Friday, December 25, 2009

N.I.A.T


Sejak dari kecil, jika belajar agama saya selalu diingatkan tentang niat. Kalau dulu, belajar sekadar belajar. Masuk telinga kiri, keluar juga dari telinga kiri. Saya kira pepatah masuk telinga kiri keluar telinga kanan itu lebih baik, sebab ada juga ilmu yang masuk kemudian keluar dari terus tidak masuk – harap jangan ada pakar bahasa marahkan saya.

Saya yakin anda semua juga pernah belajar tentang niat. Sama ada pembelajaran itu masih diingati dan diamalkan saya tak pasti (harap-harap masih ingat). Para ulama Islam zaman silam mahupun sekarang, kebanyakan dari mereka akan memulakan bab niat sebagai bab awal dalam buku-buku mereka. Misalnya Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya.


Kenapa niat? Dahulu saya sering juga mempersoalkan mengapa perlu niat? Mengapa niat sangat diberi perhatian?

Tetapi bila difikirkan kembali, dalam kehidupan kita seharian semuanya bermula dengan niat. Anda mahu makan, pasti akan terniat mahu makan. Tak tahulah kalau anda tetiba makan tanpa ada niat nak makan – penyataan ini agak pelik.

Mari kita baca hadith yang berkaitan dengan niat, sebelum kita lebih memahami mengapa niat sangat diberi perhatian dalam Islam. Dari Amirul Mukminin, Abu Hafs Umar al-Khatab dia berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya semua amalan itu bergantung pada niatnya..” (Hadith direkodkan Imam Bukhari)

Imam Nawawi mengatakan bahawa niat merupakan syarat terimanya sesuatu amalan. Jika niatnya benar, maka amalan juga benar. Namun jika sesuatu niat itu benar, tetapi amalan tersebut tidak selari dengan syariat amalan tersebut menjadi sia-sia dan tidak diterima.

Niat yang benar harus diikuti dengan amalan yang sahih. Rumusan ini boleh juga kita faham melalui cerita Robin Hood – saya minat cerita ini. Robin Hood, niatnya baik iaitu mahu membantu orang-orang miskin tetapi amalannya tidak menepati syariat kerana mencuri.

Jadi di dalam Islam, perbuatan Robin Hood ini tidak diterima dan mendapat dosa dari Allah – jika Robin Hood Muslim. Manakala sesuatu amalan yang menepati syariat tetapi tidak mempunyai niat yang benar, turut tidak diterima oleh Allah.

Misalnya, seorang dermawan memberi sedekah kepada faqir miskin, tetapi niatnya semata-mata mahu mendapat publisiti. Jika ini berlaku, maka amalannya ini turut ditolak. Bagaimana pula kalau seseorang yang melakukan sesuatu amalan yang baik, tetapi niatnya untuk mendapat dunia dan akhirat?

Semasa kelas hadith di Yayasan Islam al-Atsari bersama Ustaz Muhammad Abduh, saya turut bertanyakan perkara ini kepadanya.

Oh ya, Ustaz ini masih muda baru berumur 25 tahun tetapi sangat mahir dalam bidang hadith.Apa yang menarik, kebanyakkan pandangannya semuanya dinaqalkan dari ucapan para ulama Salaf.

Semasa menjawab persoalan ini, Ustaz Muhammad Abduh menaqalkan, “Sebahagian Ulama berpandangan bahawa amalannya tertolak. Para ulama berdalilkan dengan sebuah hadith Qudsi yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Sabdanya, “ Allah berfirman, “Aku adalah Zat yang tidak memerlukan sekutu. Oleh sebab itu, barangsiapa mengerjakan suatu amalan yang dia mempersetukan amalan tersebut untuk-Ku bersama selain-Ku, maka Aku berlepas diri darinya.”

Sesuatu niat itu harus diikhlaskan semata-mata kerana Allah. Ramai bertanya apakah makna ikhlas. Bahkan ramai yang keliru tentang makna ikhlas. Al-Harith al-Muhasibi dalam kitab Ar-Ri’ayah berkata, “Makna ikhlas ialah beribadah dan bertaat kepada Allah hanya semata-mata untuk mengharapkan Allah dan tidak mengharapkan selain dari Allah.”


Apa yang saya faham dan belajar, sesuatu niat itu harus mempunyai dua syarat utama. Iaitu, Niat yang benar iaitu ikhlas dan sesuatu ibadah harus selari dengan syariat Islam. Tanpa kedua-dua syarat ini, sesuatu amalan tidak akan diterima oleh Allah

Mungkin kita boleh analogikan rumusan (Amalan diterima = Niat yang ikhlas kerana Allah + ibadah yang selari dengan syariat) dengan samakan dengan institusi perkahwinan. Seorang suami mahu mendapatkan anak memerlukan seorang wanita untuk menjadi isterinya. Manakala wanita untuk menjadi isteri dan mendapatkan anak juga memerlukan suami.

Tanpa salah seorang, maka kedua-duanya tidak akan mendapatkan anak. Masing-masing saling melengkapi antara satu sama lain, tidak boleh dipisahkan.Begitu jugalah Niat yang ikhlas dan ibadah yang selari dengan syariat. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan, dan perlu sentiasa bersama.Sekarang bagaimana? Saya sekadar berkongsi.

Orang kata, “Sharing is carring”.

Oh, mungkin kita boleh fikirkan bagaimana mahu mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah. Sebab ramai sukar membersihkan niat, malahan ada yang tersasar niatnya walaupun pada mula niatnya ikhlas semata kerana Allah. Untuk lebih jelas mungkin contoh yang diberikan oleh Imam Nawawi boleh kita renungkan.

Imam Nawawi dalam Syarah Hadith Arbain membawakan sebuah contoh seorang lelaki yang pada mulanya solat Zuhur semata-mata kerana Allah. Tetapi dalam solatnya dia memanjangkan rukun-rukun dan membaguskan bacaannya kerana ingin dipuji oleh orang ramai.

Kita (termasuk saya) mengharapkan agar niat yang pada mulanya baik, tidak dirosakkan oleh faktor-faktor luaran mahupun dalaman. Jom, kita berkempen membetulkan niat….



Salam rindu,
Yussamir Yusof
Yayasan pendidikan Islam al-Atsari,
Jogjakarta, Indonesia


___________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

2 comments:

  1. السلام عليكم

    Baru petama kali mampir nih, wahai saudaraku dari malaysia.

    Mampir ke web teman2 juga ya:
    1) ustadz Abduh: http://rumaysho.com
    2) Ustadz Ari: http://abumushlih.com
    3) Ustadz Didik: http://abukarimah.wordpress.com
    4) Ustadz Aris Munandar: http://ustadzaris.com
    5) Ustadz Abu Ubaidah Yusuf As-Sidawi: http://abiubaidah.com
    6) Ustadz Ahmad Sabiq: http://ahmadsabiq.com

    Abu Muhammad Al-Ashri
    (JATI)

    ReplyDelete
  2. Terima kasih ustaz. Karena berkunjung ke situs ana.
    Saya akan linkkan ke semua link2 ustaz di blog ana.

    Jazakaallah khair.

    ReplyDelete