Saturday, September 25, 2010

Dilema Sang Dai’


Sumber gambar


Tajuk di atas tidak ada kena mengena dengan buku Malay Dilemma tulisan Tun Mahathir atau mana-mana isu terkini. Tetapi ia menyentuh dilema-dilema Sang Dai’ yang berkait dengan mencari rezeki.

Pelbagai persoalan apabila seorang lelaki mahupun wanita yang asalnya aktif menjadi pendakwah (dai’) kemudian terjun ke dunia perniagaan. Setengahnya dapat menerima dan setengahnya memandanng dengan pandangan sinikal mahupun ‘ada sesuatu’ perasaan.

"Conflict of Interest” Ujar seorang pengkritik.

“Merosakkan personaliti Sang Dai’” Komen seorang pemilik blog.

“Merosakkan ukhwah.” Komen seorang pemilik Facebook

Ya, itulah antara komen yang sering kedengaran mahupun sering tersiar di laman-laman persendirian dan lain-lain. Malah saya merasakan masih banyak lagi komen-komen dan ‘nasihat’ yang boleh disenaraikan satu-persatu. Tetapi cukuplah tiga di atas sebagai contoh.

Sang Dai’ mula dilema, serba-salah dengan komen-komen tersebut. Semakin kelam-kabut bila yang memberi komentar itu seorang Ustaz atau yang dikenali ramai. Lebih menyedihkan apabila ada yang terus memberhentikan kerja atau perniagaan yang dilakukan semata-mata tidak kuat, kerana ada Sang Ustaz memberi komen bahawa apa yang dia lakukan adalah sampah!

Kasihan, kerana perniagaan itulah sumber pendapatannya untuk menangung yuran pengajian, makanana, mahupun membantu keluarga. Semuanya atas alasan bahawa beliau seorang Da’i.

“Jadi mahu kerja apa? Bukankah nabi seorang perniaga, bahkan ramai para sahabat juga berniaga.” Sang Dai’ mula bersoal-jawab dengan dirinya sendiri.


Bingung!

Itulah dilema Sang Dai’. Dilema yang dibangkitkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Lebih-lebih lagi apabila Sang Dai’ yang menjalankan perniagaan MLM (Multi-level Marketing).

Salahkah berniaga melalui sistem MLM (Multi-level Marketing)? Ah bukan MLM sahaja, sebut sahaja apa perniagaan sekalipun. Jika yang terlibat adalah Sang Dai', maka pelbagai tanggapan dan 'nasihat-nasihat' sinikal yang akan terbit dari mulut-mulut manis atas kepasiti sahabat, ustaz, murabi, mahupun siapa sahaja (sebut sahaja gelaran yang ada).

Jangan disebabkan satu-dua yang bermasalah, terus habis semua dikambinghitamkan. Jika benar bersalah, adukan kepada pihak berkuasa. Biarkan mereka menyiasat berdasarkan peruntukan undang-undang. Jika ia tidak syariah, ajukan ataupun nasihatkan. Bukan komen sesuka hati, kemudian memetik sesuka hati dua atau tiga nama Syarikat. Kemudian ditambah rasa dengan perkataan Sampah mahupun Setan. Adakah itu 'hak' yang diperkatakan dengan sewenangnya menulis Sampah dan Setan?

Jika tidak sudi, jika tidak suka. Tidakkah lebih molek dan santun dengan tidak meletak nama syarikat mahupun apa sahaja yang boleh mengaitkan secara terus. Jangan sebab kita dikenali ramai, kita berasa kagum mahupun ‘berkuasa’ untuk meletakkan sesuatu di laman sesawang atau facebook sesuka hati. Tanpa berfikir panjang, bahawa akan ada terasa hati dan hilang hormat.

Antara Public Figure dan orang perorangan.

Sama sahaja, masing-masing adalah manusia. Manusia berhak untuk bercakap apa sahaja. Tetapi impak berlainan dan sudah pasti memberi kesan yang tersendiri.

Analoginya mudah, komen seorang Perdana Menteri dengan komen 100 orang awam. Mana yang lebih memberi impak dan kesan? Sudah pasti Perdana Menteri kerana beliau Public Figure. Itu yang membezakannya. Manusia tetap manusia, janganlah mahu mempertahankan sesuatu sehingga kita terlupa asas-asas tersebut.

Rapatkan Ukhwah dan hilangkan resah

Tidak ada sesiapa yang mahu sesuatu hubungan yang telah terbina roboh begitu sahaja hanya sebab-sebab yang boleh kita elakkan. Tidak kira siapa pun kita. Di mana pun kita, betapa tinggi jawatan kita dan betapa terkenalnya kita. Ingatlah bahawa setiap tindak tanduk kita, lebih-lebih lagi tulisan-tulisan kita di alam maya akan memberi kesan yang sangat besar ke atas ukhwah yang terbina. Marilah kita merapatkan Ukhwah, menghilangkan resah, menambah cinta.

Salam ukhwah untuk semua….






Rembau, Negeri Sembilan.


_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)Hak cipta terpelihara.

Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

No comments:

Post a Comment