Tuesday, January 27, 2009

TUHAN BUKAN DAERAH TERLARANG BAGI PEMIKIRAN

Buah tangan pertama untuk semester ini.

Cuti semester kali ini saya banyak habiskan dengan berpogram dan aktiviti yang bermanfaat. Bermula hari pertama lagi saya sudah memenuhi agenda cuti saya dengan mendaki gunung Nuang bersama 4 orang rakan (walaupun ajakan untuk mendaki itu dilakukan oleh Saudara Rahmat pada saat-saat akhir).

Selama 9 jam kami mendaki dan menuruni gunung Nuang (tak sampai puncak pun), penat, lelah dan merungutkan. Tetapi sebenarnya, kepenatan dan berbagai leteran itu tidak dapat mengalahkan keasyikan kami terhadap hutan dan air terjun ciptaan Allah.

“Lan, cuba kau tengok pokok balak itu.” Saya menunjukkan ke arah sebatang pokok balak besar yang sudah tumbang. Lan memandang pokok tersebut, “kenapa?” Soal Lan pada saya.

“Tumbangnya pokok itu, mengajar aku bahawa manusia yang beragama Islam tetapi tidak jelas siapa tuhannya, ia akan jadi begitu juga.” Lan sekadar mengangguk, saya tidak pasti dia faham atau tidak metafora yang saya terangkan tadi.

Saya dan Lan masih bertenggek di sebuah pokok besar yang merintangi laluan ke atas puncak Nuang. Sementara menunggu 3 orang lagi rakan yang sedang menuruni gunung, saya memerhatikan alam sekeliling. Banyak perkara yang Allah ajarkan pada manusia melalui ciptaan-Nya. Tetapi terpulang pada manusia, sama ada mahu mengambil pengajaran atau tidak terhadap pengajaran implisit ini.

“Orang Islam yang tidak kuat akidahnya, persis pokok yang tumbang itu. Pokok besar itu tumbang sebab akarnya lemah, orang Islam juga begitu. Jika akarnya iaitu Akidah tidak kuat dan sahih, maka setiap amalannya yang banyak seperti batang pokok yang besar itu, pasti amalannya tidak diterima.” Saya menjelaskan pada Lan, disamping perasaan sayu masih terselit dalam diri saya mengenangkan mereka yang sering memperolok dan melihat perjuangan sunnah di MMU sebagai sesuatu yang tidak perlu.

“Kenapa nak cerita tentang tayamum sehingga pergelangan tangan, sedangkan wuduk pun budak-budak ini tidak tahu lagi”, Ujar Kak Peah (bkn nama sebenar) pada saya.


TIDAK SALAH UNTUK BERANALOGI
Beginilah, saya bukan mahu mempertahankan hujah saya tetapi saya ingin mengajak kita sama-sama menghayati dan mendalami mengapa Allah dan Rasul menyuruh kita melakukan ibadat khusus hanya bersumberkan dalil yang sahih? Kalaupun kita tidak mahu memikirkannya dari konteks Allah dan Rasul, mari kita berfikir secara logik manusia.

Begini logiknya : Ada sebiji gelas di atas meja kita. Doktor kata, kita wajib minum air bersih 5 kali sehari. Kita pun ambil gelas itu dan isikan gelas itu dengan air lumpur. Kemudian kita mahu minum. Emak kita nampak kita nak minum air lumpur itu, emak kita pun menasihati kita agar jangan minum air lumpur itu kerana Doktor suruh kita minum air bersih. Kita kata tidak mengapa, nanti lepas minum air lumpur ini, kita akan bersihkan gelas itu dan mengisi air bersih pula.

Di atas adalah sebuah analogi yang saya buat untuk mengajak semua pembaca untuk menganalisanya secara logik. Tanyakan pada diri anda, bodoh atau tidak ‘kita’ di dalam analogi itu? Kalau anda masih waras, pasti anda akan berkata, “Sangat bodoh ‘kita’ dalam analogi itu.” Begitulah kita sekarang ini apabila melaksanakan ibadah khusus kepada Allah tanpa mengambil apa yang telah diarahkan oleh Allah dan Rasul secara sahih.

Sama sahaja dalam konteks bertayawamum sehingga ke pergelangan tangan. Mengapa kita mahu buat dua kali kerja, pertama biarkan dahulu mereka belajar bertayamum dengan pandangan pertama yang ‘kurang rajih’, kemudian kita mahu membetulkannya selepas itu. Sangat susah, bayangkan orang yang sudah lama menghisap rokok, kemudian kita mahu mengubahnya ‘on the spot’. Perkara itu sangat mustahil. Lebih baik kita betulkan sebelum mereka sudah sebati dengan pengajaran yang tidak rajih/tepat. Perkara ini berbalik kepada ‘Prevent better than cure’.


MEMBACA DAN BERFIKIR
Saya sedang membaca sebuah buku yang bertajuk “Pergolakan Pemikiran Islam” sebuah catatan harian oleh seorang pemikir Indonesia yang bernama Ahmad Wahib. Dia bukanlah seorang pembaca yang tegar,sehinggakan dia pernah berkata “Aku adalah orang yang kurang banyak membaca, sehinggakah banyak istilah-istilah ilmiah yang aku tidak kuasai dalam mengungkapkan fikiran.”(ms: 54) Tetapi dia adalah seorang pemikir, dia sentiasa berdialog dan dia sentiasa bertanya dan mengkiritik sesuatu yang dia tidak fahami dan senangi.

Dia kritik dan bertanya bukan atas alasan emosi, tetapi atas dasar jujur dengan fikirannya sendiri. “Apa guna berdiplomasi, sekadar mahu menghindari penentangan,” itu juga sebuah catatan yang dia ungkapkan dalam mengajak kita untuk berfikir. Bukan sekadar membaca, 10 atau 20 buah buku dalam masa sebulan atau cuti semester. Tetapi yang dapat hanyalah emosi dan fikiran tidak pernah diisi dan dibentuk melalui bacaan-bacaan yang dibaca.

Teorinya mudah, bukan semua orang boleh menjadi pemikir dengan membaca, tetapi seorang pemikir adalah seseorang tidak pernah lena berfikir melalui bacaan dan pemerhatian. Pemikir tidak dikuasai oleh emosi, kalau ada pun hanyalah sedikit. Yang banyaknya, pemikir dikuasai oleh fikirannya yang sentiasa berlegar mencari jawapan untuk kepuasan diri dan emosi. Seorang pemikir harus bersedia untuk menjadi orang yang sentiasa menongkah arus dalam cakerawala pemikiran biasa-biasa orang awam. Seorang pemikir harus berdepan dengan cabaran dalam pembaharuan dan gerakannya melalui fasa-fasa pemikirannya terhadap sisi-sisi kehidupan dan sosialnya.

Atas sebab inilah, ramai yang membaca tetapi masih menghina, bersangka-sangka, dan memperkecilkan usaha orang lain dan sering membuat alasan untuk terus dengan amalan lama. Mereka tidak dapat mencerna isi yang dibaca, mereka tidak berfikir dalam konteks yang lebih luas, mereka tidak bisa untuk menerima perubahan dan kebenaran. Mereka ini adalah Apologetik!




2 comments:

  1. Kita dituntut berfikir dalam banyak perkara namun akal fikiran kita adalah terbatas..

    Jangan jadi pemikir yang menggunakan pemikiran logik semata-mata dengan mengenepikan petunjuk wahyu kerana dikhuatiri kita boleh terpesong..

    Banyak ayat dalam quran menyuruh kita berfikir...marilah kita menjadi pemikir yang berfikir cara mengembalikan ummat di landasan kebenaran...

    ReplyDelete
  2. Salam.. Adalah benar dan baik untuk menjadi seorang pemikir dari pembaca. Nabi Muhammad S.A.W dahulu juga seorang pemikir. Baginda tidak mempunyai guru, namun sentiasa memikirkan akan perbuatan-perbuatan yang tidak betul dilakukan oleh orang sekelilingnya. Baginda merintih dan merayu kepada sesuatu yang baginda sendiri tidak ketahui. Sehinggalah Allah menurunkan wahyu kepadanya.
    Dalam kontek pemikiran kita pula, kita telah diajar sejak dari kecil lagi tentang Islam dan cara mengamalnya. Pegangan Islam telah ada di dalam hati kita. Tinggal lai kita kadang-kadang tertanya, betulkah jalan Islam yang kita praktikkan selama ini. Maka timbullah persoalan dan otak mula memikir.
    Adalah lebih baik sebelum kita memimirkan sesuatu tentang Ilmu Allah atau sedang memikirkan sesuatu,mohonlah perlindungan Allah dan mohonlah agar kita berfikir cara yang Allah hendak kita fikir. Harus diingat JANJI IBLIS YANG HENDAK MENYESATKAN ANAK-ANAK ADAM.
    Saya sangat bersetuju dengan posting blog anda untuk berfikir, bukannya menbaca seperti para ahli kitab yang di dalam surah Al-Baqarah.
    Terima kasih

    ReplyDelete