“Faiz, kenapa kau senyum dekat tabung masjid itu?” Saya kehairanan melihat gelagat Faiz.
“Err…Aku sedang beri sedekah. Kan senyuman itu adalah sedekah.”
Hampir luruh dada saya bila dia menjawab sebegitu. Saya tidak pasti sama ada Faiz sekadar bergurau atau serius.
Itu antara pengalaman yang pernah saya alami. Tidak tahu di mana silapnya. Adakah silap sistem pendidikan agama yang Culas, atau diri sendiri yang ambil sambil lewa apa yang dipelajari.
Pasti ada di kalangan anda ketika membaca tertawa atau senyum-senyum sindiri. Sama ada perkara itu pernah anda lihat atau anda sendiri pernah cuba-cuba untuk melakukan perbuatan sebegitu. Saya tidak kata salah apa yang Faiz katakan, iaitu Senyuman itu adalah sedekah. Tetapi Faiz menggunakan ayat itu diluar konteks yang sepatutnya.
Tetapi bukan cerita Faiz yang mahu saya sebutkan di sini. Apa yang mahu saya bangkitkan untuk kita fikirkan bersama ialah, sikap umat Islam yang mengaku berhukum dengan al-Quran dan Hadith tetapi terlalu jauh menyimpang dari maksud kedua-dua sumber tersebut.
Slogan kembali berpegang kepada al-Quran dan Sunnah adalah slogan yang sangat baik dan mulia. Tetapi ada segelintir di kalangan umat Islam telah memberikan pemahaman buruk terhadap slogan di atas. Golongan liberal yang menggunakan akal dalam menafsirkan al-Quran dan hadith menambahkan lagi wajah buruk terhadap slogan yang mulia ini. Sehinggakan untuk kepentingan politik dan kumpulan tertentu, ada yang sanggup mencari ayat al-Quran atau hadith kemudian cuba menafsirkan agar dapat menyokong kepentingan mereka.
Teringat saya peristiwa hitam yang berlaku di antara Muslimin yang berada di bawah pimpinan Saidina Ali dengan sekumpulan Khawarij. Kumpulan Khawarij menuduh Saidina Ali tidak berhukum dengan Al-Quran, dengan slogan mereka, “Tiada hukum melainkan hukum Allah”. Kemudian Saidina Ali menyanggah mereka dengan berkata, “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Peristiwa yang berlaku beribu tahun dahulu sudah kembali membarah dalam masyarakat umat Islam. Kalau dahulu hal ini dipelopori oleh golongan Khawarij, tetapi masa kini kita tidak dapat menganggak siapakah yang mengepalainya, kerana semua orang berpotensi melakukan hal sedemikian.
Kalau dalam agama Kristian konsep Christocenteric halal digunakan, kini konsep itu sama sahaja kalau dibandingkan dengan apa yang terjadi terhadap umat Islam kini.
Konsep Christocenteric adalah satu konsep yang mengajar penganut agama Kristian untuk menafsir dahulu, kemudian barulah cari ayat-ayat di dalam Bible yang dapat menyokong penafsiran mereka. Dan konsep ini lah yang sedang umat Islam hadapi dari kalangan umat Islam sendiri apabila mereka menggunakan slogan yang benar, tetapi telah lari jauh dari konteks pemahaman nas yang sahih.
SERUAN
Para Sarjana Islam harus menggembeleng tenaga bersama tanpa mengira latar-belakang untuk sama-sama membendung masalah ini. Ketepikan dahulu soal emosi dan egoistik. Ketepikan juga dahulu masalah-masalah peribadi di kalangan Sarjana. Umat Islam kini sedang mengalami krisis yang sangat teruk, lebih-lebih lagi jika hal ini tidak dibendung dari awal.
Sistem pendidikan Islam harus diolah dan ditransformasikan agar lebih dinamik dan mesra intelektual. Sistem pendidikan Islam masa kini sudah tidak lagi releven apabila kaedah hafalan tanpa penerangan, dan cerita-cerita tanpa sumber dijadikan metod pengajaran para pelajar.
Para Sarjana Islam dari pelbagai lapangan harus duduk berbincang mencipta satu formula, agar sistem pendidikan Islam umat Islam kini lebih berdaya saing dan menjadi platform kepada agen perubahan tamadun yang pernah umat Islam kecapi dahulu.
Dunia kini tidak lagi memerlukan retorik-retorik yang tidak berkesudahan. Dunia kini memerlukan perlaksanaan disamping idea-idea yang memandu kearah matlamat yang terancang. Umat Islam harus lebih kehadapan dari segala aspek. Walaubagaimanapun, dalam semua perancangan yang dilaksanakan bagi membangunkan kembali ketamadunan Islam yang hebat. Penerapan pemahaman Islam yang sahih berdasarkan Quran dan Sunnah di atas kefahaman jalan para salafusoleh (3 Generasi terdahulu) harus ditekankan dalam formula pendidikan Islam yang baharu.
Umat Islam harus dilonggokan dengan fakta, bukan fiktif yang tidak bersumberkan mana-mana hakikat yang benar. Kita semua percaya bahawa kekuatan akal manusia datangnya dari hak yang benar, bukan dari cerita-cerita yang batil.
Gunakan mata untuk melihat kebenaran, gunakan hati untuk bertanyakan fatwa hati, manakala gunakan telinga untuk mendengar berita yang benar. Pancaindera yang dianugerahkan Allah adalah sebagai alat perantara untuk kita menilai segala seruan kebenaran. Semuanya itu diciptakan agar kita mampu meneliti setiap tanda kebesaran-Nya dan kebenaran Islam. Firman Allah di dalam surah al-A`araf: 179
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai Hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami, dan mereka mempunyai Mata tetapi dipergunakannya untuk melihat, dan mereka mempunyai Telinga tetapi tidak mempergunakannya untuk mendengar. Mereka (yang sedemikian sikapnya) bagaikan binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi darinya. Mereka itulah orang-orang yang lalai”
Maka dari situlah, slogan yang benar akan diikuti dengan tujuan yang benar.
___________________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2009)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.
"memperkasakan paradigma"
Yussamir Yusof @ www.yussamir.com
No comments:
Post a Comment