Monday, June 29, 2009

MANUSIA ITU SENTIASA BERUBAH

“Bro ini ke kawan kau yang kau kata dulu Otai.” Rizal (bukan nama sebenar) bertanya kepada sahabat saya, Riduan (juga bukan nama sebenar). Riduan tersengih, kemudian mengangguk perlahan.

“Biar betik, laiiin dah.” Rizal menyambung, kemudian kami semua ketawa bersama. Mungkin kalau dia dapat melihat gambar-gambar lama saya, mesti lagi dia akan ketawa dan terkejut. Manusia akan terus berubah Yop.

Riduan yang duduk di depan saya masih lagi tersengih-sengih. Semasa saya sedang berada di pejabat, Riduan menghantar sms mahu berjumpa dengan saya. Kebetulan, ketika itu dia berada di Kuala Lumpur ada urusan, saya pula sedang praktikal di Kuala Lumpur. Saya sudah kenal dan bersahabat dengan Riduan lebih kurang 8 tahun. Pada awal perkenalan saya dengan dia, saya memang tidak suka dengan perangai dia. Suka menyakat dan suka mengenakan orang. Cuma saya, dia tidak berani.


Habis sahaja waktu berkerja, saya terus ke Time Square berjumpa dengan Riduan. Dia masih berperangai seperti dahulu. Cumanya ada beberapa perubahan pada diri sahabat saya ini. Kami masih rapat, seperti dahulu juga. 2 tahun tak pernah bersua muka, macam-macam dah berubah.

“Dulu kau lebih besar dari aku, sekarang aku pula lagi besar dari kau. Tinggi pun aku lebih dari kau.” Riduan cuba mengukur-ukur tinggi dia dengan saya.

“Yang penting aku lagi hensem dari kau.” Saya mengusik.

“Ceh. Bapa poyo giler.” Bahasa dia masih sama seperti dahulu. Kami ketawa.

Perubahan yang berlaku pada saya, Alhamdulilah diterima baik. Dia pula menegur saya sebab saya nak membatalkan puasa sunat. Semata-mata mahu meraikan perjumpaan yang dah lama ini. “Eh giler. Tak payah la. Tinggal berapa jam je lagi ini.” Dia menahan saya dari membatalkan puasa. Saya akur terselit juga perasaan kagum.

Tatkala saya bertanya tentang gajinya, adakah dia memberi sedikit dari gajinya kepada kedua orang tuanya. Dia menjawab, "Gile kau, nak kena sambar petir." Saya ketawa kemudian "Bagus!"

Berkat dari menghadiahkan gajinya kepada orang tua, dan pandai menyimpan, dia sudah membeli rumah, dan sudah ada simpanan. Gaji dia mengalahkan saya jika saya bergelar Auditor. nanti. Tapi tugas Riduan mencabar. Dia tak selalu berada di daratan. Kebanyakkan masanya dia akan berlayar, dan paling lama di lautan ialah 6 bulan. Itu sebab gajinya lumayan, berbaloi dengan kerjayanya. Saya menumpang gembira, sahabat saya ini sudah ada kerjaya yang stabil.

“Aku camni je la mir.” Dia menjawab bila saya bertanya tentang hidupnya sekarang.

“Tapi kau jadi jugalah manusia. Dari tak jadi macam dulu.” Saya menambah. Dia ketawa. Pipinya yang tembam masih kelihatan, tak berubah.

Setengah jam juga saya habiskan masa dengan Riduan. Jam 6.30, saya perlu balik segera. Riduan saya tinggalkan sementara, dan tidak pasti lagi bila akan bertemu. Saya terus berharap dan berdoa, agar Allah memberi petunjuk kepadanya. Ya, moga Allah memberi petunjuk agar Riduan menjadi insan yang mengenali Tuhannya.

“Assalamulaikom.” Riduan ucapkan kepada saya semasa saya berangkat mahu pulang. Saya berhenti sekejap, senyum kepadanya dan menjawab salamnya. Dia tergelak. Kaki saya terus melangkah, memikirkan sahabat saya ini. Tidak tahu mengapa, tapi saya hati saya terus berharap satu hari nanti dia akan berubah. Berubah menjadi benar-benar Muslim. Sekurang-kurangnya, bahasanya lebih molek untuk diucapkan. Saya berdoa untuknya.

Saya merindui sahabat-sahabat yang lain dan juga zaman persekolahan..Sahabat semua, bila mahu ketemu lagi?


_____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

1 comment:

  1. Hoho, aku kini dalam rangka berjumpa semula rakan-rakan semasa tingkatan 3 dahulu. Ada yang sudah 8 tahun tidak berjumpa!

    ReplyDelete