Friday, January 5, 2007

cerpen qaradawi dan misyar



cerpen qaradawi dan misyar



SEANDAINYA seorang wanita berhasil menggenggam dunia, berhasil
mendapatkan semua anugerah penghargaan dari dunia dan berhasil
mendapatkan semua kehebatan dunia, namun tidak mempunyai suami,
sebenarnya wanita tersebut sangatlah miskin.

Dalam-dalam saya tanamkan persepsi itu ke jiwa saya. Persepsi itu
didatangkan dari lidah seorang nisa yang sudah memacakkan besi tekad
yang tidak boleh digoyang gugat. Sebagai rafik yang setia, saya cuba
menghulurkan seulas persefahaman.

Namun ruang fikir saya yang waras ini payah untuk menjumlahkan
persetujuan. Saya risaukan nasibnya pada hari-hari mendatang. Nasib
bakal zuriatnya yang akan dikemudi seorang pendayung sahaja.
Sepatutnya, berat dayung di tangan suami, berat jugalah dayung di
tangan isteri dalam menongkah samudera kehidupan yang sesekali dipukul
gelora.

Biarlah masa depan itu datang sendiri. Jangan cemas dengan hari esok.
Kalau hari ini aku mampu lakukan yang terbaik, insyaallah esok akan
baik juga Nafeesah, kan?

Zulaikha yang saya kenali memang bijak menangkis hujah. Barangkali
kerana kebijaksanaan itu jugalah tiada lelaki yang berani menitipkan
cinta. Zulaikha, wanita bijak yang sudah terlajak usia, payah diajak
mencari cinta kerana istiqamahnya terhadap kerjaya payah diinjak-injak
dan sukmanya hanya terletak kasih ayahanda bonda. Cuma akhir-akhir ini
dia telah terserempak dengan satu rasa yang menggetarkan tetapi indah!

Zulaikha menggilai Yusuf? Saya menduga. Polos.

Bukan menggilai. Mengagumi. Aku, Zulaikha, cintakan kesolehan seorang
Yusuf. Aku pencinta akhlaknya! Aku mahu Yusuf menuntun aku ke pintu
jannah.

Ayat Zulaikha tampak bersungguh. Saya memancing lagi.

Jangan kau carikkan pakaian takwanya, Zulaikha.

Insya-Allah tidak sama sekali, Nafeesah. Aku bukanlah Zulaikha yang
mencintai Yusuf kerana ketampanannya hingga sanggup mencemar maruah!
Aku sedar tanggungjawabnya untuk bahtera yang lebih berhak. Aku tidak
akan membiarkan bahunya sendeng di akhirat nanti kerana gagal berlaku
adil.

Iman

Saya rasa terpukul. Saya mafhum, ucapan itu mewakili perasaannya
sendiri. Benar, Yusuf idaman Zulaikha tidaklah setampan mana. Kalau
dibandingkan dengan Zulaikha, bagaikan pekatnya langit malam dan cerah
bersinarnya suria pagi. Yusuf bukanlah jejaka pujaan gadis. Apatah
lagi, Yusuf hanyalah penjual ikan di pasar borong. Namun, setelah
mengenali Yusuf yang bergelumang dengan kehanyiran ikan itu, persepsi
saya lantas gugur terjunam! Yusuf itu memiliki kewangian iman yang
tidak jemu untuk dihidu! Yusuf itu memiliki sepersil ketenangan yang
menjalarkan kebahagiaan!

Mata saya menombak ke wajah Zulaikha. Kecantikan yang sulit saya
zahirkan. Wajah putih mulus, kening bertaut dan berhiaskan dua lekuk
di tebing pipi, rupanya masih sulit untuk membeli hati lelaki.
Barangkali kecantikan yang dilengkapkan dengan setambun ilmu dan
kerjaya yang mantap itulah menjadikan lelaki ketakutan. Maka jadilah
Zulaikha, peguam hebat yang bukan saja digeruni di dunia perundangan,
malah turut digeruni oleh kumbang untuk cuba-cuba menghinggap di
hatinya!

Nafeesah, kebahagiaan itu tidak terletak pada keturunan, harta benda
dan kecantikan lahiriah, tapi kebahagiaan itu terletak pada agama,
ilmu pengetahuan, kesopanan akhlak dan tercapainya cita-cita. Dalam
hadis riwayat Imam Tarmizi pun ada menyatakan, semulia-mulia seorang
suami ialah yang memberi agama kepada isterinya.

Begitulah kilah Zulaikha tatkala saya mempertikaikan mengapa mesti
Yusuf? Yusuf yang kurang pada material, wajah, kedudukan, malah paling
menjengkelkan kurang pada usia. Sedangkan Zulaikha dilebihkan
segalanya, apatah lagi, Zulaikha yang telah dilebihkan usianya 10
tahun daripada Yusuf!

Ketika di dunia kampus bukan tidak ada yang cuba-cuba memetik mawar
semerbak mengharum itu. Tetapi dia sendiri yang memejamkan mata
terhadap panahan mata arjuna. Tidak hairanlah dia telah menukilkan
dirinya sebagai pelajar terbaik.

Pengetahuan adalah tempat untuk kita berehat dan tempat berlindung
pada hari tua. Jika kita tidak menanamnya semasa masih muda, ia tidak
akan memberi perlindungan bila kita tua nanti, Nafeesah.

Itulah alasan sahabat saya yang degil itu. Apabila melangkah ke alam
guaman pula, dia komited tanpa mahu menoleh-noleh lagi kepada
cacamarba warna kehidupan.

Bekerja itu adalah medium yang terbaik supaya manusia cinta kepada
penghidupan. Walaupun bekerja itu akarnya pahit Nafeesah, tetapi
buahnya amat manis!

Itu falsafahnya sesudah mengejar cita-cita. Falsafah itulah
menghadiahkan sebuah firma guaman yang gah, kereta dan rumah mewah
hingga dia terlupa akan perjalanan sebuah naluri yang memerlukan
sebuah perhentian. Dia lupa untuk jatuh cinta dan mengabaikan manis
senyuman sang Adam. Dia membuat anologi, jangan tertipu dengan
senyuman kerana sesungguhnya racun itu kadangkala dalam manisan juga.

Cuma akhir-akhir ini, setelah gemulah ayahanda bonda kesayangannya
berangkat pulang ke alam barzakh, Zulaikha telah dihimpit kesunyian.
Kesunyian itulah mendorongnya secara tiba-tiba mencari pelengkap hidup.

Betullah Nafeesah, orang pernah cakap, semua pengetahuan diperoleh
melalui proses pembelajaran. Kecuali cinta. Cinta itu tumbuh sendiri
tanpa perlu berguru.

Buat pertama kalinya dalam ukhuwah kami ini, dia tiba-tiba bersuara
membenarkan cinta! Sungguh-sungguh buat saya rasa terpana.

Jangan terpaksa berkahwin kalau untuk hilangkan status andartumu,
Zulaikha.

Nafeesah, kau tentunya arif sirah Khadijah dan Muhammad, bukan?

Soalannya sinis. Saya termalu. Ternyata Zulaikha cuba mengirimkan
cintanya kepada Yusuf sebagaimana Khadijah cuba melakukannya kepada
Muhammad. Khadijah, saudagar wanita yang sudah berusia, namun
diberikan kekayaan oleh-Nya, terpikat dengan Muhammad yang jujur
membawa barang-barang dagangan Khadijah yang diniagakan di Syam. Lalu,
Zulaikha menjadikan saya seperti Nafisah binti Muiyyah, teman Khadijah
untuk memanjangkan lamaran. Ya, saya mewakili Zulaikha untuk
meleraikan hasrat kepada Yusuf. Bunyi macam sumbang, tapi itulah
realitinya. Dan, reaksi Yusuf sendiri, terkebil-kebil, linglung, gumam
dan hampir kehilangan diksi.

Nafkah

Tetapi kisah ini bukan benar-benar menyalin sirah Khadijah-Muhammad.
Zulaikha menginginkan Yusuf yang sudah beristeri. Ketidakmampuan
kewangan Yusuf, membuatkan Zulaikha merelakan sebuah perjanjian.
Perjanjian bertulis, Yusuf sebagai suami hanya perlu memberi nafkah
batin, sedang nafkah zahir sepenuhnya akan ditanggung oleh Zulaikha.
Zulaikha tidak kisah Yusuf jarang-jarang bermalam di rumahnya.
Sedangkan, Muhammad-Khadijah susah senang bersama.

Zulaikha mencuplik pandangan Mufti Mesir, Fadhilah al-Syeikh Dr. Ali
Jum'ah, yang menyatakan jika rukun-rukun nikah telah sempurna, maka
sahlah perkahwinan itu dan dibenarkan jika wanita mahu menggugurkan
hak yang berhak diperoleh daripada hal yang berkaitan dengan kewajipan
suami. Seperti Sayyidah Saudah binti Zam'ah yang tidak mengambil hak
bermalam bersama Rasulullah, sebaliknya memberikan hak itu kepada
Aisyah r.a. Buat Zulaikha, dia berhajatkan ada buah cinta yang bakal
tumbuh daripada pohon cinta mereka dan dia mahu membesarkan sendiri
buah cintanya.

Cinta sejati tidak memandang wang, Nafeesah. Tetapi wang sangat
penting untuk memelihara cinta, bukan?

Itu pendiriannya berkaitan prinsip-prinsip yang harus berdiri bersama
cinta. Ya, kerana punya wang Zulaikha merelakan Yusuf tidak memberikan
sesen sekalipun. Dia hanya menagih statusnya sebagai isteri yang
dimuliakan dan dijanjikan jannah oleh-Nya.

Kau tahu, Nafeesah, wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan
tertutuplah pintu-pintu neraka dan terbuka pula pintu-pintu syurga.
Wanita boleh masuk dari mana-mana pun pintu yang dia hajatkan tanpa
dihisab. Malah, wanita yang taat pada suaminya, berpuasa dan bersolat,
semua ikan di laut, burung-burung di udara, malaikat di langit,
matahari dan bulan, semuanya beristighfar buatnya.

Kelihatan Zulaikha mengumbar senyuman tatkala menceritakan sabda-sabda
Nabi s.a.w itu kepada saya.

Zulaikha, perjanjian sebegitu tidak memenuhi maksud sebuah institusi
perkahwinan. Surah An-Nisa' ayat 34 jelas mengatakan suami diwajibkan
mencari nafkah untuk isteri dan keluarganya. Lagipun, nanti apa kata
masyarakat? Masyarakat kita tidak boleh terima perkahwinan sebegini,
Zulaikha.

Aku hanya akan fikirkan tentang orang-

orang yang aku cintai. Sedetik pun aku tidak izinkan waktu aku untuk
memikirkan tentang orang-orang yang aku benci. Kita diciptakan di alam
keimanan yang begitu luas, namun acapkali kita menyempitkan jiwa kita
dengan ketakutan, kesedihan dan ketidakpastian, Nafeesah?

Saya terkedu dengan hujah Zulaikha. Betapa beruntungnya hati yang
dijadikan kediaman cinta, kerana cinta membuatkan Zulaikha melupakan
urusan dunia!

Aku ingin menjadi seorang ibu. Aku amat berharap benih cinta kami
segera subur dan menjadi buah yang boleh dipelihara penuh kasih
sayang. Doakan aku, Nafeesah!

Pahit saya menelan impian Zulaikha. Zulaikha dan ibu tunggal tiada
bezanya. Cuma beza dari segi istilah. Tetapi dia tetap adalah ibu yang
ditinggalkan. Punya suami tapi boleh pulang sesuka hati saat
mengidamkan tubuhnya. Pastilah benih yang akan lahir itu tidak akan
mempunyai ayah sebagai model hidupnya. Berkali-kali saya mengingatkan
tentang nasib anaknya yang pastilah akan kekurangan kasih sayang ayah
andai dia memilih perkahwinan begitu. Saya terimbas ujaran Prof. Dr.
Wahbah Az-Zuhaily yang mengklasifikasikan perkahwinan pilihan Zulaikha
ini sebagai makruh dan wajar dielakkan. Hukumnya makruh jika
pernikahan ini tidak merealisasikan semua tujuan dan motif
perkahwinan, kemanusiaan dan kemasyarakatan dalam keadaan yang sempurna.

Mendidik adalah pekerjaan hati, Nafeesah. Cukuplah doa solehnya
sentiasa mengiringi aku dan anak-anak. Di luar sana, betapa ramai ibu
tunggal yang mampu mendidik anak-anaknya hingga menjadi sebaik-baik
umat. Tidak mustahil pun sekarang ni, seorang ibu dapat mendidik
sepuluh anak tanpa suami.

Ahh, Zulaikha terlalu realistik. Hujahnya payah dipatah-patah. .. Dia
terburu-buru mahu merasai perit nikmat mengandung. Dia terlalu menagih
janji-janji pahala oleh-

Nya. Zulaikha tidak sabar saat mengandungkan janin dalam rahimnya,
para malaikat akan beristighfar untuknya. Dia mahu Allah mencatatkan
setiap hari dengan 1,000 kebajikannya dan menghapuskan 1,000
kejahatannya.

Zulaikha tidak sabar untuk melalui saat-

saat sakit hendak bersalin. Keperitan itulah yang dijanjikan Allah
kepadanya bagaikan pahala orang yang berjihad kepada jalan Allah.
Saat-saat dia melahirkan anak, dia akan dikeluarkan dari dosa-dosa
seperti keadaan ibu yang melahirkan. Apabila menyusui anak itu, maka
setiap satu tegukan daripada susu ibu akan diberikan satu kebajikan.
Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang
sakit, maka Allah memberikan pahala seperti memerdekakan 70 orang
hamba dengan ikhlas untuk membela agama Islam. Itulah bunga-bunga
impian Zulaikha sedang berkembang.

Saya amat takut andai Yusuf sudah puas, rasa bosan akan menjelma tanpa
bertunda-tunda. Saya takut Zulaikha akan dilepaskan tanpa belas, lalu
menciptakan rafik saya itu seorang janda. Nauzubillah. Tetapi itulah
yang paling saya takutkan. Kesolehan Yusuf belum cukup kuat untuk
meyakinkan saya. Seperti sabda Rasulullah: Jika sesuatu urusan
diserahkan kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah saat
kehancuran. Adakah Yusuf impian Zulaikha layak menggalas amanah ini?

Sahabat

Wajar atau tidak, ijab dan kabul sudah pun menjadi milik Yusuf dan
Zulaikha dalam walimah ringkas. Saya hanya dapat menjadi sahabat yang
mendoakan kebahagiaan mereka. Meskipun Yusuf mendapat keizinan isteri
pertamanya, namun keizinan itu tidaklah didatangkan dengan nilai
kerelaan yang sepenuhnya. Maka mafhumlah saya, mengapa malam giliran
Zulaikha bertunda-tunda. Zulaikha pula tidaklah memendam rasa kerana
memang itulah kesediaannya selama in. Malah, dia makin memperdiarkan
rasa terkilannya apabila dia disahkan bunting pelamin! Maha Mencipta
Rabb!

Aku mahu Yusuf sendiri yang mengazankan anak ini nanti.

Itulah doa Zulaikha. Dia tidak jemu-jemu berbual dengan janin itu. Dia
semacam tiada kerinduan kepada penanam zuriat itu meskipun sepanjang
hampir sembilan bulan mengandung hanya beberapa kali saja Yusuf
pulang. Alhamdulillah, mungkin berkat sabarnya juga, saat mengandung
langsung tidak mendatangkan masalah. Sesekali, setiap malam Jumaat
Yusuf menelefon, Zulaikha akan menekapkan telefon genggamnya ke perut.
Yusuf sedang mengalunkan ayat-ayat al-Quran ke pendengaran anak mereka!

Hari ini, pada 17 Rabiulawal yang indah, Yusuf menelefon saya
mengkhabarkan seorang lagi umat Muhammad akan melihat dunia. Saat saya
dan suami tiba di wad, syahdu mengiringi suasana tatkala Yusuf sedang
mengalunkan qamat dan azan ke telinga suci bayi itu. Saya terkenangkan
hajat Zulaikha yang sudah terlunas.

Saya menghampiri Zulaikha. Zulaikha yang masih lemah pucat, dengan
lembutnya menggenggam jemari saya sembari tersenyum indah.

Nafeesah, putera bernama Al-Qaradhawi ini, akan aku tarbiahnya hingga
menjadi ulama terkenal! Aku mahu tahu pula apakah pandangannya
terhadap perkahwinan yang dipilih umminya ini.

Sukma saya sungguh berkocak-kocak tatkala menadah ayat terakhir
Zulaikha itu.

cerpen ini menarik hati saya kerana ceritanya cukup bermakna saya ambil dari cerpen Oleh SITI HAJAR MOHD. ZAKI hayati cerita ini

No comments:

Post a Comment