Tuesday, January 19, 2010

APABILA SI KERA MEMBAIKI LABU

“Kera tolong betulkan labu ini.” Pinta kura-kura kepada si Kera.

Si Kera menggaru-garu kepalanya, sedang ligat berfikit cara bagaimana untuk membetulkan labu yang ada didepannya itu. Kura-kura masih sabar menanti, dia berharap dengan adanya pertolongan si Kera labunya pasti akan pulih.

“Baiklah, labu kau pasti akan lebih baik dari sebelumnya.” Jawab Si Kera bangga dan bersemengat.


Bermulalah proses membaik pulih labu, Si Kera ke kanan dan ke kiri membaiki labu tersebut. Kejap-kejap dia berhenti, kemudian pusing sana-sini sambil menggaru kepalanya.

“Kau tahu ke membaiki baiki?” Soal kura-kura yang mula timbul syak terhadap kebolehan Si Kera membaiki labu.

Si Kera mengangguk keras, mengiyakan pertanyaan kura-kura.

“Aku tahulah apa yang aku buat, kalau tidak mengapa aku tolong kau baiki labu ini. Sebentar lagi, kau lihatlah.” Jawab Kera dengan keras. Dia tersinggung dengan pertanyaan kura-kura, sedangkan dia yakin yang dia boleh membaikinya.

Tetapi setelah usik sana-sini, Kera mula kebingungan. Kejap dia duduk, kejap dia diri. Labu pula semakin hancur, tidak ada rupa yang akan baik malah akan bertambah rosak.

Kura-kura mula tidak berasa senang, dia mengsyaki sesuatu.

“Sebenarnya kau tahu atau tidak membaiki labu?” Jerit Si Kura-kura kepada Kera. Kura-kura tidak dapat menahan amarahnya kemudian merampas kembali labu daripada Kera.

“Err… Aku tak tahu sebenarnya nak baiki.” Jawab Si Kera terketar-ketar.

“Kalau tak tahu kenapa kau nak buat?” Tanya Kura-kura tidak puas hati.

“Kan membantu rakan itu adalah perkara baik. Boleh dapat pahala.”


“Memanglah baik dapat pahala kalau tolong kawan. Tapi kalau nak buat kerja baik sekalipun, kau kena ada pengetahuan. Bukan main buat sahaja. Apa yang kau buat ini bukannya bertambah pahala, tetapi menambah dosa. Sudahlah tidak ada pengetahuan, tapi pandai-pandai nak buat.” Marah sangat Kura-kura sehingga dia tidak beri muka kepada Si Kera. Kura-kura lantas meninggalkan Si Kera seorang diri.



REALITINYA KINI

Kisah ini sebenarnya mengingatkan kita bahawa sesebuah amalan itu jika tidak disertakan dengan ilmu pengetahuan, maka ia akan menjadi teruk dan sia-sia. Oleh sebab itu kita sering mendengar berbagai peribahasa dan pepatah tentang pentingnya ilmu pengetahuan sebelum melaksanakan apa-apa tindakan.

Salah satu ungkapan masyhur dari Khalifah Umar Ibn Aziz ketika membicarakan tentang Ilmu sebelum amal ialah, “Barangsiapa yang beribadah kepada Allah tanpa ilmu, maka dia akan membuat banyak kerosakan daripada mendatangkan kebaikan.” (Al Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Mungkar, hal. 15)

Bahkan Imam Bukhari dalam kitab Sahih Bukharinya turut memuatkan sebuah bab yang bertajuk Al ‘Ilmu Qoblal Qouli Wal ‘Amali (Ilmu Sebelum Berkata dan Berbuat) bagi menunjukkan betapa pentingnya ilmu sebelum beramal. Perkataan beliau ini merupakan kesimpulan yang diambil dari firman Allah ta’ala, “Maka ilmuilah (ketahuilah)! Bahwasanya tiada sesembahan yang berhak disembah selain Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu.” (Surah Muhammad ayat 19)

Kejadian membakar gereja dan merosakkannya juga adalah salah satu tindakan manusia yang tidak berilmu. Kekuatan dan semangat yang menyala-nyala tidak berguna jika tidak didahului dengan ilmu yang sebenarnya adalah tunjang kewarasan seseorang. Seseorang yang beriman kepada Allah dan Rasul tidak akan sesekali melakukan tindakan sedemikian. Kerana Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk bertindak ganas dan kasar, lebih-lebih lagi orang-orang bukan Islam yang ada di Malaysia ini dilindungi hak dan darah mereka.

Menimbulkan keresahan dan kurang senang terhadap masyarakat juga adalah salah satu perkara yang dilarang dalam Islam. Malahan ia dikecam oleh Rasulullah dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari.

Dari Abu Syuraih radhia-Allah anhu bahawa Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam bersabda, “Demi Allah, seseorang tidak beriman; demi Allah, seseorang tidak beriman; demi Allah, seseorang tidak beriman.” Ada yang bertanya, “Siapa itu, Ya Rasulallah?” Jawab Nabi, “Iaitu orang yang tetangganya tidak aman dari gangguannya.”


Kemudian Imam Bukhari menjelaskan bahawa perkataan gangguan yang disebutkan oleh Rasulullah itu adalah bencana, pencurian, kejahatan, serta hal-hal yang membahayakan yang menjadi pelampiasan kebenciannya.

Jiran tetangga yang disebutkan dalam hadit ini adalah bersifat umum. Tidak terhad kepada orang Islam sahaja, malahan termasuk orang-orang bukan Islam kesemua hak mereka sebagai jiran harus dipenuhi. Tidak ada seorang pun yang boleh menafikan hak-hak ini, dengan beralasan memperjuangkan agama Islam. Jika benar memperjuangkan agama Islam, seseorang itu haruslah mengembalikan hal-hal ini kepada pihak pemerintah. Biarkan pemerintah yang menguruskannya. Jesteru, sebagai orang yang beriman kita harus patuh dan taat di atas keputusan yang mereka lakukan.

Mengembalikan urusan ini kepada pemerintah adalah sebaik-baik keputusan. Manakala sebaik-baik taat ialah mentaati segala keputusan yang akan dikeluarkan oleh pemerintah, walaupun kita tidak berasa senang dengan keputusan tersebut.

Konsekuansi tentang peri pentingnya taat kepada pemerintah ini sesuai dengan apa yang dipesan oleh Rasulullah kepada umatnya dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari.

Rasulullah bersabda, “Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah kalian orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam wujud manusia. Aku (Hudzaifah) bertanya: “Apa yang harus aku lakukan jika aku mendapatinya, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab: “(Hendaknya kau tetap) mendengar dan taat kepada penguasa, meskipun punggungmu dipukul dan hartamu dirampas, (tetap bersikaplah) mendengar dan taat!’."


Untuk menghadapi hari-hari yang mendatang ini, kita sebagai masyarakat Malaysia khususnya kepada mereka yang beragama Islam haruslah bertenang. Jangan terlalu mengikut perasaan sehingga berlakunya rusuhan dan sebagainya yang sendiri akan mendatangkan keburukan kepada kita semua. Jika kita tidak sayang pada diri sendiri, maka sayangilah anak-anak kita yang akan dan sedang membesar ini. Kerana mereka yang akan mewarisi Negara ini, dan mereka jugalah yang akan meneruskan perjuangan dakwah Islamiah di muka bumi ini. Jika tidak bertindak segera untuk menamatkan krisisi ini, kita akan menyesal selama-lamanya. Jangan biarkan tragedi berdarah rusuhan antara kaum berlaku lagi.



Akhir kata, Jangan biarkan Si Kera membaiki labu kita..







____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

No comments:

Post a Comment