Thursday, December 31, 2009

KAHWINLAH TERANG-TERANGAN

“Aku nak kahwin sembunyi-sembunyi.” Fathul suarakan hasratnya kepada saya. Mukanya tidak ada tanda rasa bersalah, malah berseri-seri pula.

Saya pula yang agak terkejut dengan tindakan ‘berani mati’ beliau. Saya katakana berani mati, kerana tindakan beliau yang membelakangi keluarga adalah suatu tindakan biadap dan tidak menepati sunnah. Sedangkan beliau yang saya kenali adalah seorang pemuda yang sangat menghormati keluarga dan kuat mengikuti sunnah.

“Kenapa nak sembunyi-sembunyi?” Soal saya menginginkan jawapan.

“Sebab kedua orang tua sebelah perempuan tak mengizinkan aku mengahwini anaknya.” Jawapan beliau selamba.

“Mak bapa dia tak izinkan mesti ada sebab.” Saya cuba menduga.

“Memang pun, sebabnya ialah aku tak berkerja lagi. Mak bapa dia suruh aku berkerja dulu baru aku boleh masuk meminang.”

“Ha, betullah itu. Alasan mak bapa dia memang rasional. Kalau kau berkahwin dengan anak perempuannya, apa yang kau boleh beri? Kau pun tak berkerja lagi.” Ujar saya membenarkan alasan mak bapa sebelah perempuan.

“Adakah kerana wang menjadi alasan sesebuah perkahwinan itu harus dihalang? Adakah ini ada dinyatakan dalam syariat bahawa wang menjadi syarat sahnya perkahwinan? Bukankah ini yang dinamakan seabgai adhuul, iaitu melarang anak menikah tanpa alasan syari’e.” Fathul membalas hujah saya bertubi-tubi.

“Pertama, aku merasakan alasan kedua orang tua bakal isteri kau masih lagi selari dengan syariat…”

“Mana ada selari dengan syariat. Sedangkan semasa zaman Rasulullah pun sudah ada sahabat baginda yang bernikah hanya membacakan al-Quran sebagai mahar perkahwinannya. Sedangkan ketika tu sahabat ini tidak ada se-sen pun.” Fathul memotong cakap saya.

“Cuba dengar dulu perjalasan aku,” Saya memujuk beliau.

“Alasan kedua orang tua bakal isteri kau tak melanggar syariat. Dalam masa yang sama aku tak cakap bahawa seorang lelaki yang tidak ada perkerjaan tetap tak boleh berkahwin. Tetapi dalam hal ini, aku nak tanyakan kepada kau, bersalahkah ibubapa melarang anaknya bernikah dengan orang yang tidak ada pekerjaan tetap lagi? Larangan ini hanyalah disebabkan kekhuatiran mereka yang anak mereka tidak terbela dan terjaga bila berkahwin nanti.

Dari mana kau nak dapatkan duit untuk membelikan pakaian, makanan dan tempat tinggal untuk isteri kau bila berkahwin nanti? Kau ingat kisah Muawiyah bn Haidah al-Qusyairi bertanyakan hak isteri kepada rasulullah?” Soal saya kepada Fathul.

“Tak.” Fathul jawab pendek.

“Dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Abu Daud bahawa Muawiyyah bin Haidah pernah bertanya pada Rasulullah. Kata beliau, “Wahai Rasulullah, sebenarnya apakah hak seorang isteri atas diri suaminya?” Kemudian Rasulullah menjawab, “Seorang isteri harus mendapatkan makanan sebagaimana yang si suami makan, mendapatkan pakaian sepertimana yang suami pakai. Jangan sesekali memukul wajahnya, jangan menghinanya, serta jangan memisahkan dirinya dengan kalian (para suami) kecuali hanya di dalam rumah sahaja.”

“Nah, semua alasan kedua orang tua bakal isteri kau selari dengan nas yang aku bacakan tadi.” Saya tegaskan lagi, sambil melihat wajahnya.

Wajahnya sunggul, tetapi saya tidak tahu adakah nasihat ini hanya sekadar masuk telinga kiri, keluar telinga kiri semula.

Fathul tak menjawab sedikit pun. Dia terus terduduk, kemudian bersandar ke dinding bilik. Saya merapatkan diri dengannya, kemudian menepuk-nepuk bahunya.

“Aku bukan tidak menyokong tindakan kau untuk mengikuti sunnah. Tetapi jalan kau untuk mengikuti sunnah tidak betul. Sedangkan taat kepada ibubapa selagi mana ia tidak menyalahi syariat adalah sebuah sunnah besar yang wajib kau ikuti.” Fathul menganggukkan kepala. Saya mengharapkan dia memahami apa yang saya katakan.

Saya sendiri berniat untuk berkahwin awal (tidaklah terlalu awal, awal bagi saya ialah 25 tahun dan ke atas), tanpa meminggirkan kedua ibubapa dipermudahkan. Mungkin kisah ini adalah kisah terpencil dari beribu kisah yang membuahkan rasa bahagian dan restu dari kedua belah pihak. Tetapi kisah-kisah terpencil inilah yang selalu digembar-gemburkan, dan sekaligus menjadikan agama sebagai alat dan alasan untuk kepentingan diri sendiri.

Betapa banyak para pemuda terutama mahasiswa yang semangatnya menyala-nyala ingin menegakkan sunnah. Akhirnya memilih jalan nikah segera dan sembunyi-sembunyi. Kahwin muda boleh, tetapi jika ia dilaksanakan dengan restu dan pertolongan ibubapa.

Ramai sahaja kawan-kawan saya yang berkahwin muda, mendapat restu dan pertolongan dari segi kewangan dari ibubapa masing-masing. Tetapi berapa ramai ibubapa yang memahami dan dapat membantu dari segi kewangan seperti itu?

Saya meminta izin untuk pulang. Kemudian saya terhenti seketika di pintu melihat Fathul yang sudah sedikit tenang dan menerima kenyataan. Namun, raut-raut wajahnya masih menunjukkan bahawa beliau runsing dan ragu-ragu untuk membuat keputusan.

“Fathul!” Saya memanggil namanya. Dia mendongak melihat saya di pintu.

“Imam Syafi’i ada berkata, “Sesungguhnya seorang remaja itu dinilai dengan ilmu dan ketaqwaannya,”. Kalau hal ini semakin mengusutkan kepala, habiskan belajar dulu kemudian kerja dan terus masuk meminang. Aku akan jadi orang pertama menyokong kau."

Saya mengakhiri perbualan saya dengan beliau.

____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Ummah mundur selagi membelakangkan Islam

Oleh Yussamir Yusof
Berita Harian 30 Disember 2009

SUARA mengatakan umat Islam mundur kerana agama dianuti, semakin lama semakin kuat berkumandang. Malah, ada kalangan umat Islam mengiyakan kenyataan itu tanpa berfikir panjang. Bukan saja mengiyakan, malah mempersoalkan hukum termaktub dalam al-Quran dan hadis sahih.

Penyakit kejahilan yang semakin kuat menyerang pemikiran umat Islam dan bukan Islam harus disekat segera. Sesungguhnya sebab kemunduran, kelemahan dan kejahilan umat Islam bukan disebabkan agama dianutinya tetapi kerana umat Islam tidak lagi berpegang kepada agamanya.

Adakah kerana umat Islam tidak berpegang kepada agamanya, bererti Islam sebagai agama harus dipersalahkan? Demi Allah yang menciptakan apa yang di langit dan di bumi, sama sekali Islam bukanlah penyebab kegagalan umat Islam.

Seorang doktor yang mendiagnos penyakit, kemudian memberi senarai ubat perlu diambil, tetapi jika pesakitnya tidak mendengar dan mengikuti arahan doktor, siapakah harus dipersalahkan apabila pesakit tidak sembuh. Adakah doktor yang dipersalahkan?

Islam sudah menyediakan manual untuk penganutnya sebagai panduan dan pengajaran tetapi jika penganut tidak mengikutinya, adakah Islam harus dipersalahkan?

Islam menyeru kesatuan tetapi umat Islam masih berpecah-belah. Islam menyeru persaudaraan, tetapi umat Islam masih lagi bermusuhan. Islam menyeru kepada keadilan, tetapi umat Islam masih lagi berlaku zalim.

Umat Islam perlu mengamalkan Islam yang sebenarnya, sentiasa berpegang kepada apa yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Umat Islam perlu mencontohi ketaatan dan kefahaman umat terdahulu di kalangan sahabat dan tabiin menjalani kehidupan sebagai Muslim.

Jika umat Islam mengikuti seperti orang terdahulu amalkan, sudah pasti umat Islam tidak akan dimomokkan lagi dengan perkataan mundur, kegagalan dan kejahilan.

Semakin erat hubungan seseorang dengan agama, semakin baik keadaan dan budi pekertinya. Malah, hubungan erat ini akan membawa kepada kejayaan, penghormatan, kemenangan dan kemuliaan kepada sesiapa saja.

Islam sudah menerangkan segala aspek dan keperluan umat Islam dalam kehidupan mereka, seperti dikatakan oleh Abu Darda: "Tidak ada yang diabaikan oleh Rasulullah, sehingga burung yang mengepakkan sayapnya di langit, Baginda sudah mengajarkan kepada kita mengenai ilmunya."

Lengkapnya Islam hinggakan hal berkaitan cara membuang hajat juga diajar dan diberi petunjuk. Salman al-Farisi seorang sahabat besar Rasulullah SAW pernah ditanya seorang musyrik adakah Rasulullah mengajarkan cara membuang hajat.

Kemudian Salman al-Farisi menjawab, "Ya, Baginda melarang kami menghadap kiblat ketika membuang hajat dan melarang kami membersihkannya dengan kurang dari tiga batu atau dengan tangan kanan, atau dengan kotoran kering atau tulang."

Jika meneliti kembali sejarah pertembungan peradaban Islam dan peradaban lain, Islam unggul kerana hubungan umatnya dengan agama begitu kuat. Sebut siapa saja, Yahudi, Pagan, Rom, Majusi dan munafik, semuanya dapat dikalahkan malah ditawan hati mereka untuk memeluk Islam.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, kepemimpinan Baginda diteruskan Khulafa' ar-Rasyidin. Pengganti Rasulullah SAW tetap meneruskan apa yang dimulakan Baginda tanpa ada sebarang tambahan mahupun pengurangan.

Islam semakin berkembang pesat dan tersebar ke seluruh dunia. Zaman ini adalah zaman kegemilangan Islam. Ilmu Islam tersebar ke seluruh pelusuk kota, ramai di kalangan bukan Islam mengambil manfaat daripada kegemilangan ini.

Ke mana saja umat Islam berada, di situlah peradaban besar dibina, dihormati dan digeruni oleh negara bukan Islam. Peradaban disulami keimanan, ilmuwan, teknologi dan kebendaan menjadi agenda utama. Peradaban dibina umat Islam ketika itu bukan peradaban materialistik mahupun kebendaan, tetapi peradaban menyatupadukan iman, ilmu, pembangunan dan akhlak.

Ketika itu umat Islam menjadi pemimpin dunia, di waktu itu juga umat Islam dihormati. Negara Islam adalah negara pertama, bukan negara ketiga seperti sekarang. Negara umat Islam adalah guru dan ikutan kepada negara lain.

Semua orang datang ke negara Islam untuk belajar di universiti disediakan. Bangsa Eropah yang dalam kegelapan ketika itu mempelajari bahasa Arab, ilmu Islam serta kaedah pembelajaran yang dicipta sarjana Islam.

Namun semua itu hanya tinggal kenangan. Umat Islam kini menghadapi masalah membabitkan kegagalan dan kemunduran. Semuanya apabila umat Islam menjauhkan diri dari Islam sebenar. Ketika kita menjauhi Islam, maka kita akan lemah, berpecah-belah, dan saling mementingkan diri.

Namun kita semua percaya umat Islam akan dihormati semula dan menjadi gemilang apabila kembali kepada Allah dan Rasul. Apabila masa itu tiba, kita percaya Islam akan mengatasi segala-galanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal salih bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, segera Dia menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasik." (Surah an-Nur, ayat 55)

___________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Friday, December 25, 2009

N.I.A.T

Sejak dari kecil, jika belajar agama saya selalu diingatkan tentang niat. Kalau dulu, belajar sekadar belajar. Masuk telinga kiri, keluar juga dari telinga kiri. Saya kira pepatah masuk telinga kiri keluar telinga kanan itu lebih baik, sebab ada juga ilmu yang masuk kemudian keluar dari terus tidak masuk – harap jangan ada pakar bahasa marahkan saya.

Saya yakin anda semua juga pernah belajar tentang niat. Sama ada pembelajaran itu masih diingati dan diamalkan saya tak pasti (harap-harap masih ingat). Para ulama Islam zaman silam mahupun sekarang, kebanyakan dari mereka akan memulakan bab niat sebagai bab awal dalam buku-buku mereka. Misalnya Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya.

Kenapa niat? Dahulu saya sering juga mempersoalkan mengapa perlu niat? Mengapa niat sangat diberi perhatian?

Tetapi bila difikirkan kembali, dalam kehidupan kita seharian semuanya bermula dengan niat. Anda mahu makan, pasti akan terniat mahu makan. Tak tahulah kalau anda tetiba makan tanpa ada niat nak makan – penyataan ini agak pelik.

Mari kita baca hadith yang berkaitan dengan niat, sebelum kita lebih memahami mengapa niat sangat diberi perhatian dalam Islam. Dari Amirul Mukminin, Abu Hafs Umar al-Khatab dia berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya semua amalan itu bergantung pada niatnya..” (Hadith direkodkan Imam Bukhari)

Imam Nawawi mengatakan bahawa niat merupakan syarat terimanya sesuatu amalan. Jika niatnya benar, maka amalan juga benar. Namun jika sesuatu niat itu benar, tetapi amalan tersebut tidak selari dengan syariat amalan tersebut menjadi sia-sia dan tidak diterima.

Niat yang benar harus diikuti dengan amalan yang sahih. Rumusan ini boleh juga kita faham melalui cerita Robin Hood – saya minat cerita ini. Robin Hood, niatnya baik iaitu mahu membantu orang-orang miskin tetapi amalannya tidak menepati syariat kerana mencuri.

Jadi di dalam Islam, perbuatan Robin Hood ini tidak diterima dan mendapat dosa dari Allah – jika Robin Hood Muslim. Manakala sesuatu amalan yang menepati syariat tetapi tidak mempunyai niat yang benar, turut tidak diterima oleh Allah.

Misalnya, seorang dermawan memberi sedekah kepada faqir miskin, tetapi niatnya semata-mata mahu mendapat publisiti. Jika ini berlaku, maka amalannya ini turut ditolak. Bagaimana pula kalau seseorang yang melakukan sesuatu amalan yang baik, tetapi niatnya untuk mendapat dunia dan akhirat?

Semasa kelas hadith di Yayasan Islam al-Atsari bersama Ustaz Muhammad Abduh, saya turut bertanyakan perkara ini kepadanya.

Oh ya, Ustaz ini masih muda baru berumur 25 tahun tetapi sangat mahir dalam bidang hadith.Apa yang menarik, kebanyakkan pandangannya semuanya dinaqalkan dari ucapan para ulama Salaf.

Semasa menjawab persoalan ini, Ustaz Muhammad Abduh menaqalkan, “Sebahagian Ulama berpandangan bahawa amalannya tertolak. Para ulama berdalilkan dengan sebuah hadith Qudsi yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Sabdanya, “ Allah berfirman, “Aku adalah Zat yang tidak memerlukan sekutu. Oleh sebab itu, barangsiapa mengerjakan suatu amalan yang dia mempersetukan amalan tersebut untuk-Ku bersama selain-Ku, maka Aku berlepas diri darinya.”

Sesuatu niat itu harus diikhlaskan semata-mata kerana Allah. Ramai bertanya apakah makna ikhlas. Bahkan ramai yang keliru tentang makna ikhlas. Al-Harith al-Muhasibi dalam kitab Ar-Ri’ayah berkata, “Makna ikhlas ialah beribadah dan bertaat kepada Allah hanya semata-mata untuk mengharapkan Allah dan tidak mengharapkan selain dari Allah.”

Apa yang saya faham dan belajar, sesuatu niat itu harus mempunyai dua syarat utama. Iaitu, Niat yang benar iaitu ikhlas dan sesuatu ibadah harus selari dengan syariat Islam. Tanpa kedua-dua syarat ini, sesuatu amalan tidak akan diterima oleh Allah

Mungkin kita boleh analogikan rumusan (Amalan diterima = Niat yang ikhlas kerana Allah + ibadah yang selari dengan syariat) dengan samakan dengan institusi perkahwinan. Seorang suami mahu mendapatkan anak memerlukan seorang wanita untuk menjadi isterinya. Manakala wanita untuk menjadi isteri dan mendapatkan anak juga memerlukan suami.

Tanpa salah seorang, maka kedua-duanya tidak akan mendapatkan anak. Masing-masing saling melengkapi antara satu sama lain, tidak boleh dipisahkan.Begitu jugalah Niat yang ikhlas dan ibadah yang selari dengan syariat. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan, dan perlu sentiasa bersama.Sekarang bagaimana? Saya sekadar berkongsi.

Orang kata, “Sharing is carring”.

Oh, mungkin kita boleh fikirkan bagaimana mahu mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah. Sebab ramai sukar membersihkan niat, malahan ada yang tersasar niatnya walaupun pada mula niatnya ikhlas semata kerana Allah. Untuk lebih jelas mungkin contoh yang diberikan oleh Imam Nawawi boleh kita renungkan.

Imam Nawawi dalam Syarah Hadith Arbain membawakan sebuah contoh seorang lelaki yang pada mulanya solat Zuhur semata-mata kerana Allah. Tetapi dalam solatnya dia memanjangkan rukun-rukun dan membaguskan bacaannya kerana ingin dipuji oleh orang ramai.

Kita (termasuk saya) mengharapkan agar niat yang pada mulanya baik, tidak dirosakkan oleh faktor-faktor luaran mahupun dalaman. Jom, kita berkempen membetulkan niat….

Salam rindu,
Yussamir Yusof
Yayasan pendidikan Islam al-Atsari,
Jogjakarta, Indonesia

___________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Sunday, December 13, 2009

JOM MINUM HERBALIFE - IKLAN

Anda Gemuk? Anda kurang sihat dan perlukan makanan tambahan (Supliment)?
Anda ada masalah kesihatan? Anda ada masalah kulit? Anda ada masalah kurang nutrisi?
InsyaAllah, mungkin produk ini mampu membantu anda menyelesaikan masalah.

KLIK LAMAN WEB INI UNTUK INFO LANJUT ----> HERBALIFE

__________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Friday, December 11, 2009

KEMBARA ILMU : DOAKAN SAYA

(Ketokohan al-Imam Qardhawi yang sentiasa menjadi peransang saya untuk menuntut ilmu agama)

Pelbagai program telah direncana, dan pelbagai persiapan sudah dilaksana. Kini hanya menunggu masa untuk berlepas ke Yogkjakarta.

Sepanjang sebulan saya di sana, insyaAllah saya akan kemaskini blog ini dengan catatan pengembaraan di sana.

Doakan kesihatan dan keselamatan saya, moga kembara ilmu ini mendapat ganjaran dan manfaat untuk saya dan orang ramai selepas ini.

Kembara Ilmu ataupun Rehlah fi Tolabal Ilmi sebenarnya adalah warisan dan kebiasaan mereka yang menuntut ilmu. Jadi kembara ilmu sehingga ke Yayasan Pendidikan al-Atsari , Yogkjakarta moga-moga menjadi penyambung dan kesinambungan kembara ilmu para ulama lain, khususnya ulama hadith.

Walaupun tidak sehebat mereka, tetapi memadailah dengan mengikuti jejak langkah mereka sebagai para ulama warisan nabi.

InsyaAllah catatan pengembaraan saya akan disiarkan oleh sebuah majalah Islam. Terima kasih kepada pihak majalah tersebut yang sudi meminta saya mendokumentasikan pengembaraan ilmu ini.

Saya akan hebah-hebahkan majalah apa selepas catatan saya tersiar di majalah tersebut. Moga dengan ada ruang dan peluang ini, lebih ramai anak muda dapat menyalurkan idea dan pemikiran mereka melalui medan penulisan.

Begitu juga dengan Berita Harian, saya akan tetap menghantar secara berkala untuk ruangan agama. Moga medan dakwah ini akan tetap terus subur dan membuka ruang kepada sesiapa sahaja yang mahu menyampaikan agama.

Moga semuanya berjalan dengan lancar dan baik. Doakan saya sukses!

___________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Thursday, December 10, 2009

GEMBIRA SEBUAH KURNIA

Ada banyak kegembiraan yang boleh kita kecapi dalam kehidupan. Sama ada ia bersifat jangka panjang mahupun pendek, ia tetap memberi impak besar dalam kehidupan. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan orang yang rapat dengan kita.

Walaupun dalam kehidupan ini terlalu banyak perkara yang tidak dijangka. Tetapi bila difikirkan kembali, semuanya mempunyai kebaikan dan manfaat untuk kita. Sama ada kebaikan itu dapat dilihat ataupun tidak, ia tetap sebuah kurnia yang bernilai dari Allah.

Jangan biarkan anugerah itu hilang begitu sahaja. Hargailah ia, bukan sekadar menghargai tetapi jadilah pelengkap kepada kurnia. Moga gembira itu terus kita rasai.

Firman Allah, “Katakanlah: Sesungguhnya kelebihan itu di sisi Allah, Dia mengurniakan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah itu Maha Luas Kurniaannya lagi Maha Mengetahui .” (al-Baqarah 2:73)

____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Wednesday, December 9, 2009

RASULULLAH MENGINGATKAN UMMAH BERAKHLAK MULIA

BERITA HARIAN 7 DECEMBER 2009
Oleh : Yussamir Yusof

Semasa rasulullah menghantar Mu’az bin Jabal ke Yaman, baginda sempat menitipkan beberapa pesananan kepadanya. Antara pesanan yang diingatkan oleh rasulullah kepada Mu’az ialah agar beliau sentiasa berlaku baik dalam pergaulan dengan orang ramai.

Sabda Rasulullah dalam hadith hasan sahih yang direkodkan oleh Imam Tirmidzi, “Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”

Pesanan ini diberikan oleh Rasulullah kerana ia mempunyai kepentingan yang tersendiri. Lebih-lebih lagi, kehadiran Mu’az di Yaman adalah sebagai duta Islam yang akan menjadi guru, tempat rujukan feqh dan hakim kepada penduduk di sana. Oleh sebab itu, Mu’az perlu bergaul dengan cara yang baik dan sentiasa menunjukkan akhlak yang mulia kepada para penduduk.

Menurut Ibnu Rajab al-Hanbali, Rasulullah mengingatkan Mu’az terhadap hal ini kerana kebanyakkan manusia menyangka bahawa ketaqwaan hanya boleh dicapai dengan melaksanakan perintah Allah tanpa mengambil kira hak hamba-Nya. Sedangkan bersikap baik dengan orang ramai juga antara pra-syarat seseorang itu mendapat keredhaan Allah.

Allah telah berfirman dalam surah al-Imran 3: 133-134 yang bermaksud, “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”

Bersikap baik dengan akhlak islam adalah tuntutan yang besar dalam agama. Dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Ahmad, An-Nasai, Ibnu Majah dan Abu Daud, Rasulullah pernah ditanya oleh para sahabat tentang apakah anugerah terbaik yang boleh diberikan oleh seorang Muslim kepada orang lain. Maka Rasulullah menjawab, “Akhlak yang baik.”

Bukan itu sahaja, Rasulullah juga memberitahu kepada para sahabat bahawa orang yang berakhlak mulia akan mencapai darjat seperti seorang yang berpuasa dan berqiamulail (solat malam). Berita gembira ini disampaikan oleh Rasulullah agar orang yang mengejar takwa tidak hanya terus-menerus berpuasa dan berqiamulail sedangkan mereka meninggalkan akhlak yang mulia.

Imam Ahmad dan Abu Daud merekodkan bahawa Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin yang berakhlak mulia mencapai kedudukan seperti seorang yang berpuasa dan berqiamulail.

Jika bercakap tentang akhlak mulia, pasti semua agama turut menekankan hal ini. Namun yang membezakan Islam dengan agama yang lain ialah petunjuk datang dari Allah dan Rasul.

Neraca ataupun petunjuk bagaimanakah sikap akhlak yang diterima oleh Islam sudah pasti diambil dari diri Nabi Muhammad SAW. Selari dengan apa yang difirmankan oleh Allah dalam surah al-Ahzab 33:21 yang bermaksud, “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

Manakala Imam al-Hakim pula merekodkan sebuah hadith dari Uqbah bin Amir al-Juhani, katanya: “Rasulullah bersabda kepadaku: Wahai Uqbah mahukah saya memberitahumu akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling mulia? Kamu menyambung silaturahim orang yang memutuskannya, kamu membantu walaupun sebelum ini dia enggan membantumu, dan kamu memaafkan sesiapa yang menzalimimu.”

Manakala Salam bin Abu Muti’ pernah ditanya oleh orang ramai tentang akhlak mulia. Kemudian beliau menjawab soalan ini dengan membaca beberapa rangkap puisi. Katanya:
Kamu melihatnya apabila dia datang dengan wajah yang girang, Seolah-olah kamu memberinya barang yang kamu minta daripadanya, Jikalau hanya ruhnya sahaja yang dimilikinya, Dia tetap bermurah hati memberinya kepada pemintanya, Maka peminta hendaklah bertaqwa kepada Allah, Dia tetap lautan walau dari sudut mana kamu mendatanginya, Laut dalamnya mengandungi kebaikan dan pantainya mencurahkan kemurahan.

____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Tuesday, December 1, 2009

TERIMA KASIH SJ GRANT THORNTON

Tidak banyak yang dapat saya coretkan tentang mereka. Tetapi selama 6 bulan bersama mereka, terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang diperolehi, terutama team saya Group Yellow.

Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada Ms Mala, Ms Ho, Abang Zul, Abang Khairi, Abang Hafizam, Syafik, Zaki, Husaini, Shamsul, Saifudin, Kak Husna, Ong Kang Soon, Joey, dan yang lain-lain.

Gambar-gambar di atas mungkin dapat serba sedikit menggambarkan betapa seronoknya saya di SJ Grant Thornton.