Sunday, March 14, 2010

JANGAN BUNUH DAYA AKAL ANDA

Untuk bercakap dan berdiskusi sesuatu yang ilmiah didepan mereka yang cerdik pandai, bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi apabila yang hadir ini bukan sahaja boleh digelar sebagai intelektual muda, tetapi juga professional dalam bidang masing-masing.

Saya tidak membincangkan terminologi Intelektual yang terlalu khusus, tetapi intelektual yang saya gunakan di sini merujuk kepada mereka yang benar-benar memaksimumkan penggunaan akal mereka. Semua orang mempunyai Faculty of Intellectual, tetapi yang membezakan mereka yang digelar Ulul Albab dan tidak ialah sejauh mana mereka menggunakan akal mereka dalam berfikir.

Program Ilmiah seharian yang dianjurkan oleh IRF ini banyak memberi impak positif dalam kerangka berfikir saya. Dua tajuk menarik yang dikupas iaitu, “A Review of al-Banna’s Usul Isyrin as Guidelines for Our Contemporary Reform Agenda” oleh Prof Faruq dan “The Role and Application of Islamic Legal Theory in Understanding the Prophetic Traditions” oleh Saudara Wan NorHaziki.

Kedua-dua tajuk ini dikupas dari dimensi yang berbeza dan sangat segar. Tidak kaku dan tidak sensetif dengan daya kritikan.

Dunia Usul Feqh yang rumit dan sememangnya rumit, sebenarnya banyak manfaat besar yang tidak ramai yang hargai. Dalam membahaskan Usul Feqh, tidak boleh tidak kritikan terbuka kepada mereka yang menggelar diri mereka sebagai pembawa bendera Tajdid terpias juga. Slogan kembali kepada al-Quran dan Sunnah tanpa memahami kaedah usul feqh membawa impak negatif dalam menggeluarkan sesuatu hukum dan pandangan.

Kita tidak menafikan bahawa slogan itu benar, tetapi jika hanya melihat teks hadith tanpa melihat konteks dan makna yang ingin di bawa oleh kedua sumber besar itu, kita akan menjadi robot.

Terlalu ramai yang berminat dan sibuk dengan ilmu hadith. Sehinggakan mengeluarkan ramai ‘Mu-hardisk’ dari Muhadith yang sebenar. Menyatakan bahawa mereka yang mentakhrij hadith sendiri ataupun mentarjih hadith, sedangkan mereka hanya sekadar menaqalkan pandangan ulama hadith. Tren sebegini iaitu bersemangat dan gigih mempelajari hadith itu bagus dan benar. Tetapi apabila seseorang itu lebih kuah dari sudu,membuatkan dunia ilmu hadith yang dikecimpung itu menjadi comping.

Lebih teruk lagi, apabila mengeluarkan sesuatu pandangan hanya melihat zahir hadith. Tanpa melihat konteks dan maqasid sesuatu hadith yang dibawa. Saya merasakan jika mereka-mereka ini hadir dan mendengar pembentangan mengenai Usul Feqh ini, pasti sedar bahawa tidak lengkap dengan hanya memahami hadith tanpa memahami kaedah Usul feqh.

Sepertimana yang dikatakan oleh seorang Sarjana Islam, “Ahli Hadith seperti ahli farmasi, dan ahli feqh seperti pegawai perubatan.”

Sepertimana Dr Tariq Ramadhan pernah menyuarakan keresahan beliau tentang sekelompok manusia yang hanya melihat teks hadith dan Quran, beliau menggesa umat Islam perlu melihat kembali the principle ataupun maqasid. Bukannya melihat model, ataupun secara zahir. Beliau memberi contoh mengenai Model Sistem Pemerintahan Rasulullah ketika memerintah Madinah. Secara zahirnya iaitu model pemerintahan tersebut, tidak boleh lagi diaplikasikan pada zaman sekarang. Tetapi prinsicple atau konteks atau konsep pemerintahan Rasulullah boleh digunapakai sampai bila-bila.

Golongan yang menggelar sebagai pembawa bendera pembaruan ini harus kembali berfikir sebagai manusia. Manusia yang memahami teks secara literali ini harus sedar bahawa betapa pentingnya memahami maqasid sesutu nas yang diambil.

Pertelingkahan memahami sifat-sifat Allah, tidak boleh lagi menjadi isu mendasar. Ia disentuh kerana hal ini menjadi masalah besar dalam membina benteng kekuatan Islam. Sehinggakan kerana sebab ini, kita bertelingkah sesama sendiri dan tidak membawa apa-apa manfaat kepada ummah. Saya percaya, pasti ada yang cuba membela diri dengan menyatakan bahawa ini soal Akidah. Ya memang benar, tetapi percaya atau tidak isu ini sebenarnya juga berlaku khilaf yang besar di kalangan para ulama tentang bagaimana untuk tidak mensifatkan Allah dengan sifat manusia dikalangan ulama Salaf sendiri.

Perbincangan Usul Feqh ini amat menarik kerana kedua-dua tajuk yang dibentang berkait antara satu sama lain. Usul Isyrin yang dibina oleh Syeikh Hassan Albana, sangat membina satu prinsip dasar dalam memahami syariat secara komprehensif Kita tidak mengatakan bahawa prinsip dasar ini benar 100 peratus, tetapi kita juga tidak boleh menafikan bahawa 20 Usul yang dibawa oleh beliau ini sangat memberi impak positif kepada umat Islam.

Pengalaman saya yang cuba dipaksa dan sukar untuk berfikir di luar kepompong semasa berada di sebuah madrasah, mengingatkan saya betapa akal manusia tidak boleh untuk disekat dari terus berfikir dan berfikir.

Kemudian, sebelum makan tengahari kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Kemudian setiap kumpulan diberi tajuk untuk dibentang. Tajuk yang diberi kepada kumpulan saya, ialah “Street Demonstration is Compatible or not with Islamic Spirit” memberi peluang kepada saya dan rakan-rakan untuk membincangkannya dengan ilmiah dan serius.

Saya percaya, bahawa manusia tidak harus dikongkong akalnya untuk terus berfikir dan kritis. Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima pandangan kita. Kita juga tidak boleh menghadkan orang lain untuk berfikir.

Di sini saya banyak belajar untuk menerima dan memberi, walaupun kami berbeza pandangan, tetapi daya kritis dan ilmiah membawa kami ke satu dimensi intelektual yang sangat bermakna. Saya memberi peluang kepada diri saya untuk tidak terikat dengan mana-mana pemikiran orang lain, kerana setiap orang harus membentuk pemikirannya sendiri. Di sini juga saya jelas dan faham, betapa buruknya manusia apabila mula saling melabelkan sesuatu kaum, puak atau apa sahaja dengan label yang memberi konotasi buruk.

Saya berterima kasih kepada mereka yang mengenalkan saya dengan kelompok intelektual muda ini!


SAPERE AUDE!!

Cyberjaya
14 Mac 2010




____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

1 comment:

  1. saya setuju...manusia mmg tak boleh berhenti berfikit. Pada masa yg sama, manusia perlu sedar bahawa setiap manusia akan melihat suatu perkara itu lain dari org lain. Si A dan si B melihat isu masalah yg sama, tetapi cara mereka melihat isu yg sama berbeza2 dan mempunyai perkspektik yg berbeza. Inilah yg dikatakan paradigma. Sayangnya...kebanyakan kita (A) mengandaikan bahawa apabila kita melihat suatu perkara masalah X, kita mengandaikan B pun akan melihat cara yg kita (A) melihat.

    Sayangnya tidak ramai org sedar atau memeahami isu paradigma ini. Selagi kita tidak memahami isu paradigma ini, semakin kita sempit fikiran melihat kepelbagaian idea

    ReplyDelete