Sunday, April 25, 2010

9/10 REZEKI DALAM PERNIAGAAN?


“Sembilan dari sepuluh rezeki adalah dalam perniagaan.” Ungkapan itu seringkali saya dengar, dan kebanyakkan yang menggunakan perkataan ini adalah perniaga Muslim. Semasa saya mengikuti kuliah Ustaz Abdul Hakim di Baitur Rahman, sebuah pesantren di Jogjakarta. Salah seorang dari kami bertanyakan tentang hadith berkenaan.

Anda mengharapkan beliau menjawab pertanyaan tersebut? Oh tidak. Beliau berkata, “Saya tidak tahu status hadith tersebut.”. Sebelum kita ke topik utama, ada dua perkara yang ingin saya katakan tentang beliau.


Pertamanya, sikap beliau ini adalah sikap yang sangat mulia, kerana mengaku tidak tahu di hadapan beratus orang penuntut ilmu.

Kedua, jadilah seperti padi, semakin berisi semakin tunduk.


Saya sejak dari dahulu sehingga menceburi bidang perniagaan kini, sering kali mendengar orang menggunakan perkataan ini dengan menyandarkan ia sebagai hadith. Saya tidak menyanggah mahupun mengiyakan. Kerana saya sendiri tidak tahu sejauh mana kebenaran perkataan ini adalah sebagai hadith.

Semalam saya membuka kembali kitab Ihya’ Ulumuddin versi e-book yang berbahasa Arab. Kitab klasik karang Imam Ghazali ini sangat popular di kalangan orang Islam Malaysia. Malahan ia juga dikenali oleh seluruh Muslim.

Antara Ulama besar terkini yang turut mengiktiraf karya klasik ini ialah Al-Imam Yusuf al-Qardhawi. Beliau antara orang yang sering memuji karya besar Imam Ghazali ini, malahan menghafal seluruh isi kandungannya. Namun begitu, beliau turut berpesan bahawa kitab besar ini tidak lepas dari kesalahan dan kesilapan. Antaranya ialah hadith-hadith yang ditulis oleh Imam Ghazali, terdapat banyak kritikan yang boleh diberi.

Salah satu hadith yang menjadi kritikan di kalangan ahli ilmuan hadith ialah hadith di atas. Alhafiz al-Iraqi antara ulama hadith besar yang menumpahkan banyak tenaga dan kepakarannya dalam menyemak hadith-hadith yang ada dalam Ihya' Ulumuddin.

Ketika membicarakan tentang hadith “9 dari 10 rezeki di dalam perniagaan” Alhafiz al-Iraqi dalam kitab Takhrij Ahadith al-Ihya’ menyebutkan bahawa perawi-perawi hadith ini semuanya Tsiqah (terpecaya) kecuali seorang iaitu Nuaim. Imam Abu Hatim ar-Razi dan Ibnu Hibban turut berkomentar bahawa, Nuaim adalah Tabiin dan hadithnya adalah Mursal (terputus sanad) / bertaraf Dhaif (lemah).

Manakala salah seorang Ilmuan Hadith zaman kini iaitu Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani rahimaAllahu ta'ala dalam kitabnya Silsilah Ahadis Dhaifah telah memetik penilian dari Ibnu Hatim bahawa riwayat Nuaim bin Abdul Rahman ini adalah Mursal (Dhaif).


Oleh itu, saya mengingatkan diri saya dan rakan-rakan Muslim yang menceburi bidang perniagaan. Tidak terikut-ikut dengan trend menyandarkan sesuatu kepada Rasulullah tanpa ada penelitian dan tanggungjawab. Lebih-lebih lagi menggunakan perkataan ini dan mendakwa ia adalah dari Rasulullah, sedangkan TIDAK.

Ingatlah sesungguhnya, menyandarkan sesuatu kepada Rasulullah sama ada perkataan, perbuataan dan lain-lain sedangkan Rasulullah tidak pernah menyatakannya sama ada dari perkataan, perbuataan mahupun bersikap diam baginda adalah sebuah kesalahan besar di dalam agama.

Cukuplah pesanan Rasulullah ini menjadikan kita lebih bertanggungjawab dan berdisplin dalam menyatakan sesuatu yang berkaitan dengan baginda.

“Barangsiapa yang berkata atas namaku akan sesuatu yang tidak saya katakan, maka hendaklah dia bersedia menempati tempat duduknya di dalam neraka.” (Hadith direkodkan Imam Bukhari)





___________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

2 comments:

  1. Bukankah hadis dhaif masih lagi boleh diguna pada perkara2 melibatkan fadhailul a'mal dengan menyatakan kedhaifannya serta dengan syarat hadis dhaif itu bukanlah terlalu dhaif..

    selain itu, sudahkah saudara memeriksa kedalam sunan sittah takut2 hadis ini ada disokong oleh mana-mana hadis lain yang hampir sama yang boleh menguatkannya?

    Piawaian dalam menentukan status hadis ini bukankah ianya di susun oleh ulama bukannya Nabi...maka hanya dengan disebabkan 1 orang perawi tidak siqah maka ia telah menjatuhkan martabat hadis ini padahal mungkin ia benar2 datang dari Nabi...

    Bukankah Syeikh Al-Bani juga tidak terlepas daripad dikritik sehingga ada yg mengatakan bahawa sanad hadisnya tidak bersambung kepada Rasulullah...

    sekadar bertanya untuk sama-sama kita lebih mengkaji...

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.ya akhi...lama benar tak bertanya khabar ye? Diharapkan semuanya berjalan lancar buat akhi dan keluarga.

    Terima kasih untuk entri kali ini di celah kesibukan Yus berniaga. =D Akak tetap ikuti perkembangan blog ini walaupun kekerapannya agak berkurang kerana kekangan masa dengan komitmen lain. Semoga berjaya! Yang penting, segalanya kerana redha Allah. Yus lebih arif dr akak tentu lebih tahu bukan? Semoga sentiasa di bawah rahmat dan kasih sayangNya.

    Best Of Luck Bro!

    Wasalam

    ReplyDelete