Sedar atau tidak, ketika ramai mula memberikan tips serta petua berjaya di dalam facebook. Mereka tidak sedar telah mensyirikkan Allah tanpa sedar. Ramai selebriti dan Usahawan berjaya memberikan pelbagai tips kejayaan kepada orang ramai. Alhamdulilah satu perkembangan yang baik dalam dunia media sosial.
Cuma kadang-kadang tips-tips itu secara tidak sedar telah membelakangi Allah dan telah memberi kefahaman yang salah terhadap tujuan utama mengabdikan diri kepada Allah.
Misalnya tips sedekah kepada orang miskin, solat awal waktu, solat berjamaah, dan sentiasa berbuat baik kepada manusia. Semua tips itu adalah sebuah kebaikan yang tujuan utama mendapatkan keredhaan Allah dan syurga.
Namun, ia menjadi salah apabila tujuan semua itu agar diri dijadikan kaya, perniagaan laku keras, dan menjadi jutawan (malah ada usahawan menjanjikan kekayaan dalam 3 hari jika melakukan kebaikan di atas).
Mari kita fahamkan kembali tujuan utama mengabdikan diri kepada Allah, sepertimana Allah sebut dalam surah az-Zariyat ayat 56, "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku."
Menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah ketika mengulas makna Ibadah. Kata beliau, "Dalam ibadah itu terdapat di dalamnya mengenal, mencintai, dan tunduk kepada Allah. Bahkan dalam ibadah terdapat segala yang Allah cintai dan redhai. Perkara utama dan yang paling penting dalam segala yang ada adalah di hati iaitu berupa keimanan, mengenal dan mencintai Allah, takut dan bertaubat pada-Nya, bertawakkal pada-Nya, serta redha terhadap hukum-Nya. Di antara bentuk ibadah adalah solat, zikir, doa, dan membaca Al Quran." (Majmu’ Al Fatawa, 32/232)
Itu tujuan asas kita sebagai hamba, iaitu menyembah Allah sesuai dengan syariat yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Dengan beribadah Allah akan memberi ganjaran berupa pahala dan ganjaran yang layak untuk para hambaNya.
Kekayaan, rezeki yang melimpah ruah, dan sebagainya adalah bonus yang diberikan Allah kepada para hambaNya yang berusaha dan mengabdikan diri kepadaNya.
Allah berfirman, "Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari makhluk dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan pada-Ku. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh” (Surah Az-zariyat: 57-58)
Ya memang benar apabila kita beribadah kepada Allah dengan bersungguh dan mengikut jalan yang betul. Allah akan memberikan pelbagai kebaikan kepada kita. Tetapi ia menjadi salah apabila setiap ibadah kita hanya berorentasikan kepada kepentingan dan keuntungan duniawi sahaja.
Misalnya, Sedekah RM5 mahukan Allah beri 100. Solat awal waktu, agar jadi jutawan. Dan lain-lain yang semuanya berorientasikan duniawi.
Sayang, jika semua amal ibadah kita sama ada yang wajib mahupun sunah, berorientasikan duniawi. Sedangkan semua amalan di dunia yang kita lakukan jika beorinetasi (baca niat/tujuan) akhirat, maka dunia juga akan perolehi.
Contohnya jika kita sebagai usahawan, setiap perbuatan kita niatkan untuk membantu meninggikan syiar Allah dan meningkatkan taraf hidup orang Islam, maka ia dikira sebagai amal ibadah. Begitu juga dengan setiap pekerjaan yang kita niatkan untuk memenuhi keperluan keluarga juga Allah mengiranya sebagai ibadah. Dan setiap perkerjaan di dunia yang bernilai ibadah membawa keberkatan dan kebahagiaan.
Sesuai dengan sabda Rasulullah, "Barangsiapa yang tujuannya adalah urusan akhirat, nescaya Allah meletakkan kekayaannya di dalam jiwanya. Sebagaimana Allah juga akan menyatukan urusannya dan kekayaan dunia akan menghampirinya dengan mudah. Namun sebalikya, orang yang tujuannay adalah urusan dunia, nescaya Allah jadikan kemiskinannya ada di depan matanya. Sebagaimana Allah juga mencerai-beraikan urusannya dan tiada kekayaan dunia yang menghampirinya selain yang telah Allah tentukan untuknya." (Hadith direkodkan Imam At Tirmidzi).
Sesuai dengan sabda Rasulullah, "Barangsiapa yang tujuannya adalah urusan akhirat, nescaya Allah meletakkan kekayaannya di dalam jiwanya. Sebagaimana Allah juga akan menyatukan urusannya dan kekayaan dunia akan menghampirinya dengan mudah. Namun sebalikya, orang yang tujuannay adalah urusan dunia, nescaya Allah jadikan kemiskinannya ada di depan matanya. Sebagaimana Allah juga mencerai-beraikan urusannya dan tiada kekayaan dunia yang menghampirinya selain yang telah Allah tentukan untuknya." (Hadith direkodkan Imam At Tirmidzi).
Kekayaan mahupun segala anugerah duniawi yang Allah kurniakan adalah sebuah rahsia yang kita tidak boleh dipaksa. Kembali kepada tujuan kita sebagai hamba, adalah mengabdikan diri kepada Allah tanpa sebarang banyak soal. Kemudian Allah berikan kita hak untuk memilih, akal untuk berfikir, kudrat untuk berusaha.
Rasionalnya, jika ingin kaya dan jutawan, kita harus bekerja dan menggunakan segala kelebihan yang Allah kurniakan. Bekerja atau berniaga pula bukan sekadar bekerja dan berniaga, tetapi haruslah halal, dan memberi manfaat kepada orang lain. Makna halal di sini, jika bekerja di pejabat 8 jam, sepanjang 8 jam itu bekerja bersungguh-sungguh, tidak culas, tidak menggunakan barang pejabat untuk kegunaan peribadi dan tidak hasad.
Bagi yang berniaga, perniagaan tersebut perlulah halal, barangan yang dijual ditimbang dengan tepat, tidak menipu dalam urusan jual beli, dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.
Firman Allah, "Dan carilah (kebahagiaan) negeri akhirat dengan kekayaan yang telah Allah anugerahkan kepadamu, dan janganlah kamu melupakan bagianmu dari (kenikmatan) duniawi." (Surah Al-Qashash: 77)
Sepanjang dalam berkerja, sebagai Hamba kepada Allah, kita sentiasa berdoa dan meletakkan tawakal kepada Allah sepenuhnya. Kita berdoa, agar setiap urusan dipermudahkan dan sentiasa diberkati oleh Allah. Keuntungan dan pendapatan yang kita perolehi, kita asingkan sebahagiannya untuk sedekah, zakat, dan keperluaan keluarga dan orang yang memerlukannya. Segala ibadah kita lakukan dengan Nama Allah dengan harapan Allah berikan syurga dan pahala (orientasi akhirat). Dengan cara beginilah, kehidupan kita akan lebih berkat dan dikurniakan pelbagai ganjaran duniawi.
Selepas kita lelah keluar mencari kurnia Allah, disertai dengan nilai tawakal yang tinggi. Rasulullah memberikan kita petunjuk agar kita sentiasa berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh. Tiada tempat yang layak kita serahkan segala urusan kita melaikan kepada Allah.
Rasulullah bersabda, "Tidaklah seorang muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak pula memutuskan hubungan silaturahim melainkan Allah akan memberinya salah satu di antara tiga perkara: doanya segera dimakbulkan, akan disimpan baginya di akhirat, atau dirinya akan dijauhkan dari keburukan yang setara dengan permohonan yang dipintanya.” Para shahabat berkata, “Kalau begitu, kami akan banyak berdoa.” Rasulullah menyahut, “Allah lebih banyak (untuk mengabulkan doa kalian)." ( Hadith ini direkodkan oleh Imam Ahmad dan Abu Ya’la dengan sanad jayyid (yang baik); hadith ini bertaraf sahih dengan adanya beberapa hadith penguat dari jalur ‘Ubadah bin Shamit yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Al-Hakim, serta dari jalur Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Ahmad dan selainnya)
Semoga Allah menjadikan tujuan kehidupan kita bukanlah dunia semata-mata. Allah tidak tidur dan tidak pernah melupakan para hambaNya yang taat dan menyanyangiNya. Percayalah, Allah adalah sebaik-baik pembalas dan pemilik seluruh kehidupan ini. Marilah kita jadikan setiap perbuatan pekerjaan dan seemuanya ikhlas kerana Allah.
Kita berlari mengejar akhirat, dunia akan datang berlari kepada kita. Semoga kita jelas tujuan sebagai hambaNya. InsyaAllah jutawan akhirat dan dunia.
Salam jutawan!
No comments:
Post a Comment