Tuesday, September 9, 2008

BERHENTI PERKHIDMATANNYA



Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya


Blog ini berhenti seketika perkhidmatannya, kerana saya tidak mampu untuk menulis lagi. Tidak mampu untuk memberi dengan fikiran yang waras, dan kritis.

Saya berpenyakit, penyakit jiwa yang sukar diubati dengan ubat-ubat yang wujud di farmasi. Mungkin ubat itu akan terzahir dengan cara mendekatkan diri dengan-Nya. Jiwa saya rungsing, resah dan kecewa dengan kehidupan dunia ini. Sedih dikecewakan, dan sedih diperhambakan oleh dunia yang kadang-kala saya melihat terlalu memperkudakan saya.

Wanita dan harta menjadikan mata gelap memandang akhirat, menjadi penyumbang gelapnya hati. Bila tersedar, cepat-cepat merangkak, cepat-cepat berjalan dan cepat-cepat berlari menuju sang Pencipta. Dia yang menciptakan cinta, dia juga menciptakan harta, dia menciptakan keresahana dan dia juga menciptakan kebahgiaan.

Jari-jemari, akal dan hati yang diberi-Nya sejak 21 tahun tidak digunakan sepenuhnya untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Namun kesedaran untuk memberi dengan menulis di alam maya sejak dua tahun lalu, banyak mematangkan dan memberi saya pelbagai pengalaman dan pengajaran. Namun, menulis dan mengamalkannya bukan perkara yang mudah. Kita akan kecewa bila kita menulis tetapi kita sukar untuk sama-sama menghayatinya.

Jiwa saya kacau! Kacau kerana saya belum memahami agama secara kaffah. Memahami agama perlu juga memahami bagaimana Agama itu membentuk diri saya sebagai Muslim. Jiwa saya kacau, jiwa saya kacau, jiwa saya kacau!


Mohon maaf kepada semua pembaca paradigma. Paradigma harus memuhasabah dirinya. Melihat kedalam hati dan melihat kedalam akal insani. Harus rehat, harus berfikir dan harus dekatkan diri kepada-Nya. PARADIGMA akan berehat hingga pada satu masa yang akan tiba. Insya Allah, kerana saya mencari apa yang perlu saya cari, agar jiwa saya tidak terus kacau.

Maafkan saya! Saya mencari Tuhan, agar jiwa saya berasa sebagai hamb

Monday, September 8, 2008

saudara baru, saudara lama?



Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
Sahur dan subuh
9/10/2008





“Alhamdulilah, kita hari ini mendapat saudara baru.” Beritahu Pak Kasim kepada hadirin di masjid selepas mengislamkan seorang lelaki yang beragama Hindu sebelumnya.


“Saudara baru”. Sejak dari dahulu saya tertanya-tanya, betul ke jika seseorang sebelum ini bukan beragama Islam kemudian menganut agama Islam digelar saudara baru?


Pernah saya terfikir jika ‘saudara baru’ itu sudah menjadi Muslim selama 20 tahun adakah gelaran saudara baru itu masih releven? Walaubagaimanapun, mengasingkan atau membeza-bezakan Muslim kepada baru dan lama bukanlah sesuatu yang datangnya pengamalan Rasulullah dan juga para sahabat.


Muslim adalah bersaudara
Muslim adalah bersaudara, tidak ada yang membezakan kita semua. Hanya iman dan takwa yang membezakan kita, namun perbezaan itu tidak terzahir pada kaca mata kita. Hanya Allah yang mengetahui, sepertimana yang dikhabarkan Rasulullah dalam sebuah hadith yang sahih, “Bahawasanya Allah tidak memandang akan lahir (rupa dan harta) kamu, tetapi memandang hati dan amalan kamu.”


Muslim bersaudara, apabila kita sembah tuhan yang satu, dan mengikut Nabi dan Rasul yang sama, maka kita adalah bersaudara. Kerana Muslim adalah orang yang beriman, iman kita bahawa Tiada Tuhan yang layak disembah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Allah berkata dalam surah al-Hujarat ayat 10, “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.”

Tiada beza, antara saudara dan saudara lama. Kerana kadang-kala saudara baru itu lebih islamnya dari saudara lama yang sudah lama islam warisannya. Jadi, soal siapa baru dan siapa lama tidak timbul. Yang menjadi soalnya sekarang ialah, adakah kita benar-benar mengenali Islam dengan pemahaman atau sekadar warisan nenek-moyang kita. Tepuk dada, ketuk kepala tanya iman!






Saturday, September 6, 2008

Pemimpin adalah memimpin


Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
7 September 2008
3.00 pagi

Saya pernah menulis tentang bagaimana seorang pemimpin yang harus dipilih oleh orang ramai. Saya meletakkan beberapa asas dan perkara yang harus ada pada seorang pemimpin, antaranya ialah mengutamakan Agama dalam semua aspek. Kini asas dan perkara-perkara yang saya sarankan dan canangkan itu, harus dilihat dan diteliti kembali oleh saya. Bukan kerana poin-poin yang saya senaraikan itu tidak releven, tetapi ia adalah peringatan bahawa kini saya pula harus mempraktikan dan mengaplikasi segala apa yang saya coretkan dahulu.


Tanggal 3 September lepas, saya secara rasmi diamanahkan sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Multimedia Universiti. Amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh pelajar kepada saya dan amanah yang harus dibawa kehadapan Allah kelak. Bukan kemegahan dan kebanggaan memiliki sebuah jawatan, jawatan hanya wasilah dan jawatan ini juga akan ditanya di akhirat kelak.


Sebelum membuat keputusan untuk berada didalam organisasi ini, banyak perkara yang saya fikirkan dan pertimbangkan. Hadith dibawah ini jugalah antara perkara yang banyak memberi peringatan dan motivasi kepada saya.


Nabi s.a.w berkata, “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim)



Bukan sekadar tahu

Menjadi pemimpin bukan hanya sekadar tahu dan mahu, tetapi mampu iaitu kemampuan seseorang pemimpin untuk memimpin harus ada didalam diri seseorang. Abu Zar bukanlah seorang insan biasa di sisi Rasulullah, para sahabat mengetahui bahawa beliau seorang yang zuhud dan soleh, tetapi Rasulullah tidak pernah memilih beliau untuk menjadi pemimpin.


Tidak terpilihnya beliau bukan disebabkan beliau tidak baik, tetapi kerana ketidakmampuan beliau untuk memimpin umat Islam ketika itu. Memilih pemimpin tidak semudah memilih ikan di pasar. Kerana amanah yang harus dipertangungjawab amat besar dan kesilapan memilih akan mengundang mudarat yang besar. Tidak hairanlah apabila Rasulullah mengibaratkan pemberian amanah kepada orang yang tidak selayaknya, adalah tanda kepada tibanya hari Kiamat.


Kata Nabi s.a.w, "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Jawab baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat" (HR Bukhari)




Pemimpin tidak sempurna

Walaubagaimanapun, seorang pemimpin bukanlah seorang insan yang sempurna. Saling melengkapi didalam sebuah organisasi antara isi penting dalam menjayakan organisasi tersebut. Saya bukanlah seorang insan yang sempurna, banyak cacat celanya dan kelemahan yang saya miliki. Namun untuk berpatah kembali ke belakang, atau mengalah bila dilambung ombak dan dilanda badai, tidak sama sekali wujud dalam diri saya.


Biar setinggi manapun ombak itu merempuh, akan saya harungi dengan semangat yang kental. Mencari solusi di sebalik kekusutan antara jalan terbaik bagi menghadapi masalah, jangan lari, tapi cari jalan. Itu langkah seorang pemimpin.


Kepada rakan-rakan yang sentiasa menyokong dan sentiasa berada di belakang, depan dan di sisi saya, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan. Jika saya jatuh, tolong bangunkan, jika bengkok jalan yang saya lalui, tolong tunjukkan jalan lurus yang harus saya lalui, jika saya keseorang dekatilah saya, dan bila saya mati kafankan dan solatkanlah saya.


Akhir kata, saya mahukan seorang lelaki atau perempuan yang melihat kesalahan yang dilakukan oleh saya untuk menegur dan menasihati saya. Moga peristiwa dibawah ini menjadi alasan untuk anda menegur saya!


Seorang lelaki berkata kepada Saidina Umar, yang ketika itu adalah seorang Khalifah umat Islam, kata beliau, “ Jika engkau bengkok, aku akan luruskan engkau dengan mata pedang aku ini”. Lalu Saidina Umar menjawab “Alhamdullillah, kerana ada orang yang sudi memperbetulkan Umar dengan mata pedangnya”..

Friday, September 5, 2008

Aib dan Malu


Oleh: Yussamir Yusof
cyberjaya



Saya berbuka puasa di Masjid Putrajaya maghrib tadi bersama rakan-rakan. Saya tidak pasti sama ada rakan saya perasan atau tidak, tapi saya menjadi saksi kepada satu kejadian yang amat mengaibkan. Dua orang non-Muslim, seorang lelaki dan seorang perempuan memasuki perkarangan masjid. Yang perempuannya tidak bertudung (sudah pasti), dan yang lelakinya berseluar pendek. Bagi pandangan mata kita, tidak sopanlah masuk ke masjid dengan berpakaian begitu, tapi cara memberitahu haruslah behikmah. Yang menyedihkan, mak guard yang bertugas di depan pintu masjid, dengan lancangnya menghalau mereka. Tanpa ada belas dan adab yang dituntut dalam Islam.

Betapa malu dan aibnya saya bila mak guard tersebut berkelakuan seperti tidak beragama. Saya tidak kisah kalau aib dan malu itu hanya dipikul oleh dia, tapi aib dan malu itu ditanggung oleh ISLAM. Saya pasti pasangan bukan Islam itu akan berperasangka buruk dan mempunyai tanggapan negatif terhadap agama Islam yang suci ini. Semuanya atas sikap atau akhlak yang tidak senonoh yang dipamerkan oleh mak guard tersebut.

Kalau kita beriya-iya benar menghebahkan bagaimana Bangsa Israil memandang manusia lain sebagai anjing dan halal dibunuh. Maka tidak jauh ideologi tersebut dengan perangai dan adab kita terhadap non-Muslim yang datang ke masjid tersebut. Sungguh Aib!

Saya tidak pasti mengapa sampai sebegitu sekali perlakuan kita secara umumnya terhadap non-Muslim yang hadir ke tempat ibadat kita. Mereka tidak najis, mereka dilindungi oleh Agama kerana mereka ahli kafir yang tidak menentang. Mengapa kita bersikap demikian? Malu sungguh!



Dalil dibenarkan memasuki Masjid bagi Non-Muslim

Banyak dalil yang membenarkan non-Muslim masuk ke Masjid. Begitu juga dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama. Di dalam sebuah Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa tetap fatwa menjelaskan bahawa Nabi saw pernah menahan seorang banduan, Thamaamah ibn Athaal al-Hanafi didalam masjid sebelum dia memasuki Islam. Begitu juga dengan delegasi Thaqeef dan Kristian Najraan pernah tinggal didalam masjid [Fatawaa al-Lajnah al-Daa'imah, 6/276].

Saya merayu, tolonglah jangan memalukan dan mengaibkan Islam! Saya sangat malu dan terasa hina sebentar tadi, maafkan kami wahai kamu berdua!

Wednesday, September 3, 2008

Amanah Allah




Hadith ini benar-benar menyentakkan hati saya! Betapa berat untuk memiliki insan yang bernama Isteri. Moga Hadith ini memberi peringatan kepada sahabat-sahabat saya yang sudah berkeinginan untuk berumahtangga.

TAKUTLAH KAMU SEMUA KEPADA ALLAH MENGENAI WANITA (ISTERI) KERANA KAMU TELAH MENGAMBIL MEREKA DENGAN AMANAH ALLAH
[Hadith riwayat Muslim]