Sunday, May 13, 2012

SEKADAR PANDANGAN SEKITAR FATWA BERSIH



Ketika JawatanKuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa bahawa Perhimpunan Bersih adalah haram, ramai cuba mengulas dan memberi justifikasi kepada isu ini. Dari Mahasiswa yang tidak tamat lagi sehingga ke bekas Mufti dan para sarjana yang lain.

Masing-masing mempunyai pandangan dan sentimen yang berbeza, ada yang menyokong dan ada membantah dari sudut rasional mahupun emosional. Isu ini dipandang berat kerana ia melibatkan sebuah badan Institusi Agama terbesar di negara ini.

CUBA BERTENANG
Trend mengulas dan mengeluarkan pandangan apabila timbul isu-isu panas sebegini, ada baik dan buruknya. Namun saya melihat ia lebih kepada buruk apabila para pengulas ini seperti terburu-buru mengeluarkan pandangan berdasarkan bacaan dan tontonan di media massa. 


Pengulas segera sebegini pula kebanyakkannya datang dari mereka yang tidak ada akses kepada displin ilmu yang ‘proper’. Namun, ada juga sebahagian sarjana yang segera mengulas isu ini misalnya Dr Asri, dan rakan-rakan lain yang rata-ratanya menggunakan medium FB sebagai tempat memberi ulasan. 

Cuba bertenang dan analisa sedalam mungkin sesebuah fatwa yang telah dikeluarkan sesebuah institusi. Melihatkan ia datang dari sebuah badan yang ‘berkaliber’, di dalamnya terdapat sarjana-sarjana Islam yang lain, sedikit sebanyak kita perlu menghormati orang yang memutuskan fatwa ini. 

Seperti yang tertera di laman web JAKIM, jawatankuasa ini terdiri dari Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdiri daripada:
  1. 1Seorang pengerusi yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) di kalangan ahlinya;
  2. Mufti tiap-tiap negeri yang mengambil bahagian atau seorang yang mewakili Negeri dalam Hal Ehwal Agama Islam;
  3. Lima orang alim ulama yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja; dan
  4.  Seorang ahli yang beragama Islam dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang atau dari profession undang-undang yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja;

Itupun jika benar ia diputuskan melalui muzakarah yang kritis dan dibincangkan dalam kalangan mereka yang layak seperti di atas.

SALING BERSEMUKA
Apabila telah menganalisa sesebuah fatwa yang dikeluarkan, para pengulas dari kalangan sarjana harus bersemuka dengan pengerusi jawatankuasa untuk berbincang sekali lagi. Ini bagi menunjukkan wujudnya ketelusan dan imbangan seperti yang sering disebutkan sebagai ‘check and balance’.

Sejarah telah marakamkan terdapat para Imam yang membantah fatwa yang telah dikeluarkan oleh jamaah ulama yang dilantik oleh kerajaan. Misalnya Imam Nawawi yang pernah menolak untuk menandatangani sebuah fatwa yang telah dikeluarkan oleh jamaah ulama yang dilantik oleh raja azh-Zhahir Bebris. 

Sejarah ini menunjukkan bahawa keputusan sesebuah jamaah ulama boleh dibantah jika terdapat keraguan dan kesilapan. Ya, walaupun ia telah dikeluarkan oleh para jamaah ulama dalam sesebuah institusi fatwa negara.

Isu yang sama berulang kembali pada zaman ini, apabila ada sarjana Islam yang membantah dan mempersoalkan keputusan Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu perhimpunan Bersih.

Jawatankuasa perlu menerimanya dengan tenang dan melihatnya dari sudut positif. Jika benar ia dipenuhi oleh mereka yang alim, seharusnya jawatankuasa ini membuka seluas-luasnya perbincangan lanjut antara para sarjana yang tidak bersetuju dengan mereka.

Perbincangan secara tertutup, dan kemudian mengkhabarkan keputusan akhir kepada umum secara harmoni dan bijaksana.

Jika proses ini dapat dijalankan secara bijaksana, saya pasti perkara ini tidak akan menjadi isu utama dalam media massa. Ingat, setiap keputusan yang dibuat oleh kita akan dipertanggungjawab semasa berhadapan dengan Allah kelak.

Sama-sama kita mengingatkan diri kita dengan merenung sabda Rasulullah ini,

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga).”  (Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi. Hadith ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani)



WaAllahualam.

1 comment:

  1. Itulah sebaiknya syeikh.. Tapi jika tidak silap MFK tak sebut DEMONSTRASI BERSIH semata, ianya umum bahawa demonstrasi yang membawa kerosakan adalah haram.. Jadi tidak sepatutnya ada yang melenting.. Cumanya ia boleh menimbulkan salah anggap terhadap Perhimpunan Bersih apabila timbulnya keganasan dlm perhimpunan berkenaan.. Tapi ana rasa tidak wajar jika ada pihak tertentu dan segelintir rakyat hanya ingin menyalahkan peserta Bersih.. Sebab ana agak curiga dengan cara pihak berkuasa yang mengawal perhimpunan tersebut.. Jawatankuasa penyiasat itu pun ana rasa bias...

    ReplyDelete