Nak layan kanak-kanak? Mungkin saya bukan orang terbaik untuk dijadikan contoh. Saya kurang berminat dengan kanak-kanak. Paling lama pun saya boleh bergurau dan bermain dengan mereka sekitar 10 atau 15 minit. Tetapi ada satu perkara yang saya sangat suka pada kanak-kanak. Mereka suka berimiginasi dan sentiasa optimis dengan angan-angan mereka.
“Nak dapat hadiah Nobel.”
“Nak jadi polis.”
“Nak buat kereta terbang.”
“Nak jadi Perdana Menteri.”
“Nak jadi Sultan…” Erkk..
Macam-macam mereka mahu ‘jadi’. Malahan bukan setakat mahu ‘menjadi’ tetapi mereka terlalu berangan-angan. Untungnya angan-angan mereka tidak pernah dimarahi. Tidak pernah dipelekeh. Malahan angan-angan mereka diiyakan oleh sesiapa sahaja. Kanak-kanak membina identiti mereka dari angan-angan mereka. Minda mereka turut bergerak aktif apabila mereka mula berangan-angan. Mereka bebas. Bebas untuk berangan dan memilih.
Itu yang saya suka. Kebebesan mereka untuk terus berangan dan bermimpi yang pelbagai. Tidak ada siapa yang marah. Tapi apabila saya kembali ke dunia saya, angan-angan tidak ada nilai. Baiklah kalau pun tidak mahu memanggilnya angan-angan, kita panggilnya sebagai cita-cita sesuai dengan dunia kita.
“Aku nak berniagalah.”
“Aku ingat nak buka pusat paint-ball.”
“Aku target umur 30 aku dah dapat jadi CEO.”
“Nak jadi jutawan, senang sikit.”
“Lagi 7 tahun, kau tengoklah nanti. Aku memandu kereta BMW.”
Mungkin bila ada rakan kita yang berkata seperti di atas. Ada yang memuncung, ada yang gelak, dan mungkin ada yang memperlekehkan cita-cita tersebut.
“Kau jangan beranganlah.” Mungkin itu jawapan balas yang biasa didengari.
Saya bersyukur berada dilingkungan rakan-rakan yang memahami. Bukan semua tetapi orang-orang yang saya sentiasa luahkan cita-cita dan perancangan saya, semuanya menyokong, malahan sedia untuk mendengar. Walaupun saya kerap-kali menghasilkan pelbagai rancangan, walaupun rancangan itu seharusnya dirancang 5 atau 10 tahun akan datang. Mereka tetap sabar mendengar.
Mereka tidak pernah melekehkan cita-cita dan rancangan saya. Mereka amat bermakna buat saya. Petang tadi, saya bersama seorang sahabat. Seorang sahabat, yang saya sangat percaya. Seorang sahabat yang sentiasa menegur, dan memberi nasihat kepada saya. Setiap apa yang beliau kata,- sama ada beliau perasan atau tidak- saya akan ikut. Hanya kritikan beliau yang boleh saya terima dengan lapang dada.
“Kau rasa aku akan berjaya?” Soal saya pada beliau sambil berjalan di sekitar Cyberpark.
“Yup, kau boleh berjaya.” Singkat, tapi cukup bermakna bagi saya.
Beliau tahu betapa saya terlalu bercita-cita tinggi. Angan-angan saya menggunung tinggi. Tapi beliau tetap terus menyokong.
Sebelum pulang ke bilik, saya singgah sebentar di Masjid. Solat Isya’ secara berjamaah, dan menunduk sujud bermunajat kepada yang Esa. Kepala saya yang kusut sebentar tadi, kebah selepas mengadu kepada-Nya.
“Ya Allah, Kau janganlah membunuh angan-anganku. Berikanlah kekuatan untuk aku merealisasikannya. Aku tahu, Kau tidak pernah mengecewakan permintaan hamba-hamba-Mu.” Munajat saya kepada Illahi. Moga Dia tidak membunuh angan-angan saya..
Juga kepada kita, jangan kita bunuh angan-angan sesiapa pun. Kerana tidak ada siapa pun tahu, angan-angan mereka itu akan berjaya suatu hari nanti. Angan-angan ditambah dengan usaha, tidak pernah ada yang gagal. Mari kita raikan angan-angan.
Saya mengambil kesempatan ini mengucapakan Terima kasih juga kepada orang yang paling rapat, dan tidak pernah jemu -jemu mendengar dan menyokong setiap rancangan dan cita-cita saya. Saya turut menyokong setiap apa yang anda lakukan. Kerana anda orang pertama mendengar dan mengetahui segalanya.
"Angan-angan itu adalah Cita-cita"
Cyberjaya
26 Mac 2010
_______________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2010)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.
"memperkasakan paradigma"
Yussamir Yusof @ www.yussamir.com