Baru-baru ini saya mendapat forward link video Malaikat dari seorang kenalan. Dia beriya-iya menyuruh saya menontonnya. Katanya dalam video tersebut kelihatan Malaikat turun ke bumi dan terus menuju ke kaabah.
Saya tersentak, “Manusia dapat melihat Malaikat?” Soal saya dalam hati.
Untuk tidal menghampakan beliau, saya tetap menonton video tersebut. Ya memang kelihatan cahaya dari langit turun ke kawasan tawaf di Makkah. Tetapi timbul beberapa persoalan di kepala saya.
Pertama, benarkah video ini tulen?
Kedua, adakah Allah telah memberi kelebihan kepada manusia untuk melihat dan mengetahui hal-hal ghaib? Lebih-lebih lagi malaikat?
Jika benar sekalipun video itu tulen, adakah ia benar-benar Malaikat atau sekadar cahaya yang wujud?
Marilah kita melihat isu ini dari kacamata Islam sendiri. Berdasarkan Al-Quran dan Sunnah yang menjadi asas pegangan umat Islam zaman berzaman.
Hal-hal yang berkaitan dengan Malaikat dikategorikan sebagai perkara-perkara ghaib di dalam Islam. Malaikat mendapat darjat tinggi di sisi Allah sebagai makhluk-Nya yang paling taat dan setia menjadi suruhan kepada Allah. Malahan mempercayai Malaikat adalah salah satu dari Rukum Iman yang harus diimani oleh umat Islam.
Firman Allah, "Ingatlah segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua. Malaikat-malaikat yang ada di sisi-Nya tidak membesarkan diri untuk beribadat kepada Allah dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. Mereka selalu bertasbih siang dan malam dengan tidak berhenti-henti." (al-Anbiya': 19-20)
Hal-hal ghaib hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Tidak ada seorang pun berhak untuk mendakwa bahawa mereka boleh berinteraksi ataupun melihat dengan mata kasar perkara-perkara ghaib.
Firman Allah, “Katakanlah, "Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah", dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan.” (QS An Naml : 65).
Oleh sebab itu, dakwaan bahawa cahaya yang kelihatan dalam video tersebut sebagai Malaikat adalah terkeluar dari akidah Islamiah, kerana ia jelas bertentangan dengan apa yang Allah jelaskan dalam al-Quran.
Sungguh hairan apabila ramai mempercayainya sedangkan Rasulullah sendiri tidak pernah mengaku ataupun bercerita bahawa baginda dapat melihat atau mengetahui perkara yang ghaib.
Perkara ini dijelaskan oleh Allah bahawa Rasulullah tidak mengetahui perkara ghaib. Firman-Nya, “Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.”(QS Al A'raf : 188).
Jika Rasulullah sendiri tidak mengetahui perkara ghaib, bahkan dengan terus terang baginda menafikan hal itu ke atas dirinya, maka orang selain baginda pasti tidak lebih tahu. Kerana baginda yang lebih berhak daripada manusia lain. Ketika ada nash yang menyatakan, bahawa baginda tidak mengetahui perkara ghaib, maka selain baginda pasti tidak tahu.
Saya menyeru kepada semua umat Islam agar lebih berhati-hati dalam hal-hal sebegini. Jangan terlalu mudah diperbodohkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Berpeganglah dengan sekuat-kuatnya dengan akidah yang sahih. Kerana Islam berpaksikan kepada Quran dan Sunnah sahaja. Jika sesuatu itu bercanggah dengan kedua-dua sumber itu, maka tolaklah ia sejauh yang mungkin.
Semoga kita terus dipelihara oleh Allah dari segala bentuk kejahilan dan kebatilan. Ingatlah hanya Allah yang mengetahui perkara yang ghaib.
“Katakanlah,Aku tidak mengatakan kepadamu, bahwa perbendaharaan Allah ada padaku, dan tidak (pula) aku mengetahui yang ghaib dan tidak (pula) aku mengatakan kepadamu, bahwa aku ini Malaikat. Aku tidak mengikuti, kecuali apa yang telah diwahyukan kepadaku.” (Al An'am: 50).
_______________________________________________________________
© YUSSAMIR.COM (2007-2009)Hak cipta terpelihara.
Setiap artikel yang tersiar di Yussamir .Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Yussamir .Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin YUSSAMIR . COM terlebih dahulu.
"memperkasakan paradigma"Yussamir Yusof @ www.yussamir.com
salam. saya juga turut menerima video tersebut. rakan-rakan saya begitu teruja dapat melihat video tersebut. kemudian saya bertanya kepada mereka, "sejak bila pula manusia boleh melihat malaikat? Siap boleh rakam lagi," yang pasti, saya sukar untuk mempercayai kebenaran video tersebut.jika ia hanya propaganda, kita perlu membetulkan pemahaman sahabat-sahabat kita.
ReplyDelete