Bukan seorang, tetapi sudah ramai yang mula mencanangkan tentang keperluan me’reformasi’kan pemikiran. Tetapi kesannya tidak berapa nampak, dan kurang membawa kesan. Saya percaya, dunia intelektual Malaysia akan beku, jika pemikiran lama masih digunakan dan dijadikan ‘benchmark’ untuk orang-orang muda. Lebih teruk apabila anak-anak muda turut sama mengiyakan budaya ‘tidak boleh kritik’, dan meneruskan tradisi lama yang sudah mengakar.
Tradisi mengmaksumkan khazanah Klasik sehingga membina sebuah stigma bahawa ‘karya para ulama tidak boleh dikritik’ adalah sebuah penyakit berbahaya. Jika ia tidak dirawat dengan cepat, takut-takut ia membawa keruntuhan institusi keilmuan bahkan membawa perpecahan besar sepertimana yang berlaku ketika peperangan antara mazhab.
Peperangan antara mazhab ini menjadi parah apabila ada yang tidak selari dengan pendapat sesuatu kaum akan difitnah dan dijatuhkan hukuman.
Sampai bila pemahaman dan tradisi memusuhi ‘perbezaan’ pandangan akan diteruskan? Kita tidak akan dapat menghalang orang ramai dari berbeza pandangan. Bahkan ia akan terus berkembang walau dipotong sedalam mana pun. Perbezaan pandangan dalam dunia intelektual seperti kuku, walau dipotong sekerap dan sedalam mana sekalipun ia akan terus tumbuh dan berkembang.