Semasa Padang mengalami gemba bumi dan ramai yang terbunuh. Berbagai perasaan berbaur, ada sedih dan ada juga syukur.
Syukur kerana Malaysia di luar garisan gempa.
Sedih kerana ramai sahabat saya berada di situ.
Minda bawah sedar saya merenung kembali mencari-cari pengalaman semasa berada di Padang setahun lepas. Saya berkunjung di atas tiket Kajian Kebudayaan, Sosial, Ekonomi dan Agama, khususnya yang berkaitan dengan remaja, yang ditaja oleh Multimedia Universiti.
Kunjungan selama seminggu membuahkan silatur-rahim yang erat antara Delegasi MMU dengan wakil pelajar Universiti Andalas, Padang.
Saya secara peribadi mempunyai seorang kenalan rapat di sana. Maldo, seorang pelajar perladangan yang sangat baik akhlaknya dan budi bahasanya.
Setiap lawatan yang membabitkan kajian, beliau sentiasa menami saya. Sehinggakan saya segan diperlakukan dengan sebegitu baik.
Orang Padang, mewarisi adab dan akhlak yang baik dari generasi nenek-moyang mereka. Masyarakat Padang kaya dengan tradisi dan budaya menjaga tetamu. Tetamu dijadikan persis saudara kandung.
Cerita-cerita tidak baik tentang masyarakat Padang yang sebelum ini saya dengar, hilang begitu sahaja dibawa angin. Melihat mereka yang baik, bagi saya ia sebenarnya mewakili keseluruhan orang-orang Padang khususnya
Apabila berita buruk mengenai Padang menimpa, saya antara beribu orang yang khusyuk dan sering mencari berita tentang keadaan di sana. Alhamdulillah, sahabat-sahabat yang saya kenali selamat dan tidak ada apa-apa.
Cerita-cerita tidak enak yang saya baca, tentang orang-orang Padang membaling batu ke arah helicopter milik Tentera Di-raja Malaysia, sedikit membuatkan hati saya teruris. Tetapi saya sedar bahawa mereka mungkin tidak mengetahui cerita sebenar tentang permusuhan golongan jahil bernama Bendera terhadap Malaysia.
Tidak mengapalah, masih ramai yang mengetahui bahawa tiada permusuhan antara Malaysia dan Indonesia. Saya masih lagi memberi tempat duduk kepada wanita Indonesia yang sedang mendukung anaknya semasa di stesyen LRT. Kerana saya faham, bahawa dendam tidak membawa penyelesaian.
Sangat banyak yang ingin saya kongsikan. Pengalaman, cerita-cerita unik dan pelbagai lagi yang saya dapat semasa membuat kajian dan kebajikan di sana. Tetapi memori itu belum sampai masa lagi untuk dikongsi bersama.
Mungkin ini antara tulisan yang paling pendek pernah saya tulis. Saya keletihan kerana berfikir dan merenung. Betapa Allah telah lama mengangkat ilmu sedikit demi sedikit dari manusia, dengan memanggil para Sarjana dan Cendikiawan Islam meninggalkan kita.
Semalam Syeikhuna Muhammad Adib al-Kallas seorang Ulama besar Syria bermazhab Hanafi meninggal dunia. Tidak ada ungkapan yang lebih mulia dapat diucapkan melainkan ucapan, Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un (Sesungguhnya dari Allah kami datang, dan kepada Allah juga kami pergi).
Betullah sepertimana yang Rasulullah shallahu-alaihi wasalam bersabda, “Allah tidak menghapuskan ilmu (Addin) dengan cara mencabutnya dari dada seluruh manusia tetapi dengan jalan mewafatkan para Ulama’. Apabila Ulama’ sudah habis, umat manusia mengangkat orang bodoh menjadi pemimpin mereka. Lalu mereka bertanya kepada para pemimpin yang bodoh. Si pemimpin seperti memberi fatwa tanpa pengetahuan, menyesatkan orang banyak maka sesatlah mereka semuanya” (Hadith direkodkan oleh Imam Muslim)
Firman Allah, “Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah at-Taghabun 64:11)
_______________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2009)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.
"memperkasakan paradigma"
Yussamir Yusof @ www.yussamir.com
No comments:
Post a Comment