Saturday, January 30, 2010

JALAN DAKWAH ITU....



“Maaf Bro kalau yang datang nanti tak sampai 20 orang.” Ujar Jannah, pelajar yang menguruskan talk saya di Klang pagi semalam semasa menghubungi saya di Jogjakarta.

“Kalau seorang pun saya akan sampaikan juga. Jangan risau.” Beritahu saya yang sedang duduk istirahat di kedai kopi Mbak.

"Lagi satu bro, nak tanya berapa ya bayaran?"

"Bayaran itu nombor dua, kita buat je talk dulu ya." Saya tersenyum. Adakah bayaran yang aku idamkan? Jalan dakwah bukan itu objektif utama.



Ada apa dengan bilangan dan bayaran, jika yang hadir beribu begitu dengan wang yang selonggok tetapi tidak ada seorang pun melaksanakan apa yang didengari dan dipelajari. Lebih baik yang hadir seorang, tetapi melaksanakan dan bertindak benar-benar sebagai seorang Muslim. Itu yang lebih utama dari beribu yang hadir dan tidak dapat manfaat dari apa yang disampaikan.

Seorang pendakwah, bukan bilangan dan wang yang kita harapkan sangat. Tetapi kita mahu melihat hasil dan tindakan dari apa yang kita sampaikan. Saya gembira, kerana masih ada sebilangan anak muda yang ‘tersesak’ dengan pelajaran dan sedang berpraktikal sebagai doktor, masih ada masa dan ruang untuk mengadakan talk kecil sebegini.

Banyak manfaat saya hadir ke Klang, saya dapat berkenalan dengan anak muda yang berjiwa besar dan dapat berkongsi apa yang saya ada. Semoga kalian terus istiqomah dengan jalan yang telah dipilih ini.

Seperti yang saya katakan, dakwah bukanlah jalan yang muda. Ia memerlukan pengorbanan masa, wang dan pelbagai lagi semata-mata mahu mendapat redha Allah. Berkorban tidak bermakna kita kehilangan, tetapi pengorbanan kita itu sebenarnya adalah pelaburan untuk akhirat sana.

Bahkan jalan ini bukan semua menyukai dan memahaminya. Tetapi ingatlah, selagi mana kita berjalan di jalan yang benar, dan bukan mencari redha manusia. Maka pasti Allah akan sentiasa bersama dan merahmati kehidupan kita.

Pagi Ahad ini, insyaAllah saya akan ke Serdang pula mengikuti dialog yang akan dijalankan dengan Persatuan Agama Budha bersama ahli-ahli Alumni IIS. Moga saya turut istiqomah berada di jalan yang telah saya pilih ini.

“Jangan sempitkan ruang dan peluang dakwah yang kita ada. Buka ia luas-luas dan kreatiflah ketika berada di jalan Nabi ini.” Ujar saya menutup majlis.


___________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Saturday, January 23, 2010

HIDAYAH ALLAH DI MANA-MANA

Berkenalan dengan al-Quran

“Ayat apa yang kau baca tadi Fatahi?” Tanya Syuwaibah tiba-tiba. Fatahi memberhentikan bacaannya, dia mengangkat muka, “Owh, ini al-Quran”. Fatahi tersenyum.

“Sungguh indah ayat-ayat tersebut, susunannya berbeza sekali dari syair-syair arab yang pernah saya hafal.” Syuwaibah pelajar tahun pertama yang berasal dari al-Bania berteleku di depan Fatahi. Hatinya cukup tersentuh mendengar lantunan ayat-ayat suci dari surah Tahrim yang dibaca oleh Fatahi.

“Apakah ini?” Tunjuk Syuwaibah ke arah senaskah al-Quran di tangan Fatahi.

“Sungguh kau tidak menganali kitab ini?” Fatahi terkejut. Tidak disangka pada zaman yang sungguh moden ini masih ada lagi manusia yang tidak mengenali kitab suci yang dipegangnya ini.
“Ini al-Quran, kitab suci umat Islam.” Syuwaibah terkejut, dia menjauhkan diri dari Fatahi.


“Mengapa?” Soal Fatahi.

“Baru saya tahu yang anda baca tadi ialah kitab teroris. Saya kenal sangat dengan nama itu –al-Quran. Ya, al-Quran, kitab yang menjadikan ramai manusia sebagai pengganas!” Suara keras Syuwaibah memenuhi ruang bilik. Dia bingkas bangun dan mahu keluar dari bilik Fatahi. Cepat-cepat Fatahi menahannya.

“Mengapa? Adakah kau hanya sekadar mendengar atau membaca di dada-dada khabar tentang al-Quran tanpa mengetahui isi kandungannya? Bukankah kau sendiri sering melaung-laungkan agar setiap perkara harus diteliti terlebih dahulu sebelum menghukuminya?” Provok Fatahi pada Syuwaibah yang mengambil jurusan sama dengannya iaitu perundangan.

Syuwaibah menghentikan langkahnya. Cepat-cepat Fatahi menyambung bacaannya yang terhenti di surah Tahrim ayat 12.

“dan (ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebagian dari ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-KitabNya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat.”


Seperti terkena panahan petir, ayat yang dibaca Fatahi membuatkan Syuwaibah terduduk. Fatahi sengaja menghabiskan ayat terakhri dari surah at-Tahrim itu kuat-kuat. Dia tahu yang Syuwaibah sangat fasih dan memahami bahasa Arab, dalam masa yang sama Syuwaibah sangat mencintai Marry sebagai ibu kepada ‘Tuhannya’.

“Adakah ayat yang kau baca tadi di dalam kitab tersebut?” Soal Syuwaibah lembut, dia memandang tepat ke mata Fatahi seakan-akan memujuk.

“Ya, memang benar. Malahan masih banyak lagi ayat-ayat yang member khabar tentang Mariam dan Jesus.”

“Tetapi mengapa selama ini saya mendapat maklumat yang berbeza tentang kitab tersebut. Boleh saya memegangnya.” Pinta Syuwaibah. Suaranya yang tadi keras sudah dilunakkan. Fatahi tidak teragak-agak menghulurkan senaskah al-Quran kepadanya.

“Fatahi…” Suara lemah Syuwaibah memanggil Fatahi.

“Aku sering diberitahu bahawa kitab ini menyeru kepada kegananas. Aku juga sering disogokkan bahawa kitab ini penuh dengan percanggahan dan penipuan. Tidak pernah aku diberitahu atau mendengar betapa mulia dan indahnya ayat-ayat yang ada dalam kitab ini.” Titik air suci perlahan-lahan jatuh dari matanya. Air matanya tidak tertahan-tahan lagi, akhirnya terlepas juga bagaikan empangan yang pecah.

Fatahi bingkas bangun, kemudian duduk bersebelahan dengannya.

“Aku tidak tahu sama ada kau sudah beriman ataupun tidak. Tetapi di dalam surah al-Anfal ayat kedua Allah menjelaskan bahawa, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal”.

Semakin kuat esakkan Syuwaibah, bagaikan seorang anak kecil yang bertemu dengan ibunya selepas sudah lama berpisah.

“Masih ada ruangkah untuk Allah menerimaku?” Soal Syuwaibah. Air matanya masih mengalir.

“Bukan sahaja masih ada ruang, tetapi Allah sendiri sentiasa menyuruh umat Islam agar mengajak orang lain kepada akidah Tauhid.

Firman Allah dalam surah al-Imran ayat ke-64, “Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah." Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).”


Pengislamannya seperti Saidina Umar al-Khatab

“Adakah kau benar-benar mahu memeluk Islam?” Soal Fatahi mencari kepastian.

“Benar.”

“Tidak ada sesiapa yang memaksa?” Soal Fatahi lagi.

“Tidak, dan ini adalah kerelaan dari aku sendiri.” Jawab Syuwaibah tegas.

“Kalau begitu, ikutlah seperti apa yang aku baca kemudian kau akan secara rasmi telah menjadi Muslim.”

“Baiklah.”

La-ilaha-illa Allah, wa Muhammadu-rasulu-Allah (Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah).”

“La-ilaha-illa Allah, wa Muhammadu-rasulu-Allah.” Syuwaibah perlahan-lahan mengikut bacaan Fatahi. Air matanya terus-menerus mengalir di pipi. Terasa dunia ini terlalu sejuk dan nyaman. Hatinya sangat tenang, dan dia tidak dapat mengambarkan betapa dirinya kini sangat bahagia.

“Alhamdulilah.” Fatahi memeluk Syuwaibah, terasa hangat. Kehangatan sebagai saudara se-islam terasa. Tiada seindah bahasa, dan tiada patah perkataan yang dapat digambarkan betapa gembiranya hati.

“Aku tidak menyangka kedatanganku yang tidak lebih dari 3 jam ini telah membawa perubahan yang besar.” Ujar Syuwaibah.

“Pengislaman kau persis seperti Sahabat besar Nabi Muhammad shallahu-alaihi-wasalam.” Tutur Fatahi gembira.

“Siapakah sahabat tersebut?” Tanya Syuwaibah tidak sabar.

“Saidina Umar al-Khatab al-Faruq.”





____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Thursday, January 21, 2010

ARTIKEL DI MAJALAH I BULAN JANUARI 2010


Assalaamu'alaikum

Majalah i bulan Januari 2010 mengekalkan tradisinya dengan menyediakan bahan-bahan yang menarik. Pada edisi kali ini Majalah i memberi penghormatan kepada Tokoh Maal Hijrah 1431H, Dr. Yusuf al-Qaradhawi dengan menyiarkan 5 artikel berkaitan beliau yang diselenggarakan oleh Mohd Adib Mohd Sidek & Azlin Mohd Amin.

Kita juga disajikan isu gerakan missionari Kristian di Padang yang mengambil kesempatan tehadap tragedi gempa bumi di sana untuk memurtadkan umat Islam. Berlawanan dengan isu pemurtadan itu, kita juga dapat melihat perkembangan pesat Islam di barat yang mana semakin banyak gereja bertukar menjadi Masjid.

Artikel-artikel lain yang menarik adalah seperti berikut :

1) Cerpen Sunnah Hasanah dan artikel Jom Kita Berlumba-Lumba oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

2) Arus Perdana Sebagai Mazhab Baru oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

3) Biografi Doktor Muslim Sepanjang Sejarah & Khazanah Penemuan Tabib Muslim

4) Kesakitan Proses Mendidik Anak Muda oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

5) Membangun Istana Kelembutan oleh Editor Majalah I, Ahmad Yani Abd. Manaf

6) Siwak Warisan Islam Yang Terabaikan & Para Sahabat Perawi Hadis oleh Mashkur M

7) Peranan Strategik Muslimah oleh Ummu Aishah

8) Kebenaran Bukan Diukur Daripada Kebanyakan oleh Abu Umar Abdillah

9) Bonus Bagi Orang-Orang Yang Sakit oleh Ahmad rifai

10) Meraikan as-Sunnah Secara Beransur-Ansur oleh Yussamir Yusof

Dan lain-lain lagi.

Dapatkan Senaskah Sebelum Kehabisan Stok




_______________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Tuesday, January 19, 2010

APABILA SI KERA MEMBAIKI LABU

“Kera tolong betulkan labu ini.” Pinta kura-kura kepada si Kera.

Si Kera menggaru-garu kepalanya, sedang ligat berfikit cara bagaimana untuk membetulkan labu yang ada didepannya itu. Kura-kura masih sabar menanti, dia berharap dengan adanya pertolongan si Kera labunya pasti akan pulih.

“Baiklah, labu kau pasti akan lebih baik dari sebelumnya.” Jawab Si Kera bangga dan bersemengat.


Bermulalah proses membaik pulih labu, Si Kera ke kanan dan ke kiri membaiki labu tersebut. Kejap-kejap dia berhenti, kemudian pusing sana-sini sambil menggaru kepalanya.

“Kau tahu ke membaiki baiki?” Soal kura-kura yang mula timbul syak terhadap kebolehan Si Kera membaiki labu.

Si Kera mengangguk keras, mengiyakan pertanyaan kura-kura.

“Aku tahulah apa yang aku buat, kalau tidak mengapa aku tolong kau baiki labu ini. Sebentar lagi, kau lihatlah.” Jawab Kera dengan keras. Dia tersinggung dengan pertanyaan kura-kura, sedangkan dia yakin yang dia boleh membaikinya.

Tetapi setelah usik sana-sini, Kera mula kebingungan. Kejap dia duduk, kejap dia diri. Labu pula semakin hancur, tidak ada rupa yang akan baik malah akan bertambah rosak.

Kura-kura mula tidak berasa senang, dia mengsyaki sesuatu.

“Sebenarnya kau tahu atau tidak membaiki labu?” Jerit Si Kura-kura kepada Kera. Kura-kura tidak dapat menahan amarahnya kemudian merampas kembali labu daripada Kera.

“Err… Aku tak tahu sebenarnya nak baiki.” Jawab Si Kera terketar-ketar.

“Kalau tak tahu kenapa kau nak buat?” Tanya Kura-kura tidak puas hati.

“Kan membantu rakan itu adalah perkara baik. Boleh dapat pahala.”


“Memanglah baik dapat pahala kalau tolong kawan. Tapi kalau nak buat kerja baik sekalipun, kau kena ada pengetahuan. Bukan main buat sahaja. Apa yang kau buat ini bukannya bertambah pahala, tetapi menambah dosa. Sudahlah tidak ada pengetahuan, tapi pandai-pandai nak buat.” Marah sangat Kura-kura sehingga dia tidak beri muka kepada Si Kera. Kura-kura lantas meninggalkan Si Kera seorang diri.



REALITINYA KINI

Kisah ini sebenarnya mengingatkan kita bahawa sesebuah amalan itu jika tidak disertakan dengan ilmu pengetahuan, maka ia akan menjadi teruk dan sia-sia. Oleh sebab itu kita sering mendengar berbagai peribahasa dan pepatah tentang pentingnya ilmu pengetahuan sebelum melaksanakan apa-apa tindakan.

Salah satu ungkapan masyhur dari Khalifah Umar Ibn Aziz ketika membicarakan tentang Ilmu sebelum amal ialah, “Barangsiapa yang beribadah kepada Allah tanpa ilmu, maka dia akan membuat banyak kerosakan daripada mendatangkan kebaikan.” (Al Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Mungkar, hal. 15)

Bahkan Imam Bukhari dalam kitab Sahih Bukharinya turut memuatkan sebuah bab yang bertajuk Al ‘Ilmu Qoblal Qouli Wal ‘Amali (Ilmu Sebelum Berkata dan Berbuat) bagi menunjukkan betapa pentingnya ilmu sebelum beramal. Perkataan beliau ini merupakan kesimpulan yang diambil dari firman Allah ta’ala, “Maka ilmuilah (ketahuilah)! Bahwasanya tiada sesembahan yang berhak disembah selain Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu.” (Surah Muhammad ayat 19)

Kejadian membakar gereja dan merosakkannya juga adalah salah satu tindakan manusia yang tidak berilmu. Kekuatan dan semangat yang menyala-nyala tidak berguna jika tidak didahului dengan ilmu yang sebenarnya adalah tunjang kewarasan seseorang. Seseorang yang beriman kepada Allah dan Rasul tidak akan sesekali melakukan tindakan sedemikian. Kerana Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk bertindak ganas dan kasar, lebih-lebih lagi orang-orang bukan Islam yang ada di Malaysia ini dilindungi hak dan darah mereka.

Menimbulkan keresahan dan kurang senang terhadap masyarakat juga adalah salah satu perkara yang dilarang dalam Islam. Malahan ia dikecam oleh Rasulullah dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari.

Dari Abu Syuraih radhia-Allah anhu bahawa Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam bersabda, “Demi Allah, seseorang tidak beriman; demi Allah, seseorang tidak beriman; demi Allah, seseorang tidak beriman.” Ada yang bertanya, “Siapa itu, Ya Rasulallah?” Jawab Nabi, “Iaitu orang yang tetangganya tidak aman dari gangguannya.”


Kemudian Imam Bukhari menjelaskan bahawa perkataan gangguan yang disebutkan oleh Rasulullah itu adalah bencana, pencurian, kejahatan, serta hal-hal yang membahayakan yang menjadi pelampiasan kebenciannya.

Jiran tetangga yang disebutkan dalam hadit ini adalah bersifat umum. Tidak terhad kepada orang Islam sahaja, malahan termasuk orang-orang bukan Islam kesemua hak mereka sebagai jiran harus dipenuhi. Tidak ada seorang pun yang boleh menafikan hak-hak ini, dengan beralasan memperjuangkan agama Islam. Jika benar memperjuangkan agama Islam, seseorang itu haruslah mengembalikan hal-hal ini kepada pihak pemerintah. Biarkan pemerintah yang menguruskannya. Jesteru, sebagai orang yang beriman kita harus patuh dan taat di atas keputusan yang mereka lakukan.

Mengembalikan urusan ini kepada pemerintah adalah sebaik-baik keputusan. Manakala sebaik-baik taat ialah mentaati segala keputusan yang akan dikeluarkan oleh pemerintah, walaupun kita tidak berasa senang dengan keputusan tersebut.

Konsekuansi tentang peri pentingnya taat kepada pemerintah ini sesuai dengan apa yang dipesan oleh Rasulullah kepada umatnya dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari.

Rasulullah bersabda, “Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah kalian orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam wujud manusia. Aku (Hudzaifah) bertanya: “Apa yang harus aku lakukan jika aku mendapatinya, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab: “(Hendaknya kau tetap) mendengar dan taat kepada penguasa, meskipun punggungmu dipukul dan hartamu dirampas, (tetap bersikaplah) mendengar dan taat!’."


Untuk menghadapi hari-hari yang mendatang ini, kita sebagai masyarakat Malaysia khususnya kepada mereka yang beragama Islam haruslah bertenang. Jangan terlalu mengikut perasaan sehingga berlakunya rusuhan dan sebagainya yang sendiri akan mendatangkan keburukan kepada kita semua. Jika kita tidak sayang pada diri sendiri, maka sayangilah anak-anak kita yang akan dan sedang membesar ini. Kerana mereka yang akan mewarisi Negara ini, dan mereka jugalah yang akan meneruskan perjuangan dakwah Islamiah di muka bumi ini. Jika tidak bertindak segera untuk menamatkan krisisi ini, kita akan menyesal selama-lamanya. Jangan biarkan tragedi berdarah rusuhan antara kaum berlaku lagi.



Akhir kata, Jangan biarkan Si Kera membaiki labu kita..







____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Saturday, January 16, 2010

TRAVELOG RINGKAS KEMBARA ILMU


Kepadatan kelas-kelas pengajian serta keterbatasan waktu, membuatkan penulis dan rakan-rakan tidak sempat untuk meneroka bandar Jogjakarta. Semakin hari semakin kuat hati kami untuk melihat sendiri keindahan dan kepelbagai yang ada di bandar istimewa Indonesia ini. Lebih-lebih lagi apabila penduduk tempatan yang kami kenali sering menceritakan keindahan dan keunikan yang boleh dirasai.

Negeri ini istimewa di hati masyarakat Indonesia kerana negeri ini hanya satu-satunya masih lagi diperintah oleh seorang Sultan. Walaupun begitu, negeri ini tetap di bawah kelolaan dan jagaan kerajaan Negera Indonesia. Sultannya bertugas seperti gabenor-gabenor lain yang terdapat di negeri-ngeri lain Indonesia.

Alhamdulilah, hasrat kami untuk berjalan-jalan serta menikmati keunikan Jogjakarta tertunai. Kami dibawa ke Bandar Jogjakarta, dan destinasi awal kami ialah Malioboro. Malioboro adalah nadi ekonomi bagi negeri Jogjakarta malahan tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Malioboro adalah sebuah bandar yang serba-serbinya ada.

Kawasan ini berdekatan dengan rumah Sultan ataupun lebih dikenali dengan panggilan Keraton. Iaitu sebuah istana hinggap Sultan sejak turun-temurun. Menurut informasi yang penulis terima, Sultan yang memerintah sekarang adalah Sultan yang ke-10.

Perjalanan kami menaiki kereta dari Pogung Dalangan ke Malioboro mengambil masa 25 minit, tetapi itupun tidak menentu. Jika jalan raya sesak, kebiasaannya ia akan mengambil masa lebih dari sejam untuk sampai. Seperti bandar-bandar Indonesia lain yang pernah saya berkunjung, kesesakan jalan rayanya sama sahaja. Cumanya, di Jogjakarta penduduknya lebih ramai menggunakan motor dari kereta.

Masuk sahaja di kawasan Malioboro, kami merasakan seolah-olah berada di petaling street. Cuma yang membezakannya Malioboro lebih besar dan terlalu padat dengan orang ramai dan para peniaga. Kepada yang suka mencuba sesuatu yang baru, di kawasan ini juga ada menyediakan perkhidmatan menaiki kereta kuda dan beca. Selain gelaran kota Motor, Jogjakarta juga terkenal dengan jolokan Bandar Beca. Menurut penduduk tempatan yang penulis sempat berborak, kebiasaannya harga yang dikenakan untuk setiap kali menaikinya adalah sekitar 10 hingga 50 ribu rupiah (3 hingga 20 ringgit Malaysia).

Dari barangan pakaian, makanan sehinggalah kepada barangan kulit semuanya ada di Malioboro. Bagi yang menginginkan pakaian busana Muslim atau Muslimah, di sini juga menyediakan berbagai corak dan bentuk. Harganya pula sangat berpendapatan dan berbaloi berbanding di tempat lain.




Kepada mereka yang suka makan, di sini juga terdapat jenis makanan. Sama ada makanan eksotik mahupun makanan istimewa Jogjakarta. Kedai-kedai makan di sini sangat banyak, oleh itu para pengunjung mempunyai pilihan mengikut selera masing-masing. Antara makanan istimewa Jogjakarta ialah pecel lele goring ataupun di Malaysia dikenali sebagai ikan keli goring.

Minuman istimewa ialah kopi joes, kopi panas yang diisi dengan arang yang masih berbara. Kopi ini dipanggil Kopi Joes kerana apabila arang yang berbara dimasukkan kedalam air kopi ia akan berbunyi joesss. Pada mulanya penulis juga berasa pelik, tetapi setelah merasa kopi tersebut baru penulis sedar yang kopi tersebut sangat enak dan istimewa. Kebiasaannya ramai yang membeli kopi joes selepas maghrib, dan kadang-kala terpaksa beratur panjang semata-mata untuk membeli kopi tersebut.

Baju batik ataupun kain-kain ela lebih mudah didapati di pasar Peringharjo. Pasar ini terletak tidak jauh dari kawasan Malioboro, sekitar 5 minit dari situ. Pasar ini menyediakan pelbagai jenis pakaian batik, kain ela dan juga telekung serta baju-baju Muslimah. Pasar yang mempunyai dua tingkat ini, setiap hari penuh dengan pengunjung. Berhati-hati ketika membeli belah di sini, pastikan bag dan dompet sentiasa berada bersama dengan anda. Namun selama sebulan penulis berada di Jogjakarta, tidak ada kejadian yang buruk berlaku. Malahan penulis selesa dan bertambah suka dengan orang-orang Jogjakarta yang dikenali dengan budi bahasanya yang lembut.

Tidak puas dengan berjalan dan membeli-belah di Malioboro, kami meminta pemandu yang membawa kami ke Candi Borubudur. Sebuah tinggalan sejarah agama Hindu beratus-ratus tahun dahulu yang pernah menjadi agama paling besar di Indonesia.
“Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu, adalah seperti air (hujan) yang Kami turunkan dan langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya karena air itu tanam-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya, dan pemilik-permliknya mengira bahwa mereka pasti menguasasinya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan (tanam-tanamannya) laksana tanam-tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kemarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang berfikir.” (Surah Yunus ayat 24)


Orang-orang Hindu yang pernah membina Candi Borobudur ini di atas perintah raja satu ketika dahulu menyangka bahawa Indonesia akan terus menerus menjadikan agama Hindu sebagai pegangan mereka. Tetapi sangkaan mereka tidak tepat, kerana selepas melalaui zaman yang panjang, agama Islam menapak dan seterusnya menjadi pegangan agama yang majoriti di Indonesia. Candi ini hanyalah tinggalan sejarah sebagai peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang mahu berfikir seperti firman Allah di atas.





Penulis dan rakan-rakan mendaki tangga-tangga yang disediakan sehingga ke tingkat atas candi. Keadaan di Candi penuh dengan orang ramai, kerana hari itu adalah hari cuti umum Indonesia. Tiket untuk memasuki candi ini berbeza mengikut kewarganegaraan. Jika warganegara Indonesia, harganya hanyalah 22500 rupiah Indonesia sekitar 10 ringgit Malaysia. Tetapi bagi pengunjung dari luar Negara, mereka dikenakan 12 Dollar Amerika bersamaan dengan 50 Ringgit Malaysia.

Setelah berpanas dan mengunjung muzium yang turut ada di sekitar candi, kami meneruskan perjalanan ke kedai buku yang terletak di jalan Kaliurang berdekatan dengan tempat tinggal kami sebagai destinasi terakhir sebelum menyambung perjalanan pada hari lain. Kedai buku di sini menawarkan harga yang cukup murah dan berbaloi.

Penulis sempat berkunjung di Toko Buku Sarana Hidayah dan juga Toko Buku Ihya. Kedua-dua kedai buku ini menyediakan pelbagai tajuk buku-buku agama. Sebut apa sahaja, anda akan menemuinya dengan kadar harga yang amat berpatutan. Misalnya buku Ahkamul Sulaniyah karangan al-Mawardi ulama besar dalam bidang kepolitikan, hanyalah sekitar 20 ringgit berbanding di Malaysia berharga 75 ringgit yang pernah penulis ketemu. Penulis juga tidak melepaskan peluang dengan memborong buku-buku di situ.

Kali kedua ‘misi’ berjalan-jalan, kami memulakan perjalanan kami ke Jamil ar-Rahman sebuah pesantren yang terletak di daerah Bantul kira-kira 30 minit perjalanan. Kebetulan di pesantren tersebut terdapat ceramah agama perdana yang disampaikan oleh Ustaz Amir Hakim bin Abdat seorang ulama Salaf di Indonesia. Ceramah yang berbicarakan tentang kepentingan mengetahui ilmu-ilmu muamalat sebelum berniaga itu, didengari hampir 500 orang.

Di Jogjakarta dakwah Salaf sangat berkembang pesat, malahan pesantren-pesantren Salaf juga sangat banyak. Penulis sempat berkunjung dua buah pesantren Salaf, iaitu Pesantren Ibn Bazz dan juga Pesantren Jamil ar-Rahman. Biaya untuk belajar di pesantren-pesantren ini mengikut kata seorang kenalan penulis, sangatlah murah dan berpatutan. Kebanyakan sumber pendapatan pesantren datang dari aktiviti ekonomi mereka serta bantuan-bantuan dari orang-orang kaya yang bermurah hati untuk membantu.

Usai mendengar ceramah kami dibawa makan di restoran ayam Surihati yang popular dengan masakan ayam goreng keremes. Makan tengahari kami pada hari itu dibiaya seorang usahawan jutawan Islam yang bernama Pak Andy. Kami tiba di restoran lewat 10 minit dari waktu yang dijanjikan. Tetapi Pak Andy sabar menunggu dan meraikan kehadiran kami dengan senyuman.



bersama Pak Andy


Pak Andy adalah seorang pengedar Aiskrim Walls di seluruh Jogjakarta, dan juga terlibat dalam industri minyak Indonesia. Yang membuatkan Pak Andy dari usahawan dan jutawan lain ialah berbeza ialah perwatakan dan kerendahan hatinya. Apabila bercakap, beliau seringkali mengingatkan kami bahawa seluruh kekayaaan adalah milik Allah.

“Kekayaan hanyalah ujian pada manusia, jika sesiapa yang dapat mengawal kekayaan dengan keimanan, maka Allah akan menambahkan lagi rezeki kepadanya.” Ujar Pak Andy kepada penulis dan rakan-rakan yang lain.


Selepas kenyang makan ayam goreng kremes, kami menuju ke Mediu cawangan Jogjakarta. Menjenguk sebentar susun atur pusat pembelajaran online tersebut dan juga bilik radio Muslim yang beroperasi secara percuma.



Kemudian, kami dibawa Pak Andy untuk melawat ke kilang Aiskrimnya. Sampai sahaja di kilangnya, para pekerja Pak Andy sudah sedia menanti mengalu-alukan kedatangan kami. Bagaikan ‘orang besar’ kami dilayan sungguhpun kami hanyalah kenalan sekuliah agama sahaja. Terlupa untuk penulis beritahu bagaimana kami boleh berkenalan. Perkenalan kami bermula di masjid semasa mendengar kuliah agama di masjid al-Hasannah.


Kilang edaran Walls milik Pak Andy

Pada mulanya kami tidak menyangka yang beliau adalah seorang tokoh usahawan Muslim yang sering mendapat pengiktirafan kerajaan Indonesia. Pakaian beliau biasa-biasa sahaja, malahan cara pergaulan beliau yang ramah serta sangat tawaduk sangat menarik perhatian kami. Akhirnya kami dapat tahu siapa sebenarnya beliau selepas diberitahu oleh salah seorang wakil al-Atsari – pusat pendidikan tempat penulis belajar bahasa arab dan hadith secara intensif di Jogjakarta. Selepas dari pertemuan tersebut, kami sering bertemu dan sehinggalah kami dijemput untuk makan tengahari bersama dan melawat kilang Aiskrim beliau.

Sepanjang kunjungan penulis ke Jogjakarta, sempat juga penulis berkongsi idea dan pengalaman bersama para pelajar perubatan di Sekolah Tinggi Kesihatan al-Madani Jogjakarta (setaraf Kolej swasta di Malysia). Itupun secara kebetulan selepas seorang dari jawatan kuasa Sekolah Tinggi tersebut mengenali rakan penulis dan beliau meminta salah seorang dari kami untuk memberikan sedikit perkongsian untuk para pelajar sekolah tersebut.


Berkongsi pengalaman bersama adik-adik


Selain dari keunikan dan keistimewaan yang ada pada Jogjakarta, para penduduknya yang ramah serta bersopan-santun membuatkan hati penulis tertawan dan bertambah sayang. Tanggapan awal yang buruk terhadap keadaan dan perangai orang-orang Jogjakarta sama sekali terhakis dan hanya kenangan-kenangan yang baik masih terukir di hati dan perasaan.


Selain tanggapan buruk terhadap masyarakat, sebelum datang ke sini penulis ada persepsi tidak baik terhadap keadaan dan sistem pendidikan di tempat yang penulis akan belajar nanti. Misalnya keadaan tempat belajar yang kotor, kekurangan air untuk mandi, tempat tinggal yang kecil dan berbagai lagi. Moga Allah mengampunkan kami yang bersangka-sangka tidak baik.

Firman Allah, “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain.” (Surah al-Hujrat ayat 12)


Tetapi akhirnya, selepas datang dan melihat sendiri, barulah persepsi dan tanggapan buruk hilang. Kami ditempatkan di bilik besar yang dilengkapi dengan bilik air, bersebelahan dengan sawah, berdekatan dengan masjid, mudah mendapat makanan dan dikeliling dengan orang-orang yang sangat baik hati dan peramah. Yayasan yang menguruskan tempat tinggal dan pembelajaran kami iaitu Yayasan Pendidikan Islam al-Atsari sangat professional dan amat mengambil berat terhadap kami.


Oh, tidak mungkin saya akan mencatatkan keseluruhan pengalaman saya ke Jogjakarta. InsyaAllah saya sedang berusaha untuk belajar menulis Travelog dengan lebih tersusun dan menarik. Mungkin akan ada catatan seterusnya. InsyaAllah.

Terima kasih dan moga Allah membalas jasa kalian.







____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Thursday, January 14, 2010

APABILA TUHAN TIBA-TIBA TUKAR NAMANYA

Oleh: Sang gembala
#Beliau adalah Guru perbandingan agama saya.

Semua penganut Kristian yang beriman rata-rata akan terkejut besar dan sudah pasti menjadi keliru sambil tertanya-tanya apabila Tuhan mereka tiba-tiba tukar namaNYA. Antara persoalan yang bakal mereka ajukan termasuklah:-

KENAPAKAH Tuhan mereka yang selama ini mereka beriman dengan nama Tuhan Bapa tiba-tiba bergelar “ALLAH”?

BILAKAH masanya Tuhan Bapa menurunkan wahyu memerintahkan namaNYA yang selama ini dikenali sebagai Tuhan Bapa di tukar kepada “ALLAH”?



DIMANAKAH wahyu ini diturunkan?

Kepada SIAPAKAH wahyu ini diturunkan? DIMANAKAH dia? KENAPAKAH dia dipilih?

KENAPAKAH mereka tidak diberitahu mengenai peristiwa besar lagi bersejarah turunnya wahyu ini?

KENAPAKAH Tuhan Bapa tiba-tiba baru sekarang hendak menukar kesucian namaNYA yang telah di imani oleh semua penganut Kristian sejak ribuan tahun dahulu?

KENAPAKAH Tuhan Bapa tiba-tiba menukar fikiran dan hanya memilih nama “ALLAH” daripada jutaan nama-nama dan tidak memilih nama seperti “YAHWEH” atau “DEI” atau “AHURA MAZDA” ataupun “BRAHMA”?

BENARKAH pertukaran nama Tuhan Bapa kepada “ALLAH” datang daripada Tuhan Bapa atau daripada perbuatan manusia?

Kalau wahyu tidak diturunkan maka SIAPAKAH yang pandai-pandai mempermainkan kesucian nama Tuhan Bapa dan agamaNYA? DIMANAKAH manusia itu? KENAPAKAH dia begitu berani mencemar kesucian Tuhan Bapa? PATUTKAH manusia yang menentukan nama Tuhan?

BUKANKAH orang-orang Kristian Barat menggangap Tuhan “ALLAH” itu Tuhan Bulan dan ada juga yang menggangapnya sebagai Tuhan penyembah berhala?

APAKAH Tuhan Bapa akhirnya mengisytiharkan diriNYA sebagai Tuhan Bulan atau Tuhan penyembah berhala apabila menukar namaNYA kepada “ALLAH” sebagaimana orang-orang Kristian Barat percaya?

KENAPAKAH di dalam Kitab suci orang-orang Kristian, Yesus yang juga dianggap oleh penganut Kristian sebagai Tuhan Anak sendiri pun tidak pernah memanggil Tuhan Bapa dengan nama “ALLAH”?

Oleh kerana penganut Kristian semuanya adalah pengikut Yesus dan beriman dengan Yesus maka WAJARKAH mereka memanggil Tuhan Bapa dengan nama “ALLAH” sedangkan Yesus sendiri pun tidak pernah mengajar demikian? SIAPAKAH yang patut penganut Kristian ikut? Ikut Tuhan Bapa kah atau Yesus kah?

APAKAH setiap ayat yang merujuk kepada Tuhan Bapa di dalam Kitab suci Kristian juga akan di tukar kepada “ALLAH”?

APAKAH istilah “ALLAH” hanya akan diguna pakai di dalam terjemahan Bahasa Malaysia sahaja? KENAPAKAH hanya terhad kepada terjemahan Bahasa Malaysia sahaja? APAKAH Tuhan Bapa yang ada di dalam terjemahan Bahasa Malaysia tidak sama dengan Tuhan Bapa yang ada di dalam versi bahasa-bahasa lain dan tidak boleh bernama “ALLAH” juga? BERAPAKAH jumlah sebenarnya Tuhan Bapa di dalam agama Kristian?

Kitab suci terjemahan Bahasa yang MANAKAH yang patut penganut Kristian pakai jika hanya kitab terjemahan di dalam Bahasa Malaysia sahaja yang merujuk Tuhan Bapa sebagai “ALLAH” manakala kitab terjemahan di dalam bahasa-bahasa lain pula tidak berbuat demikian?

KENAPAKAH Tuhan Bapa sahaja yang menukar namaNYA? APAKAH nanti Tuhan Ruhul Kudus dan Tuhan Yesus masing-masing akan turut menukarkan nama-nama mereka juga?

BUKANKAH selama ini penduduk seluruh dunia termasuklah juga Kristian Barat semuanya umum ketahui bahawa hanya orang-orang Islam sahaja yang memanggil Tuhan mereka dengan nama “ALLAH”? KENAPAKAH tiba-tiba agama Kristian hendak meniru dan memakai nama Tuhan orang-orang Islam? APAKAH Tuhan orang-orang Kristian kini sudah kehilangan pengaruh dan kehebatan atau MUNGKINKAH orang-orang Kristian sendiri sudah hilang keyakinan kepada Tuhan mereka sehingga terpaksa meminjam nama Tuhan orang-orang Islam yang bernama “ALLAH”?

TIDAKKAH orang-orang Kristian merasa pelik dan terkejut seolah-olah mereka dimurtadkan oleh gereja apabila mereka tiba-tiba diperintah beriman dengan Tuhan yang bernama “ALLAH” sedangkan kepada mereka “ALLAH” itu ialah Tuhan orang-orang Islam?

SAHKAH ibadah orang-orang Kristian apabila mereka tiba-tiba menyembah Tuhan yang bernama “ALLAH” yang namaNYA sama seperti nama Tuhan orang-orang Islam sedangkan kepercayaan orang-orang Islam tidak sama dengan kepercayaan orang-orang Kristian?

TERANCAMKAH institiusi agama Kristian apabila pengunaan nama “ALLAH” oleh gereja akan lebih membantu usaha dakwah oleh orang-orang Islam kepada orang-orang Kristian kerana orang-orang Kristian kini sudah mengenali Tuhan sebagai “ALLAH”?

SELAMATKAH pegangang agama orang-orang Kristian apabila pengunaan nama “ALLAH” oleh gereja sebenarnya memudahkan lagi laluan bagi orang-orang Islam menyebarkan ajaran Islam kepada penganut Kristian dengan memulakan perbualan tentang ketuhanan “ALLAH” di dalam agama Islam?

TERGONCANGKAH iman orang-orang Kristian apabila mereka mendapati bahawa “ALLAH” di dalam Islam bukanlah tiga di dalam satu tetapi hanyalah satu sahaja dan amat mudah di terima oleh akal kerana Dia wujud dengan sendiri NYA lagi tidak beranak dan tidak diperanakkan serta tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan NYA?

Akan TERSENTUHKAH hati orang-orang Kristian apabila di beritahu oleh kenalan Islam bahawa “ALLAH” orang-orang Islam juga sayang kepada Yesus sehinggakan semua penganut agama Islam diperintahkan oleh NYA supaya beriman kepada Yesus sepertimana mereka sayang dan beriman kepada Nabi Muhammad mereka?


BERSEDIAKAH gereja berdepan dengan dilema penganut Kristian mengenai “ALLAH” dan Yesus apabila ayat-ayat di dalam kitab suci versi ‘New International Version’ mereka tiba-tiba berfirman:

* ‘Satu hari Yesus keluar ke pergunungan untuk bersembahyang, dan menghabiskan sepanjang malam sembahyang kepada Allah.’ (Lukas 6:12)

‘One of those days Jesus went out to a mountainside to pray, and spent the night praying to God.’ (Luke 6:12)

* ‘Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak dan Yakub, Allah nenek moyang kita, telah memuliakan hamba-Nya, Yesus.’ (Kisah Rasul-Rasul 3:13)

‘The God of Abraham, Isaac and Jacob, the God of our fathers, has glorified his servant Jesus.’ (Acts 3:13)

* ‘Yesus dari Nazareth ialah seorang manusia lelaki yang di tugaskan oleh Allah kepada kamu dengan mukjizat, keajaiban dan alamat yang dilakukan oleh Allah di kalangan kamu melalui dia, sepertimana kamu sendiri ketahui.’ (Kisah Rasul-Rasul 2:22)

‘Jesus of Nazareth was a man accredited by God to you by miracles, wonders and signs, which God did among you through him, as you yourselves know.’ (Acts 2:22)

* ‘Dengarlah wahai (bangsa) Israel: Allah Tuhan kita, Tuhan kita satu.’ (Ulangan 6:4)

‘Hear, O Israel: The LORD our God, The LORD is one.’ (Deuteronomy 6:4)





* ‘ “Yang paling utama,” jawab Yesus, “ialah: ‘Dengarlah wahai (bangsa) Israel, Allah Tuhan kita, Tuhan kita satu.’ “ ‘ (Markus 12:29)

‘ “The most important one,” answered Jesus, “is this: ‘Hear O Israel, the Lord our God, the Lord is one.’ “ ‘ (Mark 12:29)

* ‘Engkaulah yang berkuasa dan melaksanakan jasa-jasa yang baik; hanya Engkaulah Allah.’ (Mazmur 86:10)

‘For you are great and do marvelous deeds; you alone are God.’ (Psalm 86:10)

* ‘Akulah yang pertama dan Akulah yang terakhir; tidak ada Allah selain Aku.’ (Yesaya 44:6)

‘I am the first and I am the last; apart from me there is no God.’ (Isaiah 44:6)

* ‘Sesungguhnya Allah bersama kamu, dan tidak ada yang lain; tidak ada Allah yang lain.’ (Yesaya 45:14)

‘Surely God is with you, and there is no other; there is no other God.’ (Isaiah 45:14)

* ‘Ingatilah perkara yang berlalu, yang dahulu kala; Akulah Allah, dan tidak ada yang lain; Akulah Allah, dan tiada sesuatu pun yang serupa dengan Ku.’ (Yesaya 46:9)

‘Remember the former things, those of long ago; I am God, and there is no other; I am God, and there is none like me.’ (Isaiah 46:9)

* “Akulah Allah Tuhan kamu, yang membawa kamu keluar daripada Mesir, keluar daripada bumi hamba abdi. Kamu tidak boleh mempunyai Tuhan-Tuhan lain daripada Aku.” (Keluaran 20:2-3; Ulangan 5:6-7)

“I am the LORD your God, who brought you out of Egypt, out of the land of slavery. You shall have no other gods before me.” (Exodus 20:2-3; Deuteronomy 5:6-7)

* ‘Yesus berkata, “…dan beritahu mereka bahawa aku sedang kembali…kepada Allahku dan Allahmu.” ‘ (Yohanes 20:17)

‘Jesus said, “…and tell them, ‘I am returning…to my God and your God.” ‘(John 20:17)

* ‘Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia, “Ya Tuhan, semoga Allah menjauhkan perkara itu daripada Tuhan! Perkara itu tidak boleh berlaku kepada Tuhan!” ‘ (Matius 16:22)

‘Peter took him (Jesus) aside and began to rebuke him. “Never, Lord!” he said. “This shall never happen to you!” ‘ (Matthew 16:22)

* ‘Pada detik yang kesembilan, Yesus menjerit dengan suara yang kuat, “Eli, Eli, lama sabakhthani?” yang bermaksud, “Ya Allahku (ILLAHI), Ya Allahku (ILLAHI), kenapa Engkau meninggalkan Aku?” ‘ (Matius 27:46; Markus 15:34)

‘About the ninth hour Jesus cried out in a loud voice, “Eloi, Eloi, lama sabachthani?” – which means, “My God, my God, why have you forsaken me?” ‘ (Matthew 27:46; Mark 15:34)

* ‘Yesus berkata kepada kaum Yahudi, “…Sememangnya kamu sungguh-sungguh mahu membunuh aku, yang hanya seorang manusia lelaki yang telah menyampaikan kebenaran yang aku dengar daripada Allah kepada kamu…” ‘ (Yohanes 8:40)

‘Jesus said to the Jews, “…As it is, you are determined to kill me, a man who has told you the truth that I heard from God…” ‘ (John 8:40)

* ‘ “Tuhan,” kata Martha kepada Yesus, “sekiranya Tuhan berada di sini ketika itu, sudah tentu saudaraku masih hidup. Sungguhpun demikian, aku tahu bahawa di saat ini pun Allah akan mengabulkan apa sahaja yang Tuhan minta.” ‘ (Yohanes 11:21-22)

‘ “Lord,” Martha said to Jesus, “if you had been here, my brother would not have died. But I know that even now God will give you whatever you ask.” ‘ (John 11:21-22)

* ‘Yesus berdoa kepada Allah untuk dirinya dan berkata, “…Maka ini lah hidup yang kekal; agar mereka mengenali Mu, Hanyalah Allah Tuhan yang benar, dan Yesus Kristus yang di utuskan oleh Mu…” ‘ (Yohanes 17:3)

‘Jesus prayed to God for himself and said, “…Now this is eternal life; that they may know you, the only true God, and Jesus Christ, whom you have sent…” ‘ (John 17:3)

* ‘Kerana hanya ada satu Allah dan satu perantara diantara Allah dengan manusia, iaitu manusia lelaki bernama Yesus Kristus…’ (1 Timotius 2:5)

‘For there is one God and one mediator between God and men, the man Christ Jesus…’ (1 Timothy 2:5)

* ‘…Kita tahu bahawa berhala tidak ada gunanya di dunia dan sesungguhnya tiada Allah melainkan yang satu.’ (1 Korintus 8:4)

‘…We know that an idol is nothing at all in the world and that there is no God but one.’ (1 Corinthians 8:4)

* ‘Wahyu Yesus Kristus, yang disampaikan oleh Allah kepadanya…’ (Wahyu 1:1)

‘The revelation of Jesus Christ, which God gave him…’ (Revelation 1:1)


* ‘Pada hari ketujuh, Allah menyelesaikan pekerjaan-Nya, lalu Dia berehat.’(Kejadian 2:2)

‘By the seventh day God had finished the work he had been doing; so on the seventh day he rested…’ (Genesis 2:2)

* ‘Pada petang itu, mereka mendengar TUHAN Allah berjalan di taman, lalu mereka bersembunyi di antara pokok-pokok supaya tidak dapat dilihat-Nya. Tetapi TUHAN Allah memanggil lelaki itu, “Dimanakah engkau?” ‘ (Kejadian 3:8-9)

‘Then the man and his wife heard the sound of the LORD God as he was walking in the garden in the cool of the day, and they hid from the LORD God among the trees of the garden. But the LORD God called to the man, ”Where are you?” ‘(Genesis 3:8-9)

* ‘Makhluk itu berkata, “Namamu bukan Yakub lagi. Engkau telah bergomol dengan ALLAH serta manusia, dan engkau sudah menang; kerana itu sekarang namamu Israel.” ‘ (Kejadian 32:28)

‘Then the being said, “Your name will no longer be Jacob, but Israel, because you have wrestled with God and with men and have overcome.” ‘ (Genesis 32:28)

* ‘Yesus menjawab, “Berimanlah kepada Allah.” ‘ (Markus 11:22)

‘ “Have faith in God,” Jesus answered.’ (Mark 11:22)



Maka BIJAKSANAKAH gereja memakai nama “ALLAH” sedangkan pengunaan “ALLAH” di dalam kitab suci Kristian banyak membuktikan bahawa Yesus sendiri beriman dan menyembah Allah sepertimana orang-orang Islam beriman dan menyembah Allah. MUNGKINKAH juga nanti akibatnya rata-rata orang-orang Kristian turut beriman dan menyembah Allah sepertimana Yesus dan orang-orang Islam? Sebaliknya pula iman orang-orang Islam pastinya akan bertambah teguh kerana kebenaran ajaran Islam telah terbukti! Manakala ayat-ayat yang memanusiakan sifat Allah di dalam kitab suci Kristian seperti Tuhan dilindungi Allah; Allah perlu beristirehat; Allah tidak tahu dimanakah Adam; dan Allah bergomol dengan makhluk-Nya pula tidak sesuai dengan sifat Allah di dalam Islam dan sudah tentu akan di tolak bulat-bulat oleh semua penganut agama Islam.

Sekiranya Yesus tiba-tiba muncul hari ini maka APAKAH alasan gereja menukarkan kesucian nama Tuhan Bapa kepada “ALLAH”? Belum sempurna lagi kah agama Kristian?



sanggembala@gmail.com
***Januari 4, 2010***



___________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Wednesday, January 6, 2010

BURUK BAIK MEREBUT NAMA ALLAH


Terdapat beberapa orang meminta saya mengulas isu Tuntutan penggunaan nama Alah oleh agama Kristian. Sebenarnya saya sudah menulis perkara ini tahun lepas. Namun ulasan pertama saya terpaksa diralat dan menukar dari bersetuju kepada tidak setuju. Hal ini berlaku selepas mengadakan perbincangan dengan mereka yang terlibat secara terus dalam isu ini dan juga dari pembacaan.

Tulisan ini saya siapkan semasa berada di Jogjakarta, dan kebanyakkan input dari beberapa progress terbaru saya dapati dari akhbar-akhbar online. Moga perkongsian saya ini sedikit sebanyak dapat merungkaikan beberapa persoalan dan permasalahan dari sudut beberapa sudut pandangan. Namun begitu, saya tidak menyetuh soal perlembagaan dan hal-hal kritikal yang melibatkan perundangan.



SEJARAH TUNTUTAN

Isu tuntutan penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian untuk Tuhan mereka sebenarnya sudah lama berlaku. Hanya sedar atau tidak, sejak tahun 1986 lagi, perkara ini telah dibangkitkan oleh orang Kristian melalui organisasi keagamaan mereka. Ketika perjumpaan antara agama yang diadakan di Kuala Lumpur, wakil-wakil Kristian telah menyuarakan rasa tidak senang mereka terhadap KDN kerana melarangan menggunakan perkataan alKitab untuk Bible dan beberapa istilah Islam seperti Allah, Firman, Syariat, Rasul, Wahyu, Injil dan beberapa perkataan lagi.

Kemudian setelah berpuluh tahun, isu ini dimainkan kembali. Maka ramailah yang melatah dan terpinga-pinga, lebih-lebih lagi umat Islam yang sekadar atas nama. Isu ini bukan sahaja memperalatkan sentimen dan sensetiviti umat Islam di Malaysia, tetapi ia juga sedang menguji tahap imuniti umat Islam terhadap akidah mereka.

Suka atau tidak, umat Islam harus sedar bahawa orang-orang bukan Islam tidak akan rela kepada Islam selama-lamanya. Sepertimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 120, “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu."
Kembali kepada isu pengggunaan nama Allah dalam Bible. Kebanyakkan tulisan-tulisan yang saya baca tentang isu ini, semuanya berbaur emosi yang pekat. Malah ada yang menggunakan perkataan yang buruk dan jelek, kononnya semua itu dilakukan demi mempertahankan kesucian agama Islam. Islam tidak memerlukan perkataan-perkataan buruk dan jelek untuk dijadikan perisai, kerana Islam adalah agama hujah dan rasional. Lebih dari itu, Islam sendiri melarang penganutnya menggunakan perkataan keji dan mungkar untuk diucapkan.



MEMAHAMI MAKNA NAMA ALLAH

Perkataan Allah berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud Tuhan yang Satu. Manakala penggunaannya pula khusus untuk merujuk kepadaTuhan yang Satu, Tuhan yang mencipta, mentadbir dan memiliki alam semesta. Perkataan ini juga digunakan selain dari agama Islam, iaitu Yahudi dan Kristian dalam bahasa Arab.

Dalam terjemahan Bible bahasa Melayu, perkataan Allah turut digunakan sebagai kata ganti perkataan Inggeris Lord. Selain daripada itu, asal perkataan Allah dari kata Arab Ta'allaha (atau Alaha) yang memberi maksud ‘Disembah’. Oleh itu, perkataan Allah itu boleh juga bermaksud, “satu-satunya yang layak disembah”.


Syeikh Abdullah Sirajuddin dalam Haula Tafsir surah al-Fatihah berkata, “Allah adalah isim alam. Menunjukkan terhadap zat Allah Ta’ala Rab al-Alamin, Tuhan yang disembah dengan sebenar, bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang tidak boleh dihitung, dihadkan dan terbatas. Allah suci dari segala keaiban dan kelemahan, Esa dengan sifat wajib dan tidak layak seseorang pun atau mana-mana makhluk pun menamakan dengan nama-Nya. Dengan sebab itulah kalimah Allah tidak diduakan atau dijamakkan (dibanyakkan). ”



MEMAHAMI DUA PANDANGAN

Sarjana Islam ketika membincangkan perkara ini, mereka terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, mereka menerima penggunaan nama Allah oleh orang-orang Kristian. Kedua, mereka menolak penggunaan nama Allah oleh orang-orang Kristian.


SARJANA YANG MENERIMA

Para Sarjana Islam yang menerima dan membenarkan penggunaan nama Allah oleh orang-orang Kristian menyatakan bahawa orang-orang bukan Islam khususnya Kristian dan Yahudi sudah lama telah lama digunakan. Malahan ia tidak pernah dilarang oleh Rasulullah dan juga generasi para salafusoleh, lebih-lebih lagi ketika mereka berdialog dengan orang-orang bukan Islam.

Mereka berdalilkan dengan beberapa firman Allah dalam al-Quran misalnya dalam surah at-Taubah ayat 30, “Orang-orang Yahudi berkata: "Uzair itu putera Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al Masih itu putera Allah." Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka , bagaimana mereka sampai berpaling?”

Firman Allah dalam surah Luqman ayat 25, “Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah." Katakanlah : "Segala puji bagi Allah"; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”
Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 61, “Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar).”

Firman Allah dalam surah az-Zukhruf ayat 87, “Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka, niscaya mereka menjawab: "Allah", maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah )?”


Selain daripada dalil-dalil di atas, Kitab bible berbahasa arab yang bernama al-Kitab al-Muqaddas juga telah lama digunakan dan di dalamnya terdapat nama Allah. Dan Allah yang digunakan ini merujuk kepada Tuhan mereka. Misalnya dalam Kitab Kejadian (Genesis).



SARJANA YANG MENOLAK

Manakala sebahagian Sarjana Islam yang lain telah mengharamkan penggunaan nama Allah ini secara mutlak. Pengharaman ini dilakukan kerana orang-orang bukan Islam khususnya Kristian, tidak menyifatkan nama Allah pada sifat yang benar.

Pada pandangan mereka, nama Allah seharusnya mempunyai sifat yang Esa, tidak ada sekutu bagi Dia, tidak diperanakkan, dan lain-lain. Sifat-sifat Allah yang sesuai dan layak bagi-Nya telah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Ikhlas dari ayat pertama hingga akhir.

Firman Allah, “Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”

Menurut sebuah riwayat, ayat ini diturunkan oleh Allah ketika orang-orang Musyrikin meminta penjelasan tentang sifat-sifat Allah kepada Rasulullah shallahu-alaihi wasalam, dengan berkata: “Jelaskan kepada kami sifat-sifat Tuhanmu.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah dari Abi Aliyah yang bersumber dari Ubay bin Ka'ab. Diriwayatkan pula oleh at-Thabarani dan Ibnu jarir yang bersumber dari Jabir bin Abdillah dan dijadikan dalil bahwa surah ini adalah ayat Makkiyah)


Manakala dalam riwayat yang lain diceritakan bahawa orang-orang Yahudi telah datang menghadap kepada Nabi Shallahu alaihi wasalam. Dan diantaranya Ka'bubnul 'asyraf dan Hay bin Akhtab. Mereka berkata: “Hai Muhammad, lukiskan sifat-sifat Tuhan yang mengutusmu.” Kemudian turunlah ayat ini bagi menjelaskan sifatt-sifat yang layak bagi Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim yang bersumber dari Ibnu Abbas. Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Qatadah dan Ibnu Mundzir yang bersumber dari Sa'id bin Jubair. Dengan riwayat ini Sa'id bin Jubair menegaskan bahwa surah ini Madaniyyah)



Yang jelas dari kedua-dua padangan ini ialah, nama Allah harus diletakkan pada sifat zat yang hak dan sesuai untuk-Nya. Sifatnya yang Esa, tidak beranak dan diperanakann, Maha berkuasa dan tidak ada sekutu bagi-Nya.

Namun dalam kondisi untuk mengikuti syarat ini, orang-orang bukan Islam khususnya Kristian, tidak meletakkan sifat-sifat ini pada nama Allah yang mereka mahu gunakan. Orang-orang Kristian merujuk Allah kepada tuhan yang ada sekutu bagi-Nya iaitu akidah Triniti ; 1 Tuhan dalam 3 Peribadi yang berbeza.

Prof Dr HAMKA dalam bukunya yang bertajuk Hak Asasi Manusia ketika menjelaskan mengapa orang-orang bukan Islam; Nasrani, Yahudi dan Jahiliah yang menyebut Allah, dengan berkata, “Mereka mengakui ke-Esaan Allah, tetapi itu sekadar pengakuan. Namun hakikat sebenarnya tentang hubungan manusia dengan Allah tidaklah mereka percayai dan tidak mereka endahkan. Mereka telah mencabut kekuasaan yang ada pada Allah...Mereka tahu nama Allah tetapi mereka memuja benda yang lain...Malahan ketika ditanya mengapa mereka menyembah berhala, mereka menjawab sepertimana yang disebutkan Allah dalam surah az-Zumar ayat 3, “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat- dekatnya”.


KESIMPULAN

Isu penggunaan nama Allah ini harus dilihat dari sudut waqi’ (masyarakat) dan juga negara. Malaysia adalah negara yang berbilang agama dan bangsa. Kepelbagaian ini boleh mendatangkan bermacam persepsi dan tanggapan, sama ada yang buruk atau baik. Lebih-lebih lagi isu penggunaan nama Allah yang menjadi isu yang sensItif antara Islam dan Kristian.

Para pemerhati dan juga para tokoh-tokoh Agama Malaysia melihat isu ini lebih kepada provokasi dan percubaan menghuru-harakan masyarakat Malaysia.

Misalnya, Prof Dato’ Paduka Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Pensyarah Jabatan fiqh dan Usul di UIAM berkata, “Hasil penelitian saya, Akhbar Herald Catholic sengaja mencetuskan provokasi Islam Melayu kita dengan menyentuh perkara paling sensetif. Ia memburukkan lagi dengan tindakan seorang menteri yang tidak menjaga sensitiviti ini. Kita sanggup bangkit mempertahankan hak ini kerana Allah sendiri mewajibkan kita berjuang sekiranya kesucian Islam dicemari. Jangan sentuh semangat jihad kami.”


Hujah mereka yang menyokong penggunaan nama Allah ini dengan mengatakan bahawa sudah lama terdapat penggunaan nama Allah di dalam bible berbahasa Arab dan Indonesia juga tidak dapat diterima. Seperti yang dibincangkan di atas, Allah yang disebut dan ditulis haruslah mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Manakala Bible berbeza dan tidak selari, kerana dengan jelas telah merujuk Allah kepada akidah Triniti; Bapa Allah di Syurga, Jesus adalah anaknya, dan Ruhul Kudus merupakan salah satu oknum (sifat) dari tiga Oknum Triniti.

Dari segi berjaga-jaga bagi melindugi atau memastikan keamanan dan keselamatan semua orang di Malaysia. Penggunaan kaedah Sad Zara’i iaitu menutup pintu-pintu kejahatan dan keburukan adalah perlu dalam isu ini.

Tindakan kerajaan mengharamkan penggunaan nama Allah orang agama lain khususnya Kristian bertepatan dengan kaedah Sad Zara’i ini. Sesuai dengan tugas pemerintah iaitu menjaga kemaslahatan rakyat, larangan ini seharusnya diwartakan dengan segera, dan sesiapa yang cuba menafikan atau menguji larangan ini haruslah didakwa dan dikenakan tindakan mahkamah.

Sesuai dengan kaedah menjaga kemaslahatan ummah, Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Dr Mohd Roslan Mohd Nor mengeluarkan kenyataan bagi pihak PUM, “Menterjemahkan perkataan God kepada Allah bagi agama lain tidak sesuai dalam konteks Malaysia yang merujuk kepada Allah sebagai Tuhan yang Maha Esa. Setelah menimbang maslahah dalam konteks Malaysia, Persatuan Ulama’ Malaysia bersetuju mengambil pendirian bersetuju bahawa perkataan Allah tidak wajar digunakan bagi agama lain selain daripada Islam.”


SARJANA KRISTIAN TURUT MENOLAK

Untuk tambahan maklumat untuk para pembaca. Bukan sahaja sarjana Islam yang membincangkan perkara ini. Para Sarjana Kritian dan juga para Paderi mereka sendiri berbeza pandangan mengenai penggunaan nama Allah merujuk Tuhan mereka.

Misalnya Presiden Liga Katolik bagi Hak Agama dan Sivil telah membantah saranan dari Biskop Tiny Muskens yang menyeru penganut Kristian menggunakan nama Allah. Begitu juga dengan Pengerusi General Synod of The Dutch Protestant Church, Gerrit de Fijter yang menolak saranan Muskens.

Mashall G.S Hodgson dalam bukunya yang bertajuk The Venture of Islam: Conscience and History in a World Civilization juga menyatakan ketidaksetujuan penggunaan nama Allah di kalangan penganut agama Kristian.

Yang jelas penggunaan nama Allah hanya layak untuk Islam kerana konsep Tauhid yang berbeza di kalangan penganut agama Islam dan agama lain, khususnya Kristian dalam konteks Malaysia. Selain itu penggunaan bahasa Malaysia juga menjadi hujah bahawa Allah adalah Tuhan yang sebenar tanpa dipersekutukan dengan yang lain, dan ini hanya Islam yang layak.

Manakala hujah bahawa orang-orang Musyrikin dan ahlu Kitab dahulu telah menggunakan nama Allah seperti yang disebutkan dalam al-Quran hanyalah membabitkan kepercayaan ketauhidan Rububiyah (iaitu mempercayai bahawa adanya Tuhan), tanpa melibatkan Uluhiyah (percaya bahawa Allah tuhan yang satu dan hanya Dia yang layak disembah) dan Asma’ as-Sifat (sifat-sifat Allah yang layak untuk-Nya). Sedangkan penganut agama Islam meletakkan Allah ke dalam tiga-tiga perkata tersebut iaitu Rububiyah, Uluhiyah dan juga Asma’ Sifat.

Justeru, pengharaman menggunakan nama Allah oleh agama lain lebih mendatangkan kebaikan dalam konteks Malaysia berbanding membenarkannya. Tambahan, dalam kita ghairah menangani isu nama Allah ini, umat Islam seharusnya melengkapkan diri dengan kefahaman ilmu Islam yang mantap.

Kita tidak boleh selama-lamanya menggunakan undang-undang bagi mempertahankan nama Allah . Selagi mana kefahaman Islam dikalangan masyarakat Islam tidak mantap dan masih ada lompong-lompong kosong. Selagi itu umat Islam di Malaysia akan menghadapi masalah-masalah ini dan akan terus diuji dari semasa ke semasa.




WaAllahualam.

Ulasan ringkas dari,
Yussamir Yusof
Yayasan Pendidikan Islam al-Atsari,
Jogjakarta, Indonesia.





___________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

Monday, January 4, 2010

MENGKRITIK BUKAN UNTUK MENCELA


MENILAI DUA SISI PEMIKIRAN

Mungkin boleh saya katakan yang saya bersyukur kerana mendapat pendidikan dari dua sisi pemikiran yang berbeza. Berbanding rakan-rakan yang lain, saya telah didedahkan dengan pemikiran liberal, pluralism dan Falsafah melalui wacana-wacana dan juga bahan bacaan. Namun dalam masa yang sama, saya juga terdedah dan terbiasa dengan pemikiran Islam yang dimetodkan “Salaf” dalam menjalani kehidupan islami saya.

Menjadi sebuah kurnia juga, apabila kedua-dua jalan pemikiran ini mementingkan sumber dan rujukan untuk setiap perkara. Walaupun kedua-dua pemikiran ini sangat berbeza, malahan masing-masing berlepas diri dan memusuhi antara satu sama lain ia tetap menjadi rahmat kepada saya.



Perubahan sangat ketara apabila saya sampai di Jogjakarta. Terlalu asing bagi saya apabila pemikiran selain dari jalan fikir Islam bermetodkan “salaf” tidak dialu-alukan dalam membincangkan sesuatu perkara (hal ini berlaku juga di Malaysia). Permusuhan yang besar terhadap ilmu dan jalan fikir yang lain sehingga menafikan kebaikan yang ada pada jalan fikir tersebut, saya melihatnya sebuah kerugian yang besar.

Tatkala saya berbicara tentang Muhamaad Assad dan legasi pemikirannya, disamping mengetengahkan idea-idea Tariq Ramadhan dan Rasyad Khalifa. Seolah-olah saya mempromosi pemikiran yang sessat malahan batil dalam memahami Islam. Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa, penyakit memusuhi pemikiran-pemikiran ini telah banyak dijangkiti oleh mereka yang mengaku sebagai pembawa bendera al-Quran dan Sunnah, sama ada di Malaysia mahupun di Negara lain.

Kita semua mengakui bahawa metod dan jalan yang ditempuh para Salafusoleh adalah jalan yang paling benar dan utama. Tetapi salahkah untuk kita berbicara, membaca, dan mengambil sisi-sisi yang positif dari kalangan pemikir yang berbeza dari Salaf?


Saya pernah memberi analogi mengapa saya turut membaca karya-karya Liberalis dan Orientalis sebagai wacana pemikiran saya kepada rakan. Kata saya, “Salahkah kita untuk memahami pemikiran jalan-jalan orang yang menyalahi jalan para salafusoleh semata-mata untuk mencari jalan untuk membawa mereka ke jalan pemikiran yang benar? Misalnya anggota Polis. Sebagai Polis, mereka terpaksa untuk memahami dan belajar cara fikir penjenayah agar membolehkan mereka mematahkan setiap rancangan dan strategi penjenayah. Atas dasar itulah saya dan beberapa rakan lain, yang cuba memahami cara fikir mereka.”



JANGAN TAKLID

Ungkapan “Jangan bertaklid” sering bermain di bibir tetapi sejauh mana ungkapan tersebut berguna atau tidak, tidak ada siapa pun tahu. Persoalan ini timbul dan sering bermain di kepala saya, “Siapa yang taklid dan siapa yang tidak taklid?” Saya mengakui bahawa tidak ada manusia yang ma’sum dan sempurna selain Nabi Muhammad Shallahu-alaihi wasalam, sepertimana yang sering diungkapkan oleh ulama-ulama salaf, “Perkataan sesiapa pun boleh ditolak dan diterima, kecuali perkataan Rasulullah shallahu-alaihi wasalam”. Tetapi dalam masa yang sama sebagai “Tolabul Ilmi” dan pencinta ilmu, sedikit sebanyak tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada beberapa orang Ulama yang tidak selari dengan mereka, misalnya Dr Yusuf al-Qardhawi mengguriskan hati saya.

Ia bertambah lagi, apabila ada sebahagian rakan-rakan pengajian dan para Asatiz melihat akidah orang itu dan orang ini batil atas dasar beberapa kesalahan dan kesilapan. Apabila ditanya, mereka menjawab dengan membawa rujukan-rujukan dari Ulama yang sering mereka rujuki. Sedangkan mereka sendiri tidak pernah melihat dan membaca sendiri apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dan tulisan ulama tersebut sendiri. Adakah mereka sendiri bertaklid, kemudian bertaklid kepada taklid yang sudah ada?

Hal ini sesuai dengan syair yang pernah diucapkan oleh orang-orang arab apabila seseorang yang jahil mengkritik orang yang ‘alim.

“Dia berjalan ke timur, dan kamu berjalan ke barat, Sungguh amat jauh jarak antara timur dan barat.”


Kesanggupan saya membaca buku “Road to Mecca by Muhamad Assad”, “Hanya tuhan mengenal tenteranya by Khalid”, “Catatan harian Abdul Wahib”, “Western Muslims and the Future of Islam by Tariq Ramadhan”,“Quran, Hadith, And Islam by Rasyad Khalifa, “Khazanah Intelektual Islam by Nurcholis Majid” dan beberapa buah buku lain yang saya sudah lupa tajuknya,adalah semata-mata untuk melihat nilai ilmiah dalam buku tersebut telah membawa kesimpulan kepada saya. Bahawa banyak nilai-nilai ilmiah dan positif yang boleh diambil untuk percambahan idea dan wawasan pemikiran.

Manakala untuk Dr Yusuf al-Qardhawi pula saya juga menyanggupkan diri untuk membaca buku, “Pemikiran Dr Yusuf al-Qardahawi dalam Timbangan” dan Membongkar kedok al-Qardhawi” tetapi apa yang saya temui hanyalah celaan dan kritikan yang membuka aib seorang Ulama besar seperti beliau. Saya tertanya-tanya adakah orang yang menulis buku-buku ini sudah memberi hasil koreksi mereka kepada Alamah Yusuf al-Qardhawi? Malahan yang paling mengecewakan apabila ada seorang Ulama’ lain menggelar beliau sebagai anjing! Nauzubillah.

Al-Hafiz ibn Rajab al-Hanbali ketika mengomentari hal kritik dan celaan terhadap para ulama dalam kitabnya al-Farqu Baina an-Nashihah wat- Ta’yir berkata, “Barangsiapa yang diketahui bahawa kritikannya terhadap para ulama bertujuan untuk memburukkan, menghina, dan menampkakkan aib dan cacat seseorang ulama, maka dia harus mendapatkan teguran agar dia dan orang-orang sepertinya merasa insaf dari perlakuan yang haram ini.”

Saya mengakhiri kritikan ini dengan syair arab yang saya ambil dari buku “Syaikh Al-albani dihujat” oleh Ustaz Abu Ubaidah pada halaman 120 yang bermaksud:

“Lautan yang dalam tidak akan terganggu, Hanya kerana lemparan batu dari si anak kecil,”
“Walaupun seluruh makhluk melempari bintang, Lemparan itu tidak akan sampai ke bintang.”



KRITIKAN SEBAGAI SARANA

Semasa dijemput untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Kepimpinan Mahasiswa dari Perspektif Islam” di Sekolah Tinggi Kesihatan Madani Jogjakarta (Seperti kolej-kolej kejururawatan di Malaysia) antara tajuk ceramah saya ialah Kritikan dan Sarana.

Mungkin kritikan yang saya tulis ini seolah-olah saya memusuhi manhaj kesayangan saya ini. Tetapi ketahuilah, saya mengkritik kerana saya melihat kondisi para pembela dan pengikut manhaj Salaf terlalu selesa, sehingga mereka beranggapan bahawa tidak ada cacat cela pada diri mereka.

Sedangkan, mereka tidak sedar bahawa pendekatan mereka tidaklah sebaik mana para bid’ah yang menonjolkan akhlak mereka dengan akhlak Rasulullah. Sekali lagi saya tekankan bahawa, manhaj Salafusoleh adalah metod yang paling benar, tetapi mereka yang membawa dan mengikuti manhaj ini yang saya kritik.

Kritikan ini tertuju kepada pendekatan mereka dalam menyampaikan agama. Saya bersyukur kepada Allah kerana saya berkesempatan untuk merasai dan mengalami masa-masa agresif semasa mengikut manhaj mulia ini. Maksud saya di sini ialah, pendekatan yang agresif dalam mempromosikan sunnah di kalangan masyarakat awam kadangkala saya melihatnya terlalu mendesak. Saya katakana sebegini, kerana saya juga berada dalam golongan ini sewaktu masa dahulu.

Tetapi masa, pembacaan dan diskusi yang sering saya lakukan antara rakan-rakan dan mereka yang lebih berpengetahuan. Saya melihat desakan dan ketergesaan ini sebenarnya membawa lebih padah dari kebaikan. Tidakkah berhati-hati dan cermat itu lebih diutamakan dari tergopoh-gapah?

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam, “Bertenang-tenang itu dari Allah, dan tergesa-gesa itu dari Syaitan” (Hadith direkodkan Imam Tirmidzi dan beliau mengatakan bahawa hadith ini adalah hadith Hassan Gharib)

Mendidik masyarakat agar kembali kepada manhaj salafusoleh (berpegang kepada al-Quran dan Sunnah di atas kefahaman para salafusoleh) dalam beragama haruslah dengan beransur-ansur dan berhati-hati. Sikap ini lebih mendatangkan kebaikan dari keburukan. Hal ini juga pernah disentuh oleh al-Imam Yusuf al-Qardhawi, katanya, “Meraikan sunnah secara beransur ialah kita memerlukan objektif dalam perlaksanaan ini, dalam masa yang sama untuk mencapai objektif ini kita harus menggunakan cara yang halus dan berhati-hati.”

Kisah yang masyhur tentang masalah ini ialah peristiwa yang berlaku antara Khalifah rasyidin yang kelima iaitu Khalifah Umar ibnu Aziz dan anakandanya Abdul al-Malik. Selepas menyerahkan jawatan Khalifah kepada anakandanya iaitu Abdul al-Malik. Anaknya itu telah menghapuskan kezaliman, kerosakan dan penyelewengan sekaligus, tetapi menjadi masalahnya ialah tindakan beliau tidak mengambil sikap berhati-hati dan berfikir panjang impaknya pada masa hadapan.

Melihat keputusan dan tindakan drastik anaknya, Umar Ibnu Aziz berkata kepada Abdul al-Malik, “Jangan tergesa-gesa anakku. Sesungguhnya Allah telah mencela arak di dalam al-Quran sebanyak dua kali, dan kali ketiga barulah Allah mengharamkannya. Sebenarnya aku bimbang jika aku memaksa orang ramai supaya mengikuti kebenaran secara drastik, tapi akhirnya mereka meninggalkannya pula secara drastik, dan ini pasti akan menimbulkan fitnah yang besar kepada agama kita.”


Begitulah sikap yang harus diteladani dari kisah di atas. Para pendokong Sunnah di atas manhaj Salaf harus memuhasabah diri, dan mempelajari bagaimana para pembuat bid’ah dan Sufi sesat berakhlak. Saya tidak katakan yang saya membenarkan para pembuat bid’ah dan para Sufi sesat, tetapi yang saya sarankan ialah ambillah nilai sisi positif yang ada pada mereka iaitu cara mereka melayan, bercakap, dan bertelorenasi.

Tetapi secara prinsipnya, akhlak yang harus kita teladani ialah dari diri Rasulullah sendiri sepertimana firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21, “Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik”



MERASAI NIKMAT MENGAMALKAN SUNNAH

Walaupun saya melihat beberapa keburukan kepada mereka yang hanya membaca dan mempelajari satu pemikiran. Tetapi kebaikan dan manfaat yang saya perolehi dari mengikuti manhaj Salaf sangat besar dan tak terhingga. Terlalu banyak manfaat dan kebaikan yang saya pelajari, dan semakin bertambah pula kefahaman saya terhadap al-Quran dan Sunnah di atas kefahaman salafusoleh.

Saya mengucapkan syukur tak terhingga kepada orang yang mula-mula memperkenalkan saya kepada pemikiran tulen yang bersumberkan dari Rasulullah ini. Namun dari sudut yang lain, saya sentiasa bersikap kritis dan akan sentiasa mengkritik mana-mana yang perlu demi kelansungan dakwah manhaj salafusoleh ini.

Saya menyarankan kepada semua pendokong sunnah agar terbuka dan sentiasa memberi kebebasan untuk berwacana dengan wacana yang berbeza. Malahan sentiasa terbuka untuk mengkaji pemikiran lain, dan menghormati pemikiran-pemikiran yang diluar dari kerangkan pemikiran salafusoleh. Menghormati tidak bererti kita membenarkan, tetapi menghormati mereka dengan cara menghujat mereka berdasarkan hujah-hujah ilmiah, insyaAllah.

Moga Allah sentiasa memberi kita ruang dan peluang untuk terus berkhidmat sebagai khalifah Allah dan seterusnya menjadi penyambung kepada perjuangan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam.

Saya mengkritik PEMBAWA manhaj Salaf bukan Manhaj Salaf. Rencana ini juga terbuka untuk kritikan. Kerana rencana ini adalah dari pemerhatian dan pengalaman penulis selama 4 tahun membawa manhaj Salaf.



Salam kritik dan saran,
Yussamir Yusof
Yayasan Pendidikan Islam al-Atsari,
Jogjakarta Indonesia.




____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com