“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan sahaja dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji lagi?” (Surah al-ankabut ayat 2)
Setiap manusia akan menghadapi ujian dan cubaan dari Allah. Ia silih berganti, dan kadang-kala tidak pernah putus-putus menguji diri. Bagi yang beriman, ia akan menjadikannya sebagai penguat diri. Tapi bagi yang tidak beriman, ia akan tersungkur dan rebah kebumi.
Kehidupan tidak seperti mimpi, yang sering indah-indah berlaka. Bahkan kadangkala mimpi itu boleh dicipta dengan pelbagai imaginasi tersendiri. Kehidupan adalah sebuah pentas realiti yang didalamnya penuh kesulitan dan mara bahaya. Tidak ada seorang pun yang akan terlepas dari cubaan dan ujiaan ini. Yang membezakan seseorang itu hanyalah, bagaimana ia menghadapi ujian tersebut.
“Jika ada manusia yang ingin selamat dan sentiasa menang ke atas lawannya, dan sentiasa sihat tanpa merasa kesakitan, maka manusia tersebut tidak mengenal taklif (tugas dan kewajiban) dan tidak faham bagaimana berserah diri kepada Allah” (Imam Ibnu al-Jauzi dalam bukunya Shaidul Kaathir)
Tidak ada manusia yang sempurna sehingga boleh terlepas dari sebarang ujian dan cubaan. Sakit, kalah, kecewa dan pelbagai lagi perkataan yang mengambarkan ujian dan cubaan tidak boleh lari dari manusia. Semua ini semata-mata sebuah percaturan yang telah ditetapkan oleh Allah, untuk mengenal pasti mana satu yang layak untuk memasuki syurgaNya.
Manusia terlupa bahawa setiap cubaan itu adalah hikmahnya. Realiti sesebuah kehidupan, untuk meraih kejayaan dan kebahagian pasti akan berhadapan dengan pelbagai ujian dan cubaan. Seolah-olah itulah harga yang perlu dibayar untuk meraih sesuatu.
Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh Rasulullah bahawa setiap kebaikan itu akan ada ujiannya. Sabda Rasulullah sepertima yang direkodkan oleh Imam Bukhari, “Jika Allah ingin memberi kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan memberi ujian kepadanya.”
Gembiralah wahai penghuni Syurga. Setiap mereka yang redha dan berjaya dalam menghadapi segala ujian dan cubaan akan dibalas oleh dengan ganjaran yang setimpal. Tidak lain dan tidak bukan, ganjaran ini adalah SYURGA.
Kata Ibnu al-Qoyyim, “Orang-orang yang diciptakan oleh Allah sebagai penghuni Syurga akan sentiasa mendapat ujian. Mukmin yang sabar menghadapi pelbagai ujian yang berat, hatinya tidak pernah berubah, dan lisannya tidak berkeluh-kesah.” (Ibnu al-Qoyyim dalam bukunya Al-Fawaaid)
No comments:
Post a Comment