Tuesday, September 8, 2009

TEGURAN SUCI DAN JUJUR HAMKA KEPADA MUFTI JOHOR


Ini pertama kali saya mengulas sebuah buku, moga selepas ini jika ada buku-buku yang baik saya baca. Saya akan mengulas dan menyarankan agar para pembaca turut memilikinya jua.

Prof HAMKA atau nama penuhnya Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah bukanlah calang-calang orang didalam dunia intelektual dan kesarjanaan Islam. Khususnya di dalam juzuk agama yang memang arif benar beliau di dalamnya. Pertama kali saya berkenalan dengan pemikiran dan peribadi tokoh ini pada 5 tahun yang lepas. Bukunya yang bertajuk Falsafah Hidup dicerna sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi apabila beliau menyentuh perihal kebebasan akal fikiran dalam beragama.

Ketika membaca isu kebebasan akal fikiran ini, ia dapat disimpulkan bahawa, “Fikiran itu terbuka luas dalam agama Islam, iaitu dengan kebebasan Ijtihad. Kemajuan Ilmu ushul fiqh, Ilmu fiqh, Ilmu tafsir, Ilmu tasauf, dan lain-lain dalam Islam adalah berpangkal dari terbukanya pintu Ijtihad. Ulama-ulama Islam yang besar, yang telah mendirikan empat madzab fiqih dalam Islam adalah bersumber dari kebebasan Ijtihad.”

Ketinggian ilmu HAMKA ramai yang mengakuinya. Bukan sahaja ketika beliau masih hidup dan menabur bakti dalam dunia intelektual dan dakwah. Sehingga kini selepas berpuluh tahun kematian beliau, nama beliau terus disebut-sebut sebagai Sarjana Islam Nusantara. Beliau dikagumi kawan dan lawan. Hidupnya sebagai seorang sarjana bukan sahaja di dalam buku-buku dan dewan kuliah. Peribadinya yang muda mesra dengan orang ramai, dan kerajinan beliau turun padang merasai sendiri kehidupan masyarakat membuatkan beliau dilihat sebagai Sarjana berjiwa rakyat.

Sahabat dan musuh tidak pernah beliau pinggirkan. Kedua-duanya sama di mata HAMKA, sehinggakan semasa kematian Soekarno, beliau menjadi imam solat Jenazah. Sedangkan beliau pernah membungkam di dalam penjara di bawa perintah Soekarna suatu ketika dahulu.

Jika ada sesiapa yang teraniya, beliau akan membela. Tidak peduli sama ada yang menganiaya itu berkuasa atau tidak. Kebenaran tetap kebenaran, sesiapa pun dan dari mana pun. Kebenaran adalah mutlak pembelaan dalam Islam.

Ketika Hassan Bandung, dan beberapa tokoh Sunnah yang digelar Kaum muda difitnah oleh Sahibul Fadhilah was Samahah as-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad Mufti Johor pada tahun 1958. HAMKA tidak duduk diam sekadar menjadi penonton terhadap fitnah yang dilemparkan oleh Sahibul Fadhilah. Walaupun tuduhan-tuduhan tersebut bukanlah untuknya, tetapi rasa tanggungjawab dan keadilan sebagai seorang Sarjana dan Tokoh Islam. Beliau mengangkat pena. Kerana hujah harus dibalas dengan hujah.

Penanya digengam kemas, dengan ilmu yang tersemat di dada beliau dengan tawaduk menulis teguran-teguran jujur dan suci kepada Mufti Johor. Kejujuran sebagai pemegang amanah dan waris Nabi Muhammad sebagai ahli Ilmu terpancar pada awal tulisannya.


Di dalam muqadimah tulisannya, HAMKA menulis:

“Buku ini saya tulis bukanlah untuk mencari perseteruan dan perlawanan dan jauh sekali daripada untuk bermusuh. Ia hanyalah hendak memberi peringatan atas beberapa kesalahan yang timbul daripada Sahibul Fadhilah was Samahah as-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad, Mufti negeri Johor dalam kenyataan beliau membantah kaum Muda. Beliau (Mufti Johor) adalah orang yang merdeka untuk membantah fahaman dalam agama Islam yang tiada beliau persetujui. Manakala berlainan faham terhadap masalah agama kalau kita pandai membawakannya menjadi rahmat bagi umat Islam, tetapi dalam pertukaran fikiran itu jika timbul kecurangan dan kebohongan maka berlainan pendapat itu akan membawa mudarat dan fitnah terhadap umat. Padahal bukanlah itu yang kita khendaki. Maka saya tulislah buku ini dan maksud saya yang utama ialah membersihkan salah faham di antara umat Islam, baik di Malaya atau di Indonesia yang timbuk kerana keterangan datuk Mufti Johor dan saya namai buku ini sebagai, “Teguran Suci dan Jujur terhadap Mufti Johor”


Di dalam buku yang dipanggil orang sebagai The Lost Manuscript , ada 3 tuduhan besar yang dijawab kembali oleh HAMKA. Pertama; Tuduhan Kaum Muda sebagai pengkhianat Agama, Kedua; Mengkafirkan Kaum Muda, Ketiga Menuduh Ustaz Hassan Bandung sebagai pendokong Fahaman Darwin.

Artikel ini tidak bermaksud untuk mengulas keseluruhan apa yang ditulis oleh HAMKA. Tetapi ada dua perkara yang berharga selain daripada hujah-hujah balas HAMKA di dalam buku ini. Iaitu, AKHLAK dan KETINGGIAN ILMU.

Akhlak dan Ilmu tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan salah satu darinya, maka hancurlah segalanya. Walaupun buku ini sebuah teguran, tetapi di dalamnya penuh dengan kata-kata yang lunak dan berhikmah. Tidak ramai cendekiawan Islam masa kini dapat mencontohi keperibadian HAMKA dalam hal ini. Umat Islam kaya dengan tokoh-tokoh yang alim dan boleh dikatakan sebagai Sarjana. Tetapi sayang, ada sebahagian daripada mereka, miskin dengan akhlak ketika menulis atau menegur mereka yang pada pandangan mereka batil.

HAMKA benar-benar mendidik sesiapa sahaja yang membaca tulisannya. Kita diajar supaya sentiasa berakhlak mulia, walaupun ketika kita menegur dan berada di pihak yang benar. Itulah yang keistimewaan yang saya perolehi dari buku ini. Selain daripada hujah-hujah ilmiah yang ditulis oleh beliau.

Apa yang menarik lagi bagi saya ialah apabila HAMKA menjawab fitnah dan pertuduhan yang dilemparkan kepada beliau dan tokoh-tokoh Ilmuan yang lain dengan gelaran Wahabi.

Di bawah ini saya himpunkan kenyataan-kenyataan HAMKA yang dituduh sebagai WAHABI ataupun KAUM MUDA oleh para Ulama Nusantara. Kenapa beliau dituduh sebegitu? Kerana beliau berkata, “Ya, memang kami kaum muda, kerana kami menebang dan menebas segala tiang tambahan (bid’ah). Yang tiada tiang kami tidak mahu dikatakan tiang!

Kata HAMKA lagi, “Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali yang keras mempertahankan Sunnah. Dan yang berpengaruh memperbaharui (Tajdid) faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qoyim. Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan.”

Saya menyeru semua penuntut ilmu untuk memiliki karya HAMKA ini. Harganya tidak lebih dari RM20, tetapi manfaat dan kebaikan terlalu banyak boleh diperolehi dari buku ini.

Selamat membaca!



_________________________________________________________________

© YUSSAMIR.COM (2007-2009)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"

Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

4 comments:

  1. Kat mana boleh sy dapatkan buku ni??

    ReplyDelete
  2. Salam.
    Geekspro.
    Enta boleh cari dekat Pustaka Mukmin dekat dengan masjid India tu.
    Kat situ ada buku tu.

    IbnYaacob, Memang mantop sangat2..:)

    ReplyDelete
  3. Assalaualaikum dan salam akhir ramadhan akhi, semoga rahmat dan redha Allah dicari.

    Selain buku ini, ana senantiasa menunggu karya sulung anta. Insya-Allah.

    Pastikan ana antara yang terawal memilikinya.

    Jazaka-Allah

    ReplyDelete