Wednesday, August 11, 2010

BUKAN MUDAH KE SYURGA

“Aik, tadi akak nampak air tu macam penuh. Tapi sekarang dah setengah cawan pula.” Kakak saya memandang saya dan cawan yang ada di atas meja kehairanan.

“Entah, mana tahu.” Saya terus berlalu kemudian masuk ke bilik. Haus yang tadi terpaksa di tahan-tahan, sudah beransur lega dan basah. Saya tidak puasa!

Ketika itu saya baru sahaja berumur 8 tahun. Tidak tahu makna sebenar tentang puasa. Hanya sekadar ikut-ikutan, tidak ada langsung perasaan dosa atau pahala yang bermain di kepala ketika meneguk air tebu yang dibeli.

“Kalau puasa penuh tahun ini, ibu bagi duit raya banyak.” Umpan ibu saya.

“Berapa banyak?” Saya membuat tawaran.

“Erk…300.” Ibu saya terkedu dan tersengih.


“Ok, tahun ni puasa penuh.”

Ketika itu berpuasa harus ada pemangkinnya. Bukan pahala atau ganjaran yang besar menjadi pemangkinnya, tetapi ganjaran berbentuk material. Ya, mungkin itu ketika dahulu, ketika kita semua masih kecil dan kanak-kanak.

Tetapi sekarang, adakah pemangkinnya tetap perkara yang sama atau lain? Saya percaya, bahawa kita semua berpuasa kerana yang memangkinnya bukan lagi berbentuk material. Ia lebih ke arah sipirutual, yang berbentuk ganjaran pahala dan keampunan dari Allah.

Allah telah memangkin para hamba-Nya sejak berzaman dahulu dengan ganjaran-ganjaran yang besar. Ganjaran-ganjaran ini kerap kali dikhabarkan oleh Rasulullah saw dalam berbagai tempat dan keadaan. Antaranya Rasulullah bersabda, “Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya diampun baginya dosa yang terdahulu.” (Hadis direkodkan Bukhari dan Muslim)



Berlumba-lumbalah.

Mari kita sama-sama berlumba untuk meraih ganjaran pahala yang berlipat kaliganda, dan menunduk istigfar memohon keampunan dari Allah. Bulan ini penuh dengan pengampunan dan ganjaran.

Bulan ini bagaikan jualan murah dan pesta diskaun yang dianjurkan. Bukan diskaun harga dan juga bukan jualan barangan, tetapi diskaun keampunan dan ganjaran pahala yang melimpah ruah Allah tawarkan.

Ganjaran pahala bukan sahaja 10 kali ganda, mahupun dengan jumlah yang lain. Tetapi Allah sendiri yang akan menetapkannya, dan sudah pasti ganjaran tersebut berlipat kali ganda dari bulan-bulan biasa. Sesuai seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah dalam sebuah hadith yang direkodka oleh Imam Muslim, “Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman (yang artinya), ‘Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan yaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.’”


Basahkanlah lidah dengan bacaan Quran dan Zikrullah, hidangkanlah telinga dengan bacaan-bacaan Quran, dan hiasilah pandangan dengan bacaan yang membawa faedah, dan gerakkanlah diri kita melakukan amalan-amalan sunnah yang digalakkan.

Khususnya membaca Quran. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bertadarus al-Quran bersama Jibril a.s pada setiap malam di bulan Ramadan. Ibn Abbas r.a berkata,

“Jibril a.s menemuinya (Nabi saw) pada setiap malam di bulan Ramadan hingga bulan itu berlalu. Nabi s.a.w memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya.” (Hadith direkdokan Imam Bukhari)

Dan tinggalkanlah amalan-amalan buruk dan tidak berfaedah kerana ia akan mengurangkan pahala.

“Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) dan berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum). Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa (Nabi menyebutnya dua kali).” (Hadis direkodkan Imam al-Bukhari)


Istiqomahlah.

Ramai di kalangan kita, termasuk saya terasa sangat berat apabila mendengar perkataan istiqomah. Ya, tidak ramai yang boleh meneruskan kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadhan sama seperti pada bulan-bulan lain. Kebanyakkan dari kita akan kembali kepada tabiat lama. Ia seolah-olah berpura-pura dan menipu Allah ta’ala. Nau’zubillah min zalik, moga kita tidak tergolong dari kalangan orang-orang yang menipu Allah. Sesungguhnya Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.

Mungkin jalan istiqomah terlalu berat dan terbeban, tetapi adakah berat dan beban itu membawa keburukan? Saya tidak percaya jika itu berlaku, dan lebih-lebih lagi kebelansungan kebaikan yang ada pada bulan Ramadhan banyak memberi impak positif kepada individu dan masyarakat sekeliling.

Tetapkanlah jalan yang telah kita pilih di bulan ini. Jangan dan tidak perlu lagi memilih jalan lain selepas kita disinari cahaya iman dan taqwa semasa ramadhan ini. Jalan lurus dan jalan yang penuh dengan berkat dan redha dari sisi Pencipta.

Pohonlah ke hadrat Illahi, agar Dia terus memberi kekuatan kita untuk terus kukuh di jalan ini. Sepertimana doa yang diajarkan oleh Allah dalam surah al-Imran (3:8),

“Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”



Tiada jalan mudah untuk menuju ke Syurga. Itu sudah pasti...




Salam Ramadhan al-Mubarak dari saya.
Yussamir Yusof
Kerinchi, Kuala Lumpur.

_______________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2009)Hak cipta terpelihara.

Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.

"memperkasakan paradigma"Yussamir Yusof @ www.yussamir.com

No comments:

Post a Comment