Monday, January 4, 2010

MENGKRITIK BUKAN UNTUK MENCELA


MENILAI DUA SISI PEMIKIRAN

Mungkin boleh saya katakan yang saya bersyukur kerana mendapat pendidikan dari dua sisi pemikiran yang berbeza. Berbanding rakan-rakan yang lain, saya telah didedahkan dengan pemikiran liberal, pluralism dan Falsafah melalui wacana-wacana dan juga bahan bacaan. Namun dalam masa yang sama, saya juga terdedah dan terbiasa dengan pemikiran Islam yang dimetodkan “Salaf” dalam menjalani kehidupan islami saya.

Menjadi sebuah kurnia juga, apabila kedua-dua jalan pemikiran ini mementingkan sumber dan rujukan untuk setiap perkara. Walaupun kedua-dua pemikiran ini sangat berbeza, malahan masing-masing berlepas diri dan memusuhi antara satu sama lain ia tetap menjadi rahmat kepada saya.



Perubahan sangat ketara apabila saya sampai di Jogjakarta. Terlalu asing bagi saya apabila pemikiran selain dari jalan fikir Islam bermetodkan “salaf” tidak dialu-alukan dalam membincangkan sesuatu perkara (hal ini berlaku juga di Malaysia). Permusuhan yang besar terhadap ilmu dan jalan fikir yang lain sehingga menafikan kebaikan yang ada pada jalan fikir tersebut, saya melihatnya sebuah kerugian yang besar.

Tatkala saya berbicara tentang Muhamaad Assad dan legasi pemikirannya, disamping mengetengahkan idea-idea Tariq Ramadhan dan Rasyad Khalifa. Seolah-olah saya mempromosi pemikiran yang sessat malahan batil dalam memahami Islam. Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa, penyakit memusuhi pemikiran-pemikiran ini telah banyak dijangkiti oleh mereka yang mengaku sebagai pembawa bendera al-Quran dan Sunnah, sama ada di Malaysia mahupun di Negara lain.

Kita semua mengakui bahawa metod dan jalan yang ditempuh para Salafusoleh adalah jalan yang paling benar dan utama. Tetapi salahkah untuk kita berbicara, membaca, dan mengambil sisi-sisi yang positif dari kalangan pemikir yang berbeza dari Salaf?


Saya pernah memberi analogi mengapa saya turut membaca karya-karya Liberalis dan Orientalis sebagai wacana pemikiran saya kepada rakan. Kata saya, “Salahkah kita untuk memahami pemikiran jalan-jalan orang yang menyalahi jalan para salafusoleh semata-mata untuk mencari jalan untuk membawa mereka ke jalan pemikiran yang benar? Misalnya anggota Polis. Sebagai Polis, mereka terpaksa untuk memahami dan belajar cara fikir penjenayah agar membolehkan mereka mematahkan setiap rancangan dan strategi penjenayah. Atas dasar itulah saya dan beberapa rakan lain, yang cuba memahami cara fikir mereka.”



JANGAN TAKLID

Ungkapan “Jangan bertaklid” sering bermain di bibir tetapi sejauh mana ungkapan tersebut berguna atau tidak, tidak ada siapa pun tahu. Persoalan ini timbul dan sering bermain di kepala saya, “Siapa yang taklid dan siapa yang tidak taklid?” Saya mengakui bahawa tidak ada manusia yang ma’sum dan sempurna selain Nabi Muhammad Shallahu-alaihi wasalam, sepertimana yang sering diungkapkan oleh ulama-ulama salaf, “Perkataan sesiapa pun boleh ditolak dan diterima, kecuali perkataan Rasulullah shallahu-alaihi wasalam”. Tetapi dalam masa yang sama sebagai “Tolabul Ilmi” dan pencinta ilmu, sedikit sebanyak tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada beberapa orang Ulama yang tidak selari dengan mereka, misalnya Dr Yusuf al-Qardhawi mengguriskan hati saya.

Ia bertambah lagi, apabila ada sebahagian rakan-rakan pengajian dan para Asatiz melihat akidah orang itu dan orang ini batil atas dasar beberapa kesalahan dan kesilapan. Apabila ditanya, mereka menjawab dengan membawa rujukan-rujukan dari Ulama yang sering mereka rujuki. Sedangkan mereka sendiri tidak pernah melihat dan membaca sendiri apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dan tulisan ulama tersebut sendiri. Adakah mereka sendiri bertaklid, kemudian bertaklid kepada taklid yang sudah ada?

Hal ini sesuai dengan syair yang pernah diucapkan oleh orang-orang arab apabila seseorang yang jahil mengkritik orang yang ‘alim.

“Dia berjalan ke timur, dan kamu berjalan ke barat, Sungguh amat jauh jarak antara timur dan barat.”


Kesanggupan saya membaca buku “Road to Mecca by Muhamad Assad”, “Hanya tuhan mengenal tenteranya by Khalid”, “Catatan harian Abdul Wahib”, “Western Muslims and the Future of Islam by Tariq Ramadhan”,“Quran, Hadith, And Islam by Rasyad Khalifa, “Khazanah Intelektual Islam by Nurcholis Majid” dan beberapa buah buku lain yang saya sudah lupa tajuknya,adalah semata-mata untuk melihat nilai ilmiah dalam buku tersebut telah membawa kesimpulan kepada saya. Bahawa banyak nilai-nilai ilmiah dan positif yang boleh diambil untuk percambahan idea dan wawasan pemikiran.

Manakala untuk Dr Yusuf al-Qardhawi pula saya juga menyanggupkan diri untuk membaca buku, “Pemikiran Dr Yusuf al-Qardahawi dalam Timbangan” dan Membongkar kedok al-Qardhawi” tetapi apa yang saya temui hanyalah celaan dan kritikan yang membuka aib seorang Ulama besar seperti beliau. Saya tertanya-tanya adakah orang yang menulis buku-buku ini sudah memberi hasil koreksi mereka kepada Alamah Yusuf al-Qardhawi? Malahan yang paling mengecewakan apabila ada seorang Ulama’ lain menggelar beliau sebagai anjing! Nauzubillah.

Al-Hafiz ibn Rajab al-Hanbali ketika mengomentari hal kritik dan celaan terhadap para ulama dalam kitabnya al-Farqu Baina an-Nashihah wat- Ta’yir berkata, “Barangsiapa yang diketahui bahawa kritikannya terhadap para ulama bertujuan untuk memburukkan, menghina, dan menampkakkan aib dan cacat seseorang ulama, maka dia harus mendapatkan teguran agar dia dan orang-orang sepertinya merasa insaf dari perlakuan yang haram ini.”

Saya mengakhiri kritikan ini dengan syair arab yang saya ambil dari buku “Syaikh Al-albani dihujat” oleh Ustaz Abu Ubaidah pada halaman 120 yang bermaksud:

“Lautan yang dalam tidak akan terganggu, Hanya kerana lemparan batu dari si anak kecil,”
“Walaupun seluruh makhluk melempari bintang, Lemparan itu tidak akan sampai ke bintang.”



KRITIKAN SEBAGAI SARANA

Semasa dijemput untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Kepimpinan Mahasiswa dari Perspektif Islam” di Sekolah Tinggi Kesihatan Madani Jogjakarta (Seperti kolej-kolej kejururawatan di Malaysia) antara tajuk ceramah saya ialah Kritikan dan Sarana.

Mungkin kritikan yang saya tulis ini seolah-olah saya memusuhi manhaj kesayangan saya ini. Tetapi ketahuilah, saya mengkritik kerana saya melihat kondisi para pembela dan pengikut manhaj Salaf terlalu selesa, sehingga mereka beranggapan bahawa tidak ada cacat cela pada diri mereka.

Sedangkan, mereka tidak sedar bahawa pendekatan mereka tidaklah sebaik mana para bid’ah yang menonjolkan akhlak mereka dengan akhlak Rasulullah. Sekali lagi saya tekankan bahawa, manhaj Salafusoleh adalah metod yang paling benar, tetapi mereka yang membawa dan mengikuti manhaj ini yang saya kritik.

Kritikan ini tertuju kepada pendekatan mereka dalam menyampaikan agama. Saya bersyukur kepada Allah kerana saya berkesempatan untuk merasai dan mengalami masa-masa agresif semasa mengikut manhaj mulia ini. Maksud saya di sini ialah, pendekatan yang agresif dalam mempromosikan sunnah di kalangan masyarakat awam kadangkala saya melihatnya terlalu mendesak. Saya katakana sebegini, kerana saya juga berada dalam golongan ini sewaktu masa dahulu.

Tetapi masa, pembacaan dan diskusi yang sering saya lakukan antara rakan-rakan dan mereka yang lebih berpengetahuan. Saya melihat desakan dan ketergesaan ini sebenarnya membawa lebih padah dari kebaikan. Tidakkah berhati-hati dan cermat itu lebih diutamakan dari tergopoh-gapah?

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam, “Bertenang-tenang itu dari Allah, dan tergesa-gesa itu dari Syaitan” (Hadith direkodkan Imam Tirmidzi dan beliau mengatakan bahawa hadith ini adalah hadith Hassan Gharib)

Mendidik masyarakat agar kembali kepada manhaj salafusoleh (berpegang kepada al-Quran dan Sunnah di atas kefahaman para salafusoleh) dalam beragama haruslah dengan beransur-ansur dan berhati-hati. Sikap ini lebih mendatangkan kebaikan dari keburukan. Hal ini juga pernah disentuh oleh al-Imam Yusuf al-Qardhawi, katanya, “Meraikan sunnah secara beransur ialah kita memerlukan objektif dalam perlaksanaan ini, dalam masa yang sama untuk mencapai objektif ini kita harus menggunakan cara yang halus dan berhati-hati.”

Kisah yang masyhur tentang masalah ini ialah peristiwa yang berlaku antara Khalifah rasyidin yang kelima iaitu Khalifah Umar ibnu Aziz dan anakandanya Abdul al-Malik. Selepas menyerahkan jawatan Khalifah kepada anakandanya iaitu Abdul al-Malik. Anaknya itu telah menghapuskan kezaliman, kerosakan dan penyelewengan sekaligus, tetapi menjadi masalahnya ialah tindakan beliau tidak mengambil sikap berhati-hati dan berfikir panjang impaknya pada masa hadapan.

Melihat keputusan dan tindakan drastik anaknya, Umar Ibnu Aziz berkata kepada Abdul al-Malik, “Jangan tergesa-gesa anakku. Sesungguhnya Allah telah mencela arak di dalam al-Quran sebanyak dua kali, dan kali ketiga barulah Allah mengharamkannya. Sebenarnya aku bimbang jika aku memaksa orang ramai supaya mengikuti kebenaran secara drastik, tapi akhirnya mereka meninggalkannya pula secara drastik, dan ini pasti akan menimbulkan fitnah yang besar kepada agama kita.”


Begitulah sikap yang harus diteladani dari kisah di atas. Para pendokong Sunnah di atas manhaj Salaf harus memuhasabah diri, dan mempelajari bagaimana para pembuat bid’ah dan Sufi sesat berakhlak. Saya tidak katakan yang saya membenarkan para pembuat bid’ah dan para Sufi sesat, tetapi yang saya sarankan ialah ambillah nilai sisi positif yang ada pada mereka iaitu cara mereka melayan, bercakap, dan bertelorenasi.

Tetapi secara prinsipnya, akhlak yang harus kita teladani ialah dari diri Rasulullah sendiri sepertimana firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21, “Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik”



MERASAI NIKMAT MENGAMALKAN SUNNAH

Walaupun saya melihat beberapa keburukan kepada mereka yang hanya membaca dan mempelajari satu pemikiran. Tetapi kebaikan dan manfaat yang saya perolehi dari mengikuti manhaj Salaf sangat besar dan tak terhingga. Terlalu banyak manfaat dan kebaikan yang saya pelajari, dan semakin bertambah pula kefahaman saya terhadap al-Quran dan Sunnah di atas kefahaman salafusoleh.

Saya mengucapkan syukur tak terhingga kepada orang yang mula-mula memperkenalkan saya kepada pemikiran tulen yang bersumberkan dari Rasulullah ini. Namun dari sudut yang lain, saya sentiasa bersikap kritis dan akan sentiasa mengkritik mana-mana yang perlu demi kelansungan dakwah manhaj salafusoleh ini.

Saya menyarankan kepada semua pendokong sunnah agar terbuka dan sentiasa memberi kebebasan untuk berwacana dengan wacana yang berbeza. Malahan sentiasa terbuka untuk mengkaji pemikiran lain, dan menghormati pemikiran-pemikiran yang diluar dari kerangkan pemikiran salafusoleh. Menghormati tidak bererti kita membenarkan, tetapi menghormati mereka dengan cara menghujat mereka berdasarkan hujah-hujah ilmiah, insyaAllah.

Moga Allah sentiasa memberi kita ruang dan peluang untuk terus berkhidmat sebagai khalifah Allah dan seterusnya menjadi penyambung kepada perjuangan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam.

Saya mengkritik PEMBAWA manhaj Salaf bukan Manhaj Salaf. Rencana ini juga terbuka untuk kritikan. Kerana rencana ini adalah dari pemerhatian dan pengalaman penulis selama 4 tahun membawa manhaj Salaf.



Salam kritik dan saran,
Yussamir Yusof
Yayasan Pendidikan Islam al-Atsari,
Jogjakarta Indonesia.




____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

2 comments:

  1. Assalamualaikum...

    Saya rasa penggunaan istilah salaf tidak tepat kerana salafi itu nisbah kepada generasi yang berada pada 3 kurun yang pertama..

    Adapun bagi mereka yang mendakwa mengikut salaf disebut sebagai salafiyyah..

    Perbezaan ini perlu difahami supaya kita dapat membezakan siapa salaf dan siapa salafiyyah..

    Ini basic di dalam pengajian ilmu bahasa arab..bagaimana kita yang mendakwa ingin memahami Al-Quran dan Al-Hadis secara terus tidak dapat memahami basic bahasa arab sebegini..amat memalukan..ibarat tidak mengukur baju di badan sendiri..

    Komen saya bukan bertujuan mencela tetapi mengkritik seperti tajuk artikel saudara..

    ReplyDelete
  2. Waalaikumusalam..

    Pengistilahan Salaf terbahagi kepada Dua, iaitu Salaf Tarikhiy dan salaf Manhajiy. APa yang saya sebutkan di sini ialah Salaf Manhajiy.

    Syeikh Muhammad al-Kaafaajiy berkata, "Membatasi makna salaf hanya berdasarkan zaman yang telah lampau sahaja belum memadai, tetapi selain faktor masa juga mestilah pendapatannya sesuai dengan roh al-Quran dan as-sunnah. Oleh itu jika pendapatnya bercanggah dengan semangat al-Quran dan as-Sunnah maka ia tidak layak dikatakan Salafiy walaupun ia hidpup pada zaman sahabat, tabieen, dan al-taba'a tabien" (al-Aqidah al-Islamiyah bain al-Salafiyah wa al-Mu'tazilah)


    WaAllahualam.

    ReplyDelete