Monday, February 5, 2007

Burqini: Baju mandi untuk wanita Islam


Burqini: Baju mandi untuk wanita Islam

Sebenarnya sudah lama saya memerhatikan trend membudayakan pemakaian menutup aurat dikalangan Orang Islam yang berada dinegara barat.Keadaan begini membuatkan saya terfikir bahawa Islam di barat lebih berkualiti dari islam yang ada dinegara-negara Islam.Bukanlah saya berniat untuk membeza-bezakan islam antara barat dan negara Islam,tapi inilah realiti yang boleh kita lihat dewasa ini.Betullah seperti janji Allah bahawa Ahli kitab jika memeluk islam akan menjadi lebih baik dari umat islam yang lain(iaitu yang sudah memeluk islam dari lahir),Firman Allah:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik”

Gembira dan bangga apabila sekali lagi saya melihat usaha mereka dalam mencipta pakaian berenang yang menutup aurat diperkenalkan.Dan saya cukup gembira dengan usaha ini,dan sudah semestinya seluruh umat islam perlu menyokong dan tidak ada lagi alasan yang mengatakan Islam itu menyekat Umatnya untuk menjalankan aktiviti luar terutamanya yang melibatkan aktiviti renang.Islam adalah agama fitrah dan mudah,

Sepertimana Firman Allah surah yang ke 22 ayat 78 “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.”.

Akhir sekali saya berharap dengan adanya usaha sebigini ia akan menjadi satu motivasi kepada Umat Islam diluar terutama wanita supaya bertambah-tambah keyakinan mereka terhadap agama yang syumul ini.dan secara tidak langsung ia akan memangkin daya kreativiti umat islam dalam industri Fesyen. Disini saya turut sertakan keratan akhbar tentang perkara tersebut:

MELBOURNE 4 Feb. - Burqini, pakaian renang yang menutup aurat, kini membolehkan wanita Islam berenang dan bersantai di pantai dengan selesa.

Agensi Berita Nasional Australia (AAP) dalam laporannya hari ini menyebut burqini yang sudah dijual kepada lebih 9,000 wanita di Sydney, disokong oleh Majlis Islam Australia dan Mufti Australia.

Ketika memperagakan burqini pada “Surf Life Saving Australia” (SLSA) semalam, Laa Laa, 20, dari Mekah berkata, pakaian daripada kain polyester itu yang menutup aurat dari kepala hingga kaki, memberikan kebebasan kepada wanita Islam untuk berenang di pantai dan pada masa yang sama mematuhi tuntutan agama.

“Matlamatnya ialah membolehkan wanita aktif dalam air, menggalakkan wanita menyertai aktiviti sukan, aktiviti renang dan dengan burqini, mereka boleh lakukannya, kata Laa Laa kepada AAP.

Turut hadir pada majlis Anugerah Kelab Sukan di Campsie, di barat daya Sydney itu yang merupakan sebahagian daripada program On The Same Wave SLSA yang diperkenalkan ekoran rusuhan Cronulla, ialah Ketua Menteri New South Wales, Morris Iemma.

Laa Laa berkata, orang ramai kini mula berebut-rebut mendapatkan pakaian yang dijual antara RM450 (A$150) dan RM540 (A$200) itu.

“Kawasan pantai kini semakin popular. Saya selalu ke pantai, kini dengan adanya burqini, ia pasti mendapat sambutan,” kata Iemma dipetik oleh AAP.

Iemma berkata, baju renang itu merupakan program terbaru melatih pengawal penyelamat peluncur ombak dan membantu mengatasi halangan hubungan masyarakat di selatan Sydney.

“Ia merupakan salah satu daripada pelbagai program yang merapatkan masyarakat, dan sebagai perakuan bahawa kami semua adalah warga Australia yang berkongsi tanah air ini, kami mempunyai banyak haluan tapi kami ada satu masa depan, masa depan yang dikongsi bersama,” kata ketua menteri itu.

“Persoalan dari mana kami datang, wajah kami, pakaian kami tidak timbul, tapi kami semua cintakan pantai dan itulah yang kami kongsi bersama,” katanya.

Jurucakap SLSA, Lee Howell pula memberitahu AAP, Majlis Islam Australia selesa dengan pakaian itu.

“Mufti (Sheik Taj Aldin Alhilali) secara peribadi turut menyokong burqini sebagai pakaian yang sesuai dan dibenarkan atas sebab-sebab agama dan budaya.

“Pakaian renang itu yang seragam dengan pakaian pantai tradisional lain, memenuhi tuntutan agama,” katanya.

– Bernama



yang sentiasa mendambakan tuhannya

yussamir yusof aljohori

*baru balik dari kelas economy

5 february 2007

No comments:

Post a Comment