Kepadatan kelas-kelas pengajian serta keterbatasan waktu, membuatkan penulis dan rakan-rakan tidak sempat untuk meneroka bandar Jogjakarta. Semakin hari semakin kuat hati kami untuk melihat sendiri keindahan dan kepelbagai yang ada di bandar istimewa Indonesia ini. Lebih-lebih lagi apabila penduduk tempatan yang kami kenali sering menceritakan keindahan dan keunikan yang boleh dirasai.
Negeri ini istimewa di hati masyarakat Indonesia kerana negeri ini hanya satu-satunya masih lagi diperintah oleh seorang Sultan. Walaupun begitu, negeri ini tetap di bawah kelolaan dan jagaan kerajaan Negera Indonesia. Sultannya bertugas seperti gabenor-gabenor lain yang terdapat di negeri-ngeri lain Indonesia.
Alhamdulilah, hasrat kami untuk berjalan-jalan serta menikmati keunikan Jogjakarta tertunai. Kami dibawa ke Bandar Jogjakarta, dan destinasi awal kami ialah Malioboro. Malioboro adalah nadi ekonomi bagi negeri Jogjakarta malahan tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Malioboro adalah sebuah bandar yang serba-serbinya ada.
Kawasan ini berdekatan dengan rumah Sultan ataupun lebih dikenali dengan panggilan Keraton. Iaitu sebuah istana hinggap Sultan sejak turun-temurun. Menurut informasi yang penulis terima, Sultan yang memerintah sekarang adalah Sultan yang ke-10.
Perjalanan kami menaiki kereta dari Pogung Dalangan ke Malioboro mengambil masa 25 minit, tetapi itupun tidak menentu. Jika jalan raya sesak, kebiasaannya ia akan mengambil masa lebih dari sejam untuk sampai. Seperti bandar-bandar Indonesia lain yang pernah saya berkunjung, kesesakan jalan rayanya sama sahaja. Cumanya, di Jogjakarta penduduknya lebih ramai menggunakan motor dari kereta.
Masuk sahaja di kawasan Malioboro, kami merasakan seolah-olah berada di petaling street. Cuma yang membezakannya Malioboro lebih besar dan terlalu padat dengan orang ramai dan para peniaga. Kepada yang suka mencuba sesuatu yang baru, di kawasan ini juga ada menyediakan perkhidmatan menaiki kereta kuda dan beca. Selain gelaran kota Motor, Jogjakarta juga terkenal dengan jolokan Bandar Beca. Menurut penduduk tempatan yang penulis sempat berborak, kebiasaannya harga yang dikenakan untuk setiap kali menaikinya adalah sekitar 10 hingga 50 ribu rupiah (3 hingga 20 ringgit Malaysia).
Dari barangan pakaian, makanan sehinggalah kepada barangan kulit semuanya ada di Malioboro. Bagi yang menginginkan pakaian busana Muslim atau Muslimah, di sini juga menyediakan berbagai corak dan bentuk. Harganya pula sangat berpendapatan dan berbaloi berbanding di tempat lain.
Kepada mereka yang suka makan, di sini juga terdapat jenis makanan. Sama ada makanan eksotik mahupun makanan istimewa Jogjakarta. Kedai-kedai makan di sini sangat banyak, oleh itu para pengunjung mempunyai pilihan mengikut selera masing-masing. Antara makanan istimewa Jogjakarta ialah pecel lele goring ataupun di Malaysia dikenali sebagai ikan keli goring.
Minuman istimewa ialah kopi joes, kopi panas yang diisi dengan arang yang masih berbara. Kopi ini dipanggil Kopi Joes kerana apabila arang yang berbara dimasukkan kedalam air kopi ia akan berbunyi joesss. Pada mulanya penulis juga berasa pelik, tetapi setelah merasa kopi tersebut baru penulis sedar yang kopi tersebut sangat enak dan istimewa. Kebiasaannya ramai yang membeli kopi joes selepas maghrib, dan kadang-kala terpaksa beratur panjang semata-mata untuk membeli kopi tersebut.
Baju batik ataupun kain-kain ela lebih mudah didapati di pasar Peringharjo. Pasar ini terletak tidak jauh dari kawasan Malioboro, sekitar 5 minit dari situ. Pasar ini menyediakan pelbagai jenis pakaian batik, kain ela dan juga telekung serta baju-baju Muslimah. Pasar yang mempunyai dua tingkat ini, setiap hari penuh dengan pengunjung. Berhati-hati ketika membeli belah di sini, pastikan bag dan dompet sentiasa berada bersama dengan anda. Namun selama sebulan penulis berada di Jogjakarta, tidak ada kejadian yang buruk berlaku. Malahan penulis selesa dan bertambah suka dengan orang-orang Jogjakarta yang dikenali dengan budi bahasanya yang lembut.
Tidak puas dengan berjalan dan membeli-belah di Malioboro, kami meminta pemandu yang membawa kami ke Candi Borubudur. Sebuah tinggalan sejarah agama Hindu beratus-ratus tahun dahulu yang pernah menjadi agama paling besar di Indonesia.
“Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu, adalah seperti air (hujan) yang Kami turunkan dan langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya karena air itu tanam-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya, dan pemilik-permliknya mengira bahwa mereka pasti menguasasinya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan (tanam-tanamannya) laksana tanam-tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kemarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang berfikir.” (Surah Yunus ayat 24)
Orang-orang Hindu yang pernah membina Candi Borobudur ini di atas perintah raja satu ketika dahulu menyangka bahawa Indonesia akan terus menerus menjadikan agama Hindu sebagai pegangan mereka. Tetapi sangkaan mereka tidak tepat, kerana selepas melalaui zaman yang panjang, agama Islam menapak dan seterusnya menjadi pegangan agama yang majoriti di Indonesia. Candi ini hanyalah tinggalan sejarah sebagai peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang mahu berfikir seperti firman Allah di atas.
Penulis dan rakan-rakan mendaki tangga-tangga yang disediakan sehingga ke tingkat atas candi. Keadaan di Candi penuh dengan orang ramai, kerana hari itu adalah hari cuti umum Indonesia. Tiket untuk memasuki candi ini berbeza mengikut kewarganegaraan. Jika warganegara Indonesia, harganya hanyalah 22500 rupiah Indonesia sekitar 10 ringgit Malaysia. Tetapi bagi pengunjung dari luar Negara, mereka dikenakan 12 Dollar Amerika bersamaan dengan 50 Ringgit Malaysia.
Setelah berpanas dan mengunjung muzium yang turut ada di sekitar candi, kami meneruskan perjalanan ke kedai buku yang terletak di jalan Kaliurang berdekatan dengan tempat tinggal kami sebagai destinasi terakhir sebelum menyambung perjalanan pada hari lain. Kedai buku di sini menawarkan harga yang cukup murah dan berbaloi.
Penulis sempat berkunjung di Toko Buku Sarana Hidayah dan juga Toko Buku Ihya. Kedua-dua kedai buku ini menyediakan pelbagai tajuk buku-buku agama. Sebut apa sahaja, anda akan menemuinya dengan kadar harga yang amat berpatutan. Misalnya buku Ahkamul Sulaniyah karangan al-Mawardi ulama besar dalam bidang kepolitikan, hanyalah sekitar 20 ringgit berbanding di Malaysia berharga 75 ringgit yang pernah penulis ketemu. Penulis juga tidak melepaskan peluang dengan memborong buku-buku di situ.
Kali kedua ‘misi’ berjalan-jalan, kami memulakan perjalanan kami ke Jamil ar-Rahman sebuah pesantren yang terletak di daerah Bantul kira-kira 30 minit perjalanan. Kebetulan di pesantren tersebut terdapat ceramah agama perdana yang disampaikan oleh Ustaz Amir Hakim bin Abdat seorang ulama Salaf di Indonesia. Ceramah yang berbicarakan tentang kepentingan mengetahui ilmu-ilmu muamalat sebelum berniaga itu, didengari hampir 500 orang.
Di Jogjakarta dakwah Salaf sangat berkembang pesat, malahan pesantren-pesantren Salaf juga sangat banyak. Penulis sempat berkunjung dua buah pesantren Salaf, iaitu Pesantren Ibn Bazz dan juga Pesantren Jamil ar-Rahman. Biaya untuk belajar di pesantren-pesantren ini mengikut kata seorang kenalan penulis, sangatlah murah dan berpatutan. Kebanyakan sumber pendapatan pesantren datang dari aktiviti ekonomi mereka serta bantuan-bantuan dari orang-orang kaya yang bermurah hati untuk membantu.
Usai mendengar ceramah kami dibawa makan di restoran ayam Surihati yang popular dengan masakan ayam goreng keremes. Makan tengahari kami pada hari itu dibiaya seorang usahawan jutawan Islam yang bernama Pak Andy. Kami tiba di restoran lewat 10 minit dari waktu yang dijanjikan. Tetapi Pak Andy sabar menunggu dan meraikan kehadiran kami dengan senyuman.
Pak Andy adalah seorang pengedar Aiskrim Walls di seluruh Jogjakarta, dan juga terlibat dalam industri minyak Indonesia. Yang membuatkan Pak Andy dari usahawan dan jutawan lain ialah berbeza ialah perwatakan dan kerendahan hatinya. Apabila bercakap, beliau seringkali mengingatkan kami bahawa seluruh kekayaaan adalah milik Allah.
“Kekayaan hanyalah ujian pada manusia, jika sesiapa yang dapat mengawal kekayaan dengan keimanan, maka Allah akan menambahkan lagi rezeki kepadanya.” Ujar Pak Andy kepada penulis dan rakan-rakan yang lain.
Selepas kenyang makan ayam goreng kremes, kami menuju ke Mediu cawangan Jogjakarta. Menjenguk sebentar susun atur pusat pembelajaran online tersebut dan juga bilik radio Muslim yang beroperasi secara percuma.
Kemudian, kami dibawa Pak Andy untuk melawat ke kilang Aiskrimnya. Sampai sahaja di kilangnya, para pekerja Pak Andy sudah sedia menanti mengalu-alukan kedatangan kami. Bagaikan ‘orang besar’ kami dilayan sungguhpun kami hanyalah kenalan sekuliah agama sahaja. Terlupa untuk penulis beritahu bagaimana kami boleh berkenalan. Perkenalan kami bermula di masjid semasa mendengar kuliah agama di masjid al-Hasannah.
Pada mulanya kami tidak menyangka yang beliau adalah seorang tokoh usahawan Muslim yang sering mendapat pengiktirafan kerajaan Indonesia. Pakaian beliau biasa-biasa sahaja, malahan cara pergaulan beliau yang ramah serta sangat tawaduk sangat menarik perhatian kami. Akhirnya kami dapat tahu siapa sebenarnya beliau selepas diberitahu oleh salah seorang wakil al-Atsari – pusat pendidikan tempat penulis belajar bahasa arab dan hadith secara intensif di Jogjakarta. Selepas dari pertemuan tersebut, kami sering bertemu dan sehinggalah kami dijemput untuk makan tengahari bersama dan melawat kilang Aiskrim beliau.
Sepanjang kunjungan penulis ke Jogjakarta, sempat juga penulis berkongsi idea dan pengalaman bersama para pelajar perubatan di Sekolah Tinggi Kesihatan al-Madani Jogjakarta (setaraf Kolej swasta di Malysia). Itupun secara kebetulan selepas seorang dari jawatan kuasa Sekolah Tinggi tersebut mengenali rakan penulis dan beliau meminta salah seorang dari kami untuk memberikan sedikit perkongsian untuk para pelajar sekolah tersebut.
Selain dari keunikan dan keistimewaan yang ada pada Jogjakarta, para penduduknya yang ramah serta bersopan-santun membuatkan hati penulis tertawan dan bertambah sayang. Tanggapan awal yang buruk terhadap keadaan dan perangai orang-orang Jogjakarta sama sekali terhakis dan hanya kenangan-kenangan yang baik masih terukir di hati dan perasaan.
Selain tanggapan buruk terhadap masyarakat, sebelum datang ke sini penulis ada persepsi tidak baik terhadap keadaan dan sistem pendidikan di tempat yang penulis akan belajar nanti. Misalnya keadaan tempat belajar yang kotor, kekurangan air untuk mandi, tempat tinggal yang kecil dan berbagai lagi. Moga Allah mengampunkan kami yang bersangka-sangka tidak baik.
Firman Allah, “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain.” (Surah al-Hujrat ayat 12)
Tetapi akhirnya, selepas datang dan melihat sendiri, barulah persepsi dan tanggapan buruk hilang. Kami ditempatkan di bilik besar yang dilengkapi dengan bilik air, bersebelahan dengan sawah, berdekatan dengan masjid, mudah mendapat makanan dan dikeliling dengan orang-orang yang sangat baik hati dan peramah. Yayasan yang menguruskan tempat tinggal dan pembelajaran kami iaitu Yayasan Pendidikan Islam al-Atsari sangat professional dan amat mengambil berat terhadap kami.
Oh, tidak mungkin saya akan mencatatkan keseluruhan pengalaman saya ke Jogjakarta. InsyaAllah saya sedang berusaha untuk belajar menulis Travelog dengan lebih tersusun dan menarik. Mungkin akan ada catatan seterusnya. InsyaAllah.
Terima kasih dan moga Allah membalas jasa kalian.
____________________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2009)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.
"memperkasakan paradigma"
Yussamir Yusof @ www.yussamir.com
No comments:
Post a Comment