“Ilmu itu adalah Imam dan Amal itu adalah makmum”
Perkataan di atas pertama kali saya temui semasa membaca buku Manhaj Dakwah Al-Qardhawi. Perkataan itu benar-benar memberi satu impak besar dalam kehidupan saya. Semacam ada sebuah aura yang terus-menerus untuk saya hafal dan ulangi setiap masa.
Bukan mudah untuk menjadi orang yang berilmu, tetapi bukan sukar juga untuk mendalami ilmu pengetahuan sehingga menjadi Ilmuan. Ia bergantung kepada diri sendiri, dalam masa yang sama di atas takdir Allah.
Menjadi seorang yang berilmu adalah sebuah penghormatan dan kemulian. Banyak hadith-hadith dan firman Allah yang menggambarkan betapa tingginya darjat orang yang berilmu.
Firman Allah, “Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat dan tidak (pula) sama gelap gulita dengan cahaya, dan tidak (pula) sama yang teduh dengan yang panas.” (Surah al-Fathir 35:19-21)
Ayat di atas Allah telah menggambarkan orang yang berilmu seperti seorang yang celik matanya. Manakala orang yang jahil seperti seorang yang buta matanya. Sungguh tinggi perumpamaan yang digambarkan Allah terhadap orang yang berilmu.
Hakikat kemuliaan dan tingginya darjat orang yang berilmu telah dikukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW. Sabdanya, “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan permudahkannya untuk masuk ke Syurga. Para Malaikat akan mengepakkan sayapnya ke atas pencari ilmu, kerana mereka suka dengan apa yang dilakukannya. Orang yang berilmu dimintakan ampun oleh semua yang ada di langit dan di bumi, bahkan ikan-ikan di air juga turut serta memohon ampun untuknya. Keutamaan orang yang alim atas ahli ibadah seperti keutamaan bulan di atas bintang. Para ulama adalah pewaris nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Sehingga orang yang mengambilnya benar-benar telah mengambil bahagian yang sempurna.” (Hadith direkodkan Imam Bukhari)
Al-Imam Ghazali ketika membaca hadith telah berkomentar, “Telah maklum, tidak ada darjat di atas darjat kenabian dan tidak ada kemuliaan di atas kemuliaan mewarisi darjat tersebut.”
Banyak sekali kenyataan dan bukti yang menunjukkan bahawa orang yang berilmu sangat dihormati dan dipandang tinggi.
Namun virus-virus ujub dan tidak mengamalkan ilmu yang ada semakin lama semakin membarah di kalangan penuntut ilmu. Sungguh ramai para penuntut ilmu mula mencari ilmu untuk kemegahan dan keuntungan dunia. Manakala ada juga sebahagian dari mereka, mencari ilmu semata-mata untuk berdebat dan menguji para ulama yang ada.
Kegusaran Nabi Muhammad terhadap hal ini sememangnya telah diduga semasa baginda masih hidup lagi. Oleh sebab itu Rasulullah pernah memberi amaran kepada penuntut ilmu tentang hal ini. Sabda Rasulullah SAW, “Jangan mempelajari ilmu untuk menyombongkan diri pada ulama, berbangga dengan orang yang jahil, serta memilih-milih majlis. Sesungguhnya barangsiapa yang melakukan hal tersebut, dia akan masuk ke dalam neraka, dia akan masuk ke dalam neraka.” (Hadith direkodkan Ibn Hibban dengan para perawi yang dipercayai lagi sahih, demikian terang Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sahih Ibn Hibban)
Begitu juga dengan sesiapa yang menuntut ilmu niatnya kerana ingin mendapat keuntungan dunia. Rasulullah telah memberi amaran keras terhadap golongan ini. Sabda Rasulullah SAW, “Seharusnya seseorang yang mempelajari sesuatu ilmu adalah untuk mendapat keredhaan Allah, namun jika dia mempelajarinya adalah kerana untuk memperoleh kesenangan dunia, maka dia tidak akan mencium bau Syurga pada hari Kiamat.” (Hadith direkodkan Ibn Hibban dan dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sahih Ibn Hibban)
Oleh sebab niat yang tidak jujur dan ikhlas menuntut ilmu kerana Allah, membuatkan ilmu yang ada hanyalah setakat di lidah tanpa ada pengamalan. Sedangkan ilmu itu haruslah disusuli dengan amalan, kerana ilmu adalah imam dan amal adalah makmum.
Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya yang bertajuk Tafsir Fiqh as-Suluq fi Dhau al-Quran wa as-Sunnah menulis, “Sesungguhnya musibah terburuk yang menimpa kehidupan dan menerpa umat manusia adalah orang alim yang perkataannya bertentangan dengan perbuatannya, dan perbuatannya mendustakan perkataannya. Orang alim seperti ini adalah bencana untuk hamba-hamba Allah. Dan tindakannya itu merupakan tindakan yang diperingatkan al-Quran kepada orang-orang beriman. Firman Allah, “Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah al-Shaff 61:3)
Maka tidak aneh apabila Rasulullah meminta perlindungan daripada Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat. Zaid bin Arqam meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, jiwa yang tidak puas serta doa yang tidak dikabulkan.” (Hadith direkodkan Ibn Majah)
Sungguh hina dan azab kepada orang yang berilmu tidak beramal dengan ilmunya. Ketika Rasulullah menceritakan kepada para sabahat bagaimana seksaan yang diterima oleh golongan yang berilmu tetapi tidak memanfaatkannya.
Zaid bin Arqam telah meriwayatkannya dengan berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda: Pada hari Kiamat seseorang didatangkan dan dilemparkan ke dalam neraka. Kemudian usus-ususnya terburai dan dia akan dipusing-pusingkan seperti keldai yang memusingkan alat penggiling. Para penghuni neraka berkumpul dan bertanya kepada orang tersebut, “Fulan, apa yang terjadi denganmu? Bukankah dulu kau mengajak kepada yang makruf dan melarang perkara yang munkar? Dia pun menjawab, “Dulu aku memang mengajak kepada perkara yang makruf namun aku sendiri tidak mengamalkannya. Dan aku melarang yang munkar, tetapi aku sendiri melakukannya.” (Hadith direkodkan Imam Bukhari)
Golongan berilmu ini boleh juga dikira sebagai seorang munafik. Kerana orang munafik lahiriahnya bagus tetapi dalamannya rosak. Lidahnya manis menuturkan kata-kata hikmah namun amalannya pahit bak hempedu. Mereka memperdayakan manusia dengan ilmu yang ada, padahal hatinya kosong dari keyakinan iman dan Islam. Golongan ilmuan sebegini adalah munafik yang alim lisannya.
Bahaya munafik yang alim lisannya ini telah diperingatkan oleh Rasulullah sepertimana yang diriwayatkan oleh Umran bin Hushain. Sabda baginda, “Sesungguhnya sesuatu yang paling aku risaukan sepeninggalanku terhadapmu ialah setiap orang munafik yang alim lidahnya.” (Hadith direkodkan Imam Tabrani)
Berhati-hatilah dengan golongan ilmuan sebegini. Dan sentiasalah berdoa agar di kalangan kita tidak akan wujud golongan seperti ini. Moga peringatan Saidina Umar al-Khatab ini menjadi nasihat dan peringatan sekaligus kepada kita semua. Kata beliau, “Berhati-hatilah, kerana Rasulullah SAW menyuruh kita berhati-hati terhadap setiap orang munafik yang alim lisannya.”
____________________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2009)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.
"memperkasakan paradigma"
Yussamir Yusof @ www.yussamir.com