Saturday, September 3, 2011

SYA'BAN ANTARA REALITI DAN FANTASI



Ini adalah artikel ringkas yang dapat saya siapkan bagi menjawab beberapa pertanyaan rakan-rakan di Facebook dan juga bapa Mertua saya mengenai pengkhususan puasa pada Nisfu Syaban.

Sebelum saya menjawab, saya akan menerangkan apakah panduan dan rujukan yang digunakan bagi menjelaskan persoalan ini.


Pertama, saya akan merujuk terus kepada pembahasan yang ditulis oleh para ulama di dalam kitab-kitab besar mereka.

Kedua, saya akan melihat dalil-dalil yang dibawa oleh para ulama. Sama ada dari dari al-Quran dan Hadith.

Ketiga, saya condong mengambil pandangan sederhana yang dibawa oleh al-Imam Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi. Beliau amat dikenali di Malaysia malahan di kalangan para penuntut ilmu sebagai seorang Ulama yang alim dan waraq.



PUASA DI BULAN SYABAN

Puasa di bulan Syaban adalah sebuah sunnah yang semakin lama dilupakan oleh umat Islam. Terdapat banyak dalil dari hadith-hadith Nabi menyatakan bahawa Rasulullah sering berpuasa pada bulan Syaban.

Misalnya dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Saiditina Aisyah, "Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa keseluruhan bulan kecuali pada bulan Ramadhan. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa dengan kerap di dalam bulan-bulan lain melainkan bulan Sya’ban." [Sahih al-Bukhari (1969) dan Sahih Muslim (1156)]

Menurut Syeikh  Muhammad Saleh Al-Uthaimin,  hadith ini menekankan bahawa adalah Sunnah untuk kerap berpuasa di dalam bulan Sya’ban. Sya’ban adalah satu bulan yang perlu kita pilih untuk melakukan lebih banyak puasa sunat.

Bahkan seorang sahabat besar Rasulullah iaitu Usamah bin Zaid menyatakan, "Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa dengan lebih kerap seperti yang baginda lakukan di dalam bulan Sya’ban. Aku bertanya mengapa Baginda berbuat demikian, dan Baginda menjawab: “Ini adalah bulan yang orang tinggalkan di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan. Sedangkan inilah bulan dimana amalan diangkat kepada Tuhan seluruh Alam, dan aku suka supaya amalan aku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” (Hadith ini diriwayatkan di dalam Musnad Ahmad (21735) dan Sunan al-Nasa’i (2357). Ibn Muflih berkata tentangnya di dalam al-Furu’ (3/120): “Ia mempunyai sanad yang baik” )

Namun begitu, galakkan memperbanyakkan puasa di bulan Syaban tidak bermakna ada hari yang khusus untuk melaksanakannya. Bahkan tidak juga boleh berpuasa sebulan penuh tanpa ada rehat seperti pada bulan Ramadhan, melainkan seseorang itu perlu mengantikan puasanya.



NISFU SYABAN

Pengistibatan mengenai adanya puasa sempena Nisfu Syaban adalah berasal dari hadith ini, "Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar"

Hadith di atas direkodkan oleh  Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Namun, para ulama hadith telah menjelaskan bahawa hadith di atas adalah palsu.

Para ulama hadith menyatakan bahawa pada isnadnya terdapat Abu Bakr b ‘Abd Allah b. Muhammad, yang lebih dikenali sebagai Ibn Abi Sabrah. Justeru, Ahmad b Hanbal dan Yahya b Ma’in telah mendedahkan bahawa beliau (Ibn Abi Sabrah) adalah pereka hadith ini. [Juga rujuk: Majmu’ al-Fatawa (5/266]

Ketika mengulas tentang amalan puasa sempena Nisfu Syaban, al-imam Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi mengatakan, "Di dalam kaedah syara’, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syara’ kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata". (Rujuk Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)



BERKUMPUL DI MASJID,  MEMBACA DOA KHUSUS SEMPENA BULAN SYABAN DAN MEMBACA YASIN SEBANYAK 3 KALI SELEPAS MAGHRIB

Syeikh Al-Qardhawi menulis, "Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…Perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut)

Malam Nisfu Syaban bukanlah sebuah malam suci malah lebih jauh dari itu. Ia hanyalah sebuah malam yang sama dengan malam-malam lain yang diciptakan oleh Allah. Ia bukanlah malam Qadr yang ditunggu-tunggu seperti di bulan Ramadhan yang stabit dalam Nas. Ia hanyalah sebuah malam biasa tetapi telah disucikan oleh tangan-tangan manusia pada zaman dahulu. Mereka menulis cerita-cerita dongeng bahkan sanggup memalsukan hadith demi menyucikan Nisfu Syaban. AKhirnya, kita yang berada di zaman akhir ini hanya mendengar dan terus mengikut tanpa meneliti dan mengkaji adakah benar ia datang dari Allah dan Rasul.

Syukur kerana para Ulama tidak pernah putus-putus mengkaji dan menasihati umat Islam, sama ada dari ceramah mahupun tulisan-tulisan mereka yang terakam di kitab-kitab.

Akhir sekali saya membawa fatwa al-Imam Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi dalam  Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383), "Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah."

No comments:

Post a Comment