

Catatan-catatan bible tersebut, sebenarnya telah menafikan dakwaan bahawa Kristian mengharamkan Poligami. Begitu juga dengan agama Hindu, tidak ada satu ayat pun dalam kitab suci mereka mengharamkan Poligami.

Malah di dalam kitab-kitab suci mereka seperti Kandha Puranam, Ramayana dan Srimad Bhagavatam, ada merekodkan Tuhan-tuhan mereka mengamalkan Poligami.

Misalnya Krishna mempunyai 16,081 isteri, dan Raja Dasharata (Ayah kepada Rama) mempunyai tiga orang isteri; Kousalya, Sumitra dan Kaikeyi.

Sekali lagi, catatan-catatan dari kedua-dua kitab suci agama ini telah menafikan dakwaan bahawa agama mereka menolak poligami!


Poligami dalam Islam tidak dilihat hanya sebagai alat untuk memuaskan nafsu lelaki, tetapi ia sebagai mekanisma sesebuah masyarakat meletakkan beban tanggungjawab yang lebih kepada mana-mana lelaki yang sanggup untuk mempunyai lebih isteri. Malahan sistem ini memberi perlindungan yang sangat besar kepada wanita.

Tidak seperti perempuan simpanan, isteri kedua, ketiga, dan keempat di dalam Islam dilindungi sepenuhnya dan mereka mempunyai hak keatas perundangan. Perkahwinan mereka diakui.

Anak yang mereka lahirkan adalah anak sah, dan jika suami mereka meninggal, isteri-isteri dan anak-anak si suami dijamin mendapat harta warisan mengikut sistem faraid.

Saya membuat kesimpulan sendirian; tanpa dipengaruhi pakcik di sebelah saya. Bahawa, mereka yang memandang poligami sebagai sistem yang menindas dan tidak elok, kerana mereka melihat dan memahaminya dari sudut pandangan manusia biasa, tidak berdasarkan akal rasional dan releven.

Sebagai seorang Muslim saya berbangga dan bersyukur bahawa Islam menyediakan sistem yang cukup baik untuk manusia. Malahan para wanita harus bersyukur bahawa Allah telah membina sistem poligami yang sebenarnya manfaatnya lebih banyak untuk wanita berbanding lelaki.


“Jadi, sekarang ini pakcik nak berpoligami-lah?” Tanya saya sebelum menaiki komuter yang sudah sampai.


“Err.. Pakcik tak mampu, seorang pun tak terjaga.” Kelihatan gigi yang rongak bila pakcik tersebut senyum pada saya. Saya menganggukkan kepala, kemudian terus tenggalam dalam kesesakan manusia di dalam komuter.




____________________________________________________________________


© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Thursday, October 22, 2009

CATATAN SEMALAM MENCARI REDHA



Semasa Padang mengalami gemba bumi dan ramai yang terbunuh. Berbagai perasaan berbaur, ada sedih dan ada juga syukur.

Syukur kerana Malaysia di luar garisan gempa.

Sedih kerana ramai sahabat saya berada di situ.

Minda bawah sedar saya merenung kembali mencari-cari pengalaman semasa berada di Padang setahun lepas. Saya berkunjung di atas tiket Kajian Kebudayaan, Sosial, Ekonomi dan Agama, khususnya yang berkaitan dengan remaja, yang ditaja oleh Multimedia Universiti.

Kunjungan selama seminggu membuahkan silatur-rahim yang erat antara Delegasi MMU dengan wakil pelajar Universiti Andalas, Padang.

Saya secara peribadi mempunyai seorang kenalan rapat di sana. Maldo, seorang pelajar perladangan yang sangat baik akhlaknya dan budi bahasanya.


Saya dan Maldo


Setiap lawatan yang membabitkan kajian, beliau sentiasa menami saya. Sehinggakan saya segan diperlakukan dengan sebegitu baik.

Orang Padang, mewarisi adab dan akhlak yang baik dari generasi nenek-moyang mereka. Masyarakat Padang kaya dengan tradisi dan budaya menjaga tetamu. Tetamu dijadikan persis saudara kandung.

Cerita-cerita tidak baik tentang masyarakat Padang yang sebelum ini saya dengar, hilang begitu sahaja dibawa angin. Melihat mereka yang baik, bagi saya ia sebenarnya mewakili keseluruhan orang-orang Padang khususnya

Apabila berita buruk mengenai Padang menimpa, saya antara beribu orang yang khusyuk dan sering mencari berita tentang keadaan di sana. Alhamdulillah, sahabat-sahabat yang saya kenali selamat dan tidak ada apa-apa.

Cerita-cerita tidak enak yang saya baca, tentang orang-orang Padang membaling batu ke arah helicopter milik Tentera Di-raja Malaysia, sedikit membuatkan hati saya teruris. Tetapi saya sedar bahawa mereka mungkin tidak mengetahui cerita sebenar tentang permusuhan golongan jahil bernama Bendera terhadap Malaysia.

Tidak mengapalah, masih ramai yang mengetahui bahawa tiada permusuhan antara Malaysia dan Indonesia. Saya masih lagi memberi tempat duduk kepada wanita Indonesia yang sedang mendukung anaknya semasa di stesyen LRT. Kerana saya faham, bahawa dendam tidak membawa penyelesaian.

Sangat banyak yang ingin saya kongsikan. Pengalaman, cerita-cerita unik dan pelbagai lagi yang saya dapat semasa membuat kajian dan kebajikan di sana. Tetapi memori itu belum sampai masa lagi untuk dikongsi bersama.

Mungkin ini antara tulisan yang paling pendek pernah saya tulis. Saya keletihan kerana berfikir dan merenung. Betapa Allah telah lama mengangkat ilmu sedikit demi sedikit dari manusia, dengan memanggil para Sarjana dan Cendikiawan Islam meninggalkan kita.

Semalam Syeikhuna Muhammad Adib al-Kallas seorang Ulama besar Syria bermazhab Hanafi meninggal dunia. Tidak ada ungkapan yang lebih mulia dapat diucapkan melainkan ucapan, Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un (Sesungguhnya dari Allah kami datang, dan kepada Allah juga kami pergi).


Syeikhuna Muhammad Adib al-Kallas


Betullah sepertimana yang Rasulullah shallahu-alaihi wasalam bersabda, “Allah tidak menghapuskan ilmu (Addin) dengan cara mencabutnya dari dada seluruh manusia tetapi dengan jalan mewafatkan para Ulama’. Apabila Ulama’ sudah habis, umat manusia mengangkat orang bodoh menjadi pemimpin mereka. Lalu mereka bertanya kepada para pemimpin yang bodoh. Si pemimpin seperti memberi fatwa tanpa pengetahuan, menyesatkan orang banyak maka sesatlah mereka semuanya” (Hadith direkodkan oleh Imam Muslim)

Firman Allah, “Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah at-Taghabun 64:11)



_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Thursday, October 8, 2009

Sebuah teguran suci dan jujur kepada Al-fadhil al-‘alim as-Syeikh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.

Tulisan ini bukanlah untuk mencari permusuhan antara kita dengan Al-Fadhil al-‘Alim as-Syeikh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady. Dan jauh sekali untuk mengajar Al-Fadhil yang lebih arif dan alim dalam pengetahuan agama.

Al-Fadhil adalah seorang yang merdeka dan berhak untuk membantah fahaman dalam agama Islam yang tidak beliau setujui.

Malahan pasti bagi kita, al-Fadhil bersetuju dalam setiap perkara manusia tidak pernah sama (kecuali dalam akidah), kerana masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza.

Boleh jadi, perbezaan pandangan ini sebenarnya memberi rahmat dan percambahan intelektual pada diri umat Islam yang mencintai ilmu.

Kita juga pasti, al-Fadhil bersetuju bahawa kebenaran itu lebih kita cintai dari mana-mana tokoh yang kita sayangi. Malahan perbezaan pandangan ini seharusnya lebih menanamkan rasa kasih dan sayang antara kita. As-Syauqi dalam sebuah syairnya ketika mendendangkan perihal perbezaan pandangan ini berkata, “Perbezaan pandangan tidak boleh merosak rasa saling menyayangi.”

Di dalam artikel yang bertajuk “Terjemahan kitab Al-Radd ‘ala al-Wahabiyah oleh Sayyid Zaini Dahlan” oleh al-Fadhil ke majalah Milenia edisi bulan Ogos 2009 bilangan ke 84 ada beberapa perkara yang harus diperhatikan semula. Kitab yang ditulis oleh As-sayyid Zaini Dahlan ini sebenarnya banyak di dalamnya fitnah yang besar dan batil terhadap al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab. Malahan mengenai musafir menziarahi makam Rasulullah sebenarnya telah disalah-fahami oleh As-Sayyid Zaini Dahlan terhadap kalam Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab.


1. Penjelasan tentang menziarahi makam Rasulullah

Al-Imam Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab tidak pernah melarang umat Islam untuk menziarahi makam Rasulullah. Tetapi yang beliau larang ialah berniat semata-mata datang ke Madinah untuk menziarahi Rasulullah ataupun memasukkan sekali menziarahi makam rasullullah dalam manasik haji.

Sebetulnya ialah, berniat untuk datang ke Madinah adalah untuk melakukan solat di dalam Masjid Nabawi. Dalam masa yang sama, meluangkan masa untuk menziarahi makam Rasulullah.

Larangan untuk melakukan perjalanan (musafir) semata-mata untuk menziarahi Rasulullah mencakupi semua tempat dan semua kuburan, sehingga tidak boleh pula untuk tujuan shalat, memohon berkat atau beribadah. Menziarahi kubur tidak boleh menjadi niat utama dalam perjalanan menuju ke Madinah.

Walaubagaimanapun menziarahi makam Rasulullah adalah salah satu adab dan digalakkan kepada seluruh umat Islam. Hikmah perintah menziarahi kubur (bukan sahaja tertaluk kepada makam Rasulullah) adalah untuk mengingatkan manusia kepada akhirat, dan orang-orang yang telah mati.

Larangan untuk menjadikan ziarah ke makam Rasulullah sebagai niat utama disebabkan mahu mengelakkan umat Islam menjadikan amalan menziarahi makam Rsulullah sebagai ‘id iaitu amalan berkunjung berulang-ulang dan menjadi rutin.

Nabi Muhammad alahi-wasalam telah bersabda, “ Janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian sebagai kuburan, dan janganlah kalian menjadikan kuburanku sebagai sesuatu (yang dikunjungi berulang-ulang secara) rutin. Berselawatlah kalian kepadaku, kerana sesungguhnya selawat kalian disampaikan kepadaku di mana pun kalian berada.” (Hadith direkodkan Abu Daud dalam Al-Manasik (2042), dan Ahmad (2/367) )

Salah faham As-Sayyid Zaini Dahlan terhadap apa yang ditulis oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab telah ditiru bulat-bulat oleh Yusuf al-Nabhani dalam kitabnya yang bertajuk Syawahid al-Haq fi al-Istighosah bi Sayyid al-Khalq. Malahan ramai lagi yang tersalah faham dengan tulisan Syeikh Muhamad bin Abdul Wahab, antaranya Muhammad Najib dalam kitabnya Sawqih dalam Tabyin al-Haq wa al-Sawwab, dan Muhammad Tahir Yusuf dalam kitabnya Quwwah al-Difa’ wa al-Hujum.

Bagi menjawab tuduhan-tuduhan ini Syeikh Muhamad bin Abdul Wahab dengan sendiri telah membantah segala tuduhan ini di Makkah pada bulan Muharam tahun 1218H. Kata beliau, “Kami menetapkan kemuliaan Nabi kita Muhammad sallahu ‘alayhi wa sallam melebihi kemuliaan makhluk lainnya secara mutlak. Baginda hidup di dalam kuburnya menerusi kehidupan alam barzakh melebihi kehidupan para syuhada’ sebagaimana termaktub dalam al-Quran. Baginda mendengar ucapan salam yang diucapkan ke atasnya serta mengenali para penziarah yang menziarahi kuburnya.

Namun Nabi sallahu ‘alayhi wa sallam tidak pula mengarahkan bermusafir melainkan untuk menziarahi masjidnya serta bersolat di dalamnya. Walaubagaimanapun sekiranya seseorang itu berniat untuk menziarahi Nabi sallahu ‘alayhi wa sallam berserta dengan niat menziarahi masjid serta solat di dalamnya, maka ia tidak mengapa. (Rujuk Al-Durar al-Saniyyah jil 1, hlmn 127-128)


2. Penjelasan hadith-hadith yang dinukilkan dalam artikel

Dalam artikel yang ditulis kembali oleh al-fadhil ini, kita beranggapan bahawa beliau tidak sengaja atau terlupa untuk menyemak kembali hadith-hadith yang digunakan. Antara hadith-hadith tersebut ialah:

1. Barangsiapa yang menziarahiku setelah aku mati, maka seolah-olah ia menziarahi ketika aku masih hidup. (Hadith direkodkan Ad-Daru Quthni (2/278), Al-Baihaqi (5/246), Ibnu Adi dalam Al-Kamil (2/382). Lihat As-Silsilah Adh-Dha'ifah (47, 1021)

[Ulasan Hadith : Hadith ini semuanya dari sanad Hafsh bin Sulaiman dari Laits bin Abi Sulaim. Sanad hadith ini lemah kerana lemahnya Laits bin Abi Sulaim, oleh karena terbukti bahawa beliau mencampur-aduk hadith. Manakala Hafsh bin Sulaiman yang dinamakan juga al-Gadhri sangat lemah seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Hajar dalam kitabnya at-Taqrib, bahkan Ibnu Muin menyatakan sebagai pendusta dan pemalsu hadith. ]

2. Barangsiapa yang menziarahiku, maka aku menjadi pemberi syafa'at atau menjadi saksi baginya. (Hadith direkodkan oleh Ath-Thayalusi (65), Al-Baihaqi (5/245). Lihat Irwa'ul Ghalil (1127). )

[Ulasan Hadith: Hadits ini mungkar kerana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama Musa bin Hilal Al ‘Abdi. Beberapa ulama ahli hadith seperti Abu Hatim, Al Bukhari, An Nasai, Al Hakim, Ibnu Abdil Hadi, Ibnu Hajar dan Al Baihaqi sendiri (yang meriwayatkan hadits tersebut) mengkritik perawi tersebut.]

3. Barangsiapa yang menunaikan haji ke Baitullah walhal dia tidak menziarahiku maka sesungguhnya dia bersikap kasar kepadaku.”

[Ulasan hadith: Ini hadits maudhu'. Hal ini telah ditegaskan oleh adz-Dzahabi dalam kitabnya yang bertajuk al-Mizan jilid 3 halaman 237. Begitu juga dengan Syeikh ash-Shaghan di dalam kitab al-Ahadith al-Maudhuiyah halaman 46.]

Setelah disemak dan diteliti kembali, semua hadith-hadith ini batil, tidak ada asalnya, para ulama hadith telah menjelaskan kebatilannya. Para ulama ahli hadith menegaskan bahwa sanad-sanadnya lebih lemah daripada sarang labah-labah.

Di antara para ulama yang menegaskannya adalah Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi, an-Nawawi, al-‘Uqaili, adz-Dzahabi, as-Suyuthi dan yang lainnya.

Malahan hadith-hadith yang berkenaan dengan ziarah makam Rasulullah tidak ada seorang pun dari ahli hadis seperti Bukhari, Muslim atau Ashabus Sunan seperti Abi Daud dan Nasaii, malah tidak seorang pun dari para ahli sanad seperti Ahmad dan yang semisal dengannya seperti imam-imam fikeh seumpama Malik, Syafie, Ahmad, Ishak, at-Thauri, Awzaii, Abi Hanifah dan yang semisal dengan mereka yang meriwayatkannya.

Barangsiapa yang ingin tahu kedhaifan sanad dan kemungkaran matan riwayat-riwayat di atas, bolehlah membaca kitab ash-Shaarimul Munki fir Radd 'Alas Subki karangan al-Hafizh Ibnu 'Abdil Hadi.

Beliau telah mengumpulkan dan memeriksa hadith-hadith yang berkaitan dengan ziarah Rasulullah. Beliau menyebutkan hadith-hadith tentang ziarah kubur satu persatu lalu membicarakan kelemahannya serta ulasan para ulama tentangnya.

Tambahan itu, antara kitab-kitab yang mengulas kedhaifan dan kepalsuan hadith-hadith di atas ialah ialah dalam buku At-Talkhis al-Habir jilid 2 halaman 507-509, Fadhail Madinah halaman 583-595, As-Silsilah Ad-Dhaifah Jilid 1 halaman 61-63, Tanbih Zair al-Madinah halaman 16-30, bantahan terhadap Al-Akhna'i karya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, bantahan terhadap As-Sabaki karya Ibnu Abdil Hadi dan bantahan terhadap An-Nabhani karya Al-Alusiy. Hendaknya kita tidak terpedaya oleh orang yang berdalih dengan hadith-hadith tersebut.


3. Pengakuan Ulama besar terhadap As-Sayyid Zaini Dahlan ini?

Syeikh Fauzan al-Sabiq dalam kitabnya yang bertajuk Al-Bayan wa al-Isyhar menyatakan, “Sebahagian para ulama besar Makkah mengulas tentang Dahlan seperti berikut: “Berdasarkan penelitian didapati bahawa hasil karya Dahlan laksana bangkai yang tidak boleh dimakan kecuali oleh orang yang berada dalam keadaan terdesak.” Oleh itu ia ditolak oleh kebanyakkan para ulama di India, Iraq, Najd serta selainnya dengan mendedahkan segala bentuk kesesatan yang terdapat di dalamnya.

Aku dapati dari beberapa alim ulama berdasarkan dokumen para ilmuan Islam yang berkata berkenaan Dahlan seperti berikut: “Hakikatnya Dahlan seorang Rafidhi (Syiah Rafidhah) namun menyembunyikan pegangannya dengan bertaklid kepada salah satu dari mazhab yang empat.” Di antara bukti menunjukkan Dahlan seorang Rafidhi yang hanya bertopengkan mazhab Ahlu-Sunnah khasnya mazhab yang mulia al-Imam Syafie’ rahimahullah ialah sebuah kitab yang dikarangnya bertajuk Asna al-Muthalib fi Najah Abi Talib. Ia ditulis bagi menolak dengan penuh hawa nafsu kitab-kitab hadith serta as-Sunnah yang sahih lagi mutawatir.”

Ulasan dan penjelasan di atas ini sekali lagi ditegaskan bahawa bukanlah niat kita untuk mengajar atau menunjukkan alim terhadap al-Fadhil al-‘alim as-Syeikh Dr Muhammad Uthman el-Muhammady.

Kita sendiri telah banyak menadah ilmu dari karya-karya serta tulisan-tulisan al-Fadhil yang penuh dengan hikmah. Tetapi tulisan ini adalah secebis kajian dan pengetahuan yang ingin dikongsi bersama dengan al-Fadhil bagi melihat kebenaran dan menolak kebatilan.

Kita dan seluruh umat Islam lebih cintakan kebenaran dari mana-mana tokoh yang kita cintai. Manakala kita percaya al-Fadhil lebih arif dengan firman Allah yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maidah 5:8)


Sebelum mengakhiri perkongsian kita dengan al-Fadhil, kita memetik kata-kata Imam Hassan al-Banna dalam risalahnya yang bertajuk Da’watunaa. Kata Hassan al-Banna, “Perbezaan bukan merupakan aib akan tetapi yang aib dan yang tercela ialah fanatik tehadap sesuatu pandangan serta mengongkong kebebasan akal fikiran manusia. Pandangan terhadap masalah-masalah perbezaan seperti inilah sebenarnya mampu mempersatukan kembali hati-hati yang berpecah-belah. Dan cukup bagi manusia bersatu di atas sesuatu yang boleh membuat muslim menjadi muslim yang sejati.”




__________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com