Monday, April 19, 2010


Oleh: Yussamir Yusof dalam majalah akhbar ILUVISLAM ruangan 'Tanyalah'
(Setiap artikel yang tersiar di majalah I mahupun Iluvislam akan disiarkan di blog ini selepas sebulan atau 2 minggu artikel tersebut tersiar di kedua-dua majalah tersebut. Harap maklum.)


“Itu tidak boleh, ini tidak boleh. Apa yang boleh?” Jiwa anak muda saya memberontak. Ketika itu saya melihat Islam memberi kesukaran dan keterbatasan kepada saya. Terlalu banyak pantang larang, dan sehinggakan saya merasakan mengapa perlu beragama jika diri sendiri tidak bebas.

“Tanpa agama juga saya boleh menjadi seorang yang baik, mahupun jahat. Agama tidak memberi manfaat kepada saya.” Saya pernah berfikir sebegini. Namun setelah saya mengenali Islam dengan lebih mendalam. Saya dapati terdapat banyak kemudahan yang ada di dalam Islam. Manakala kesukaran ataupun larangan, hanyalah dalam jumlah yang sedikit.

Malahan bagi saya, Islam adalah agama yang paling mudah dan selamat untuk sesiapa sahaja anuti. Islam juga telah memberi jawapan kepada seluruh persoalan saya mengenai kehidupan (dan kematian), serta memberi saya sebuah kehidupan yang lebih bermakna.


Islam adalah agama yang sangat releven dan sesuai untuk seluruh zaman. Persepsi bahawa Islam adalah sebuah agama yang di dalamnya hanya ada larangan dan perintah, adalah persepsi yang silap tanpa penelitian yang adil.


Tidak dinafikan bahawa terdapat larangan dan perintah di dalam Islam. Tetapi semua itu tidak banyak. Jika kita mengkaji dengan lebih terliti dan adil, kita akan dapati bahawa perkara yang dibenarkan lebih banyak dari apa yang dilarang.

Misalnya, minuman yang diharamkan dalam Islam hanyalah minuman yang memabukkan dan memberi mudarat kepada manusia. Firman Allah dalam surah al-Maidah 5:90, “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”


Manakala terdapat beratus malahan beribu lagi minuman yang dibenarkan oleh Islam untuk diminum. Setiap larangan yang didapati dalam Islam, bukanlah untuk membataskan kebebasan manusia, tetapi sebenarnya ia memberi kebaikan kepada manusia itu sendiri.


Saya tertanya-tanya, adakah dengan tidak minum minuman yang memabukkan menjadikan seseorang itu kekurangan dalam kehidupannya? Malahan bagi saya dengan tidak meminum minuman tersebut, ia memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada diri seseorang. Sama ada kebaikan dari segi kesihatan dan ekonomi.


Pernahkah anda dengar dari doktor mahupun pakar kesihatan bahawa meminum arak membuatkan seseorang itu sihat dan waras? Tidak ada bukan? Bahkan, berjuta wang dihabiskan semata-mata untuk mengubati penagihan arak di kalangan masyarakat. Buka itu sahaja, ada Negara-negara maju, masalah ketagihan arak ini menjadi masalah utama dalam masyarakat mereka.


Begitu juga perbuatan jahat yang lain seperti merompak, berjudi, penzinaan, dan pembunuhan adalah diharamkan dalam Islam. Ia diharamkan kerana ia bukan sahaja memberi kemudaratan kepada si pelaku, tetapi kepada masyarakat secara keseluruhan.



Minum arak, berzina dan merompak kelihatan seronok. Ya, memang seronok. Tetapi adakah keseronokan itu berpanjangan? Adakah keseronokan itu memberi manfaat kepada diri kira?


Analoginya mudah. Bayangkan anda mempunyai seorang anak kecil yang berumur 3 tahun. Pada suatu hari, dia mahu bermain dengan api yang sedang marak di belakang rumah anda. Sebagai seorang bapa atau ibu, adakah anda sanggup membiarkan anak anda bermain dengan api tersebut? Kenapa anda tidak sanggup melihat anak anda bermain dengan api? Anak anda sangat suka dan seronok melihat api tersebut, kenapa anda mahu menghalangnya dari bermain dengan perkara yang dia suka? Tidakkah anda telah menghalang hak kebebasannya sebagai seorang manusia?


Ya, anda melarang anak anda bermain dengan api kerana anda tahu bahawa api tersebut tidak membawa sebarang faedah kepadanya. Tetapi ia akan memberi mudarat kepadanya. Mungkin anak anda akan melecur, terbakar dan paling buruk anak anda akan mati rentung.


Begitu jugalah dengan Allah yang Maha mengetahui dan bijaksana. Dia lebih mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk bagi kita semua. Sepertimana Firman Allah dalam surah al-Baqarah 2:216, “..padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”


“Tapi kenapa setiap perkara dosa yang kita lakukan berasa seronok dan mudah untuk melakukannya? Manakala untuk berbuat baik, seolah-olah ia terlalu berat dan tidak seronok untuk dilakukan?” Mungkin akan ada yang mengatakan sedemikian. Mungkin anda? Ataupun mungkin rakan-rakan anda yang berada di luar, ada berfikir sebegini rupa. Sebab saya sendiri pernah berfikir sebegitu.


Perkara ini sama sahaja analoginya seperti makan makanan ringan dan sayur-sayuran. Kita sudah maklum, kanak-kanak yang meningkat besar sangat suka makan makanan ringan. Manakala sayur-sayuran sangat dibenci dan cuba dielakkan oleh mereka. Tetapi sebagai orang yang dewasa, kita tahu bahawa makanan ringan tidak mempunyai kandungan dan khasiat seperti yang ada pada sayur-sayuran/makan yang seimbang. Begitu jugalah dengan perbuatan dosa. Allah lebih mengetahui, bahawa setiap perbuatan dosa yang seronok itu sebenarnya banyak memberi mudarat dari kebaikan kepada kita. Tetapi manusia tidak mengerti tentang hal itu.


Sangat jelas kepada kita bahawa setiap perintah mahupun larangan dari Allah hanyalah semata-mata untuk kebaikan kita semua. Ia tidak memberi sebarang kesan kepada kekuasaan dan kemuliaan Allah. Firman Allah dalam surah al-Faatir 35:15, “Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.”


Dalam sebuah hadith yang direkokkan oleh Imam Muslim, Rasulullah bersabda, “Bahawa jika setiap orang di dunia ini menderhakai Allah, kekuasaan Allah tidak akan berkurang sedikit pun. Begitu juga sebaliknya, kekuasaan Allah tidak akan bertambah sedikit pun jika seorang hambanya mentaati-Nya ".


Larangan, perintah mahupun hukuman yang terdapat dalam Islam hanyalah semata-mata untuk kebaikan manusia. Maka beruntunglah mereka yang mempercayai Allah sebagai Tuhannya, dan nabi Muhammad itu pesuruhnya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah 2:185, “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”














____________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

3 comments:

  1. Assalamualaikum akhi,
    tumpang tanya kalau ahli IluvIslam nak menyumbang tulisan ke tabloid IluvIslam boleh tak?

    ReplyDelete
  2. Muhammad Fakhruddin: saya tak pasti, tapi dekat Tabloid iLuvislam tu ada emel editor. Hantar sahaja artikel anda pada beliau. Mungkin diterima, akan disiarkan.

    WaAllahualam

    ReplyDelete