Selepas pulang dari menunaikan fardhu Haji pada tahun 2004, ibu saya terus mendaftarkan kembali nama saya, ayah, dan adik ibu untuk fardhu haji seterusnya. Setahu saya, untuk pendaftaran Haji, sekurang-kurangnya setiap akaun perlukan RM1300. Jadi ibu saya perlu ada RM5200 untuk mendaftarkan kami semua.
Waktu itu saya tidak pernah ambil pusing tentang bagaimana ibu dapat kumpulkan duit sebanyak itu selepas pulang dari tunaikan Fardhu Haji. Umur masih muda, tambahan waktu itu adalah tahun SPM saya. Cerita ini berlalu begitu sahaja, dan sehinggalah 11 tahun selepas itu ibu, ayah dan adik ibu dapat tunaikan fardhu Haji kali kedua tanpa saya.
Pada awalnya, saya termasuk dalam musafir kali kedua ini. Tetapi perancangan Allah lebih baik dan saya pasti ada hikmah untuk semua ini. Selepas 11 tahun, 16 Ogos 2015 ibu, ayah dan paksu saya berangkat menunaikan fardhu Haji.
"Macam mana ibu boleh kumpul duit untuk 3 orang ya? Ibu tak bekerja, ibu duduk rumah, buat kuih itu pun untuk kampung saja sekali sekala." Saya bertanya kepada isteri selepas pulang menghantar mereka di Kelana Jaya.
"Itu namanya berkat." Ringkas tapi penuh makna.
Apa yang dikatakan Rasulullah tidak pernah tersilap, kata Baginda, "Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang, makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibu saya tidak bekerja, rutin sehariannya adalah menjaga nenek yang sudah uzur dan anak-anak kakak saya. Setiap pagi menanak nasi, dan menyiapkan makanan untuk seisi keluarga. Ayah saya pula, seorang pesara pegawai polis. Sumber pendapatan ibu dan ayah saya adalah dari pencen ayah, dan juga duit anak-anak setiap bulan.
Ibu pula kalau ada permintaan bahulu atau kuih bangkit dari orang kampung, barulah ibu buat dan jual. kalau tiada, dapur kuih itu hanya senyap di dalam stor.
Paling pelik, ibu bukan sahaja dapat kumpulkan duit sebanyak RM34000 (ibu dan ayah seorang RM12000, dan paksu rm10000) untuk membuatkan mereka bertiga dapat tunaikan fardhu haji. Tetapi dapat bawa sekurang-kurangnya seorang RM2000 untuk duit belanja di sana.
Total RM40000 dalam masa 11 tahun, ibu saya dapat kumpulkan wang sebanyak itu. Paksu saya hanya keluarkan wang belanja, duit RM10000 ibu saya yang sediakan untuknya.
Bila difikirkan kembali, saya terduduk dan termenung. Bagaimana ibu seorang suri rumah, yang setia menjaga nenek yang uzur, sediakan makanan untuk seisi keluarga, dan tidak bekerja tetapi boleh mengumpulkan wang sebanyak itu.
Ibu saya tidak sekolah tinggi untuk tahu tentang hadis mengenai berkat, dan hadis-hadis nabi tentang kebaikan menjaga ibu dan berbuat baik kepada orang lain. Apa yang ibu saya tahu ialah, berbuat baik kepada semua orang dan sentiasa berjimat dalam segala urusan. Duit yang dapat, disimpan dan lebihan di beri kepada orang yang memerlukannya.
Seingat saya, ibu saya sering menderma dan menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang datang ke rumah meminta bantuan. Kalau ada RM50 di tangan, RM30 akan diberi. Kata ibu, tak sanggup nak tengok orang hampa.
Ibu juga orang yang tidak kedekut. Setiap tahun akan menjemput jiran-jiran datang ke rumah untuk makan-makan bersama. Disediakan pelbagai juadah makanan, dan dialah orang paling sibuk dari pagi menyiapkan juadah. Bila ditanya kenapa banyak sangat masak, mudah sahaja ibu jawab, "biar orang kenyang datang rumah kita. Kan seronok itu."
Kami semua tersenyum, dan terus membantu ibu menyiapkan juadah untuk dijamu jiran-jiran. Itulah ibu, seorang suri rumah di kampung yang mempunyai luhur dan budi yang baik. Ibu bukan ustazah, atau lepasan Jordan, tetapi ilmu dan jiwanya lebih besar dari seorang wanita bergelar PhD.
Telefon saya berdering kuat, nombor yang tertera adalah nombor luar negara. Bila diangkat, terdengar suara semangat dari ibu, "Alhamdulilah ibu dekat sini sihat. Cuma suhu dekat sini 42 darjah. Panas betul." Saya terdiam, mendengar suara ibu seperti mendengar suara dari syurga. Air mata saya mengalir, rindu tidak keruan. Saya mengangguk perlahan, sungguh gembira mendengar mereka sihat dan ceria di sana.
Semoga kita semua mendapatkan rezeki yang halal lagi berkat. Sesungguhnya rezeki yang berkat itu akan berkembang tanpa kita sedari. Sama ada kita akan berasa nikmat sentiasa cukup atau nikmat rezeki bertambah.
Firman Allah, "Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.” (Surah Adz-Dzaariyaat: 58).
No comments:
Post a Comment