Monday, June 29, 2009

MANUSIA ITU SENTIASA BERUBAH

“Bro ini ke kawan kau yang kau kata dulu Otai.” Rizal (bukan nama sebenar) bertanya kepada sahabat saya, Riduan (juga bukan nama sebenar). Riduan tersengih, kemudian mengangguk perlahan.

“Biar betik, laiiin dah.” Rizal menyambung, kemudian kami semua ketawa bersama. Mungkin kalau dia dapat melihat gambar-gambar lama saya, mesti lagi dia akan ketawa dan terkejut. Manusia akan terus berubah Yop.

Riduan yang duduk di depan saya masih lagi tersengih-sengih. Semasa saya sedang berada di pejabat, Riduan menghantar sms mahu berjumpa dengan saya. Kebetulan, ketika itu dia berada di Kuala Lumpur ada urusan, saya pula sedang praktikal di Kuala Lumpur. Saya sudah kenal dan bersahabat dengan Riduan lebih kurang 8 tahun. Pada awal perkenalan saya dengan dia, saya memang tidak suka dengan perangai dia. Suka menyakat dan suka mengenakan orang. Cuma saya, dia tidak berani.


Habis sahaja waktu berkerja, saya terus ke Time Square berjumpa dengan Riduan. Dia masih berperangai seperti dahulu. Cumanya ada beberapa perubahan pada diri sahabat saya ini. Kami masih rapat, seperti dahulu juga. 2 tahun tak pernah bersua muka, macam-macam dah berubah.

“Dulu kau lebih besar dari aku, sekarang aku pula lagi besar dari kau. Tinggi pun aku lebih dari kau.” Riduan cuba mengukur-ukur tinggi dia dengan saya.

“Yang penting aku lagi hensem dari kau.” Saya mengusik.

“Ceh. Bapa poyo giler.” Bahasa dia masih sama seperti dahulu. Kami ketawa.

Perubahan yang berlaku pada saya, Alhamdulilah diterima baik. Dia pula menegur saya sebab saya nak membatalkan puasa sunat. Semata-mata mahu meraikan perjumpaan yang dah lama ini. “Eh giler. Tak payah la. Tinggal berapa jam je lagi ini.” Dia menahan saya dari membatalkan puasa. Saya akur terselit juga perasaan kagum.

Tatkala saya bertanya tentang gajinya, adakah dia memberi sedikit dari gajinya kepada kedua orang tuanya. Dia menjawab, "Gile kau, nak kena sambar petir." Saya ketawa kemudian "Bagus!"

Berkat dari menghadiahkan gajinya kepada orang tua, dan pandai menyimpan, dia sudah membeli rumah, dan sudah ada simpanan. Gaji dia mengalahkan saya jika saya bergelar Auditor. nanti. Tapi tugas Riduan mencabar. Dia tak selalu berada di daratan. Kebanyakkan masanya dia akan berlayar, dan paling lama di lautan ialah 6 bulan. Itu sebab gajinya lumayan, berbaloi dengan kerjayanya. Saya menumpang gembira, sahabat saya ini sudah ada kerjaya yang stabil.

“Aku camni je la mir.” Dia menjawab bila saya bertanya tentang hidupnya sekarang.

“Tapi kau jadi jugalah manusia. Dari tak jadi macam dulu.” Saya menambah. Dia ketawa. Pipinya yang tembam masih kelihatan, tak berubah.

Setengah jam juga saya habiskan masa dengan Riduan. Jam 6.30, saya perlu balik segera. Riduan saya tinggalkan sementara, dan tidak pasti lagi bila akan bertemu. Saya terus berharap dan berdoa, agar Allah memberi petunjuk kepadanya. Ya, moga Allah memberi petunjuk agar Riduan menjadi insan yang mengenali Tuhannya.

“Assalamulaikom.” Riduan ucapkan kepada saya semasa saya berangkat mahu pulang. Saya berhenti sekejap, senyum kepadanya dan menjawab salamnya. Dia tergelak. Kaki saya terus melangkah, memikirkan sahabat saya ini. Tidak tahu mengapa, tapi saya hati saya terus berharap satu hari nanti dia akan berubah. Berubah menjadi benar-benar Muslim. Sekurang-kurangnya, bahasanya lebih molek untuk diucapkan. Saya berdoa untuknya.

Saya merindui sahabat-sahabat yang lain dan juga zaman persekolahan..Sahabat semua, bila mahu ketemu lagi?


_____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Friday, June 26, 2009

MJ KINI KAU KESEORANGAN

Seperti kanak-kanak lain juga, saya turut menjadi peminat setia kepada Michael Jackson ketika itu. Lagu-lagu beliau yang kerap diputarkan sekitar tahun 90-an di corong-corong radio, menjadikan beliau cukup dikenali di Malaysia. Saya masih ingat lagi, ketika itu saya suka menyanyi sambil meniru tarian beliau.

“U’uu..” Teriakan itu semacam trademark yang harus disebut bila menyanyikan lagu beliau. Manakala tangan kiri di celah kelengkang, dan tangan kanan pula diangkat ke atas. Teruk saya dimarahi oleh ibu saya ketika itu. Kata ibu, “macam beruk.”

Bila sudah dewasa, saya masih mengikuti lagu-lagu beliau. Tarian? Maaf, saya tidak ada bakat untuk meneruskannya. (senyum) Lagu-lagu beliau walaupun kebanyakkannya penuh dengan mesej-mesej yang tidak baik, tetapi ada juga lagu yang berunsurkan kedamaian dan persaudaraan. Misalnya lagu Heal The World, yang dicipta sendiri oleh Michael Jackson.

Pemergian beliau pada pagi tadi membuatkan ramai terpinga-pinga. Tidak menyangka Raja Pop ini akan meninggalkan terus dunia ini. Saya yang mendengar berita kematian beliau pada pagi tadi semasa mahu ke tempat kerja juga serasa tidak percaya. Saya panjatkan doa dan keampunan untuknya, jika beliau benar-benar sudah memeluk Islam. Jika belum sebagai Muslim, cukuplah sekadar ucapan takziah kepada keluarganya walaupun mustahil keluarganya mengetahui ucapan ini.

Sebagai peminat lagu-lagu beliau, saya turut merasa kehilangannya. Moga kematian beliau menghilangkan segala macam kontroversi yang pernah beliau lalui. Dunia ini sememangnya melucukan. Semasa hidupnya ramai yang mencemuh, apabila beliau sudah tiada, dunia kembali mengangkatnya seolah-olah jaguh yang tiada tolok banding.

Lagu beliau yang bertajuk You are not alone membawa saya terus kembali ke zaman kegemilangannya. Namun, penyanyinya kini ALONE di alam sana. Sebaik-baik Allah yang mengetahui segalanya.



____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Tuesday, June 16, 2009

SYEIKH FATHI YAKAN SEORANG JURUTERA YANG BERHATI WAJA

Pemergian Syeikh Fathi Yakan sememangnya meninggalkan bekas yang mendalam di hati-hati umat Islam seluruh dunia. Kehadirannya adalah sebuah kurniaan besar dari Allah, dan pemergiannya yang tidak disangka juga adalah fitrah kehidupan yang telah Allah tetapkan. Semua jiwa-jiwa yang telah dipinjamkan akan menemui Tuhannya. Tidak ada seorang pun yang akan terselamat, walaupun dibina tembok yang tinggi, mempunyai doktor yang hebat dan membina dinding kukuh berisi besi. Jika ajal telah tiba, tidak akan sesekali Allah lewatkan atau percepatkan. Firman Allah, “Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya.” (Al-A’raf:34)



Lubnan atau lebih tepat lagi Tripoli pasti menangisi pemergian tokoh ini. Di sinilah tempat beliau dilahirkan pada tanggal 9 Februari 1933. Tokoh ini tidak asing dalam dunia pergerakan islam, lebih-lebih lagi bagi Ikhwan Muslimin. Pengaruh tulisan-tulisannya telah menular dan meresap jauh ke dalam hati-hati umat Islam tentang peri-pentingnya dakwah islamiah dalam kehidupan seharian. Malahan tulisan-tulisan beliau bukan sahaja dapat di baca dalam bahasa Arab, tetapi telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, termasuklah bahasa Malaysia. Bukunya yang mashur iaitu “maza ya'ni intimai Ila Islam” (Apakah Ertinya saya menganut agama Islam) telah dijadikan silibus Usrah oleh kebanyakkan pertubuhan-pertubuhan Islam.

Beliau dikenali sebagai insan yang bukan sekadar berteori semata, tetapi melaksanakan apa yang dikata. Kehadirannya di tengah-tengah masyarakat dalam menyampaikan risalah-risalah Islam dalam kuliah-kuliah di masjid dan pelbagai tempat, menambahkan lagi ketokohan beliau di mata masyarakat. Seperti kebanyakan tokoh-tokoh gerakan Islam yang lain, beliau juga tidak terlepas dari dipenjarakan. Tulisan dan penglibatan beliau dalam gerakan Islam dianggap mengancam kedudukan dan memerbahayakan pemerintahan. Atas alasan itu beliau telah dipenjarakan, malahan beliau turut diseksa dengan pelbagai cara.

Tetapi dugaan dan cubaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menyebarkan risalah Tauhid dan mengembalikan kegemilangan Islam di seluruh dunia. Cubaan itu hanyalah secebis ujian yang Allah berikan kepada beliau. Malahan ujian itu dianggap sebagai penanda aras sejauh mana imannya kepada Allah. Selaras dengan firman Allah yang bermaksud, “Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (al-Baqarah:214)

“Apakah yang diperbuat musuh padaku!.. Aku, terpenjaraku adalah khalwat. Kematianku adalah mati syahid. Terusirku dari negeriku adalah rekreasi.” Ucapan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah ini sesuai untuk ditujukan kepada tokoh seperti Syeikh Fathi Yakan. Kehidupannya dipenjara tidak disia-siakan begitu sahaja. Jika Syed Qutb menghasilkan Tafsir Fi Zilalil Qur’an di penjara, begitu juga dengan HAMKA dengan tafsir Al-Azhar, maka beliau juga turut menghasilkan tulisan-tulisan ketika mendekam di dalam penjara. Namun tulisan-tulisannya disasarkan khusus untuk para pemuda dan pemudi Islam. Beliau berkeyakinan bahawa para pemuda dan pemudi Islam adalah asset Islam yang harus dikejutkan dimotivasikan dengan semangat dan nilai-nilai Islam.

Kata Syeikh Fathi Yakan ketika membicarakan tentang para pemuda dan pemudi ini. Katanya, “Pemuda ialah sebuah tenga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam. Tetapi orang lain telah mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia. Sesungguhnya manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda dan pemudi tetapi mereka ini hanyalah kosong, hanyut dan terbiar.”

Sehingga akhir hayatnya, beliau tetap berkeyakinan bahawa para pemuda dan pemudi Islam adalah agen perubahan kepada Daulah Islamiyah. Tokoh yang mempunyai kelulusan Master dalam bidang Kejureteraan dan Dokterat dalam bidang Pengajian Islam dan bahasa Arab ini akhirnya pergi menghadap Illahi pada tanggal 13 Jun 2009. Sesungguhnya permergian beliau bagaikan kehilangan sebutir mutiara di dasar lautan. Moga Allah menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat syurga Firdaus.

Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah, bahawa Allah tidak akan sesekali menghilangkan ilmu pengetahuan sekaligus dari dada-dada manusia, tetapi mematikan para alim-ulama’. Dari Abdullah bin ‘Ash r.a. berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda ; “Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadis direkodkan Imam Muslim)


____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Saturday, June 13, 2009

ADAKAH ANAK-ANAKMU MENGERTI?


Sewaktu saya masih berada di bangku persekolahan saya tidak pernah terfikir untuk bekerja keras mencari rezeki. Disebabkan saya tidak pernah terfikir, saya tidak mengerti pengorbanan dan jerit-perih yang ditanggung oleh kedua ibubapa saya. Yang penting bagi saya ketika itu, makan, minum, tempat tinggal, duit bulanan, dan pakaian serba-serbinya cukup. Tanpa sedikit pun saya berfikir, adakah ibubapa saya juga merasa cukup seperti apa yang mereka beri kepada saya. Kadang-kadang saya pula cerewet dan komen itu silap dan ini salah. Silap haribulan saya merajuk sehingga tidak bertegur dengan ibubapa. Ya, ketika itu saya berasa semuanya betul, dan apa yang ditegur oleh ibubapa semuanya seperti mengongkong kehidupan saya.

Nah kini, saya yang baru sahaja praktikal di sebuah Firma Audit di Kuala Lumpur. Saya baru terfikir dan berasa jerit-perihnya mencari rezeki. Walaupun tidak sehebat dan segigih kedua ibubapa saya, tetapi sudah cukup memberitahu kepada saya betapa besar pengorbanan mereka kepada anak-anak mereka. Bangun seawal pagi, kemudian menyediakan keperluan anak-anak, bersiap untuk ke tempat kerja, kemudian di pejabat terbeban dengan pelbagai kerja, dan balik pula bingit telinga mendengar anak-anak bertengkar. Tetapi senyum tetap terukir, dan suara halusnya memujuk kami memukau kami untuk berhenti bertengkar. Tapi hati mereka siapa yang peduli?

Kini saya mula melangkah ke alam fasa mengerti dan mengenali sisi kehidupan kedua ibubapa saya. Saya mengkagumi pengorbanan mereka, dan saya mengerti perasaan mereka. Kehidupan itu sering berlaku proses, proses yang membangunkan watak dan perwatakan manusia. Begitu juga dengan diri saya. Proses ini mematangkan diri saya untuk merenung dan menilai sisa-sisa umur yang masih Allah berikan kepada saya. Semakin saya kenal dan dekat dengan pengertian hidup ini, jari-jemari saya semakin kuat dan lincah merakamkannya melalui penulisan. Saya mahu berkongsi pahit manisnya hidup sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini. Saya mahu berkongsi nikmat iman dan Islam dengan seluruh manusia yang saya kenal. Dan saya juga ingin berkongsi nikmat kasih, pengorbanan dan sayangnya kedua orang ibubapa saya dengan seluruh makhluk yang ada.

Puisi ini khas untuk ibupa seluruh dunia

Mukanya?
Dulu kedut-kedut tidak ada,
Semuanya tegang-tegang berlaka,
Tapi kini ia semakin mengendur,

Kelihatan wajahnya semakin lesu.


Senyumnya?

Senyumnya seperti dulu,
Melirik setiap kali bersua muka,

Lidahnya pula sering mengucap doa,

Buat anak yang semakin dewasa.

Kudratnya?

Sudah semakin senja,

Tidak kuat untuk berjalan sini-sana,

Matanya pula semakin renta,

Tapi hatinya tetap segar sentiasa.


Doanya?

Setiap hari diutus doa buat kita,

Tidak mengenal putus asa,

Bermunajat untuk insan tercinta,

Doa mereka sentiasa diredhai oleh-Nya.


Umurnya?
Semakin senja semakin tua,

Menunggu panggilan Tuhan yang esa,

Bakti dan jasa tidak terkata,

Untuk insan bernama anakanda.




Selamat setiap hari kepada ibu dan bapa seluruh dunia...




___________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Friday, June 12, 2009

SEBAR NIKMAT & ISLAM DALAM AGENDA DAKWAH


Oleh : Yussamir Yusof
Sumber Berita Harian 13 Jun 2009
Alhamdulilah artikel kedua di Bharian

Futur ataupun terhenti dalam menjalankan aktiviti dakwah; menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, sudah seringkali kita dengar dan lihat dengan mata dan telinga kita sendiri. Begitulah keadaan para pendakwah masa kini, ia bukan fantasi tetapi realiti yang sedang dan akan terus terjadi. Ya memang benar, keinginan, semangat dan kekuatan kita akui kadang-kala turun dan kadang-kala meningkat. Begitu juga dengan iman kita, sepertimana yang dikatakan oleh Imam Bukhari dalam sebuah riwayat, beliau berkata, “Iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.”

Imam Ahmad pernah ditanya tentang makna bertambah dan berkurangnya iman? Kemudian beliau menjawab dengan menukilkan ucapan dengan sanadnya sampai kepada ‘Umair bin Hubaib, dia berkata, “Iman bertambah dan berkurang”. Maka dia ditanya, “Bagaimana bertambah dan berkurangnya?” Dia menjawab: “Jika kita ingat Allah, memuji-Nya, bertasbih kepada-Nya, maka demikianlah bertambahnya. Dan jika kita lalai, melupakan-Nya, menyia-nyiakan-Nya maka itulah berkurangnya”. (Aqidatus-Salaf wa Ashabul-Hadis, hlm:265-266)

Memang benar iman boleh bertambah dan berkurang, tetapi untuk berhenti terus dari melakukan dakwah adalah perkara yang amat mendukacitakan. Sesungguhnya manusia diciptakan adalah untuk menjadikan khalifah di bumi. Dan sebagai khalifah salah satu tugasnya ialah menyampaikan risalah tauhid, menyeru kepada kebaikan, dan mencegah perkara-perkara yang mungkar. Firman Allah, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (al-Imran 3:104).

Kita akui bahawa aktiviti dakwah ini bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai rintangan dan tribulasi akan mendatang bagi memadam aktiviti dakwah ini dari terus bersinar. Perkara ini pernah diutarakan oleh Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam sebuah artikel beliau yang bertajuk bertajuk kewajipan generasi muda islam hari ini. Kata beliau, “Tanggungjawab ini semakin bertambah berat atas ahli dakwah, engkau akan mendapati rintangan-rintangan itu sehingga dalam rumah-rumahmu sendiri, mungkin engkau mendapati ayahmu, saudaramu, sahabat-sahabatmu atau manusia yang lebih dekat darimu yang akan menghalangmu dan mengatakan kepadamu: “mengapa engkau berbuat demikian? Mahukah engkau dipenjara? Mahukah engkau ditangkap? Mahukah engkau diseksa? Mahukah engkau begini dan begitu?”

Namun, adakah kekangan-kekangan ini yang menjadikan kita berduka-cita? Tidakkah kita pernah terhibur dengan ganjaran-ganjaran besar yang pernah Allah tawarkan kepada mereka yang menyeru kebajikan dan mencegah kemungkaran? Malahan Allah menggelar para penyeru kebaikan dan pencegah kemungkaran ini sebagai sebaik-baik manusia. Firman Allah, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”.

Seharusnya kita berulang-ulang memperingatkan diri , bahawa jangan sesekali mengkhianati tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Dalam masa yang sama jangan sekali lagi membiarkan diri kita untuk tidak dipercayai oleh malaikat, sepertimana yang mereka pernah suarakan kepada Allah pada permulaan penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (al-Baqarah 2: 30)

Teruskanlah berpesan-pesan kepada kebaikan, dan penuh dengan kesabaran. Jangan menjadi Muslim yang pentingkan diri, merasa nikmat Iman dan Islam bersendiri. Islam melarang menjadi Muslim yang pentingkan diri sendiri, Islam menyuruh umatnya menyebarkan dua nikmat tersebut iaitu Iman dan Islam kepada seluruh manusia. Rugilah sesiapa yang menikmati Iman dan Islam bersendirian, kecuali jika mereka berkongsi bersama nikmat tesebut dengan menjalankan aktiviti dakwah. Sepertimana firman Allah, “Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”. (al-Ashr 103: 2-3)

Bagi para pendakwah yang masih tetap berdegil untuk futur atau berhenti dari jalan dakwah ini, biarlah firman Allah ini mengejutkan mereka kembali. Firman Allah, “Telah dila'nati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.” (al-Maidah: 78-79)
Ayat ini mengingatkan kepada kita bahawa Allah telah melaknat Bani Israil yang tidak melarang perbuatan mungkar yang berlaku di sekeliling mereka. Mengapa ia terjadi? Kerana di kalangan mereka tidak ada lagi yang menjalankan aktiviti dakwah, mereka telah futur dalam gerakan dakwah; menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Adakah hal sedemikian kita mahu ia berlaku sekali lagi pada diri kita?

Ayuh semua, kita rapatkan saf, kita kukuhkan jentera kekuatan, kita kuatkan semangat. Agenda dakwah ini tidak harus terhenti, kerana agenda ini adalah tugas yang cukup mulia. Para Nabi dan Rasul telah melaksanakan kewajiban dakwah mereka, kini tugas itu harus digalas dan diteruskan oleh kita semua. Jangan biarkan lelah-lelah, kekangan-kekangan itu membuatkan kita terus jauh dari jalan dakwah ini kerana pertolongan Allah dekat dengan kita. Kesusahan itu hanyalah secebis dugaan, dan beruntunglah mereka yang mendapat dugaan dari Allah. Firman Allah, “Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (al-Baqarah:214)



___________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Wednesday, June 10, 2009

SEBARKAN ISLAM DALAM SEMUA MEDIUM



Alhamdulilah,

Artikel saya sudah beberapa kali tersiar di majalah, tetapi belum pernah tersiar di akhbar. Alhamdulilah, artikel pertama saya tersiar di Akhbar Berita Harian (online dan offline). Pertama kali saya hantar dan pertama kali jua ia tersiar. Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi dorongan untuk kembangkan medium dakwah, serta keluar dari sterotaip bahawa hanya insan berstatus ustaz sahaja boleh berdakwah.

Artikel saya itu boleh di baca di sini BERITA HARIAN




____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Tuesday, June 9, 2009

SENYUMAN & KETEGASAN RASULULLAH “Antara Hikmah dan Ibrah”

Artikel di bawah ini panjang, sila baca dengan perlahan dan teliti moga mendapat manfaat. Saya akan kurang menulis kerana sedang berpraktikal, dan sibuk dengan menyiapkan manuskrip. Moga para pembaca dapat membelek-belek tulisan lama saya dan membandingkan dengan sekarang. Pasti akan tersenyum, menyampah dan marah. Itulah proses...

Bukan sukar untuk menghadiahkan senyuman, tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah kita. Hati mana yang tidak tenang, apabila sedang dalam kekusutan kita masih lagi boleh tersenyum kepada rakan-rakan. Senyuman itu adalah sebuah ciptaan yang paling indah yang Allah pernah ciptakan, malahan senyuman juga adalah kuntuman-kuntuman indah yang sentiasa Rasulullah persembahkan.


Siapa tidak kenal dengan Muhammad bin Abdullah. Nabi Muhammad saw. adalah manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap, dan tingkah lakunya. Ada beberapa hal menarik pada diri baginda yang jarang diungkapkan oleh orang ramai iaitu mengenai senyum Rasulullah. Sepintas lalu hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti. Tetapi apabila dikaji sebenarnya senyuman Rasulullah memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah dalam misinya sebagai penyebar risalah Tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan baginda. Disebabkan itu, Rasulullah dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan baginda dicintai dan disegani oleh kawan dan juga lawan.

Para sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah s.a.w yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan tentang betapa indahnya senyuman Rasulullah ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar, “Rasullullah s.aw tersenyum dan baginda adalah orang yang paling bagus giginya”(diriwayatkan Ibnu Hibban di dalam sahihnya). Manakala seorang lagi sahabat Rasulullah yang bernama Abdullah bin Al-Harist menyatakan, “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah s.a.w.” (Riwayat At-Tirmidzi)

Cucu kesayangan baginda, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah sepertimana dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Tirmidzi, beliau berkata, “Aku bertanya kepada Ayahku( Saidina Ali ra) tentang adab dan etika Rasulullah s.aw. terhadap orang-orang yang bergaul dengan baginda. Ayahku mengatakan, ‘Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, beliau bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas…..”

Tambahan itu, Rasulullah walaupun dalam keadaan marah baginda tetap mempamerkan senyumannya, hatta kepada orang yang baginda tidak sukai. Perkara ini pernah direkodkan oleh Imam Bukhari disebukan bahawa Saiditina Aisyah r.a berkata, “Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah. Ketika baginda melihat orang itu dari jauh ,maka beliau bersabda, “Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat”. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati.”. Kemudia Rasulullah bersabda “Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?.”

Imam al-khataby ketika mensyarahkan hadith ini, beliau berkata, “Hadith ini dilihat dari sudut adab dan ilmu. Ucapan Rasulullah tentang diri Uyainah tentang sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut GHIBAH. Ghibah ini berlaku diantara sebahagian orang dari umat islam terhadap sebahagian yang lain. Namun begitu, perlakuan baginda ini adalah menjelaskan dan mengungapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang baginda terhadap umatnya. Tetapi kerana baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka baginda memperlihatkan wajah yang beseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan dengan orang yang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu agar umat Islam meniru perbuatan baginda, agar dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat dari kejahatan dan tipu daya.” (Fathul Bari, 10/469).

Begitu indah akhlak Rasulullah, walaupun seseorang itu tidak disukai oleh baginda namun baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria. Oleh sebab itu Saiditina Ai’syah menkhabarkan bahawa sesungguhnya akhlak Rasulullah adalah aklak al-Quran, sepertimana yang direkodkan dalam hadith Sahih Muslim. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang Nabi dan Rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan baginda yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai.

Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga sebuah senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 21, “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasullullah itu suri tauladan yang baik bagi kalian(iaitu) bagi orang-orang yang mengharap(rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut ALLAH”

Malahan baginda Rasulullah s.a.w berkata, “Tersenyum ketika bertemu dengan saudara kalian adalah termasuk ibadah.” (Direkodkan Imam Tirmidzi, Ibnu Hibban, dan Al-Baihaqi)

Walaupun baginda adalah seorang insan mulia yang sentiasa mempamerkan senyumannya kepada orang ramai, namun dalam beberapa keadaan baginda tidak akan senyum. Lebih-lebih lagi apabila hukum-hukum Allah dipermainkan dan dilanggar oleh umatnya. Bukan sahaja senyuman tidak dihadiahkan, tetapi wajah baginda akan bertukar serta-merta menjadi merah kerana kemarahan. Menurut Saiditina Aisyah sepertimana yang direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, beliau berkata, “Pada suatu hari, Rasulullah baru kembali dari sebuah musafir. Sebelumnya aku telah meletakkan tabir di pintu rumahku dengan langsir tipis yang bergambar. Ketika baginda melihat gambar tersebut, Rasulullah terus mengoyakkannya hingga berubah rona wajah baginda, kemudian baginda berkata, “Wahai ‘Aisyah ! sesungguhnya orang yang paling keras siksanya di sisi Allah pada hari kiamat adalah orang-orang yang meniru ciptaan Allah”.

Selain itu, ketegasan baginda juga dapat dilihat dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim tentang seorang wanita dari kabilah Makhzumiyah yang telah mencuri. Kaum Quraisyh berasa binggung dengan permasalahan tersebut kerana mereka tahu bahawa hukuman pencuri mengikut undang-undang Islam ialah tangan pencuri tesebut harus dipotong (mengikut syarat-syarat yang ditetapkan). Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa dengan Rasulullah dan memohon baginda melepaskan wanita tersebut. Kemudian sebahagian dari mereka menyarankan agar Usamah bertemu dengan Rasulullah, kerana Rasulullah menyayangi Usamah.

Maka Usamah pun pergi dan berbicara kepada Rasulullah saw. untuk minta pembelaan atas wanita itu. Kemudian Rasulullah saw. bersabda, “Jadi kamu ingin memohon syafaat (pebelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah?” Setelah mengucapkan ayat tersebut, baginda berdiri dan berkhutbah, “Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat-umat sebelum kalian ialah, apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiar-kannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah!, sekiranya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya.”

Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah sebagai Ibrah dan dalam masa yang sama menilai hikmah yang ada disebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malahan dengan senyuman hati kita akan berasa tenang dan sentiasa disenangi oleh orang ramai. Manakala, bertegaslah dalam beberapa keadaan agar agama tidak diperkotak-katikkan.



___________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Tuesday, June 2, 2009

ZIKIR & FIKIR, di mana kita?

Biasanya perkataan ZIKIR lebih dominan dengan golongan agama, manakala perkataan FIKIR pula ditujukan kepada mereka yang berfikir ataupun dikenali sebagai intelektual. Perlabelan ini menjadi semakin jelas ketika zaman pertengahan Eropah wujud. Pertembungan dua gelombang antara golongan beragama dan golongan berfikir semakin meninggi, semuanya bermula dengan keenganan Gereja menerima dan mengiktiraf pandangan-pandangan Sainstis ketika itu.

Semasa zaman pertengahan Eropah yang dikenali dengan zaman Englightenment (pertengahan abad ke-17), masyarakat yang berfikir sentiasa dimusuhi oleh masyarakat yang berzikir.


Peristiwa pertembungan antara golongan Gereja dan ahli Sains ketika itu, mencipta ruang yang sangat besar antara Zikir dan Fikir. Kemuncaknya apabila Galileo dihukum sebagai pembuat bidaah dan berbahaya oleh Pihak Gereja, kerana teori yang dikemukan oleh Galileo bahawa Matahari adalah pusat cakerawala bukannya Bumi.

Manakala golongan Fikir pula menjadi elergik terhadap golongan Zikir, pada pandangan mereka, golongan ini manusia yang tidak produktif dan manusia yang tidak menyumbangkan apa-apa terhadap ketamadunan. Maka muncullah golongan Sekularisme dimana kepercayaan atau fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan atau ketuhanan (Zikir) tidak harus dicampurkan dengan urusan negara, politik dan pentadbiran (Fikir). Ringkasnya sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan antara urusan agama dari kehidupan dunia seperti politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Islam melihat permisahah ini sebagai satu racun dan kemudaratan terhadap sistem kehidupan. Islam tidak membenarkan permisahan antara Zikir dan Fikir, kerana Islam mengiktiraf kedua-duanya sebagai saling lengkap-melengkapi. Larangan pemisahan jelas dapat dilihat didalam al-Quran apabila, Allah menyuruh orang-orang beriman agar mengambil agama secara keseluruhan; iaitu Zikir dan Fikir. Kata Allah, “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

Peringatan ini sangat diperlukan apabila sebahagian umat Islam sudah mula untuk cenderung mengambil sikap memisahkan antara Zikir dan Fikir. Sejak kejatuhan Khilafah Turki Utsmaniah pada 1924, kecenderungan ini mula nampak apabila Kamal Attartuk memisahkan rakyat Turki dari agama dengan kehidupan apabila secara rasminya meletakkan negara itu dibawah bumbung pemerintahan Sekuarlisme.

Bukan hanya rakyat Mahrain yang terpengaruh dengan doktrin pemisahan Zikir dan Fikir ini, malahan para sarjana Islam juga tidak terkecuali. Syeikh Ali Abdul Raziq (1888-1966) seorang sarjana dalam bidang Syariah dan juga Syeikh di Al-Azhar, mencetuskan kontroversi apabila buku beliau yang bertajuk “Al-Islam Wa Usul Al-Hukm” (Polemik Islam & Dasar Pemerintahan) yang diterbitkan pada tahun 1925 sejurus setahun selepas kejatuhan Khilafah Utsmaniah membicangkan dan menekankan bahawa politk dan sistem pemerintahan seharusnya dipisahkan dari agama.

Buku beliau mendapat bantahan yang keras dari pelbagai sarjana Islam, dan Universiti al-Azhar telah melucutkan gelaran Syeikh daripada beliau. Peristiwa ini sangat jelas memberitahu kepada kita bahawa kekalutan dan kemudaratan yang besar akan berlaku apabila Zikir dan Fikir tidak lagi disatukan. Di dalam kita berzikir dengan merenung dan bertadabbur ayat-ayat Quran, sebenarnya dalam masa yang sama kita juga menggerakan minda kita untuk berfikir. Buktinya sangat jelas apabila Allah mengkhbarkan kepada manusia tentang Matahari bukanlah statik tetapi mempunyai orbitnya sendiri melalui surah Yassin ayat 38 yang bermaksud, “dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.”

Fakta yang dikemukakan dalam Al-Quran ini telah ditemui melalui pemerhatian astronomi hari ini. Berdasarkan kepada kiraan pakar-pakar astronomi, matahari bergerak dalam kelajuan yang besar selaju 720, 000 km sejam mengarah ke bintang Vega dalam satu orbit tertentu dalam sistem Solar Apex. Ini bererti matahari bergerak sejauh 17,280,000 km sejam secara anggaran. Bersama-sama dengan matahari, dan semua planet dan satelit yang berada dalam lingkungan sistem graviti matahari (sistem solar) juga turut bergerak pada jarak yang sama.

Di dalam kita berzikir sebenarnya kita juga berfikir, fakta ini juga membuktikan bahawa Islam tidak pernah memisahkan manusia khususnya penganutnya dari Zikir dan Fikir. Malahan meraikan kedua-duanya, kerana kedua-duanya sangat diperlukan dalam membina sisitem kehidupan yang sejahtera dan bertamadun. Buktinya, Allah berkata dalam surah al-Imran ayat 191 yang bermaksud, “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah (Zikir) semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan (fikir) tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.”
Jadi persoalannya kini, dimanakah Zikir dan Fikir kita?





____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Monday, June 1, 2009

CATATAN PERTAMA PRAKTIKAL


Hari pertama di Grant Thornton
Technical base training
akan dijalankan selama seminggu untuk kami di bahagian Audit. Kawan-kawan (ada 3 orang semuanya) yang diserapkan ke bahagian Advisory seronok-seronok dapat rehat dan duduk-duduk. Saya pada mulanya diserapkan ke bahagian Advisory ditarik semula untuk diserapkan ke bahagian Audit. Bahagian Audit ada 3 kumpulan;(semuanya ada 8 orang) Kumpulan Kuning, Kumpulan Merah dan Kumpulan Biru. Saya dan dua orang lagi diserapkan ke kumpulan kuning. (macam kelakar bunyinya bila diterjemahkan, tetapi saya Anti-PSMI)

Dari jam 8.30 pagi sehingalah jam 5.30, kami dikhendaki untuk membaca manual Audit yang telah disediakan. Bukannya hardcopy tapi baca di komputer! Mata semakin mengecil perut semakin lapar. Akhirnya jam 12.45 yang ditunggu-tunggu telah tiba, keluar makan dan solat jam 2 masuk semula di tempat kerja. Dua kali makcik pembuat air membuatkan kami air nescafe. Hehe, di sini kami disediakan minumuan sebanyak dua kali, pagi dan petang. Fleksible sebenarnya, tetapi disebabkan kami masih baru banyak benda yang kami perlu tahu dan mahir.

Bukan sebarangan, semuanya perlu tepat dan mengikut GAAP (General Accepted Accounting Principle). Saya akan diberi sebuah komputer riba, tetapi bukan menjadi hak milik tapi sekadar pinjaman. Hanya tiga orang sahaja yang mendapat komputer riba, yang lain-lain menggunakan komputer riba masing-masing. Saya sekarang tidur awal dan bangun awal. Terkejut? Biasalah kehidupan sekarang adalah kehidupan sebagai seorang pekerja. (Macam poyo je bunyi)

Baru habis menulis repot harian, tak banyak yang ditulis sebab minggu ini hanyalah latihan. InsyaAllah selepas tamat tempoh latihan kami akan diberi tugasan untuk membantu Senior Auditor dan Junior Auditor. Saya mahu tidur, bangun awal dan bersiap awal. Saya teringat dengan formula yang dari dahulu sehingga sekarang saya tak pernah nak ikut; formula SATU (Sedia Awal Tumpuan Ulangkaji).

Selamat malam, esok akan menghadap software Audit yang berbagai teori dan nombor yang harus difahami dan diingati!


____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com