Monday, August 10, 2015

JANGAN KOMEN LEBIH


Kebanyakan orang suka memberi komen tanpa diminta. Ada sahaja perkara yang ingin dikomen, sehinggakan bagaimana untuk memasak telur pun akan dikomen. Hati-hati dengan sikap begini yang bukan sahaja memburukan keadaan, tetapi memberi tanggapan negatif terhadap diri sendiri. 

Kehidupan tidak sempurna, pasti ada cacat cela. Tetapi ia tidak boleh dibaiki hanya komen dan mengomel. Ada beza kritikan yang membawa kebaikan, dengan komen yang sekadar bebelan yang tidak membawa kebaikan.

Saya ada seorang rakan begini, hidupnya penuh dengan komen. Ada sahaja tidak kena di matanya, yang peliknya dia adalah seorang lelaki. Ya lelaki, jangan ingat perempuan sahaja suka mengomen, lelaki juga ada.

Suatu hari saya dan dia menziarahi rumah seorang rakan yang baru sahaja memasuki rumah baru dibeli. Alhamdulilah, selepas 3 tahun bekerja, rakan saya dan isterinya berjaya membeli sebuah rumah teres dua tingkat di Klang. Rumahnya sederhana, tetapi cukup sempurna bagi pasangan yang baru 5 tahun berkahwin. 


Seperti biasa, bila rumah baru kita suka tengok-tengok sekeliling dan memuji barang-barang yang dibeli. Tetapi tidak pada kawan saya yang suka komen ini. “Bro, kenapa pakai kerusi lama, rumah baru pakailah kerusi baru. Barulah cantik. Ini langsir ini, kau tak pasang dua layer ke?” 

Dan macam-macam lagi komen yang diberi. Kasihan rakan saya dan isterinya, sudahlah berhabis beribu untuk mendapatkan rumah baru. Tiba-tiba bukan pujian yang dapat, tetapi komen yang negatif diberi. Saya perasan mukanya berubah, suaranya juga bertona rendah. Mungkin malu dan mungkin juga marah. Cepat-cepat saya mengubah topik cerita, agar isu itu tidak berterusan. 

Betullah kata Rasulullah, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang baik-baik ataupun diam sahaja…” (Hadis direkodkan Imam Bukhari dan Muslim)

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Hati-hati dengan lidah yang tidak bertulang, kerana lembut-lembut lidah ia boleh menghiris hati manusia. Berfikirklah sebelum bercakap, fikirkan apa perasaan orang yang mendengarnya. 

Saya tertarik untuk memetik kata-kata Imam Syafie terhadap orang begini, katanya, “Berfikir sebelum bercakap tentang sesuatu perkara, jika tiada kesan buruk, bercakaplah. Jika terdapat kesan buruk atau keraguan padanya jangan kamu bercakap.”

Semoga kita menjaga lidah, janganlah suka komen sahaja. Lihatlah kebaikan dan kecantikan yang ada, berbanding keburukan yang hanya satu atau dua. Hidup ini indah jika kita melihat kebaikan berbanding keburukan. Manusia diciptakan untuk berhubung, jangan disebabkan lidah kita terputus hubungan.

Sabda Rasulullah, “Seringkali seorang hamba mengucapkan suatu perkataan yang tidak dia fikirkan kesannya sedangkan perkataan itu akan membawanya ke neraka yang dalamnya lebih jauh dari jarak timur dengan barat.” (Hadis direkodkan Imam Bukhari)


Renungan:
Berilah kata-kata yang baik terhadap orang lain. Apabila melihat keburukan mereka, kita simpan dan pendamkan. Kadang-kadang, kebaikan dan kencantikan itu lebih banyak untuk diceritakan berbanding satu keburukan yang tidak memberi kesan kepada kehidupan. Jadilah seperti mata lebah yang hanya melihat madu, bukannya mata lalat yang hanya melihat tahi.


Yussamir Yusof
Melaka
10 Ogos 2015

1 comment:

  1. Toto - Titanium Trim As Seen on TV
    Toto - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO titanium vs platinum - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO titanium network surf freely - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - winnerwell titanium stove TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - TOTO - joico titanium TOTO - stilletto titanium hammer TOTO.

    ReplyDelete