Saturday, September 6, 2008

Pemimpin adalah memimpin


Oleh: Yussamir Yusof
Cyberjaya
7 September 2008
3.00 pagi

Saya pernah menulis tentang bagaimana seorang pemimpin yang harus dipilih oleh orang ramai. Saya meletakkan beberapa asas dan perkara yang harus ada pada seorang pemimpin, antaranya ialah mengutamakan Agama dalam semua aspek. Kini asas dan perkara-perkara yang saya sarankan dan canangkan itu, harus dilihat dan diteliti kembali oleh saya. Bukan kerana poin-poin yang saya senaraikan itu tidak releven, tetapi ia adalah peringatan bahawa kini saya pula harus mempraktikan dan mengaplikasi segala apa yang saya coretkan dahulu.


Tanggal 3 September lepas, saya secara rasmi diamanahkan sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Multimedia Universiti. Amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh pelajar kepada saya dan amanah yang harus dibawa kehadapan Allah kelak. Bukan kemegahan dan kebanggaan memiliki sebuah jawatan, jawatan hanya wasilah dan jawatan ini juga akan ditanya di akhirat kelak.


Sebelum membuat keputusan untuk berada didalam organisasi ini, banyak perkara yang saya fikirkan dan pertimbangkan. Hadith dibawah ini jugalah antara perkara yang banyak memberi peringatan dan motivasi kepada saya.


Nabi s.a.w berkata, “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim)



Bukan sekadar tahu

Menjadi pemimpin bukan hanya sekadar tahu dan mahu, tetapi mampu iaitu kemampuan seseorang pemimpin untuk memimpin harus ada didalam diri seseorang. Abu Zar bukanlah seorang insan biasa di sisi Rasulullah, para sahabat mengetahui bahawa beliau seorang yang zuhud dan soleh, tetapi Rasulullah tidak pernah memilih beliau untuk menjadi pemimpin.


Tidak terpilihnya beliau bukan disebabkan beliau tidak baik, tetapi kerana ketidakmampuan beliau untuk memimpin umat Islam ketika itu. Memilih pemimpin tidak semudah memilih ikan di pasar. Kerana amanah yang harus dipertangungjawab amat besar dan kesilapan memilih akan mengundang mudarat yang besar. Tidak hairanlah apabila Rasulullah mengibaratkan pemberian amanah kepada orang yang tidak selayaknya, adalah tanda kepada tibanya hari Kiamat.


Kata Nabi s.a.w, "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Jawab baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat" (HR Bukhari)




Pemimpin tidak sempurna

Walaubagaimanapun, seorang pemimpin bukanlah seorang insan yang sempurna. Saling melengkapi didalam sebuah organisasi antara isi penting dalam menjayakan organisasi tersebut. Saya bukanlah seorang insan yang sempurna, banyak cacat celanya dan kelemahan yang saya miliki. Namun untuk berpatah kembali ke belakang, atau mengalah bila dilambung ombak dan dilanda badai, tidak sama sekali wujud dalam diri saya.


Biar setinggi manapun ombak itu merempuh, akan saya harungi dengan semangat yang kental. Mencari solusi di sebalik kekusutan antara jalan terbaik bagi menghadapi masalah, jangan lari, tapi cari jalan. Itu langkah seorang pemimpin.


Kepada rakan-rakan yang sentiasa menyokong dan sentiasa berada di belakang, depan dan di sisi saya, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan. Jika saya jatuh, tolong bangunkan, jika bengkok jalan yang saya lalui, tolong tunjukkan jalan lurus yang harus saya lalui, jika saya keseorang dekatilah saya, dan bila saya mati kafankan dan solatkanlah saya.


Akhir kata, saya mahukan seorang lelaki atau perempuan yang melihat kesalahan yang dilakukan oleh saya untuk menegur dan menasihati saya. Moga peristiwa dibawah ini menjadi alasan untuk anda menegur saya!


Seorang lelaki berkata kepada Saidina Umar, yang ketika itu adalah seorang Khalifah umat Islam, kata beliau, “ Jika engkau bengkok, aku akan luruskan engkau dengan mata pedang aku ini”. Lalu Saidina Umar menjawab “Alhamdullillah, kerana ada orang yang sudi memperbetulkan Umar dengan mata pedangnya”..

3 comments:

  1. Assalamualaikum.

    Takziah dan tahniah atas perlantikan. Jawatan yang besar dan berat. Tapi akak tahu, akhi juga mesti faham bahawa tidak ditaklifkan sesuatu perkara kepada hambaNya akan sesuatu yang tidak mampu ditanggungnya. Jangan pernah 'meminta' untuk diberi jawatan, tetapi bila dipilih untuk memegang jawatan, menjadi tanggungjawab untuk jalankan amanah. Kerana lumrah hidup di dunia, perlukan manusia untuk memimpin manusia lainnya. Biarlah pemimpin yang ahli kerana telah akhi sebutkan,
    Kata Nabi s.a.w, "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Jawab baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat" (HR Bukhari)

    Sejarah telah mencacatkan begitu banyak kisah manusia yang berubah apabila berada di atas. Kerana lazimnya manusia ni kerap terlupa/lupa diri. Pesanan ikhlas dariku, seharusnya jawatan ini akan menjadi asbab untuk akhi mengeratkan lagi hubungan denganNya, lebih rapat, lebih mesra dan lebih sayang, insyaAllah.=)

    Akhi adalah manusia pilihan Allah untuk amanah tersebut. Semoga jawatan tidak membuatkanmu jauh dari jalan menuju redhaNya, semoga jawatan tidak mencemarkan niatmu membantu ummah campus khasnya dan dunia khususnya, ameen.=)

    Semoga istiqamah. =D

    ReplyDelete
  2. Waalaikumusalam kak..
    Terima kasih dengan nasihat dan teguran tersebut. Saya sangat menghargainya, moga perkara-perkara yang negatif yang disebutkan itu tidak berlaku dalam perjalanan saya sebagai seorang pemimpin. Bangunkanlah saya bila saya terlena.

    Terma kasih lagi saya ucapkan kerana coretan2 akak selama ini banyak mendidik saya.

    Mendidik agar saya terus memberi dan sentiasa sedar bahawa tugas saya sebagai Khalifah tidak terhenti setakat di alam maya. Tapi juga harus dijelmakan melalui praktis.

    Moga coretan2 akak terus mengisi blog ini, bagi kebaikan saya dan pembaca paradigma.

    WaAllahualam..

    ReplyDelete
  3. salam alaik.

    syukran kathiran...berguna utk bakal2 pemimpin..tidak kira kelompok kecik atau besar.

    bersama memimpin diri ke arah kejayaan.

    ReplyDelete